PENGHUNI TINGKAT 3

Bab 4

Lepas aku kemaskan kaca pecah, aku terus masuk ke bilik. Ain tidur. Faiz pun dah tidur sambil peluk anak patung arnabnya. Aku merapati Faiz, sapu kepalanya dan cium dahinya. Tak tahu kenapa aku rasa sebak tengok Faiz. Dia seperti dah melalui sesuatu yang tak sepatutnya dia lalui di usia ini. Dan aku tak rasa dia mereka cerita atau hanya berimaginasi bila dia kata dia jumpa kawan kat tingkat 3. Sebab aku sendiri pernah nampak ada seseorang di dalam pagar di tingkat 3 dulu.

“Awak pun tidurlah, penat tu,” aku tersentak bila tiba-tiba Sufian menegur aku dari pintu bilik.

“Abang, saya minta satu perkara je. Boleh tak abang buangkan anak patung ni?” aku meminta.

“Nanti Faiz bangun dia cari macammana?” Sufian tanya aku balik.

“Takpe, hal Faiz, saya akan uruskan. Tahulah saya nak pujuk dia macammana,” kataku.

Sufian pun tak cakap banyak. Dia masuk ke bilik, menarik perlahan anak patung dari pelukan Faiz dan terus membawanya keluar.

Aku pula bangun lalu menutup lamput dan mengambil tempat di tengah-tengah antara Ain dengan Faiz. Tak lama, aku dah lena. Penat kot.

Aku sedar bila terdengar bunyi suara berdengkur dengan kuat kat tepi telinga aku. Rasanya macam aku baru je terlena masa tu. Sufian memang tidur berdengkur tapi kali ini kuat sangat pula. Mungkin sebab dia kepenatan pindah rumah siang tadi. Aku tepuk tangannya tiga kali. Bunyi dengkurannya perlahan sikit. Aku angkat kepala, dari bawah pintu, aku nampak lampu belum terpadam.

Aku tepuk tangan Sufian sekali lagi. “Abang tak tutup lampu ke?” aku tanya. Tiada sahutan tapi aku dengar bunyi dengkuran. Aku rasa Sufian ni penat sangat agaknya.

Aku pun bangun perlahan, melangkah ke pintu bilik. Cadangnya nak tutup lampu kat ruang tamu. Tapi baru tiga langkah aku tinggalkan katil, tiba-tiba Ain menangis. Kuat sekali raungannya. Aku berlari semula kepada Ain, memeluknya dan mengusap belakangnya.

“Iye sayang, ibu ada kat sini. Jangan nangis,” kataku memujuk.

Tapi Ain tetap menangis. Sama macam siang tadi. Matanya melilau memandang ke dinding. Dia menangis sampai menggigil badan dia. Aku bagi menyusu pun dia taknak, aku pegang pampersnya, masih kering. Aku picit betisnya, makin kuat dia melalak. Matanya terbeliak memandang ke arah dinding tempat Sufian tidur.

Baru je aku nak menoleh memanggil Sufian, tiba-tiba lampu bilik terpasang. Terang benderang bilik tu. Terkejut juga aku, siapa yang buka lampu. Sufian masih kat tempat tidurnya, aku masih kat sini. Siapa lagi yang boleh petik suis lampu tu.

Aku tengok kat muka pintu, Sufian tercegat kat situ. “Kenapa dengan Ain tu?” dia bertanya. Masa ni aku dapat rasakan air muka aku sendiri dah berubah.

“Bila masa abang keluar?” aku tanya.

“Abang belum masuk tidur pun. Abang tengah buat plag tambahan kat dapur tu. Esok senang awak buat kerja,” kata Sufian sambil merapati aku dan Ain yang masih lagi menangis.

“Habis tu, yang berdengkur kat sebelah saya tadi siapa?” aku bertanya semula.

“Mana ada siapa. Faiz la kot,” kata Sufian sambil mengambil Ain dari dukunganku.

Aku menoleh, memandang Faiz yang sedang lena. Tiada orang lain selain Faiz kat tepi dinding tu.

“Abang, suara dengkur tu kuat. Lebih kuat dari yang selalu abang buat. Mustahillah Faiz,” kataku lagi.

