PENGHUNI TINGKAT 3

Bab 2

Aku cuba amati, apa benda yang berada di sebalik pagar besi tu? Aku yakin dia sedang memandang aku sebab aku nampak sepasang mata, rambut dan tangan. Aku menghampiri pagar tersebut. Aku nampak dia menghulurkan tangannya sedikit keluar dari celahan pagar, seperti sedang minta aku menyambutnya.

Aku terkejut bila bahuku disentuh orang. Aku menoleh. “Awak buat apa kat sini? Dah nak maghrib ni. Jom,” Sufian menarik tangan aku. “Sekejap bang, dalam ni ada orang,” kataku sambil menoleh ke arah pagar besi tadi. Sufian pun turut memandang ke arah pagar tersebut.

“Mana ada orang. Jomlah cepat,” kata Sufian sekali lagi dia menarik tangan aku setelah tak nampak sesiapa di pagar itu seperti yang aku beritahu dia. Memang tiada siapa di situ, tapi aku yakin aku nampak seseorang kat situ. Memanglah cahaya dah makin samar, tapi takkanlah aku tak nampak orang. Dia bergerak kot. Berkelip-kelip matanya tengok aku. Siap hulur tangan lagi.

Sufian terus tarik tangan aku ke tangga. Aku masih menoleh ke pagar, tak nampak sesiapa pula. Dan sebaik je kami sampai kat motor, azan maghrib berkumandang di udara. Terus aku dan Sufian balik ke rumah mak mertua aku. Sian anak-anak aku tunggu aku tak balik lagi. Mujur mak mertua aku sudi jagakan mereka. Memang kami dah beritahu bahawa kami akan balik lewat hari ni sebab nak pergi tengok keadaan rumah sewa tu.

“Macammana rumah sewa tu? Ok? Puas hati?” mak mertua aku bertanya semasa kami duduk semeja untuk makan malam.

“Ok sangat mak. Rumahnya luas. Cuma penat naik tangga je la,” kataku menyahut.

“Mula-mula penat la, dah biasa nanti ok la tu,” sahut ayah mertua aku pula.

“Ahad ni kami nak pergi beli barang sikit, nak hantar ke rumah tu. Nanti bila dah pindah, takdelah banyak barang nak cari,” kata Sufian pula.

“Eloklah tu. Jangan buat kerja last minit. Nanti kelam kabut,” sahut ayah mertua aku. Aku dan Sufian hanya anggukkan kepala tanda setuju.

Seperti yang telah dirancang, kami mula masuk ke rumah sewa pada awal bulan. Mak dan ayah mertua aku paling banyak belikan barang untuk rumah kami. Begitulah mak dan ayah, walau hati rasa jauh, tapi tetap berjasa demi keselesaan anak cucu. Termengah-mengah mak dan ayah mertua aku naik tangga.

“Kenapa kamu tak sewa tingkat 1 ke 2 je Sufian? Tingginya nak naik tingkat 4 ni.” Rungut mak mertua aku.

“Tingkat 1 dan 2 dah penuh mak. Tingkat bawah sekali dah buat dewan la, pejabat maintenance semua.” Kata Sufian.

“Tingkat 3?” ayah mertua aku bertanya pula.

“Tingkat 3 memang takde orang sewa. Maintenance tak bagi, katanya pemilik tak bagi sewakan,” kata Sufian lagi. Aku memang tak lalu nak bercakap dah, tercungap naik tangga sambil dukung Ain yang agak berisi.

“Dah kenapa tingkat 3 tu dipagar macam tu sekali? Pemiliknya takut orang lain lalu kat kawasan rumah dia ke?” mak mertua aku bertanya pula. Sama macam persoalan yang aku timbulkan kat Sufian masa mula datang ke rumah ni hari tu.

“Entahlah mak. Nantilah dah duduk sini nanti, Sufian tahu la kot,” kata Sufian, malas nak jawab panjang. Lagi dijawab, lagi banyak soalan.

“Tak ramai ye kat tingkat 4 ni,” kata ayah sebaik sahaja kami sampai kat depan pintu. Dia memerhati keliling. Kawasan flat 4 tingkat tu berbentuk segiempat. Bermakna bila kami berdiri di balkoni luar, kami akan nampak setiap rumah di flat itu selain dari tingkat yang berada di bawah tingkat kami.

