PENGHUNI TINGKAT 3

Bab 8 (AKHIR)

“Abang tak keluar. Tapi dia tembus masuk ke dalam rumah kita!” kata Sufian dengan wajah yang betul-betul takut. Tak pernah aku lihat dia berwajah macam tu. Selalunya dia nampak tenang je.

“Hah! Dia tembus masuk rumah kita?” aku pula yang melompat terkejut. Sufian anggukkan kepala sambil menyapu mukanya dengan tangan dan melepaskan satu keluhan berat.

“Apa benda tu? Hantu? Wujud ke hantu?” aku tanya, aku pun cuak sama. Aku pandang keliling, mana tahu ada yang bersembunyi dan memerhati.

“Dia tembus masuk dan pandang abang yang sedang berdiri kat tepi tingkap.” Kata Sufian. Walaupun aku rasa kesian tapi aku ada rasa lega sedikit sebab sekurang-kurangnya Sufian tahu apa yang aku rasa.

“Lepas tu?” aku tanya lagi.

“Abang dah kaku kat situ la. Nak buat apa lagi? Dah terang-terang la dia bukan manusia. Dia pandang abang, tengok dari atas ke bawah, bawah ke atas. Fuh! Meremang bulu roma. Bila tengok abang tak bergerak ke apa ke entah, dia berjalan ke bilik. Macam nak masuk bilik. Masa ni abang dapat kekuatan sikit, sebab takut dia kacau anak-anak. Abang ingat nak baca Al Fatihah dan ayat kursi. Dia macam terkejut, dia pandang abang dan bergerak ke arah abang macam sangat marah. Abang buka pintu dan lari keluar. Dia ikut. Tapi gerakannya perlahan. Dia seperti nak beritahu sesuatu. Tapi tak tahu apa dia,” kata Sufian panjang lebar. Ternganga aku mendengarnya.

“Abang lari sampai hujung sana tapi dia tak ikut. Dia pandang abang dan tembus ke pintu rumah india sebelah ni. Lepas tu hilang terus. Dan bila abang masuk rumah, terkejut dengan awak pula yang berdiri kat dapur macam nampak hantu,” kata Sufian.

“Ada perempuan kat dapur tadi, pasang paip tu. Dia sedang berjalan ke arah saya sebelum abang tiba-tiba tegur saya. Lepas tu dia hilang macam tu je. Siapa mereka ni bang? Apa misteri flat ni sebenarnya?” aku bertanya bagai melepaskan keluhan.

“Tak tahulah.” Sahut Sufian.

“Tapi bang, benda-benda tu memang kita kejap nampak kejap tak, tapi bau busuk ni makin kuat. Perasan tak? Sebenarnya dari semalam ada bau ni tapi tak kuat, Cuma sekarang makin kuat. Benda tu makin dekat dengan kita kot,” kataku meneka.

“Takkan kot,” kata Sufian lagi, cuba menenangkan hati aku walaupun hatinya sendiri sedang kacau.

Tiba-tiba aku dengar Ain menangis. Disertai dengan suara Faiz memanggil-manggil aku dengan nada yang menggigil. Aku dan Sufian bergegas berlari masuk ke bilik. Faiz dah berdiri kat muka pintu sambil meraung. Ain pun sama tapi masih di atas katil.

Aku dapatkan Ain dan Sufian memeluk Faiz. “Kenapa ni?” Sufian bertanya.

“Ada hantu,” kata Faiz,

“Kat mana?” Sufian bertanya.

“Kat tepi almari,” sahut Faiz dengan suara terketar-ketar dan matanya memandang ke arah almari baju kat bucu bilik tu.

Sufian menutup mata Faiz dengan tangannya. “Dah, jangan tengok. Jom kita keluar. Lina, angkat Ain tu bawa keluar,” kata Sufian menyuruh aku keluar dari bilik.

Aku akur. Walaupun kaki dah rasa tak jejak ke lantai, aku gagahkan juga melangkah sambil mendukung Ain yang sedang menangis sampai terbeliak biji mata.