“Awak mimpi kot. Dah dah, tengok Ain ni nangis sampai putus suara dah ni,” kata Sufian lalu bangun dan membawa Ain keluar dari bilik.

Aku pula dah terkaku kat dalam bilik tu. Nak menoleh pun takut dah. Kalaulah Sufian tak masuk tidur lagi, tadi yang berdengkur kat tepi aku tadi siapa? Aku nak menoleh tengok Faiz, tapi aku tak berani. Tapi takkan aku nak tinggalkan Faiz pula. Patutlah Ain menangis sambil tengok ke tepi dinding. Ada benda lain kat situ agaknya.

Aku beranikan diri menoleh melihat Faiz. Aku nampak Faiz masih lena. Aku pandang keliling, tiada apa yang pelik. Aku bangun, tapi aku angkat Faiz sekali. Aku melangkah ke luar bilik dan baringkan Faiz kat sofa.

“Dah kenapa awak angkat Faiz tu? Biarlah dia tidur kat dalam bilik. Ni Ain ni yang awak kena tengok,” kata Sufian pelik sebab aku angkat Faiz keluar dari bilik.

Aku tak jawab soalan Sufian sebab itu akan menyebabkan kami bertekak lagi. Aku melangkah ke dapur, aku ambil segelas air masak, aku bacakan Al Fatihah dan 4 Qul, aku hembuskan ke dalam air. Aku menghampiri Ain yang sedang dalam dukungan Sufian. Aku renjiskan air tadi ke muka Ain. Aku sapukan juga air tu ke mukanya, terus turun ke dagu. Aku tiupkan Al Fatihah ke ubun-ubun kepala Ain. Aku sapukan baki air ke matanya. Aku angkat dia dari dukungan Sufian yang dari tadi memerhati aku yang dilihatnya pelik. Bahkan beberapa soalannya tidak aku hiraukan.

Aku baringkan Ain yang dah diam diriba aku. Aku susukan dia. Sambil tu, lebihan air tadi aku sapukan ke kepala Faiz juga.

“Awak buat apa ni, yang?” Sufian tanya aku.

Aku angkat muka melihat jam dinding, pukul 1.00 pagi.

“Yang, kenapa ni?” Sufian tanya aku lagi.

“Kalau saya cakap, abang takkan percaya. Jadi, tak perlulah saya cakap,” kataku.

Sufian duduk kat tepi aku. “Ok, abang dengar. Cakap apa dia?” kata Sufian memujuk aku.

“Ada benda lain yang bersama kami kat dalam bilik tu tadi. Dan saya rasa, ada benda lain juga dalam rumah ni yang sedang perhati kita,” kataku tanpa pandang Sufian.

“Benda lain?” Sufian tanya semula sambil kerutkan dahinya.

“Iye, ada benda lain selain kita,” sahutku dengan nada agak tegas.

“Benda lain tu contohnya?” kata Sufian masih tak faham apa yang aku jumpa sampaikan.

“Saya tak tahu apa bendanya. Tapi sesuatu yang hidup atau bergerak. Contohnya macam hantu ke apa ke,” sahutku masih dengan nada tegas.

Sufian ketawa kecil sambil menggosok mukanya.

“Jadi, untuk apa saya cakap?” kataku hampir marah.

“Ok ok. Nanti kita panggilkan ustaz untuk tengok rumah ni.” Kata Sufian buatkan perasaan geram aku reda sikit. Aku pandang dia.

“Saya setuju. Bila abang nak panggil ustaz?” tanyaku tak sabar.

“Takkanlah nak panggil malam ni pula. Esok la,” kata Sufian.

“Baiklah. Tapi buat masa ni, saya takkan bawa anak-anak masuk tidur dalam bilik kalau abang tak ikut sekali. Kalau abang masih taknak tidur, saya dan anak-anak tidur kat hall ni je,” kataku.

“Sekejap, bagi abang 5 minit. Abang kemaskan barang kat dapur tu. Lepas tu kita masuk tidur, boleh?” tanyaku Sufian masih dengan nada memujuk aku. Aku anggukkan kepala.

Aku pandang Ain, mujurlah tangisnya tak lama. Aku usap pipinya yang montl, makin laju pula dia menyusu. “Kamu nampak apa sayang?” aku bertanya perlahan.

