PENGHUNI TINGKAT 3

Bab 3

Sufian bangun dan menjenguk ke luar tingkap. Lepas tu dia pandang Faiz sambil kedutkan dahinya. Kemudian dia buka pintu. “Jom tunjuk kat ayah, mana kawan Faiz tu,” kata Sufian mengajak Faiz.

“Tu, dia ada kat sebelah ayah tu,” kata Faiz sambil menunjukkan jarinya ke sebelah Sufian. Aku pula yang meremang bulu roma. “Dah la bang, tutup pintu tu,” kataku. Entah kenapa aku tak selesa bila pintu terbuka dan aku nampak luar yang diterangi dengan cahaya lampu spotlight ke kawasan flat tu.

“Tiada siapa Faiz.” Kata Sufian sambil menutup pintu dan membuka televisyen. Dia duduk dan membawa Faiz duduk diribanya. Aku bangun bila mendengar suara Ain menangis dari dalam bilik. Lapar susu agaknya.

Masa aku nak masuk bilik, aku ternampak satu kelibat hitam kat dapur. Memandangkan rumah ni kecil saja, maka dari pintu bilik memang boleh nampak bahagian dapur sikit. Aku jenguk ke dapur, aku nampak cawan yang aku gantung kat tempat pengering, bergerak-gerak seperti baru saja diletakkan oleh seseorang di situ.

Aku pandang keliling. Aku nampak sesuatu yang bergerak di celahan pintu bilik air yang tak ditutup rapat. Aku langkah perlahan ke pintu bilik air. Ketika aku nak tolak pintu bilik air tu, tiba-tiba pintu bilik air tu tertutup sendiri seperti ada yang menolaknya dari dalam bilik air.

Aku tergamam seketika. Tak daya nak bergerak.

“Lina, kenapa ni? Ain menangis tu kan,” aku melompat terkejut bila tiba-tiba Sufian menegur aku.

Aku pandang Sufian. “Kenapa ni?” Sufian tanya bila melihat muka aku yang pucat.

“Ada benda kat dalam bilik air ni,” kataku sambil tanganku terketar-ketar menunjukkan ke arah bilik air tu.

“Benda apa pulak ni? Tadi Faiz, sekarang awak pula,” kata Sufian sambil melangkah ke pintu bilik air lalu menolaknya. Sufian menjenguk ke dalam bilik air.

“Takde apapun kat sini?” katanya yang masih menjenguk ke dalam bilik air.

“Ada bang. Saya nampak dia kat bawah meja. Sekilas pandang je. Lepas tu dia lari ke dalam bilik air. Pintu tu tadi tak rapat, tapi dia tolak dari dalam sebab saya dah hampir dengan dia,” kataku tak peduli dengan bunyi tangisan Ain.

“Takpe, awak pergi tengok Ain dulu. Nanti abang tengokkan bilik air ni,” kata Sufian, malas nak bertekak dengan aku. Aku pun walau masih ragu-ragu, tetap melangkah perlahan ke bilik. Faiz sedang menepuk-nepuk Ain yang sedang menangis. Memang dia suka datang dekat adiknya setiap kali dengar adiknya menangis. Lalu ku ajar untuk tepuk perlahan-lahan supaya adiknya diam. Comel pula aku tengok dia tepuk adiknya sambil sebut “shh.. shh… shh…” suruh adiknya diam.

Aku mengangkat Ain dan meribakannya lalu menyusukannya. “Dah, jom,” Faiz pula bercakap sendirian seperti mengajak seseorang di sisinya untuk keluar dari bilik. Aku memandang dengan rasa tak sedap hati.

Ain taknak menyusu. Dia terus menangis. Macam siang tadi. Aku panik dah. Memanglah ini anak kedua aku, tapi setiap anak tak sama. Faiz masa kecil dulu, tak banyak ragam. Diam je, tengah makan pun boleh lena. Tapi Ain ni lain, memang suka merengek dan kuat menangis. Tapi kali ini lain pula gaya menangisnya.

Aku sapu minyak angin di perutnya. Aku picit betisnya seperti yang mak mertua aku selalu ajar, bagi hilang angin dalam perutnya jika perutnya kembung. Tapi dia tak diam juga, malah makin kuat nangisnya.

“Kenapa ni? Dia taknak menyusu ke?” tiba-tiba Sufian muncul kat pintu bilik.

