DIA KAWAN AKU

Bab 2

Entah kenapa hati aku berdebar-debar melihat Pakcik Zakaria macam tu. Aku baca laporannya yang digantung di bahagian bawah kaki katil. Keputusan kesihatannya tak begitu baik hari ini. Aku merapati Pakcik Zakaria, menyentuh tangannya. Tangannya sejuk je.

Aku lihat nombor katil  Pakcik Zakaria. No. 23. Aku teringat kata-kata Efa sebelum kami bertukar syif tadi. “Pesakit katil no. 23 dah takde”. Aku pandang Pakcik Zakaria, keadaannya masih seperti tadi, matanya tegak memandang ke atas dan mulutnya terbuka sikit.

“Pakcik ok ke?” Kataku sambil menepuk-nepuk tangan Pakcik Zakaria. Pakcik Zakaria menoleh memandang aku. Tapi matanya masih besar sama macam ketika dia memandang ke siling tadi. Tajam pandangannya kepada aku. Jantung aku berdegup kencang.

“Pakcik bukan dah discaj ke?” tanyaku cuba membuang perasaan cuak aku. Pakcik Zakaria tak menjawab. Tapi dia pandang aku tanpa berkedip matanya.

Aku pegang tangan Pakcik Zakaria. Sejuk. “Pakcik sejuk ke? Saya perlahan kipas ye,” kataku. Tiada jawapan tapi dia masih merenung aku. Hati aku memang dah rasa lain macam. Aku pegang pergelangan tangannya. Tiada nadi. Tapi sebab dia masih memandang aku, aku cuba nafikan apa yang hati aku kata.

Selama aku bekerja sebagai jururawat, aku tak pernah lagi melalui pengalaman dengan pesakit yang meninggal dunia. Jadi aku tak berani nak andaikan macammana rupa pesakit yang dah meninggal dunia walaupun hati aku terdetik, simptom orang meninggal dunia ada kat Pakcik Zakaria. Lagipun dia masih pandang aku, takkan dah meninggal dunia kot.

Sedang aku membetulkan beberapa perkakasan di tepi Pakcik Zakaria, aku terdengar bunyi seperti bunyi rengusan lembu yang baru disembelih. Aku tak biasa la tengok lembu disembelih tapi aku pernah dengar bunyinya masa ayah aku buat korban untuk kami lima beranak tak berapa lama dulu. Aku pandang Pakcik Zakaria. Matanya masih terbuka.

Aku dah hilang keyakinan diri. Aku berlari keluar dari bilik tu dan terus ke meja Kak Zariha.

“Kamu ni dah kenapa Intan?” Kak Zariha tanya aku bila tengok muka aku pucat semacam.

“Kak, pesakit katil no. 23 bukan dah discaj ke hari ni? Kenapa laporan masih nama orang yang sama?” kataku.

“Pakcik Zakaria tu ke?” Kak Zariha bertanya.

“Haah,” aku jawab.

“Bila masa pulak dia discaj. Kesihatan dia teruk hari ni, tekanan darahnya turun mendadak. Sebab tu kena check tekanan darah dia, dan kena pantau dia selalu,” kata Kak Zariha.

“Akak boleh tolong tengokkan dia tak?” aku bertanya.

“Kenapa? Kau dah ambil tekanan darah dia ke? Akak baru je tengok dia lima belas minit tadi,” kata Kak Zariha.

“Saya rasa macam .. hmmm…,” kataku tak berani nak kata ayat dah meninggal dunia tu.

“Kenapa?” Kak Zariha bertanya sambil pandang muka aku. Aku tak jawab.

Kak Zariha terus bergegas ke bilik Sri Mawar. Tolak pintu dan terus masuk ke dalam. Masa pintu ditolak, aku nampak kelibat satu bayangan keluar dari bilik tu. Tapi tak jelas. Bayangan seseorang. Tapi macam terbang pun ada. Meremang bulu roma aku. Ini kali pertama aku berdepan dengan pengalaman macam ni.

“Intan, panggil Doktor Zafran cepat.” Kak Zariha menjerit dari pintu bilik Sri Mawar. Aku anggukkan kepala. Aku tercari-cari Kak Amira, takde dia di situ. Mungkin sedang memeriksa pesakit kat wad biasa.

