PENGHUNI TINGKAT 3

Bab 5

Aku dan Sufian berpandangan sesama sendiri. “Macammana anak patung ni masih bersama Faiz?” aku berbisik kepada Sufian. Sufian tak jawab, dia cuma angkat bahu. Tapi aku nampak dahinya berkerut seperti penuh tandatanya.

Sufian menghampiri Faiz. Dia mendukung Faiz yang masih termangu-mangu akibat mengantuk.

Sufian menarik perlahan anak patung arnab dari pelukan Faiz. Namun Faiz memegangnya lebih kuat, enggan anak patungnya diambil oleh ayahnya.

“Ayah pinjam kejap,” kata Sufian memujuk. Barulah Faiz menyerahkan anak patung tersebut kepada Sufian.

“Kawan Faiz yang bagi anak patung ni, ada kat mana?” Sufian bertanya.

“Ada kat dalam bilik,” kata Faiz membuatkan mata aku terbeliak dan terus berlari masuk ke dalam bilik melihat Ain yang sedang tidur.

Aku nampak kelibat sesuatu yang berwarna hitam. Gerakannya terlalu laju sehingga aku tak nampak rupa bentuk benda tu. Hilang dah perasaan takut aku, terus aku angkat Ain yang masih tidur dan mendukungnya keluar dari bilik. Sufian pandang aku dengan wajah cuak.

“Abang tanyalah kat ayah, kot ayah boleh tengokkan,” kataku memberi cadangan.

“Tak boleh beritahu ayah, nanti mak ayah risau. Tak pasal-pasal hari ni juga kita kena pindah balik rumah mak ayah tu,” Kata Sufian.

“Habis tu?” aku tanya balik.

“Takpe, abang solat dulu. Awak pun pergi solat. Dah cerah sikit nanti, abang pergi cari Ustaz Ali. Minta dia tengokkan,” kata Sufian pula. Aku hanya anggukkan kepala. Buat masa ni aku tak kisah dia nak panggil siapa pun, asalkan teka teki ni terjawab.

Aku bentangkan tilam kecil di ruang tamu dan baringkan Ain di situ. “Faiz baring kat sini dulu ye, jaga adik. Ibu nak solat sekejap,” kataku sambil memandang Faiz. Faiz angguk dan terus baring di atas bantal yang aku letakkan di sisi Ain. Aku bangun ke bilik air untuk mengambil wudhu dan tunaikan tugas aku sebagai seorang muslim.

Lebih kurang pukul 8 pagi, di masa Faiz dan Ain masih tidur di ruang tamu, Sufian membawa Ustaz Ali yang memang aku kenal sejak tinggal di rumah mak mertua aku. Ustaz Ali ni imam kat masjid kawasan rumah mak mertua aku.

“Minta maaf ustaz, rumah bersepah. Anak-anak pun masih tidur kat ruang tamu,” kataku berbahasa.

“Takpe, biarkan mereka tidur,” kata Ustaz Ali dengan senyuman manis.

“Boleh saya lihat keliling rumah? Termasuk bilik tidur dan bilik air,” Kata Ustaz Ali lembut.

“Silakan ustaz,” kataku.

Ustaz Ali melangkah ke dapur. Tenang je wajahnya. Matapun takde la melilau ke sana sini. Keluar dari dapur, Ustaz Ali jenguk ke dalam bilik tidur yang aku, Sufian dan anak-anak aku tidur semalam. Lama dia jenguk kat situ. Lepas tu dia melangkah keluar dari rumah dan terus ke tingkap bilik kat bahagian luar rumah.

“Tingkap ni terbuka ke semalam?” tanyanya kepada Sufian.

“Entah, saya pun tak perasan. Dah tutup rasanya,” kata Sufian sambil pandang aku. Aku angguk kepala, aku rasa tutuplah semalam.

“Tengok ni,” kata Ustaz Ali menunjukkan satu kesan seperti berminyak macam jari kecil seorang kanak-kanak. Sufian pun pandang ke tempat yang Ustaz Ali tunjuk. Aku cuba nak tengok juga tapi Sufian bagi isyarat supaya aku masuk ke dalam rumah.

“Macam kesan tangan budak je ni, Ustaz,” kata Sufian.

“Maknanya ada budak yang pegang cermin ni semalam. Anak kamu ke?” Ustaz tu bertanya.

“Faiz tak setinggi ini rasanya. Ada budak lain kot,” kata Sufian sambil garu kepala yang tak gatal.

“Ada budak lain ke kat sini?” Ustaz Ali tanya lagi.

