DIA KAWAN AKU

Bab 3

Esok paginya, semasa pertukaran syif, aku berjumpa dengan Efa. Aku tanya dia, macammana dia tahu bahawa Pakcik Zakaria tu dah takde?

“Aku nampak pakcik tu berdiri di tepi katilnya, memandang ke arah dirinya sendiri yang berada di atas katil. Masa tu aku rasa pakcik tu dah takde,” kata Efa.

“Maksud kau, kau nampak roh dia keluar dari badan dia? Macam tu?” aku tanya lagi.

“Aku pun tak tahu itu roh dia ke apa. Tapi masa aku nampak tu, memang hati aku kata, pakcik tu dah takde dah. Mesin tu je yang melambatkan pemergiannya,” kata Efa, tenang je. Aku pula yang kalut.

“Semalam aku ada nampak bayangan laju je melintas keluar dari bilik tu. Apa tu?” aku tanya lagi.

“Entah, mana aku tahu. Takkan kau nampak Malaikat Maut kot,” kata Efa sambil tergelak kecil.

“Kalau kau betul nampak Pakcik Zakaria berdiri kat tepi katil dia, maknanya Pakcik Osman tak tipu la. Sebab dia pun kata dia nampak Pakcik Zakaria berdiri kat tepi katil dia tapi masa tu doktor dah isytihar Pakcik Zakaria dah meninggal dunia.” Kataku.

“Dah la Intan. Jangan fikir sangat. Sekarang kau balik, tidur.” Kata Efa menolak lembut pipi aku.

“Aku bukan apa, sebab masa Pakcik Osman nampak Pakcik Zakaria tu, aku ada kat bersama jenazah masa tu. Agaknya kalau itu roh Pakcik Zakaria, maknanya….,” tak sempat aku habiskan kata-kata, ketua jururawat datang kepada aku.

“Intan, lain kali jangan tinggal jenazah yang baru menghembuskan nafas akhir sendirian. Ini pengalaman pertama awak, jadi, saya takkan rekod,” kata Kak Noor. Dia ketua jururawat kat bahagian tu.

“Terima kasih kak. Saya minta maaf. Lain kali saya tak buat lagi,” kataku kepada Kak Noor.

“Dah, kau pergi balik. Rehat ye,” kata Efa memujuk aku.

Aku tak menyahut. Terus ambil beg aku dan melangkah pulang.

Itu yang aku tak sama syif dengan Efa. Ada sekali tu, aku dengan Efa bekerja sama-sama syif malam. Lagi best, lagi cuak. Ada masa aku rasa macam taknak kawan dengan si Efa ni dah. Sebab kelebihan dia tu, adalah kelemahan aku.

Masa tu pukul 10 malam kot, dia baru balik dari tandas. Dia pesan kat aku, “Kau jangan masuk dalam tandas yang ketiga dari pintu tau”. Aku tanya, “Kenapa?” Efa kata, “Tak payah tahulah, jangan masuk je.” Ok, perbualan tu tamat kat situ. Aku malas nak tanya banyak sebab Efa ni ada satu perangai, cepat sentap, cepat marah, tak suka orang chase dia, tak suka orang banyak tanya. Jadi, aku pun malas nak tanya lagi. Tandas tu rosak agaknya.

Dalam pukul 12 tengah malam, aku pusing wad untuk memeriksa semua pesakit. Ada satu katil kat tepi tingkap tu kosong. Siang tadi pesakit dah dibenarkan balik. Masa tu aku sedang memeriksa pesakit di katil yang disebelahnya.

Masa tu, aku dengar bunyi katil kosong tu berkeriut. Aku menoleh, tiada siapa kat situ. Tapi bunyinya memang macam ada orang sedang memanjat naik katil tu.

Lepas memeriksa tekanan darah, aku nak tukar botol air drip. Masa ni aku rasa macam ada satu tiupan kat pipi aku. Meremang bulu roma aku. Aku menoleh melihat ke belakang aku, tiada apa cuma katil kosong. Lepas tu aku kembali menghadap pesakit yang sedang aku periksa. Masa ni aku dengar bunyi ‘haaaaaaaaaaaa, kat tepi telinga aku. Aku menoleh, masih tiada sesiapa. Aku letakkan botol air. Aku melangkah ke tingkap, nak tengok kot-kot tingkap tak tutup rapat. Sebab tu terasa angin sejuk bertiup dan bunyian dari luar pun boleh dibawa angin. Tapi tingkap bertutup rapat, tiada angin yang masuk.

