PENGHUNI TINGKAT 3

Bab 6

Aku melangkah ke pintu. Tiada lagi bunyi ketukan dari luar. Aku pandang Faiz yang sedang leka bermain seorang diri. Ain sedang tidur dalam buaian.

Setelah seketika tiada bunyi ketukan, aku yakin bahawa aku dah salah dengar. Aku pun berpusing dan mulakan langkah ke dapur. Belum pun dua langkah, pintu diketuk dengan kuat sekali sampai aku melompat terkejut. Nak gugur jantung aku dibuatnya.

Sufian menjenguk keluar dari bilik. “Siapa ketuk pintu?” tanyanya. Aku yang masih berdiri kat pintu dengan muka cuak, angkat bahu.

Sufian menghampiri aku. Bunyi ketukan berhenti. Sufian mengintai dari tingkap, melihat siapa yang berada di luar. Dia menyelak kain langsir tingkap. “Siapa kat luar?” katanya. Tiada sahutan. Aku duduk kat sofa sebelah buaian Ain.

Sufian membuka engsel pintu. “Abang nak ke mana?” aku bertanya.

“Nak pergi tengok siapa kat luar,” kata Sufian. Belum sempat aku menahan, pintu dah terkuak.

“Abang, tak payahlah nak berani sangat. Entah pencuri ke apa. Tutup pintu tu. Kita ni ada anak kecil, tak tahu apa benda kat luar tu, entah orang entah hantu.” Kataku geram dengan sikap Sufian yang suka-suka buka pintu walau tak tahu siapa kat luar.

“Mari… Marilah….,” Faiz yang sedang leka bermain tadi, memandang ke pintu dan menggamit seseorang.

“Faiz panggil siapa?” aku tanya Faiz.

“Kawan,” katanya.

“Mana?” aku tanya lagi.

“Belakang ibu,” sahut Faiz sambil menyusun alat mainannya.

Aku pandang Sufian yang masih kat pintu.

“Abang jangan degil sangat boleh tak? Saya dah kata jangan buka pintu tu. Abang memang nak tunggu keadaan makin teruk ke baru abang nak percaya tempat ni ada sesuatu yang tak kena?” kataku dengan suara yang agak tinggi. Aku memang geram dengan Sufian. Aku tak kisah kalau dia tak percayakan kata-kata aku bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan tempat tu, tapi aku betul-betul geram dia macam tak peduli keselamatan anak kecilnya juga.

“Faiz, suruh kawan Faiz balik. Nanti mak dia cari.” Kataku kepada Faiz perlahan.

“Dia taknak balik,” Faiz kata. Aku diam, tak tahu nak kata apa. Terasa-rasa macam ada seseorang sedang memerhati aku dengan pandangan tak puas hati.

“Faiz pun simpan barang mainan semua. Esok pula kita main ye,” kataku masih memujuk.

Faiz tidak menyahut tapi terus menyimpan barang mainannya ke dalam kotak yang aku sediakan untuknya. Sufian menutup pintu lalu menguncinya.

“Makan malam dah siap ke? Jom makan,” kata Sufian. Aku tak menyahut, rasa geram tu masih berbaki. Aku bangun dan melangkah ke dapur. Semua dah siap, cuma nak cedok nasi je.

Masa makan, aku dengar bunyi buaian Ain seperti sedang dihenjut. Itu bukan buaian elektrik yang boleh berhenjut sendiri. Aku jenguk dari dapur tu, aku nampak buaian Ain sedang berhenjut kuat, seperti ada seseorang menghenjuntya. Aku pandang Sufian.

Sufian bangun lalu membasuh tangannya. Dia melangkah ke arah ruang tamu dan terus ke buaian Ain. Dia menghentikan henjutan di buaian Ain. Lalu terus memandang keliling. Lama juga Sufian berdiri diam kat tepi buaian Ain. Lepas tu dia menghayun buaian itu perlahan-lahan sebelum kembali ke dapur untuk meneruskan makan malamnya yang terhenti tadi.

Aku tak tanya apa-apa. Aku diam je, sambil suap Faiz makan. Aku malas nak cakap dah, semua yang aku cakap, Sufian tak percaya. Jadi, biarlah dia tengok sendiri baru dia nak percaya.

Baru je dua suap Sufian makan, pintu diketuk lagi. Kali ni lebih kuat dari tadi. Sufian bangun.

