PENGHUNI TINGKAT 3

Bab 7

“Saya rasa ada satu semangat kurang elok dekat-dekat sini. Tapi saya tak dapat pastikan apa dia. Macam ni, saya cuba tengokkan. Nanti saya beritahu,” kata Ustaz Hashim.

“Saya nak tanya sikit pasal penghuni kat tingkat 3. Haritu saya nampak beberapa orang berdiri kat balkoni. Rupa mereka agak lain sikit. Itukah jin?” aku bertanya. Sufian pandang aku, terkejut kot sebab aku tanya macam tu.

Ustaz Hashim senyum.

“Maknanya terbuka hijab antara kamu dengan alam satu lagi.” Kata Ustaz Hashim.

“Maksud Ustaz?” tanyaku lagi.

“Ada hijab di antara alam manusia dan alam mereka. Kelebihan mereka ialah mereka nampak kita. Kelebihan manusia biasa ni ialah manusia ini lebih tinggi darjatnya dari jin. Saya tak tahu apa yang kamu nampak. Tak semestinya yang kamu nampak itu adalah perkara yang benar, ianya mungkin telah diperdaya oleh syaitan. Jin hidup beribu tahun, sebab tu rupanya dah pelbagai. Tak perlulah kita ambil tahu. Cukuplah kita tahu bahawa semua yang berada di bumi ini adalah milik Allah.” Kata Ustaz Hashim menerangkan.

“Ustaz Hashim pernah nampak mereka?” aku bertanya lagi. Ustaz Hashim pandang Ustaz Ali, lalu tersenyum. Sufian pula pandang aku, bagi isyarat suruh diam.

“Lagi satu, tempat yang lama tak diduduki manusia pun, jin boleh datang menumpang. Macam kat tingkat atas ni banyak rumah kosong, macam-macam yang boleh menumpang juga. Sebab tu kita tak boleh biarkan rumah ditinggalkan kosong, ataupun bilik kat dalam rumah kita, tak boleh dibiarkan kosong untuk tempoh yang lama,” kata Ustaz Hashim lagi.

Aku dan Sufian diam.

“Macam ni. Kami balik dulu. In Shaa Allah, esok saya datang. Sementara tu, jangan biar pintu terbuka. Jangan tinggal anak-anak kecil sendirian. Yang baby tu, jangan biar dia pandang ke atas sebab makhluk halus suka bau baby, dan dia suka duduk bahagian atas kepala,” kata Ustaz Ali.

“Tingkat 4 ni memang tak ramai orang kan Ustaz?” Sufian bertanya, cuba nak beramah tamah.

“Haah, tingkat ni tak ramai. Rasanya ada 5 keluarga je kot. Lepas tu mereka jarang ada kat rumah. Sederet dengan kamu ni rasanya kamu dengan india sebelah ni je. Yang lain sebelah sana,” kata Ustaz Ali.

“Patutlah jarang nampak orang kat atas ni. Ingat nak la berkenal-kenalan. Takdelah rasa sunyi sangat,” kata Sufian lagi.

“Takpelah, perlahan-lahan. Nanti ada rezeki, bertembunglah dengan mereka.” Kata Ustaz Ali.

“India sebelah rumah ni pun saya tak nampak lagi. Berapa orang tinggal kat dalam pun tak tahu. Mereka takde kat rumah kot, sebab takde bunyi langsung. Tapi selipar elok bersusun kat depan rumah,” kata Sufian lagi.

“Haah, kalau tak salah, mereka ni tinggal berdua je, suami isteri. Tapi biasalah orang bisnes, selalu ke outstation,” kata Ustaz Ali. Walaupun Ustaz Ali bukan orang kawasan ni, tapi dia selalu datang ke flat ni bila ada ceramah atau kuliah. Bertukar angin katanya. Kena pula perwatakannya yang agak peramah, maka ramai yang mengenalinya di sini.

Ustaz Hashim dan Ustaz Ali meminta diri untuk pulang. “Sapu minyak kat kaki Lina tu, jangan tunggu melarat, nanti masuk angin,” pesan Ustaz Ali. Sufian anggukkan kepala.

“Jangan risau pasal penghuni kat tingkat 3. Mereka tak ganggu orang. Kami ingat janji kami,” kata Ustaz Hashim.

“Kami?” Sufian pula bertanya.

“Bukan, maksud Ustaz Hashim, mereka tu jenis yang tahu adat berjanji. Macam manusia, ada yang tepati janji, ada yang tak,” kata Ustaz Ali. Sufian anggukkan kepala tanda faham.

Lepas Ustaz Hashim dan Ustaz Ali berlalu pergi, Sufian menunaikan solat Isya’. Aku pun sama walaupun terkial-kial menahan sakit. Lepas solat, aku tuam kaki aku dengan ais. Rasa lega sikit. Bengkak pun kurang sikit. Lepas tu aku bawa anak-anak aku masuk ke bilik untuk tidur.