“Entahlah, saya pun baru pindah sini. Belum jumpa jiran tetangga lagi. Kat tingkat 4 ni cuma ada 5 keluarga termasuk saya. Sebelah kiri ni kosong, kat sebelah kanan ni ada keluarga india. Masa kami pindah semalam, takde orang pun kat rumah ni. Diorang pergi ke mana-mana agaknya,” kata Sufian menerangkan kepada Ustaz Ali.

Ustaz Ali hanya menganggukkan kepala. Dia kemudiannya melangkah ke tangga. Dari atas tangga, dia seperti melihat seseorang. Lalu dia terus melangkah menuruni tangga. Sufian mengikutnya. Aku sekadar menjenguk dari atas. Tak nampak jelas tapi aku boleh dengar mereka bercakap sebab kawasan tu sunyi.

“Kat dalam pagar ni ada apa?” Ustaz Ali bertanya.

“Saya tak tahu Ustaz. Maintenance kata pemiliknya yang pagarkan, sebab taknak orang lain masuk atau gunakan kawasan ni,” kata Sufian.

“Maknanya seluruh tingkat 3 ni, pemilik yang sama?” Ustaz Ali bertanya lagi.

“Entah, iyelah kot. Takdelah saya tanya banyak,” kata Sufian.

“Masa Faiz kata kawannya ada kat tingkat 3 ni, kamu ada nampak apa-apa?” Ustaz Ali bertanya.

“Saya tak nampak apa-apa. Tapi hari pertama saya bawa Lina datang sini, dia kata dia nampak macam ada orang kat dalam pagar ni. Tak dapat tengok jelas sebab pagar ni pun tak banyak lubang untuk kita lihat ke dalam. Tapi nampak la mata, rambut katanya. Dan nampak macam orang tu sedang pandang dia katanya,” kata Sufian menerangkan.

Sekurang-kurangnya aku tahu, Sufian ambil tahu apa yang aku cakap kat dia.

“Kenapa Ustaz? Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanya Sufian lagi lepas seketika Ustaz Ali diam.

“Macam ni, nanti saya jumpa dengan imam masjid kawasan ni. Saya tanyakan hal ni kepada mereka dulu sebelum saya cakap apa-apa,” kata Ustaz Ali.

“Ada masalahkah Ustaz?” tanya Sufian tak sabar.

“Takde masalah. Jangan risau. Kamu jaga anak-anak dan isteri kamu. Tak perlu keluar rumah kalau tak perlu. Kamu orang baru kat sini, ada yang masih belum kenal kamu. Kamu pun tak kenal sesiapa lagi kat sini kan,” kata Ustaz Ali.

“Baiklah Ustaz.” Kata Sufian sambil melihat Ustaz Ali melangkah tangga turun dari tingkat 3. Manakala Sufian pula menaiki tangga ke tingkat 4 rumah kami.

“Apa Ustaz cakap bang?” tanyaku tak sabar.

“Nanti dia nak jumpa imam masjid kawasan ni. Lepas tu baru tahu apa masalahnya. Tapi katanya takde masalah. Cuma katanya kita dengan penghuni kawasan ni masih belum mengenali sesama kita,” kata Sufian terus mengajak aku masuk ke dalam rumah.

Segalanya berjalan baik pada siang hari tu. Aku pun cuba melupakan apa yang dah terjadi. Aku kemas rumah, susun atur rumah tu ikut suka aku, maklumlah, baru merasa duduk kat rumah sendiri. Walaupun mak mertua aku tak banyak berleter, tak banyak pantang, dah layan aku macam anak sendiri, aku tetap rasa aku menumpang kat rumah tu. Jadi aku tak berani nak berhias sangat. Tapi sekarang ni, kat rumah aku, aku boleh buat ikut suka aku.

Cuma aku masih pelik dengan Faiz. Dia bermain, tapi macam dia sedang bermain dengan seseorang. Kadang-kadang main aci nyorok, tak tahulah dia menyorok dari siapa. Dan ada masa dia mencari. Jumpa orang yang dicari kat balik sofa la, kat bawah kerusi la. Aku perhati je. Sesekali aku tunjuk kat Sufian, Sufian Cuma baut isyarat ‘biarkan je la’. Jadi aku pun diam.

Lepas Asar, aku susun pasu kecil kat tepi pagar besi kat depan rumah aku. Masa ni aku ternampak seorang perempuan sedang berdiri kat tingkat 3. Aku amati betul-betul, perempuan tu berdiri kat pagar depan rumah, dan hanya memandang ke depan. Bukan pandang aku pun. Dia berpakaian putih, dan rambutnya agak panjang. Dia cuma berdiri tegak di sana, tak bergerak langsung.