“Entahlah bang. Menangis je. Menyusu pun taknak. Susu dah menitik keluar ha, dia taknak menyusu. Asyik melilau matanya tengok siling bilik ni, macam tengok burung terbang.” Kataku.

Sufian mengangkat Ain dari ribaku. Dia memeluk Ain dan membacakan Al FAtihah lalu meniup ke ubun kepala Ain. Kemudian Sufian usap muka Ain dari atas kepala, terus turun ke dagu. Ain diam. Perlahan-lahan Sufian letakkan Ain kat riba aku dan bagi isyarat suruh aku menyusukannya.

Mujurlah dia mahu menyusu. Aku rasa lega sikit. Mana tak cuak, ini adalah malam pertama mak mertua aku takde kat sisi aku. Ini adalah malam pertama aku betul-betul jadi mak. Baru aku tahu, aku belum cukup pandai untuk menjaga bayi kecil. Takpe, aku akan berusaha lagi.

Sufian keluar dari bilik. “Faiz! Faiz!” aku dengar Sufian memanggil Faiz.

“Faiz takde ke bang?” aku pula jerit dari dalam bilik. Nak bergerak tak boleh sebab Ain sedang menyusu.

“Haah. Pintu ni pulak terbuka. Takkan dia pandai buka pintu, abang dah kunci kot,” kat Sufian dari ruang tamu. Aku dah tak senang duduk.

“Abang carilah dia. Kot dia keluar kat tepi beranda tu. Takut dia memanjat, jatuh ke bawah pulak nanti,” kataku dengan rasa serba tak kena.

“Awak tunggu kat sini ye, abang pergi tengok dia kat luar sekejap,” kata Sufian. Dan aku anggukkan kepala. Aku dengar bunyi pintu ditutup dan bunyi tapak kaki melangkah kat luar rumah.

“Faiz! Faiz!” aku dengar suara Sufian memanggil Faiz.

Aku yang kat dalam rumah ni pula tak tentu hala. Aku tengok Ain masih menyedut susu, tak sampai hati untuk aku hentikan dia menyusu. Dah la tadi penat menangis. Takpe, aku tunggu sekejap lagi.

Aku angkat kepala bila aku nampak sesuatu melintas laju kat depan pintu bilik. Kali ini tahap debaran jantung aku makin kuat.

“Abang! Abang ke tu?” aku panggil sambil menjenguk keluar bilik. Tiada sahutan.

“Faiz! Faiz!” aku panggil nama Faiz pula, mana tahu dia yang berlari kat dalam rumah. Mungkin tadi dia menyorok kat bilik depan, sebab tu ayahnya tak nampak dia.

Tapi masih tiada sahutan. Aku diam. Mungkin perasaan aku je kot.

“Pranggg!” aku dengan bunyi kaca berderai kat dapur. Aku angkat kepala.

“Siapa kat dapur tu?” aku jerit dari dalam bilik. Tiada sahutan. Aku cuba jenguk keluar dari dalam bilik. Aku nampak satu benda hitam seperti tangan budak, di pintu bilik. Aku cuma nampak jari sahaja.

“Siapa tu?” aku memberanikan diri bertanya. Bukan sebab aku berani, tapi sebab aku dah panik.

Aku nampak sedikit demi sedikit, bermula dari rambut, dahi yang hitam dan sebelah mata. Aku dah menggeletar. Ianya seperti seorang budak tapi aku nampak separuh je sebab dia menyorok di sebalik dinding. Matanya putih, tiada mata hitam.

Aku berhenti menyusukan Ain. Kebetulan Ain dah lena. Aku letakkan Ain perlahan-lahan kat atas katil. Dengan lutut yang menggeletar, aku bangun melangkah ke pintu bilik. Wajah budak tu dah tak nampak tapi aku dapat rasakan dia masih berada di sebalik dinding antara ruang tamu dengan bilik.

Aku kuatkan semangat. Perlahan-lahan aku jenguk keluar. Dan aku terkejut bila lihat Sufian dan Faiz berada di situ. Aku mengusap dada.

“Kenapa awak ni?” Sufian tanya aku. Dia sedang mendukung Faiz masa tu. Aku jenguk ke pintu, pintu terbuka.

“Dah berapa lama awak berdiri kat sini? Kenapa tak tutup pintu tu? Jumpa Faiz ni kat mana?” aku tanya bertubi-tubi.

