PENGHUNI TINGKAT 3

Bab 1

Nama aku Azlina. Suami aku Sufian. Kami mempunyai dua orang anak yang comel, mestilah macam aku kan. Yang sulung tu, Faiz berusia tiga tahun. Yang kecil, Ain, baru je tiga bulan. Sejak berkahwin kami tinggal di rumah mak mertua aku. Memandangkan adik bongsu suami aku dah nak berkahwin, dan mereka pula bercadang nak tinggal kat rumah mak mertua aku juga sebab suaminya bekerja atas kapal, maka aku cadangkan kat suami aku, suruh dia cari rumah sewa untuk kami sekeluarga.

Rumah mak mertua aku tu besar, tanah lot kan. Cumanya aku rasa tak berapa selesa. Sebab nanti bila-bila je suaminya iaitu biras aku akan balik ke rumah tu. Aku pula entah rupa macammana. Tambahan anak-anak aku makin membesar dan lasak. Aku taknak mak mertua aku penat, nanti dia runsing.

Mujurlah suami aku pun bersetuju. Bila kami beritahu hasrat kami kat mak dan ayah mertua aku, mula-mula mak mertua macam tak setuju. Sebab dia dah sayang dengan aku dan anak-anak aku. Maklumlah siang malam kami kat rumah tu. Tambahan pula, masa aku dalam pantang anak kedua aku, Faiz tidur dengan mak mertua aku setiap malam.

“Kami akan datang selalu melawat mak dan ayah. Jangan risau. Kami bukannya pindah jauh sangat, kayuh basikal pun lima belas minit sampai. Mak boleh datang ke rumah kami bila-bila je, kami pun boleh datang rumah mak bila-bila je,” kata Sufian memujuk maknya.

“Pergilah. Belajar berdikari. Jangan risau mak kamu tu, tahulah ayah nak pujuk nanti. Awak ni pun, bukannya anak tu nak pergi duduk kat Australia nun. Mula-mula memang la tak biasa, dah seminggu dua nanti awak dah tak rasa apa dah. Biar mereka belajar hidup sendiri. Sufian tu dah jadi kepala keluarga, biar dia jaga keluarga dia,” ayah mertua aku bersuara tanpa pandang mak mertua aku.

“Saya tak pernah berenggang dengan cucu-cucu kita ni sejak mereka lahir.” Sahut mak mertua aku. Aku diam je, taknak masuk campur. Biarlah Sufian yang uruskan mak ayah dia.

“Faiz tu baru 3 tahun awak dah susah nak berenggang. Macammana dia masuk universiti nanti? Lagi susah awak nak berenggang dengan dia kan. Atau awak susah nak berenggang dengan Sufian?” ayah mertua aku bersuara lagi. Mak mertua aku diam.

“Mak jangan risau ye. Mak jaga kesihatan mak. Bila kami takde nanti, senang untuk mak nak solat, mengaji. Mak pun boleh pergi kelas mengaji kat dewan. Masa mak akan banyak nanti,” kata Sufian masih memujuk maknya.

“Iyelah. Dengan satu syarat,” mak mertua aku pula bersuara membuatkan aku kecut perut. Jangan dia minta kami tinggalkan Faiz dengan dia pula. Nanti aku pula yang menangis tak tidur malam teringat kat anak aku.

“Apa syarat mak tu?” Sufian bertanya.

“Masa Lina pergi kerja, jangan hantar anak-anak kamu tu pusat asuhan. Hantar ke sini, biar mak yang jaga. Pusat asuhan pun bukannya boleh diharap sangat. Nanti entah makan entah tidak cucu mak tu,” kata mak mertua aku. Sufian pandang aku.

“Alaaa…. Korang balik kerja tu nanti, ambillah anak-anak kamu. Siang dengan mak, malam dengan kamu. Perlahan-lahan, jangan terus hilangkan mereka dari mata mak. Boleh?” mak aku bersuara lembut. Sufian pandang aku.