Aku kembali kepada pesakit yang sedang aku periksa. Pesakit tu pun dah lena balik. Aku tak berdiri kat tempat aku berdiri tadi. Kali ni aku pusing ke sebelah kiri katil, supaya aku tak membelakangkan katil kosong tu tadi. Cepat-cepat aku tukar botol air yang dah kosong sampai darah pesakit pun dah disedut masuk ke dalam tiub yang menyalurkan air drip.

Selesai dengan pesakit tu, aku terus tolak mesin memeriksa tekanan darah ke tempat jururawat. Kat situ Efa sedang menulis sesuatu kat fail. Aku duduk dan cuba bertenang. Tarik nafas dalam-dalam, cuba membuang rasa cuak tadi yang masih bersisa.

Efa berhenti menulis dan pandang aku. “Kau kenapa?” dia tanya aku. “Takde apa” aku jawab.

Efa angkat kepala, memandang ke katil yang kosong yang aku lewati tadi. “Ada ‘benda’ kacau kau ek?” dia bertanya. “Entah, aku pun tak tahu. Tapi bulu roma aku meremang masa kat katil kosong tu tadi. Rasa macam ada yang memerhati,” kataku.

“Memang ada ‘benda’ kat atas katil tu. Dia duduk kat bawah katil tu,” kata Efa tenang.

“Hish, kau ni. Tak payah cerita kat aku semua ni boleh tak? Kau nampak, kau tengok sendiri,” kataku.

“Aku nampak sejak petang tadi, lepas pesakit tu balik. Aku pun taknak cerita kat kau. Dah berapa kali kau lalu lalang kat situ kan, takde pun aku cakap apa-apa. Tapi aku rasa kau berhak tahu apa yang buat kau rasa macam tu,” kata Efa, kembali menyambung menulis di fail pesakit.

“Takpe, terima kasih je. Lain kali tak payah cakap kat aku, ok,” kataku bertegas, agak bengang dengan pendapatnya. Aku taknak tahu semua tu.

Efa angkat kepalanya memandang ke arah katil kosong tadi semula. Aku buat-buat tak nampak.

“Aku rasa benda tu suka kat kau la Intan. Dari tadi lepas kau tinggalkan tempat tu, dia diam kat situ, pandang kau,” kata Efa.

“Kau ni Efa, boleh tak jangan cakap lagi?” aku bercakap dengan nada agak tinggi.

“Iyelah, aku tak cakap. Cuma kau hati-hatilah. Jangan berdiri membelakangkan katil kosong tu,” kata Efa.

“Macammana rupa dia?” kataku tiba-tiba ingin tahu. Terdetik juga kat hati aku, Efa tu berpesan kat aku supaya hati-hati sebab dia ambil berat pasal aku sebagai kawannya, tapi aku pula marah dia.

“Tak payah lah kau tahu macammana rupa dia. Nanti kau marah aku,” kata Efa. Aku pun diam. Memang aku taknak tahu pun. Saja beramah tamah.

“Efa, benda-benda yang kau nampak ni, rupanya sama macam kita ke?” tanyaku, makin berminat. Lagipun aku tak selalu dapat sembang dengan Efa ni.

“Ada yang rupa macam kita, tapi yang tak macam kita lagi banyak,” kata Efa.

“Kau tak takut ke tengok benda-benda ni?” aku tanya lagi.

“Gila kau tak takut. Mula-mula nampak takut weh. Tapi bila dah biasa, aku cuba kawal diri aku. Ada seorang ustaz tu beritahu aku, benda ni semua tak boleh kacau kita. Mereka tak boleh sentuh kita pun. Mereka adalah jin. Darjat kita sebagai manusia lebih tinggi. Jadi, kenapa nak takut,” kata Efa.

“Rupa mereka ni sama macam dalam cerita hantu kat wayang tu ke?” tanyaku lagi.

“Takdelah. Aku rasa dalam cerita wayang tu lebih menyeramkan. Entahlah mana mereka dapat rupa hantu macam tu.” sahut Efa.

“Maknanya, hantu yang sebenar, taklah seteruk macam dalam wayang tu?” tanyaku.

“Hantu tak wujud, jangan silap. Itu semua jin dan syaitan. Jin sama macam kita, ada baik ada jahat. Hidup berkeluarga, solat, puasa. Lagi satu ialah syaitan dan iblis. Selalunya yang memperdayakan kita ialah syaitan dan iblis ni,” kata Efa.