“Siapa tu? Jangan main-main!” katanya dengan suara agak kuat. Aku pula bagi isyarat perlahan sikit sebab Ain sedang tidur.

“Abang rasa ada orang nak main-mainkan kita ni. Kot budak-budak nakal kat sini ke. Sebab mereka tahu kita orang baru kat sini,” rungut Sufian kembali duduk bila bunyi ketukan berhenti setelah dia menjerit tadi.

“Abang kena tanya Ustaz Ali. Sepatutnya petang tadi abang dah kena cari Ustaz Ali semula. Kenapa nak tunggu Ustaz Ali yang datang jumpa abang pula,” kataku.

“Abang taknaklah gesa dia. Kita nak minta tolong dia. Nanti dia rasa terbeban pula,” kata Sufian.

“Masalahnya sekarang, kita memang perlukan penyelesaian cepat. Ini bukan benda main-main. Ini benda yang kita tak nampak entah apa dia,” kataku masih tak puas hati dengan Sufian.

Sufian menghabiskan baki makanan yang masih tersisa di dalam pinggannya. Aku pun makan juga lepas habis menyuap Faiz. Selesai makan, Sufian membawa Faiz ke ruang tamu menonton televisyen. Aku angkat semua pinggan ke sinki. Masa aku basuh pinggan, aku dengar bunyi macam seseorang melompat dari atas ke bawah kat balkoni luar bahagian belakang dapur. Aku pun intai dari celahan tingkap yang terbuka sedikit.

Aku ternampak sepasang mata yang juga sedang mengintai aku dari arah luar. Apa lagi, menjeritlah aku, macam satu taman tu pun boleh dengar suara aku. Pinggan yang sedang aku pegang, jatuh berderai di lantai. Sufian berlari mendapatkan aku yang dah rebah kat lantai.

“Kenapa ni Lina?” katanya sambil memapah aku untuk bangun berdiri. Wajahnya jelas kerisauan.

“Ada orang mengintai dari luar tingkap tu,” kataku. Sufian terus ke tingkap tersebut dan membukanya dengan luas. Tiada siapa, cuma ada kucing sedang menyelongkar sampai di situ.

“Kucing je ni,” kata Sufian.

“Saya kenal beza antara mata kucing dengan mata orang,” kataku pantas sambil menjeling ke arah Sufian. Sufian tak menjawab. Dia memapah aku bangun dan dudukkan aku kat kerusi. Sakitnya kaki aku, rasanya dah terseliuh.

Sufian menyapu kaca yang berderai dan menyambung membasuh pinggan yang tak sempat aku selesaikan tadi. Sebaik selesai, aku dengar bunyi pintu ditutup kuat. Diikuti dengan tangisan Ain, mungkin terkejut dengan bunyi pintu terhempas kuat tadi.

Aku pandang Sufian. “Abang tak tutup pintu ke tadi?” aku tanya.

“Dah tutup dah, siap kunci lagi,” sahut Sufian.

“Tu bunyi pintu tertutup sendiri tu?” aku tanya lagi. Sufian diam sambil menjenguk ke ruang tamu.

“Faiz mana?” aku bertanya lagi bila tak dengar bunyi bising mainan Faiz.

“Faiz! Faiz!” aku dengar Sufian memanggil Faiz. Dengan kaki yang masih sakit, aku cuba melangkah ke ruang tamu. Aku menghampiri buaian di mana Ain sedang merengek kerana terkejut dengan bunyi pintu terhempas kuat tadi.

Sufian menjenguk ke setiap bilik. “Takde ke bang?” aku tanya, risaunya Tuhan je yang tahu.

Sufian tak menyahut. Dia terus berlari keluar rumah walaupun aku memanggilnya. Sebaik pintu terbuka, Faiz sedang berdiri di luar rumah bersama Ustaz Ali dan seorang lagi lelaki berjubah putih yang kelihatan lebih tua dari Ustaz Ali.

“Eh, Ustaz. Kat mana jumpa Faiz ni?” Sufian bertanya sambil menarik tangan Faiz.

“Kebetulan kami memang nak datang sini. Nampak anak kamu ni sedang berdiri kat pagar besi kat tingkat 3, katanya kawannya ada kat dalam tu,” kata Ustaz Ali. Sufian diam.

Aku pula kelam kabut menarik tudung yang ada kat tepi sofa, terus sarung ala kadar.

“Ini Ustaz Hashim. Dia Tok Imam kat masjid yang dekat dengan flat ni.” Kata Ustaz Ali memperkenalkan lelaki berjubah putih yang ada bersamanya.