Mungkin sebab penat dan sakit, mudah je aku terlena. Masa tu Sufian masih menonton televisyen. Aku memang tak pandai tidur lewat. Cukup masa, aku kena tidur. Kalau tak, kepala aku sakit.

Aku sedar bila terdengar bunyi pintu bilik dibuka. Aku buka mata dan pandang ke pintu. Lampu luar dah gelap, bermakna Sufian dah masuk tidur. Tapi aku tak berani nak berpusing untuk lihat samada Sufian ada kat sebelah aku atau tak. Tapi kalau Sufian kat sebelah aku, siapa pula yang buka pintu bilik tu.

Aku diam seketika, menunggu apa yang muncul dari pintu yang terbuka sedikit itu. Lebih kurang seminit, aku lihat pintu itu seakan ditolak dari luar. Pintu itu terbuka dengan lebih luas, tapi aku tak nampak sesiapapun. Nak kata gelap sangat, kat dalam bilik itu ada lampu kecil yang memang aku pasang masa tidur. Taklah terang, tapi samar-samar, cukuplah untuk aku nampak semua benda kat dalam bilik ni.

Tiba-tiba ada bau yang amat busuk. Macam bau bangkai. Aku tutup hidung, rasa nak bernafas pun susah. Aku jeling kat Ain, janganlah dia terjaga masa ni. Aku dah cuak ni, sebab aku mula nampak macam ada sesuatu yang bergerak kat pintu tu.

Benda tu bergerak perlahan. Aku nampak macam orang, tapi kulitnya agak gelap. Makin lama dia makin masuk ke dalam bilik tu. Dan aku nampak jelas. Dia seorang lelaki tapi kakinya seperti dah patah, dia berjalan dengan mengheret kakinya. Tengkuknya juga nampak terkulai, seperti dah patah. Matanya tersembul keluar dan lidahnya panjang seperti ditarik keluar hingga ke dada.

Meremang bulu roma aku. Aku terasa peluh dingin sedang membasahi badan aku. Aku tak boleh nak bergerak mahupun bersuara. Aku pun tak tahu samada Sufian ada tidur kat sebelah aku ke tak. Aku pejamkan mata, cuba baca Al Fatihah, tapi aku tak ingat nak bismillah pun. Aku lupa semua. Badan aku menggigil.

Tiba-tiba aku rasa ada tangan menyentuh bahu aku. Aku terus menjerit dan melompat bangun.

“Lina, awak kenapa?” Sufian memegang belakang aku perlahan. Aku pandang keliling, aku cari lelaki tadi, tiada.

“Awak cari apa?” Sufian tanya.

“Tadi ada lelaki berkulit gelap berdiri di sini,” kataku.

“Awak mimpi ni. Mana ada sesiapa kat sini. Lagipun pintu kan dah kunci?” kata Sufian cuba menenangkan aku.

“Uwaaa…!” Ain menangis. Terkejut dia dari tidur sebab aku menjerit tadi.

Cepat-cepat aku angkat Ain dan menyusukannya.

“Boleh tak biarkan lampu kat ruang tamu tu berpasang. Takpe, biar cerah kat luar tu. Saya tak selesa la,” aku suruh Sufian pasang lampu. Sufian tak cakap banyak, dia terus bangun dan keluar dari bilik lalu memasang lampu.

Aku cuba mengingati balik apa yang aku nampak tadi. Aku tak rasa aku bermimpi. Tapi macammana cara nak beritahu Sufian bahawa aku bukan bermimpi?

Sufian masuk semula ke dalam bilik, menutup pintu dan baring kat sebelah aku. Aku masih duduk menyusukan Ain. Tak lama Sufian baring, dia dah berdengkur.

Masa aku masih duduk menyusukan Ain, aku nampak bayang-bayang kat celah bawah pintu. Kat luar kan dah cerah, jadi aku boleh nampak pergerakan kat luar. Aku amati betul-betul, memang ada sesuatu yang bergerak kat luar bilik.

Aku tepuk panggil Sufian perlahan. Aku tepuk bahunya, menyuruhnya bangun.

“Apa lagi ni?” tanyanya sambil menggosok mata.

“Saya rasa ada orang kat luar bilik ni,” aku beritahu dia.

“Awak mengigau lagi ni,” kata Sufian.

“Mengigau apanya, saya belum tidur lagi,” kataku agak tegas sikit tapi masih dengan suara perlahan.

“Dum!” tiba-tiba terdengar pintu rumah kami dihempas kuat. Sufian terus duduk. Dia pandang aku.

“Kan saya dah cakap, ada orang kat luar tu,” kataku.

Sufian bergegas bangun. Dia melangkah pantas ke pintu bilik lalu membukanya dan menjenguk keluar.