Kat ruang tamu, aku masukkan Ain ke dalam buaiannya. Faiz dibaringkan di atas sofa oleh Sufian.

“Nak buat apa ni bang?” aku bertanya.

“Kita tunggu kat sini sampai subuh. Nanti dah subuh abang pergi cari Ustaz Ali dan Ustaz Hashim,” kata Sufian.

“Lambat lagi subuh bang. Sekarang baru pukul 2 pagi.” Kataku. Di waktu macam ni, seminit pun aku rasa macam sejam.

Sufian tak jawab.

Suasana sunyi seketika. Mata aku mengantuk tapi aku tak boleh tidur. Sedang kami masing-masing duduk termenung tu, tiba-tiba pintu diketuk bertalu-talu. Aku dan Sufian berpandangan sesama sendiri. Sufian bangun.

“Abang jangan buka pintu tu,” tegas aku bersuara.

“Kalau benda tu lagi, tak buka pun dia boleh tembus,” kata Sufian. Dan aku diam.

Bunyi ketukan tu tak lama. Lepas bunyi ketukan berhenti, kami dengar bunyi air paip berpasang. Lepas berhenti bunyi air paip, pintu bilik pula terbuka dan tertutup dengan sendiri. Aku dan Sufian dah macam hilang akal kat ruang tamu.

“Abang, tak boleh biar ni. Saya nak keluar dari rumah ni sekarang. Kita terus pergi rumah mak,” kataku.

“Eh, nanti la. Kalau kita pergi ke rumah mak waktu macam ni, mesti mak risau sangat. Takut darah tinggi mak naik balik nanti.” Kata Sufian memujuk aku.

“Habis tu, abang nak duduk kat dalam rumah dalam keadaan ni? Sampai subuh? Entah apa lagi yang akan jadi,” kataku takut bercampur geram.

“Abang perhatikan, benda ni tak kacau kita. Dia Cuma nak perhatian kita,” kata Sufian.

“Perhatian untuk apa?” kataku.

“Itu yang abang sedang fikir,” kata Sufian lagi.

“Tak payah fikir dah la bang. Kesian kat anak-anak kita ni. Entah apa yang mereka nampak sampai menangis muka pucat lesi macam tu.” kataku masih nak keluar dari rumah ni.

“Lina, kalau kita keluar sekarang, kita perlu melalui tingkat 3. Memang kita tak nampak penghuni kat tingkat 3 tu, tapi kita dah tahu apa kat dalam tu. Kan Ustaz Hashim beritahu, di alam mereka, keadaan terbalik dengan kita. Malam kita adalah siang mereka. Nak lalu situ malam macam ni?” kata-kata Sufian membuatkan aku terdiam.

Betul juga. Jangan nanti, nak lari dari benda kat atas ni, terserempak pula dengan penghuni tingkat 3.

“Kita duduk diam je kat dalam rumah ni. In Shaa Allah, pagi esok kita selesaikan semua,” kata Sufian.

“Abang, pagi esok kita balik ke rumah mak. Saya taknak duduk kat rumah ni lagi,” kataku seakan dah putus asa.

Belum sempat Sufian menyahut, rumah gelap. Takde elektrik. Lagi la aku menggeletar.

Sufian bangun mendapatkan lampu suluhnya. “Kita ada bawa lilin ke?” Sufian bertanya.

“Mana ada.” Sahutku dalam gelap.

Sufian melangkah ke tempat suis utama. Aku memegang tangan Faiz dengan tangan kanan aku dan menghayun buaian ain dengan tangan kiri.

Seketika kemudian, aku terasa seperti buaian Ain dihenjut sedangkan aku tak menghenjutnya. Aku angkat tangan dari buaian Ain. Buaian Ain berhenjut sendiri. Dah la gelap, buaian berhenjut sendiri pula.