Aku rasa kagum dengan Efa. Kami jarang berbual, jadi aku tak berapa kenal dia. Aku tak tahu karakter dia yang sebenarnya. Aku diberi amaran oleh Nurul, katanya jangan banyak tanya dengan Efa sebab dia mudah marah. Dan jangan cakap yang bukan-bukan juga padanya sebab dia mudah tersinggung. Pada aku, kalau dah itu jangan ini jangan, lebih baik aku tak payah bercakap dengan dia. Sembang gitu gitu je cukup.

Lepas aku bersembang dengan dia malam tu, aku rasa aku berminat nak mengenalinya dengan lebih rapat. Dia taklah seteruk yang aku sangka.

“Intan, kau bangun, duduk kat tempat Kak Nina sekejap.” Kata Efa tiba-tiba. Aku nampak dia tunduk dan sesekali matanya menjeling ke arah tepi aku. Rupa dia tu saja dah cukup buat aku meremang bulu roma.

“Kenapa ni Efa?” aku bertanya pelik.

“Bangun je la. Jangan banyak tanya,” kata Efa. Aku pun bangun dan duduk kat tempat Kak Nina, seorang lagi senior kami yang bertugas bersama kami malam tu. Tapi dia keluar sekejap pergi makan.

Efa diam je. Bila aku nak bertanya, cepat-cepat dia letak jari kat mulut dia sebagai isyarat diam. Aku pun diam. Efa menulis laju kat dalam fail rekod pesakit. Aku pun taknak ganggu dia. Betullah kata Nurul bahawa dia ni seorang yang moody. Tadi ok je sembang dengan aku, tiba-tiba dah diam taknak cakap atau pandang aku pun.

Aku pun malas nak layan, malas nak fikir. Baru je aku nak berprasangka baik dengan dia tapi dia tunjuk pula perangai moody dia tu. Aku ambil pen, dan lipat fail baru untuk digunakan jika ada pesakit baru masuk nanti.

“Hoi, kau pergi sana. Jangan kacau kat sini!” tiba-tiba je Efa berdiri dan memandang ke suatu arah seperti menjerkah seseorang. Aku pandang Efa, wajahnya merah padam macam marah sangat. Aku pandang ke arah yang Efa sedang pandang. Tiada siapa kat situ.

Aku tak berani cakap apa-apa. Tak lama lepas tu, Efa duduk semula. Aku masih diam.

“Benda dari katil kosong tu merangkak datang ke sini tadi. Berdiri kat tepi kau, belek muka kau. Suka sangat dia kat kau,” kata Efa setelah kami berdiam diri lebih kurang 10 minit.

“Hah! Dia datang sini?” tanyaku dengan suara agak kuat. Efa bagi isyarat supaya diam.

“Mana kau tahu dia suka kat aku? Dia lelaki ke?” tanyaku betul betul nak tahu.

“Entahlah. Matanya besar dan bulat, kepalanya botak dan besar, hidung dan telinganya panjang sampai ke dada, tangannya hanya tulang, kulitnya hitam macam arang, mulutnya….,” Tak sempat Efa menghabiskan kata-katanya, aku angkat tangan macam orang bagi isyarat kalah tu. Aku angkat kedua-dua belah tangan aku menyuruhnya berhenti bercakap.

“Dah Efa, dah. Aku taknak dengar,” kataku dengan suara yang sangat dalam.

“Tadi kau tanya rupa dia macammana,” kata Efa.

“Takpe, terima kasih je. Aku cuma nak tahu, sekarang dia kat mana?” aku bertanya lagi.

“Entah, tadi dia merangkak pergi. Sekarang aku tak nampak dia. Tapi aku nampak yang lain pula. Tinggi sangat, kepala dia sampai kat siling,” kata Efa.

“Ok. Sudah Efa.” Aku tutup telinga, taknak dengar.

“Korang ni sembang apa serius sangat ni? Macam nak gaduh pun ada,” kata Kak Nina yang tiba-tiba muncul kat sebelah aku, sampai aku terlompat punyalah terkejut, kerusi yang aku duduk pun jatuh terbalik.

“Kau dah kenapa Intan? Macam nampak hantu,” kata Kak Nina sambil ketawa kecil.

“Akak ni, nak menyampuk tu boleh tak bagi salam dulu. Terkejut saya,” kataku mengurut dada dan tarik telinga ke atas. Mak aku ajar, kalau terkejut, tarik telinga ke atas dan sebut ‘kussss semangat’. Entahlah apa maknanya tapi dulu mak aku ajar masa aku kecil. Sekarang aku dah besar pun aku masih buat macam tu.

-Bersambung-

2 thoughts on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s