“Awak tunggu kat sini, jangan pergi mana-mana,” pesannya. Aku anggukkan kepala je.

Tak lama lepas tu, aku tercium bau busuk. Busuk sangat macam bangkai. Aku teringat, inilah bau yang aku cium tadi, yang Sufian kata aku mengigau tu. Masa ni meremang bulu roma aku. Tak semen-mena je rupa lelaki tadi muncul dalam kepala aku. Allah, seramnya. Kalau betul bau tu datang dari dia, maknanya benda tu ada kat sekitar aku ni je.

Ain dah tidur. Aku letakkan dia kat tempat dia semula. Aku pandang keliling, takde apa. Aku bangun, nak pergi tengok Sufian. Aku melangkah ke pintu, jenguk keluar. Aku tak nampak Sufian. Tiada siapa kat luar. Bau busuk makin kuat.

“Abang?” aku panggil perlahan.

Tiada sahutan tapi aku dengar bunyi air paip terpasang kat dapur. Aku pun melangkah perlahan ke dapur. Aku pandang ke sinki, air paip berpasang tapi takde orang kat situ.

“Abang?” aku panggil kuat sikit.

Tiba-tiba aku dengar bunyi orang ketuk pintu. “Abang ke tu?” aku panggil. Bunyi ketukan berhenti. Aku berpaling semula ke sinki, air dah berhenti tapi ada seseorang berdiri di situ. Seorang perempuan. Rambutnya mengerbang tapi dia membelakangkan aku.

Aku dah menggeletar lutut. Dah tentu ini bukan manusia. Entah-entah inilah penghuni dari tingkat 3. Tapi Ustaz Hashim kata, mereka tak ganggu sesiapa.

Perempuan tu bergerak nak menoleh ke arah aku. Aku tak boleh nak lari, dengan kaki aku yang masih sakit lagi, dengan lutut yang menggeletar, dengan semangat yang dah jatuh.

Perempuan tu berdiri di depan aku. Rambutnya panjang mengerbang seperti tak terurus. Matanya putih. Bau busuk macam bangkai, sama macam yang aku hidu masa aku nampak lelaki tadi. Perempuan tu bergerak menghampiri aku. Aku dah terkedu kat situ.

Ketika perempuan tu hampir sampai kepada aku, pintu rumah aku terbuka dan Sufian masuk dengan wajah pucat.

“Awak buat apa kat situ?” Sufian tanya aku. Dia pun macam terkejut melihat aku berdiri kat situ dengan muka macam nampak hantu.

Aku tak bersuara, hanya tangan aku menunjukkan ke arah dapur. Sufian menutup pintu dan datang kepada aku. Dia menjenguk ke dapur. “Takde siapapun,” katanya. Aku menoleh semula kepada perempuan tadi, memang dia tiada tapi air paip terpasang.

“Siapa pasang paip tu?” Sufian tanya aku.

“Tadi ada perempuan berdiri kat situ,” kataku.

“Awak mengigau lagi? Kan abang dah kata, jangan ke mana-mana,” kata Sufian sambil melangkah ke sinki dan menutup air paip.

Aku duduk kat sofa. Aku termenung kat situ. Sufian datang dan duduk kat sebelah aku.

“Abang, saya tak pernah nak buat cerita. Abang sepatutnya kenal saya. Saya memang nampak benda pelik tu semua,” kataku kepada Sufian, sedih sebab dia tak percayakan aku.

“Bukan abang taknak percaya. Tapi abang taknak biarkan awak terus berfikir pasal apa yang awak nampak. Itu tak elok. Awak baru habis pantang. Mak pesan, jangan bagi awak fikir banyak sangat. Mak kata awak kena rehat, kena tenang,” kata Sufian. Aku diam, tiba-tiba terasa sebenarnya ramai yang cuba menjaga aku.

“Abang pergi mana tadi?” aku bertanya.

“Masa abang keluar, abang dengar bunyi orang berjalan sambil seret kaki kat luar rumah. Lepas tu ada bau busuk macam bangkai. Abang jenguk dari tingkap depan tu, abang nampak seseorang macam dia berjalan ulang alik kat depan rumah kita ni, dari hujung sini sampai hujung sana.” Kata Sufian.

“Itulah orang yang saya nampak kat bilik tu. Tengkuknya macam terkehel kan?” tanyaku. Sufian anggukkan kepala.

“Habis tu abang keluar nak kejar dia ke?” aku tanya lagi.

Sufian diam. Dia pandang aku. Macam ada benda yang nak diceritakan tapi dia taknak cerita sebab taknak aku susah hati.

“Cakaplah, apa jadi?” aku desak Sufian. Sufian tarik nafas panjang.

– Bersambung –

One thought on “PENGHUNI TINGKAT 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s