DIA KAWAN AKU

Bab 1

Aku Intan. Aku seorang jururawat. Bukannya lama, baru je dalam enam bulan ni. Aku bekerja kat sebuah hospital kerajaan bahagian doktor pakar kat Ipoh. Aku dan lima lagi kawan aku menyewa kat sebuah rumah teres dua tingkat dekat-dekat dengan hospital tu supaya kami senang berulang alik. Kebetulan kat bahagian aku tu, kami berenam adalah jururawat yang masih bujang. Masa kerja kami tak menentu. Memang la ikut shif tapi kadang tu shif terlajak juga. Tengok pada keadaan dan jumlah pesakit.

Rumah yang kami tinggal tu, ada tiga bilik. Satu bilik kat tingkat bawah dan dua lagi bilik kat tingkat atas. Dua orang berkongsi satu bilik. Aku berkongsi dengan Liyana kat tingkat atas. Nurul berkongsi dengan Efa kat tingkat tingkat atas juga. Manakala Aisyah berkongsi bilik dengan Erni kat tingkat bawah. Shif kami semua tak sama. Hari cuti pun tak sama. Jadi, walaupun kami tinggal serumah, kami jarang bertembung. Kalau nak bertembung pun, kat hospital, waktu pertukaran shif.

Dulu susah juga aku nak sesuaikan diri dengan lima lagi kawan aku tu. Maklumlah, aku seorang je dari Pahang, Erni dari Kedah, Aisyah dari Johor, Efa dari Kelantan dan Liyana dari Selangor. Nurul je yang memang orang Ipoh. Walaupun Nurul ni orang Ipoh, tapi dia tetap nak menyewa bersama kami. Katanya rumah dia jauh dari hospital, lepas tu kat rumah dia ada ramai adik beradik lain, yang dah berkahwin pun ada yang masih tinggal kat rumah mak dia. Rumah sewa kami tu pun masih ada kekosongan lagi seorang, jadi dia pun ikut sekali dengan kami. Takdelah jauh nak ke hospital. Staff hospital yang lain kebanyakannya dah berkahwin dan tinggal bersama keluarga masing-masing.

Alhamdulillah, semua kawan serumah aku agak ramah dan mudah mesra. Maklumlah masing-masing bawa diri kat tempat baru. Tapi Efa dan Nurul dah menetap dan bekerja kat situ lebih lama dari aku dan yang lain. Mereka dah setahun bekerja kat hospital tu sebelum aku datang. Kiranya mereka tu senior aku la. Tapi umur kami tak banyak beza. Ada yang sebaya, ada yang tua setahun dua je.

Aku sebenarnya tak minat jadi jururawat. Entahlah. Aku takut tengok darah. Aku takut tengok orang luka-luka ni. Aku tengok kaki mak aku berdarah digigit pacat pun, aku boleh pitam. Masa kat sekolah, aku belajar aliran sains. Selalulah ada eksperimen belah katak, tikus bagai. Aku pitam dalam makmal sains weh. Mula-mula cikgu ingat aku main-main je, tapi sekali aku terlentang kat tepi makmal, kalut cikgu tu sedarkan aku. Aku bukannya pengsan, aku cuma pitam.

Lepas tu, setiap kali ada eksperimen yang melibatkan darah, cikgu tu masuk je kelas, dia dah panggil nama aku. “Intan! Awak duduk kat tepi,” hahaha, kawan-kawan aku pandang aku tak puas hati je. Markah, dapat kongsi ikut kumpulan, tapi aku boleh duduk enjoy kat tepi meja guru, tak payah buat apa-apa. Bukan aku taknak, aku tak mampu.

Tapi lepas tu, padan muka aku, aku jadi jururawat juga. Itulah kalau rezeki aku kat situ kan. Lepas STPM, aku mohon banyak universiti, termasuk kolej kejururawatan juga. Biasalah, semua studen lepasan SPM atau STPM, akan mohon semua university yang ada, yang dia layak. Nanti senang la pilih nak yang mana. Kononnya.

Aku dapat tiga panggilan. Semuanya bidang perubatan. Makmal, jururawat dan ubat-ubatan. Pilih punya pilih punya pilih, ayah aku suruh aku ambil jururawat. Ah sudah. Aku tak setuju tapi ayah aku kata, “takde orang mati tengok darah aih”. Di back-up dek mak aku, “sampai bila kamu nak takut tengok darah? Belajarlah. Nanti dah biasa, In Shaa Allah, ok,”. Dan seterusnya abang aku kata, “ Jururawat kalau dah kerja nanti, nak pula swasta Malaysia ataupun luar negara, gaji lumayan,”.