“Abang,” aku panggil Sufian yang aku nampak masih kat papan utama suis dengan lampu suluhnya.

Sufian tak menyahut. Dalam cuak tu, aku terasa ada sesuatu yang bergerak kat bahu aku. Dalam tak sedar aku bangun dan menjerit. Sufian pandang aku. “Kenapa?” tanyanya.

“Ada benda bergerak kat bahu saya. Macam tangan orang pun ada,” kataku dah hampir nak menangis.

Seketika kemudian, aku dengar bunyi seseorang berjalan dengan menyeret kaki, betul-betul dari dalam bilik ke ruang tamu tempat kami sedang bergelap. Sufian merapati aku. Duduk kat sebelah aku. Dia tutup lampu suluh.

“Itu bunyi tapak kaki lelaki yang kita nampak tu kan. Dia kat dalam rumah ni kot,” kataku berbisik. Sufian tak jawab.

Aku dengar bunyi dengusan nafas ditarik dan dihembus sahaja. Dan di masa jantung aku sedang berdegup laju, tiba-tiba pintu diketuk perlahan.

“Siapa kamu? Jangan ganggu kami. Kami tak ganggu kamu!” Sufian macam dah hilang sabar, menjerit dalam gelap tu.

Bunyi ketukan masih berbunyi. Sufian melangkah ke pintu dan terus membukanya. Sebaik pintu terbuka, dengan bantuan cahaya spotlight kawasan flat tu, aku nampak Ustaz Hashim berdiri.

“Eh, Ustaz. Macammana ustaz boleh berada di sini?” kata Sufian.

“Saya lalu kat bawah tadi, baru balik ceramah. Saya nampak macam ada yang mengganggu kat sini,” kata Ustaz Hashim.

“Iye Ustaz. Memang ada yang mengganggu. Tak tahulah apa dia. Tolonglah kami ustaz,” kata Sufian.

“Tak mengapa. Benda tu cuma tumpang lalu. Kamu ambillah Al Quran dan baca. Pagi esok In Shaa Allah semua akan selesai,” kata Ustaz Hashim sambil menepuk daun pintu rumah kami dan tak semena-mena lampu menyala semula.

Aku dan Sufian berpandangan sesama sendiri. Rasa cuak pula tengok Ustaz Hashim ni. Ceramah apa pukul 2 pagi macam ni. Dan tepuk pintu pun lampu boleh menyala. Tak pelik ke?

“Dah, kamu rehatlah. Tutup pintu ni, saya balik dulu,” kata Ustaz Hashim.

“Rumah Ustaz kat tingkat berapa?” Sufian bertanya.

“Tingkat 3,” Ustaz Hashim menyahut sambil berlalu pergi. Sufian terus menutup pintu rapat dan menguncinya.

“Bukankah tingkat 3 tu …,”  tak sempat aku habiskan cakap, Sufian buat isyarat diam. Aku pun diam.

Lepas Ustaz Hashim pergi, Sufian ambil wudhu dan buat solat sunat 2 rakaat mohon petunjuk dari Yang Esa. Mohon kami dilindungi dari sebarang kejahatan. Lepas tu dia duduk membaca Al Quran. Sebab keadaan dah tenang sikit, aku terlena kat sebelah Faiz dengan tangan masih menghayun buaian Ain.

Aku sedar bila terdengar bunyi azan berkumandang menandakan dah subuh. Walaupun kepala aku masih sakit, tapi aku bangun juga. Sufian tiada kat tempatnya macam semalam. Aku bangun ke dapur dan dengar bunyi air kat bilik air menandakan Sufian sedang mandi. Bau bangkai makin kuat, sampai aku rasa nak termuntah. Aku terpaksa tutup hidung aku.

Lepas solat subuh, Sufian kata dia nak pergi jumpa Ustaz Ali. Aku suruh dia tunggu hari cerah sikit.

Pukul 8 pagi, Sufian buka pintu nak keluar. Masa ni dia pun tutup hidung, dah tak tahan bau busuk sekali, “Bau apa ni bang?” aku bertanya.