“Jemputlah masuk.” Pelawa Sufian.

Aku mengesot ke tepi dinding dengan muka berkeriut menahan sakit sambil menghayun buaian Ain. “Kenapa Lina?” Ustaz Ali bertanya.

“Dia jatuh kat dapur tadi,” sahut Sufian.

“Laaa…. Macammana boleh jatuh?” Ustaz Ali bertanya ramah. Memang Ustaz Ali dan keluarga Sufian agak rapat.

“Entah, katanya dia nampak mata sedang mengintai kat tingkap dapur tu. Saya tengok ada kucing je,” kata Sufian. Aku diam je.

Masa ni Ustaz Ali memandang Ustaz Hashim. “Inilah tujuan saya bawa Ustaz Hashim ke sini,” kata Ustaz Ali memulakan topik. Aku dan Sufian diam, sebagai isyarat agar Ustaz Ali meneruskan bicara.

“Dulu kat sini ialah kawasan hutan. Diteroka oleh pemaju lalu jadikan perumahan macam ni. Segalanya berjalan lancar hinggalah ada beberapa kejadian pelik terjadi. Tragedi kerasukan, kematian kerana membunuh diri dan macam-macam. Ada yang pernah nampak bayi kecil, bila diangkat rupanya batu nisan.” Kata Ustaz Hashim memulakan sejarah rumah flat. Aku mula rasa tak selesa. Pandang keliling, terasa macam ada yang memerhati.

“Akhirnya, ada seorang Ustaz dari tanah seberang yang bermusafir ke sini. Katanya tapak perumahan ini dibuat di atas tapak milik makhluk lain yang kita tak nampak. Makhluk yang kita panggil jin. Setelah tapak ini diambil, mereka tiada penempatan lain. Maka, mereka masih kekal di sini.” Kata Ustaz Hashim.

“Hingga sekarang?” Sufian bertanya.

“Ustaz dari seberang tu ada membuat perjanjian dengan masyarakat jin tersebut. Perjanjian bahawa jin tersebut akan menduduki di tingkat 3 sahaja, dan tidak boleh keluar dari kawasannya. Manakala di pihak manusia, takkan mengganggu mereka di tingkat 3. Kerana itu tingkat berkenaan dipagar agar tiada siapa masuk ke kawasan tersebut.” Kata Ustaz Hashim dengan tenang.

“Manusia dengan jin boleh tinggal sekali?” tersembul kata-kata dari mulut aku tanpa sedar.

“Tak boleh. Tapi mereka taknak tinggalkan tapak ini sebab mereka dah tinggal di sini sejak berjuta tahun dahulu,” kata Ustaz Hashim.

“Bolehkah manusia berjanji dengan jin? Jin tinggal kat rumah flat ke?” aku tanya lagi, rasa macam tak logik.

“Apa saja yang Allah izinkan.” Kata Ustaz Ali. Aku diam walaupun aku masih rasa tak logik.

“Jadi, Ustaz nak kata bahawa yang mengganggu kami adalah jin dari tingkat 3 tu ke?” Sufian bertanya.

“Flat ni dah dibina tiga puluh tahun yang lalu. Selepas perjanjian dibuat, tiada pihak yang pernah diganggu oleh penghuni di tingkat 3. Kalau ada pun, mungkin ada yang terbuka hijab dan ternampak sekilas pandang. Mereka bukan menakutkan pun, sama macam kita.” Kata Ustaz Hashim.

“Yang Faiz asyik kata kawan dia ada kat tingkat 3 tu, siapa?” Sufian bertanya.

“Masyarakat tu sama macam kita, berkeluarga dan beranak pinak. Ada anak kecil yang suka bermain dan mencari kawan. Adakala dia terkeluar dari kawasannya kerana nak bermain. Dia takkan mencederakan,” kata Ustaz Hashim lagi.

“Habis tu, kenapa mereka ganggu kami?” Sufian tanya lagi.

“Bukan mereka yang ganggu kamu,” kata Ustaz Hashim.

“Kalau bukan mereka, siapa pula?” aku pula bertanya.

“Sesuatu yang bukan dari tingkat 3,” kata Ustaz Hashim lagi.

“Ada benda lain lagi ke kat flat ni?” aku bertanya. Cuak.

– Bersambung –

One thought on “PENGHUNI TINGKAT 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s