“Intan takut mak, nanti nak kena tengok orang mati,” kataku cuba bagi alasan yang lebih kukuh. Sebab mak aku tahu aku ni jenis lemah semangat. Masa aku kecil, ayah aku bawa aku lalu kat kawasan kubur. Balik rumah aku terus demam. Tiga hari kot aku demam sampai kena berubat kampung la. Lepas tu mak aku kata jangan bawa aku lalu kawasan kubur lagi.

Bila dengar aku kata takut tengok orang mati, ayah aku terus bidas, “tak pernah lagi ayah dengar orang mati jadi hantu dan lepas tu cekik jururawat atau doktor kat hospital tu sampai mati”. Aku memang diam kalau ayah aku dah menyampuk.

Abang aku si batu api tu pula menyampuk, “Sebenarnya kau takut kan? Nanti nak tengok darah, nak tengok orang mati. Haritu kau kata kau bukan penakut. Sekarang kau dah jadi penakut?” Abang aku tu kalau bab memprovokasi aku, dia memang cekap.

“Mana ada orang penakut. Orang cuma tak biasa. Orang kan tak boleh tengok darah, nanti orang pitam kat dalam hospital masa ada orang sakit, ha, macammana? Kang orang lain yang sakit, tapi orang pula yang kena baring kat atas katil pesakit.” Kataku masih mempertahankan pendapat aku. Aku memang suka membahasakan diri aku sebagai ‘orang’ bila bercakap dengan abang aku.

“Itu dulu. Mana tahu sekarang dah ok.” Kata ayah.

“Yang paling penting, kolej kejururawatan tu paling dekat dengan mak. Kamu tak pernah berpisah dengan mak dan ayah. Nanti apa-apa hal, kami dekat. Mak pun boleh jenguk kamu kat sana. Mak takut mak rindu kat kamu. Kat rumah ni bukannya ramai. Kamu, abang kamu, dan adik kamu. Lepas kamu pergi, tinggalah mak ayah dan adik kamu je. Abang kamu pun dah duduk jauh,” kata mak dengan nada lembut, memujuk.

Aku memang tak boleh la dengan mak aku. Dia punya kuasa memujuk dengan mimik muka, kerlipan mata, aku tak boleh lawan. Macammana jiwa aku menolak, tapi dengan mak aku, tak boleh. Aku sayang mak aku. Sayang sangat sampai tak mampu nak berdalih dengan apa saja untuk menolak permintaannya.

Dan dengan itulah, maka aku dah jadi jururawat sekarang ni. Aku tinggal kat Ipoh sekarang, takde pula mak aku merengek kata jauh. Elok je dia bersyukur Alhamdulillah, siap buat kenduri kesyukuran lagi masa aku dapat kerja kat Ipoh ni. Pandai mak aku manipulasi minda aku. Tapi aku tahu, semuanya demi kepentingan masa depan aku.

Betullah cakap ayah aku dulu, mula-mula memang tak biasa. Berapa kali aku pitam muntah tengok darah. Berapa kali aku cucuk tangan kawan aku masa diajar untuk ambil darah. Naik biru tangan kawan aku. Masa tu aku memang cuak. Rasa macam dah bunuh orang.

Mujurlah pensyarah-pensyarah kami baik belaka. Senyum je mereka melihat aku terketar-ketar. Mereka kata “Andaikan satu haritu insan kesayangan kamu sakit dan kamu perlu untuk menjaga mereka, bukankah kepandaian dalam bidang perubatan itu akan memberi jalan mudah kepada kamu untuk berbakti kepada mereka? Kamu lihat orang lain mengambil darah ibu kamu, apa perasaannya jika kamu sendiri mampu mengambil darah ibu kamu? Tak semua orang mampu. Tapi saya yakin kamu mampu. Kamu Cuma perlu buang perasaan takut dari diri kamu, selainnya kamu ok. Sayang je, kamu seorang bakal jururawat yang bagus, kamu punya akal yang cerdas tapi kamu penakut. Cuba, kuatkan semangat. Hanya insan terpilih saja yang mampu menjadi jururawat.” Kata Puan Solehah yang mengajar aku pada masa tu.

Satu hari tu, masa bercuti kat rumah mak. Mak aku pengsan kat ruang tamu. Masa tu aku dengan mak aku je yang berada kat rumah. Ayah aku keluar ke kebun. Kalau dulu sebelum aku masuk bidang jururawat ni, aku mesti panik dah. Silap haribulan, dengan aku berjemaah pengsan sekali. Tapi kali ni aku tak pengsan. Aku tak panik. Aku angkat mak aku. Baringkan kat sofa. Tenangkan mak aku, panggil nama mak aku perlahan-lahan. Bila mak aku buka mata, aku bagi mak aku minum air kosong. Aku tenang. Dan sejak itulah, aku rasa aku tak salah pilih bidang ini. Dan aku rasa sebenarnya aku mampu, cuma aku belum berada di suasana terdesak. Jadi aku terus mengikut perasaan takut aku. Setiap perkara yang kita nak lakukan, kita perlu berada di suasana tiada siapa yang kita boleh harapkan, kerana pada masa itu, kita akan terpaksa menjadi seseorang yang boleh diharapkan.