“Abang baru je masuk, ingat nak terus pergi jumpa awak. Mana tahu aku tiba-tiba muncul dari pintu ni. Abang pun terkejut tahu tak. Tu yang sampai terlupa nak tutup pintu. Awak dah macam orang mengendap pencuri tu kenapa?” Sufian tanya aku.

Aku tak cakap apa-apa tapi aku cepat-cepat melangkah ke pintu dan menutupnya. Dada aku berdebar kencang.

“Kat mana jumpa Faiz?” aku tanya semula bila soalanku tadi tak berjawab.

“Kat tingkat 3. Dia seorang diri kat situ dalam gelap. Rupanya kat tingkat 3 takde lampu,” kata Sufian.

Aku pandang Faiz yang sedang asyik bermain dengan anak patung arnab. Aku kerutkan dahi. Aku ambil anak patung arnab tu dari tangannya.

“Kenapa Lina?” Sufian tanya aku.

“Ini bukan mainan Faiz. Kita tak pernah beli anak patung arnab ni,” kataku sambil membelek anak patung tu.

Faiz mula merengek nakkan anak patung tu semula. “Bagilah dia balik. Mak atau ayah yang belikan tadi kot. Kita kan sibuk, tak perasan,” kata Sufian yang memang tak suka bila dengar Faiz merengek. Sebab Faiz jarang merengek, apatah lagi menangis kuat-kuat macam anak-anak lain sebayanya.

“Saya tahulah bang, kalau mak atau ayah ada belikan mainan untuk dia. Tapi anak patung arnab ni memang takde. Saya yakin,” kataku tegas.

“Nak patung, nak patung,” makin kuat Faiz menangis.

“Bagi je la kat dia. Bising dia nangis nanti,” kata Sufian pula sambil mengambil anak patung arnab tu dari tanga aku dan serahkan kepada Faiz. Dia malas nak bertekak dengan aku. Aku pun faham, masing-masing penat pindah rumah.

“Kawan Faiz bagi,” kata Faiz sambil menghalakan anak patung arnah tu kepada aku. Masa ni aku dan Sufian pandang Faiz dengan mata terbeliak.

“Kawan mana? Bila dia bagi?” aku bertanya.

“Tadi, kat bawah,” kata Faiz sambil memeluk semula anak patung arnabnya.

Aku dan Sufian tak kata apa-apa, tapi kami dah mula rasa ada sesuatu yang tak kena. Memanglah pakar kanak-kanak mengatakan setiap kanak-kanak ada rakan imaginasinya semasa kecil, tapi kalau dah sampai bagi hadiah macam ni, masih imaginasi ke?

“Takpe, kita tidur dulu ye. Esok main lagi,” kata Sufian memujuk Faiz lalu membawanya ke bilik air. Menyuruhnya buang air kecil dan mendukungnya kembali ke dalam bilik untuk tidurkannya.

Aku pula terus ke dapur. Aku nampak ada kaca berderai kat bawah sinki manakala bakul sampah seperti dan disepahkan oleh seseorang, atau sesuatu. Mungkin inilah bunyi kaca berderai masa aku menyusukan Ain kat dalam bilik tadi. Masa ni aku rasa lega sikit, sebab aku rasa ini kerja kucing. Entah kucing siapa yang masuk ke rumah kami. Mungkin masuk dari tingkap dapur yang kami tak tutup rapat. Sebab kat luar tu masih ada balkoni, tempat kami letak mesin basuh dan penyidai yang Sufian buat siang tadi.

Aku kutip kaca yang pecah kat lantai. Tak lama kemudian, Sufian muncul. “Pinggan pecah ke?” tanyanya.

“Haah. Tak tahu siapa jatuhkan. Bakul sampah pun berselerak. Orang tua-tua dulu, kalau ada pinggan pecah di malam hari di rumah baru, itu petanda tak elok. Sebaiknya jangan terus menetap kat situ,” kataku sambil menyapu sisa-sisa kaca di lantai.

“Hish awak ni, kurafat semua tu. Kucing punya kerja ni, dia mencari makanan,” kata Sufian sambil membetulkan bakul sampah yang dah terbalik.

Aku diam, taknak bertekak. Betul juga kata Sufian, kurafat semua tu. Tapi hati aku memang tak sedap. Mungkin sebab penat kot. Aku pun taknak tambah penat Sufian juga. Maka aku pun diamlah.

– Bersambung –

One thought on “PENGHUNI TINGKAT 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s