Masa ni aku pandang sekeliling kaki lima tingkat 3. Aku nampak beberapa orang lagi yang berdiri kat kaki lima sama seperti perempuan tadi. Berdiri tegak memandang ke depan. Wajah mereka masing-masing agak pucat. Macam sakit pun ada.

Aku panggil Sufian. “Abang tengok tu,” kataku sambil menunjukkan ke arah orang-orang yang aku nampak kat tingkat 3.

“Ada apa kat sana?” Sufian tanya aku sambil memandang ke tempat yang aku tunjuk.

“Abang tak nampak ke ada orang kat situ?” aku tanya.

“Mana ada orang?” Sufian menjawab tapi masih cuba melihat ke arah orang yang aku tunjuk.

“Tu!” aku tunjuk lagi dengan suara agak kuat. Pelik juga, kenapa dia tak nampak. Kalau rabun sekalipun, takkan tak nampak orang?

“Awak ni, suka sangat berimaginasi, mengalahkan Faiz pulak dah. Abang tak nampak sesiapapun kat sana.” Kata Sufian sambil melangkah semula AQmasuk ke dalam rumah.

Aku terdiam. Tak boleh nak kata apalah, kalau dia kata dia tak nampak sesiapa kat situ. Aku pandang semula ke arah perempuan pertama yang aku nampak tadi. Dan kali ini dia sedang memandang tajam ke arah aku. Kusss semangat! berderau darah aku. Terkejut weh. Aku terus masuk ke rumah. Menggigil satu badan.

Aku duduk kat sofa. Ain pun dah jaga, tapi dia tak menangis atau merengek. Sibuk bermain dengan mainan yang aku bagi kat dia sambil terkial-kial mengereng nak meniarap. Faiz masih lagi sibuk dengan mainannya. Aku cari Sufian. “Abang?” aku panggil.

“Kat dapur ni,” Sufian menyahut. Aku melangkah ke dapur, melihat Sufian sedang memasang rak kat bawah sinki.

“Abang, Ustaz Ali tu bila nak datang semula beritahu keadaan rumah kita ni?” kataku sambil bertinggung kat tepi rak yang sedang dipasang oleh Sufian.

“Nanti dia datang lah. Kan dia dah cakap dia nak tanya imam masjid ni dulu. Awak sabarlah, baru hari kedua kita kat sini.” Kata Sufian cuba memujuk. Aku diam semula.

Aku bangun. Kembali ke ruang tamu. Aku ajak Faiz mandi. Lepas mandikan Faiz, aku mandikan Ain. Tuam perutnya dan ikatkan barut kat perut dia. Aku memang takut sangat kalau anak kembung perut. Tambahan pula mak mertua aku takde ni.

Lepas siap semua kerja aku dengan anak-anak aku, aku ke dapur nak panaskan lauk untuk makan malam. Tengah aku siapkan makan malam tu, azan maghrib pun berkumandang. Sufian dah siap berbaju melayu segak bergaya. “Abang nak ke mana?” aku tanya. “Nak pergi jemaah kat masjid,” kata Sufian.

“Eh, boleh tak abang solat kat rumah je. Sementara saya belum biasa dengan kawasan sini. Saya takutlah.” Kataku, memang cuak bila tahu Sufian nak keluar sedangkan dia pergi masjid je pun.

“Hish awak ni. Takde apalah. Abang pun pergi masjid, mana tahu bila jumpa orang-orang sini, mereka boleh bercerita pasal kawasan flat ni. Pasal penghuni kat tingkat 3 tu ke,” kata Sufian.

“Saya tak kisah kalau abang nak pergi siang hari. Tapi malam ni, tak payahlah. Please,” kataku merayu.

“Iyelah iyelah… Abang solat kat rumah je,” kata Sufian terus masuk ke bilik air untuk mengambil wudhu. Aku diam je. Biarlah dia nak marah ke apa, tapi jangan tinggalkan aku masa hari dah malam.

Selesai ambil wudhu, Sufian terus masuk bilik dan solat. Aku pun sama. Sebaik selesai solat, aku kembali ke dapur manakala Sufian masih di bilik. Adalah kerja yang nak dibuatnya tu.

Baru je aku nak melangkah ke dapur, tiba-tiba aku dengar bunyi orang ketuk pintu. Tapi tak dengar pun orang bagi salam, atau apa-apa suara. Aku diam seketika, nak dengar kot aku salah dengar ke.

– Bersambung –

One thought on “PENGHUNI TINGKAT 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s