“Haah ayah. 5 rumah je yang ada penyewa kat tingkat 4 ni.” Sahut Sufian sambil meletakkan barangan yang dibawanya tadi ke lantai sebaik sahaja pintu dibuka.

Mak mertua aku pula tak tengok luar dah, terus masuk ke dalam rumah, tengok keliling. Peti ais satu pintu kat dapur tu hadiah dari mak dan ayah mertua aku. Mak aku terus perhatikan keliling.

“Kamu jangan sidai kain kat luar, nanti terbang jatuh bawah, bukan senang nak ambil balik. Jauh nak turun tangga,” kata mak mertua aku berpesa.

“Apa susah, kepit la,” ayah mertua aku menyampuk.

“Memang la boleh kepit. Rumah flat macam ni, kita bukannya tahu perangai orang sebelah menyebelah. Mereka lalu lalang depan rumah kita, takut mereka ambil pakaian kita yang bersidai kat luar. Hati orang mana kita tahu,” kata mak mertua aku.

“Iye mak. Nanti Sufian buatkan penyidai kat bahagian belakang dapur tu. Kami sidai kain kat sana,” kata Sufian menghentikan kerisauan maknya.

Lebih kurang pukul 12 tengah hari, sedang kami sibuk mengemas barangan dalam rumah tu, tiba-tiba Ain menangis dengan kuat sekali, sampai mereka mukanya. Mak mertua aku mula la picit betisnya, tepuk belakangnya, suruh aku bagi menyusu. Tapi Ain taknak, dia menangis sampai sesak nafas, matanya terbeliak, macam ternampak sesuatu yang menakutkannya.

Ayah mertua aku dukung Ain. Dibacanya beberapan potongan ayat Al Quran dan ditiupkan ke ubun-ubun kepala Ain. Barulah Ain diam dan terus lena.

“Kenapa tiba-tiba je dia menangis macam tu? Kat rumah kita dulu takde pun dia nangis macam tu sekali. Macam ada yang menyakat je,” kata mak mertua aku sambil mengusap kepala cucunya. Nampak jelas dia risau.

“Biasalah budak kecil, berubah tempat. Adalah yang menegur tu,” kata ayah mertua aku, buat aku rasa cuak tiba-tiba.

“Takde apalah. Rumah baru macam ni, entah ada semut ke serangga kecil ke yang dah gigit dia ni,” kata Sufian.

Mataku melilau mencari Faiz. “Faiz mana bang?” aku bertanya.

“Entah, ada kat kotak yang kita isi mainan dia tadi kot,” kata Sufian sambil menjenguk ke dapur dan bilik mencari Faiz.

“Takde pun,” katanya. Aku dah mula panik.

Ayah mertua aku terus keluar dari rumah. Memerhati keliling.

“Faiz. Kamu buat apa kat situ?” aku dengar ayah mertua aku memanggil nama Faiz.

Aku terus berlari ke luar nak tengok Faiz. Aku nampak Faiz sedang berdiri di tangga sambil memeluk lori mainannya, dan memandang ke arah tangga di bawah. Aku terus pergi kepada Faiz dan memeluknya.

“Faiz buat apa kat sini? Jangan pergi mana-mana seorang diri. Kita tak biasa lagi tempat macam ni,” kataku sambil mengangkat untuk mendukungnya.

Selepas aku berpusing, Faiz pusingkan badannya melihat ke arah bawah tangga tadi semula. Seperti ada sesuatu yang menarik perhatiannya kat sana. Aku pun ikut pandang ke tempat yang Faiz pandang, tiada apa di situ.

“Faiz tengok apa tu?” tanyaku bila dia terlalu asyik memandang ke arah sana.

“Ada kawan ajak main,” katanya.

“Kawan?” tanyaku pelik dan terus kembali memandang ke bawah tangga sana.

“Dia panggil Faiz ikut dia,” kata Faiz dengan pelatnya.