Panjang pula muqaddimah aku kan. Sebab aku nak korang faham, macammana aku boleh jadi jururawat. Aku nak korang tahu, aku sayang mak aku. Apa yang mak aku cakap, itulah keputusan terbaik buat aku, walaupun mak aku cuma manipulasi pemikiran aku je. Mak bijak, anak mestilah cerdik kan.

Okay, kita kembali ke kisah aku dengan kawan-kawan rumah sewa kami. Kisah ni menarik sebenarnya. Orang terakhir yang masuk ke dalam rumah kami tu ialah Efa. Orang Kelantan. Orangnya cantik, putih manis, lembut je tuturkata, senyum tak lekang dari bibir. Dia masuk lepas tiga bulan aku masuk ke rumah ni.

Efa ni ada satu anugerah, walaupun aku tak anggap anugerahnya sebagai satu kelebihan. Aku anggap ia sebagai anugerah yang perlu ditolak. Hijabnya terbuka, dia mampu melihat makhluk dari alam lain. Mula-mula kami tak tahu. Dia pun tak pernah cerita kat kami.

Sampailah satu malam tu, lepas seminggu dia tinggal dengan kami. Perkara tu pun terjadi kat hospital, masa tu kami sedang bertukar shif. Shif Efa dah tamat pukul 6 petang, shif aku pula start sampai pagi esok. Efa bisik kat aku, katanya pakcik kat katil nombor 23 kelas pertama dah takde. Aku ingat dia kata takde tu maknanya dia dah discaj keluar. Mulanya aku peliklah juga, sebab semalam masa aku tengok laporan doktor, pakcik tu takdelah sihat sepenuhnya lagi sampai doktor boleh discaj dia. Mungkin ahli keluarga minta keluar atas risiko sendiri. Aku angguk je la, sebab masa tu tak sesuai untuk kami bercerita panjang lebar.

Shif malam, terutama lepas pukul 10 malam, memang tak ramai jururawat. Aku dan dua orang lagi senior aku je yang jaga wad malam tu. Kak Zariha dan Kak Amira bersama aku untuk shif malam tu. Dari shif bermula tadi, aku macam biasalah, sibuk dengan kerja-kerja pentadbiran, fail, rekod, kertas kerja semua. Sampai maghrib, rehat solat kejap. Lepas maghrib, Kak Amira buat check-up, pusing satu wad. Aku cuma tolong tukarkan botol air drip untuk pesakit.

Pukul 10, lampu wad dipadam. Kami bertiga duduk kat meja jururawat, kat bahagian tengah antara wad kelas biasa dengan wad kelas pertama. Biasalah sambil buat kerja tu kami sembang-sembang juga. Kalau tak, mahu terlena kami kat situ. Lebih kurang pukul 11.30 malam, Kak Zariha suruh aku pergi tengok pesakit kat kelas pertama. Aku pun akur.

Aku masuk ke wad kelas pertama, yang aku tak lawat sejak masuk shif petang tadi. Aku cuma lawat wad biasa. Sebab wad kelas pertama ni, kalau mereka nak apa-apa, ada butang bantuan untuk mereka tekan dan kami akan datang segera. Dan wad kelas pertama ni ada 2 orang duduk dalam satu bilik. Jadi, jika ada apa-apa masalah, pesakit katil sebelah masih boleh maklumkan atau panggil jururawat.

Masa aku masuk bilik Sri Mawar, aku ada terbau wangi. Aku pun tak pasti bau tu datang dari mana. Tapi memang selalu macam-macam bau kat dalam wad tu. Kadang wangi, kadang busuk, kami dah biasa sangat dah. Mungkin di bawa angin melalui tingkap yang tak rapat.

Kat dalam wad Sri Mawar tu, ada dua pesakit. Kat tepi tingkap Pakcik Osman berusia 67 tahun, sakit kencing manis. Kakinya dah kena potong. Kat sebelah dia Pakcik Zakaria, berusia 80 tahun, macam-macam sakit. Asma, kencing manis, darah tinggi, gout.

Aku terus ke katil Pakcik Osman. Aku selak tirai. Aku tengok Pakcik Osman sedang lena. Aku tukarkan botol air drip. Aku periksa nadi dan tekanan darah. Semua ok. Lepas tu aku pergi ke katil Pakcik Zakaria. Pakcik Zakaria sedang baring, tapi matanya terbuka. “Pakcik tak tidur lagi?” aku bertanya ramah sambil membetulkan tali mesin memeriksa tekanan darah. Pakcik tu tak jawab. Aku merapati Pakcik Zakaria. Matanya masih terbuka luas memandang ke siling.

-Bersambung-

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s