Aku angkat telefon dan terus mendail nombor Doktor Zafran.

“Doktor, boleh datang ke Bilik Sri Mawar, Tingkat 6B,” kataku sebaik sahaja panggilanku berjawab. Aku cuma dengan Doktor Zafran jawab “ok” dan terus dia letak telefon. Aku pula yang masih pegang gagang telefon.

“Kau dah kenapa Intan?” tiba-tiba Kak Amira mengejutkan aku. Aku terus letak gagang telefon.

“Mana Zariha?” Kak Amira bertanya.

“Kat Bilik Sri Mawar,” kataku. Kak Amira diam dan meletakkan fail ke atas meja.

“Kak, kalau orang dah meninggal dunia, dia masih boleh pandang kita ke?” aku bertanya.

Kak Amira pandang aku. “Kalau dah meninggal dunia, macammana dia nak tengok kita?” tanyanya semula. Aku diam.

“Kenapa kau tanya?” Kak Amira tanya aku balik. Aku gelengkan kepala, tak berani nak cakap apa-apa.

Lima minit kemudian, Doktor Zafran sampai ke wad kami dan aku terus membawanya ke bilik Sri Mawar. Kak Zariha masih berdiri di sana, di tepi katil Pakcik Zakaria. Aku pandang Pakcik Zakaria, elok je mata dia pejam dan tenang, macam sedang tidur. Tak macam masa aku tengok dia tadi.

“Doktor, tiada tindakbalas fizikal, tiada nadi, tiada degupan jantung,” kata Kak Zariha.

Doktor Zafran merapati Pakcik Zakaria, memegang pergelangan tangannya. Mendengar degupan jantung. Lepas tu tengok jam tangannya.

“12.05 am” kata Doktor Zafran. “Boleh isytihar dah ye doktor?” kata Kak Amira. Doktor Zafran menganggukkan kepala.

“Ada waris menunggu ke?” Doktor Zafran bertanya lagi.

“Saya tak pasti. Rasanya takde. Tapi kita ada nombor telefon warisnya,” kata Kak Zariha sambil tangannya lincah mencabut wayar yang berada di tubuh Pakcik Zakaria.

Doktor Zafran melangkah keluar dari bilik. Aku berdiri kaku kat tepi katil Pakcik Zakaria. Aku pandang Pakcik Zakaria.

“Yang kau tenung pakcik tu dah kenapa Intan? Kang dia celik mata tengok kau kang, nak? Meh sini tolong akak,” kata Kak Zariha.

“Kak, tadi kan, masa saya datang sini, memang pakcik ni pandang saya. Saya pegang tangannya, dah sejuk, takde nadi. Tapi dia memang pandang saya, matanya besar, mulutnya terbuka sikit,” kataku separuh berbisik semasa aku berdiri kat tepi Kak Zariha.

“Dah, kau tak payah nak buat cerita kat sini sekarang ni, dalam waktu macam ni. Cepat, siapkan jenazah ni. Akak nak pergi telefon warisnya,” kata Kak Zariha sambil melangkah nak tinggalkan aku.

“Eh eh kak. Jangan tinggal saya sendiri kat sini,” kataku.

“Akak dah cabut wayar semua. Kau susun elok-elok ikut mesinnya. Lepas tu bawa ke bilik simpnan,” kata Kak Zariha sambil menutup keseluruhan tubuh Pakcik Zakaria.

Aku terpaksa akur. Kak Zariha tutup tirai, tinggal aku dengan jenazah Pakcik Zakaria je. Sesekali selimut yang menyelimut jenazah terselak ditiup angin dari kipas siling. Aku tutup semula.

Cepat-cepat aku siapkan mesin. Masa ni la aku dengar bunyi tapak kaki, dan aku dengar bunyi roda tiang besi yang digunakan untuk menyangkut botol air drip. Ah, Sudah! Masa tu aku sedang membelakangkan Pakcik Zakaria. Aku dah rasa lain macam. Siapa pula tu. Aku mendiamkan diri, memerhati sekeliling, hanya tirai putih aku dan jenazah kat situ. Meremang bulu roma aku, bila aku dengar bunyi nafas seseorang. Terbayang-bayang aku akan jenazah bangun berdiri belakang aku.