“Takkan hantu semalam masih ada di siang hari ni?” kataku.

Sufian keluar dari rumah. Aku lihat dia seperti mencari arah datangnya bau itu. Dan dia berhenti di pintu rumah sebelah. Dia pandang aku yang menjenguk dari pintu rumah aku. Dia tunjukkan ke arah rumah sebelah. Aku tanya kenapa? Dia kata bau tu datang dari rumah sebelah.

“Abang jangan pandai-pandai. Pergilah panggil pihak maintenance. Biar mereka yang siasat,” kataku.

Sufian akur. Dia turun ke pejabat maintenance. Dua orang kakitangan maintenance datang ke rumah sebelah. Mereka membuka pintu dan bau makin kuat.

Masing-masing buat muka terkejut. Aku nak jenguk tapi Sufian menghalang. Dia suruh aku masuk ke dalam rumah dan tutup pintu. Nak taknak, aku terpaksa akur.

Tak lama lepas tu, aku dengar bunyi siren polis kat bahagian bawah flat tu. Aku jenguk. Beberapa orang polis naik ke tingkat 4 dan pergi ke sebelah rumah. Aku hanya menjenguk dari tingkap, tak tahu apa terjadi hinggalah Sufian masuk ke dalam rumah.

“Kenapa bang?” aku bertanya.

“Ada dua mayat kat rumah sebelah. Satu mayat lelaki india tergantung, satu mayat perempuan terbaring kat bawah. Kemungkinan kedua-duanya bunuh diri,” kata Sufian buatkan aku ternganga lagi.

“Bila mereka bunuh diri?” aku bertanya.

“Entahlah. Mungkin sebelum kita pindah ke sini,” kata Sufian.

“Maknanya, yang ganggu kita dua malam ni, mereka?” aku terus bertanya.

“Wallahu alam. Mungkin mereka nak bagitahu tentang kematian mereka,” kata Sufian.

“Kita nak buat apa sekarang?” aku bertanya.

“Siapkan anak-anak. Kemas beg, bawa pakaian untuk dua tiga hari. Kita balik ke rumah mak hingga kes ni selesai.” Kata Sufian. Dan aku lega, memang itu yang aku nak.

Cepat-cepat aku siapkan anak dan beg. Kalau boleh aku taknak datang rumah ni lagi. Tingkat 3 ada jin, sebelah rumah ada orang bunuh diri. Takkan nak tinggal kat situ lagi.

Sufian kunci pintu dan kami bergerak menuruni tangga. Tapi sebelum aku turun tangga, dari beranda rumah aku, aku nampak seseorang berdiri di kaki lima tingkat 3. Aku pandang. Wajahku berubah. Orang itu memandang aku.

“Kenapa?” Sufian bertanya bila dia melihat aku masih termenung kat kaki lima.

Aku tunjukkan orang yang aku nampak tu. Sufian memandang dan wajahnya turut berubah.

“Dah la, jom kita pergi ke rumah mak,” kata Sufian yang sedang mendukung Faiz sambil menarik tangan aku. Aku menurut. Tiada kata-kata yang keluar.

Hanya satu soalan yang mampu aku tanya kepada Sufian untuk dapatkan kepastian.

“Itu Ustaz Hashim kan?”

Dan Sufian menjawab, “Tak sangka Ustaz Hashim adalah salah seorang penghuni tingkat 3 tu,”.

Patutlah Ustaz Hashim tersasul berkata ‘Kami’ haritu. “Kami ingat janji Kami” bermakna dia adalah salah seorang penghuni tingkat 3. Ustaz Ali mungkin tahu siapa Ustaz Hashim. Kami saja yang tak perasan.

Dan sejak itu, aku tak balik ke rumah flat itu lagi. Sampai sekarang aku masih tinggal dengan mak mertua aku tanpa ragu.

– T A M A T –

One thought on “PENGHUNI TINGKAT 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s