“Takpe, esok je la kita main dengan dia. Sekarang Faiz duduk dengan ibu kat dalam rumah baru kita ye. Susun barang mainan Faiz kat tempatnya. Nanti kalau berselerak, ayah marah Faiz,” kataku memujuk. Faiz tak menyahut tapi dia masih memandang ke arah tangga sana, walaupun aku tak nampak sesiapa. Tak pasal-pasal meremang bulu roma aku di tengah hari buta.

Lepas siap mengemas, kami makan bersama. Masakan ringkas-ringkas je, asalkan kenyang. Nantilah bila kami dah biasa kat sini, bolehlah masak istimewa sikit panggil mak dan ayah mertua aku makan.

Lebih kurang pukul 3, lepas solat zohor, mak dan ayah mertua aku minta diri untuk pulang ke rumah mereka. Mereka pun dah penat, menolong kami menyusun barang. Pindah rumah ni bukan perkara mudah. Nak pula rumah tingkat 3, kalau tertinggal barang kat tingkat bawah, jenuhlah nak turun dan panjat balik tangga tu.

Sebaik mak dan ayah mertua aku balik, aku beritahu Sufian, aku nak lelap sekejap. Aku betul-betul penat sejak semalam aku tak rehat disebabkan hal pindah rumah ni. Sufian pun suruh aku rehat sementara Ain masih lena. Nanti Ain dah jaga, aku memang tak boleh tidur dah. Aku bawa Faiz masuk ke bilik utama di mana Ain sedang tidur kat dalamnya.

Aku baring kat katil. Faiz baring kat tepi aku. Ain kat dalam baby court dia. Tak lama aku letak kepala, memang aku lena. Penat sangat kot.

Aku tersedar bila terdengar azan asar berkumandang. Melompat aku bangun, tak pernah aku tidur siang sepanjang itu. Faiz masih lena. Ain dah jaga tapi dia diam je kat dalam baby court. Aku bangun melangkah keluar bilik, mencari Sufian. Aku nampak Sufian sedang memasang dawai halus kat dapur untuk dijadikan ampaian.

“Kenapa tak kejut saya?” tanyaku.

“Tadi nak kejutkan, tapi tengok awak tidur berdengkur dah macam apa, abang biarkanlah. Nampak sangat awak letih,” kata Sufian sambil menyudahkan kerjanya.

“Abang, boleh saya cakap sikit,” kataku nak memulakan suara untuk memberitahu perasaan tak enak aku sejak sampai ke rumah ni.

“Cakap je la.” Kata Sufian lalu duduk di kerusi dan memandang aku.

“Sejak kali pertama saya datang ke sini, entah kenapa bulu roma asyik meremang je. Rasa macam sedang diperhatikan. Masa Ain nangis tadi pun, belakang leher ni rasa sejuk. Macam ada benda lain yang berada bersama-sama kita, yang kita tak nampak,” kataku menyuarakan perasaanku.

“Hish, awak ni. Itulah, suka sangat baca blog cerita hantu. Dah tahu penakut, nak baca juga. Lepas tu takut sendiri,” kata Sufian.

“Tak bang. Saya betul-betul ada perasaan ni. Bukan dibuat-buat. Dan saya tak ingat langsung pun pasal cerita hantu yang saya baca. Memang meremang tiba-tiba.” Kataku lagi cuba meyakinkan Sufian.

“Takde apalah. Biasalah tu, kita pergi ke tempat baru. Lima tahun kot kita duduk kat rumah mak, yang kat atas tanah je, tiba-tiba kita pindah ke rumah yang berada di atas, dengan kiri kanan tak nampak orang. Memanglah ada rasa lain sikit,” kata Sufian cuba menenangkan aku.

Aku diam. Taknak meneruskan kata-kata. Memang betul juga apa yang Sufian cakap. Mungkin perasaan aku je sebab bertukar tempat.

Lepas maghrib, aku panaskan lauk baki siang tadi. Aku suap Faiz makan. Tapi dia taknak makan. Matanya asyik memandang ke tingkap sebelah pintu masuk.

“Faiz tengok apa kat situ?” tanyaku.

“Kawan Faiz,” katanya.

“Mana ada orang kat situ,” kataku.

“Ada. Dia ajak Faiz main kat luar.” Kata Faiz. Aku dan Sufian berpandangan sesama sendiri.

– Bersambung –

One thought on “PENGHUNI TINGKAT 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s