Sedang aku rasa macam nak pitam tu, aku dengar tirai ditarik perlahan-lahan. Aku dah berpeluh-peluh, tak tahulah nak buat apa. Punyalah takut sampai tak mampu nak pitam!

“Misi, macammana dengan dia ni?” tiba-tiba aku dengar suara. Aku menoleh, nampak kepala je di celah tirai yang terbuka sikit, Pakcik Osman dari katil sebelah. Fuh! Baru datang balik semangat aku bila nampak Pakcik Osman.

“Pakcik tak tidur lagi ke? Saya ingat siapalah tadi,” kataku cuba mengawal panik aku supaya tak dihidu dek Pakcik Osman.

“Macammana keadaan dia ni? Kenapa buka semua wayar?” Pakcik Osman bertanya lagi tanpa jawab soalan aku.

“Pakcik Zakaria dah takde, pakcik. Doktor dah isytihar meninggal dunia pukul 12 tadi,” kataku.

“Innalillahi wainna lillahi rojiun. Allah sayangkan dia. Memang dia dah sakit sangat.” Kata Pakcik Osman. Aku diam je.

“Tapi kan, pakcik macam nampak dia berdiri kat tepi tirai ni tadi. Sebab tu pakcik bangun dan datang sini. Kalau dia dah meninggal dunia, macammana pula dia boleh berdiri kat situ tadi?” kata Pakcik Osman. Aku kaget semula, pandang Pakcik Osman dengan mata yang besar tanpa sebarang kata.

“Takpelah, pakcik taknak ganggu kerja kamu. Pakcik balik ke katil pakcik ye,” kata Pakcik Osman bila melihat aku memandangnya begitu. Aku pula terus selak tirai dan melangkah keluar dari bilik Sri Mawar sambil menolak mesin terus ke bilik simpanan.

Lepas selesai, aku terus duduk kat sebelah Kak Amira. “Siapa tunggu jenazah?” Kak Amira bertanya.

“Takde siapa. Kena tunggu ke kak?” tanyaku lagi.

“Tunggulah sampai waris dia sampai. Tak elok kita tinggal jenazah sendirian,” kata Kak Amira.

“Saya takutlah kak.” Kataku terus terang.

“Pengalaman pertama kan, memang la takut. Semua orang pun macam tu. Tapi kena biasakanlah. Bukan satu atau dua kematian yang kita nak tengok kat hospital ni, banyak lagi. Kalau asyik takut je, bila nak belajar?” kata Kak Amira.

“Tapi yang saya rasa cuak tu, kenapa tadi jenazah tu pandang saya?” kataku.

“Dia tak pandang kamu la Intan. Mungkin itu masa kematiannya. Dan ketika nyawa ditarik dari tubuh, tubuhnya mungkin bergerak. Jika dia dah mati sebelum kamu sampai, mungkin gas dalam badannya yang membuatkannya bergerak. Banyak penjelasan mengenai hal macam ni. Sebab tu kamu kena belajar lagi. Kalau asyik takut je, fikiran memang fikir yang negatif je. Sudahnya sampai bila pun tak belajar,” kata Kak Amira panjang lebar.

“Tapi Pakcik Osman katil sebelah tu kata, dia nampak Pakcik Zakaria berdiri kat tepi katilnya. Tu macammana pulak?” tanyaku tak puas hati.

“Pakcik Osman tu kamu nak percaya? Tolonglah Intan oi. Pakcik Osman tu ada alzheimer. Anak sendiri pun dia lupa, entah siapa kat tingkap dikatanya isteri dia padahal isteri dia dah arwah sepuluh tahun lepas,” kata Kak Amira sambil tersenyum.

Aku diam. Ada benarnya penjelasan Kak Amira. Ok, aku cuba berfikir positif. Aku taknak fikir lagi. Esok pula aku fikir. Tapi buat masa ni, aku taknak masuk bilik Sri Mawar. Nak taknak, Kak Amira yang pergi menunggu di bilik Sri Mawar sementara menanti staff membawa jenazah ke tempat sepatutnya.

-Bersambung-

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s