“Boleh mak. Nanti bila Lina nak pergi kerja, dalam perjalan tu Lina hantar Faiz dan Ain kat rumah mak ni ye,” aku menyahut. Barulah mak mertua aku senyum, lantas dipeluknya aku yang memang duduk kat sebelahnya sejak tadi.

“Dah dapat ke rumah sewanya?” ayah mertua aku bertanya.

“Dah. Kat Taman Suria sebelah ni je. Tapi rumah flat le. Kami kat tingkat 4,” kata Sufian memberitahu.

“Tingginya. Ada lif ke?” mak aku bertanya.

“Takde lif mak. Sebab 4 tingkat je. Kalau yang tinggi-tinggi tu baru ada lif,” sahut Sufian.

“Macammana mak nak naik tangga pergi rumah kamu tu nanti?” mak mertua aku bertanya sambil kedutkan dahinya.

“Allah awak ni. Nanti dah sampai masanya, tahulah kita,” kata ayah mertua aku.
“Bila nak pindah?” Mak mertua aku tanya.

“Hai mak, macam tak sabar je nak kami keluar,” kata Sufian mengusik maknya.

“Bukan nak kamu keluar. Mak Cuma nak tahu, berapa malam lagi mak boleh tidur dengan Faiz,” kata mak aku. Sufian ketawa perlahan sambil memandang aku. Aku senyum je.

“Macam budak kecil awak ni, Zaidah,” ayah mertua aku pula mengusik mak mertua aku.

“Kami start sewa awal bulan depan, maknanya dalam hujung bulan ni mungkin kami akan masuk ke rumah tu. Kena tengok dulu kalau ada apa-apa nak ubahsuai ke, nak kena tukar ke,” kata Sufian.

“Ada lagi seminggu je la,” kata mak mertua aku.

“Hish awak ni. Tak habis lagi ke nak jauh hatinya?” ayah mertua aku jeling mak mertua aku.

“Tu la awak yang tak faham. Orang perempuan ni banyak barang nak difikirnya bila masuk rumah baru. Kenalah beli barang sikit untuk rumah tu. Kalau taknak beli beriya sangat pun, sekurang-kurangnya barangan dapur kenalah ada. Takkan nak makan kedai je hari-hari.” Mak mertua aku membidas ayah mertua aku.

“Betullah tu mak. Kami kena beli barang dapur sikit. Tong gas, dapur gas, perkakasan memasak, periuk kuali serba sedikit,” sahutku.

“Kan. Itulah orang lelaki. Apa diorang tahu. Kita yang perempuan ni la yang akan uruskan. Baju anak takkan nak lempar kat lantai je. Melainkan tak mampu, itu lain cerita,” mak mertua aku menjeling ayah mertua aku.

“Iyelah, iyelah, awak betul.” Kata ayah mertua aku sambil tersenyum memandang isterinya.

“Takpe, periuk kuali dan pinggan mangkuk, ambil je kat rumah mak ni. Banyak yang bersimpan dari yang guna. Ambil je. Mak mati nanti, takde siapa nak guna juga. Kamu beli je yang mana takde. Dapur gas, rak pinggan macam tu, kamu belilah.” Kata mak mertua aku lagi.

“Terima kasih mak. Kami pun mesti akan teringat kat mak masa mula-mula pindah nanti. Dah 5 tahun Lina tinggal kat sini dengan mak. Terima kasih atas segalanya. Mak memang baik,” kataku memeluk mak mertua aku sambil diperhatikan oleh Sufian.

“Janji dengan mak, kalau susah, cepat-cepat beritahu mak tau. Jangan sorok apa-apa. Dan ingat hantar Faiz dan Ain tu ke rumah mak masa Lina dan Sufian pergi kerja tau.” Kata mak aku lagi, sambil menyambut pelukan aku. Ada getar sebak dalam suaranya.

“Baiklah mak. Mak jangan risau. Kami pun tak terfikir lagi nak cari pengasuh. Takde yang mampu jaga anak-anak kami sebaik mak,” kataku lagi memujuk mak. Aku sendiri pun terasa sebaknya.