Lepas Sufian kemaskan barangannya di dapur, dia terus mengangkat Faiz dan mengajak aku masuk ke bilik. Aku pun ikut je. Aku siap pesan kat Sufian, biar lampu hall berpasang. Aku dah takut kegelapan.

Sufian terus letakkan Faiz kat atas katil lalu berbaring di sebelahnya. Begitu juga aku. Tak lama lepas tu Sufian bangun semula. Aku pandang dia. “Kenapa bang?” aku tanya. Sufian meraba tempat dia baring tadi dan dia memegang sesuatu di tangannya.

“Eh, bukan tadi abang dah buang ke?” tanyaku bila aku nampak anak patung arnab yang Faiz peluk tadi, ada kat atas katil.

“Abang dah buang kat luar tadi.” Sahut Sufian.

“Habis tu, macammana ada kat sini?” tanyaku mula meremang bulu roma.

“Entah,” Sufian menyahut lalu bangun dari katil.

“Eh, abang nak ke mana pulak tu?” aku tanya.

“Nak pergi buang benda ni,” katanya.

“Letak je la kat luar tu. Esok baru buang,” kataku. Sebenarnya aku takut ditinggalkan kat bilik tu. Aku tak tahu apa benda lagi yang akan menjelma. Kalau ada Sufian, aku berani sikit.

Aku dengar Sufian buka laci dan tutup kembali. Maknanya dia simpan anak patung tu kat dalam laci. Kemudian dia masuk semula ke dalam bilik dan baring bersama kami. Aku lena.

Tiada lagi perkara pelik terjadi malam tu. Aku terjaga pukul 4.30 pagi untuk tukar lampin Ain pun tiada apa yang berlaku.  Aku tersedar semula bila terdengar azan Subuh berkumandang di masjid berdekatan taman. Sufian dah takde kat sebelah aku. Memang selalunya dia akan bangun dulu.

Aku bangun. Lalu melangkah keluar bilik. Aku dengar bunyi air kat bilik air. Sufian mandi kot. Aku terus ke dapur, menjerang air untuk buat sarapan pagi nanti. Ain tu pun nanti dia jaga, dia nak susu lagi. Memang aku campurkan susu badan dan susu formula sebab aku bekerja. Aku taknak nanti dia dah biasa dengan susu badan, dia taknak pula susu formula. Macam kes Faiz masa dia kecil dulu. Aku serik dah. Faiz tu sampai sakit sebab kurang vitamin. Sebab dia taknak langsung minum susu formula. Dari lahir sampai habis pantang, sampailah aku masuk kerja semula, dia minum susu badan sahaja. Bila aku mula bekerja, dia taknak langsung minum susu formula. Menangis seharian sebab lapar, sampailah aku balik. Sejak itu aku perah susu badan, dan aku jinak-jinakkan dia dengan susu formula walaupun di masa aku berada di rumah. Aku serik dengan Faiz, jadi aku memang ajar Ain untuk minum susu formula walaupun sikit.

Tiba-tiba aku teringat kat anak patung yang Sufian letak dalam laci semalam. Aku pun melangkah ke ruang tamu. Aku buka laci kabinet tv, takde anak patung kat situ. Aku cuak dah. Aku buka semua laci yang ada kat situ, memang takde anak patung tu.

‘Sufian dah buang kot’ desis hati kecilku.

Tak lama kemudian, Sufian keluar dari bilik air. “Mana anak patung semalam?” aku terus bertanya.

“Ada la kat dalam laci tu,” kata Sufian sambil menunjukkan laci yang aku dah buka tadi.

Untuk puaskan hati aku, aku buka semula laci yang Sufian tunjukkan. Memang takde anak patung kat dalam tu. “Takde pun,” kataku.

Sufian menghampiri aku dan melihat ke dalam laci. “Semalam abang memang letak kat laci tu,” kata Sufian. Aku tak jawab. Sufian pun terdiam.

“Ibu,” tiba-tiba aku dengar suara Faiz. Terkejut aku. Aku pandang kat pintu bilik, nampak Faiz sedang menggosok-gosok matanya. Dan disebelah tangan kirinya pula, dia sedang memeluk anak patung arnab tu!

– Bersambung –

One thought on “PENGHUNI TINGKAT 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s