Keesokan harinya, balik dari tempat kerja, lebih kurang pukul 6 petang, Sufian ajak aku pergi tengok rumah sewa kami kat Taman Suria. Aku pun memang nak le, excited kot nak pindah rumah, nak belajar hidup sendiri. Aku, Sufian, Faiz dan Ain. Macam keluarga lain tu.

Sebaik sahaja sampai kat kawasan flat tu, masih kat tingkat bawah, aku dongak ke atas. Memang la tingkat 4 tapi aku nampak macam tinggi je. Masa ni aku terfikir, macammanalah aku nak turun naik tangga setiap hari. Mahu kurus aku nanti ni. Takpelah, alah bisa tegal biasa. Aku akan biasa nanti.

Aku dan Sufian melangkah menaiki tangga. Beberapa anak kecil berlari berkejaran kat tangga. Ada yang bermain kat serambi. Ramai yang tinggal kat sini. Sampai kat tingkat tiga, aku nampak ada pagar di kiri kanan tangga.

“Kenapa kat sini berpagar? Orang istimewa ke yang tinggal kat tingkat ni?” tanyaku sambil mengintai beranda tingkat tiga melalui celahan pagar besi.

“Entahlah. Masa abang nak sewa haritu, pihak maintenance flat ni kata tingkat tiga memang takde orang. Tapi tak boleh sewakan juga. Malas la nak tanya banyak. Mungkin ada pemilik yang memang taknak sewakan rumah mereka agaknya. Tapi mereka pula tak tinggal kat sini,” kata Sufian cuba menerangkan.

“Oooo….,” sahutku tanda faham sambil menganggukkan kepala. Pelik juga, orang takde rumah nak sangat beli rumah. Orang ada rumah, biarkan kosong, pergi tinggal kat tempat lain.

Sufian terus melangkah tangga menaiki tingkat 4 rumah kami. Rumah kami di pintu kedua sebelah kiri tangga. Sufian keluarkan kunci rumah dari dalam poket seluarnya lalu membuka pintu. Sebaik pintu terbuka, aku terus pandang ke dalam rumah. Besar rumahnya, cantik.

“Masuklah,” ajak Sufian sambil dia melangkah masuk terlebih dahulu.

Aku pun mengikut langkahnya. Rumah tu cantik. Taklah besar sangat, tapi cukuplah untuk kami berempat. Bilik ada tiga, dengan satu bilik air. Dapurnya taklah besar, tapi ok lah. Aku sorang je pun yang nak buat kerja kat dapur tu nanti.

“Macammana? Ok tak? Suka tak rumah ni? Ini je yang abang mampu.” Kata Sufian memandang aku.

“Eh, ok sangat ni bang. Saya suka. Rumah besar-besar nanti tak lalu nak kemas. Nak kejar anak-anak lagi,” sahutku sambil menjenguk bilik air.

“Kita tinggal kat sini dulu. Nanti ada rezeki lebih, kita beli rumah. Kita kumpul duit dulu,” kata Sufian lagi.

“Takpe bang. Saya ikut je. Yang mana baik kat abang, baik jugalah kat saya dan anak-anak. Cuma abang jangan berhenti bagi mak abang duit walaupun kita dah tak duduk sekali dengan mereka,” kataku berpesan pada Sufian. Sufian anggukkan kepala.

“Abang jangan risau pasal duit. Saya tolonglah sikit-sikit. Kalau tak boleh tolong, apa guna saya bekerja kan. Lagipun saya dah takde mak ayah untuk saya bagi duit. Adik beradik saya semua dah berkeluarga. Jadi, saya boleh bantu keluarga kita,” kataku memujuk Sufian.

“Abang tak berani usik duit Lina. Itu duit Lina,” kata Sufian.

“Saya boleh bekerja dengan izin abang. Abang jangan risaulah, tahu la saya uruskan nanti, ok. Sekarang kita fikirkan apa yang perlu kita beli sebelum pindah masuk ke rumah ni. Kita kena tahu juga, jiran kiri kanan kita ni siapa,” kataku mengubah topik.

“Kat tingkat 4 ni, ada lima rumah je berpenghuni. Yang lainnya kosong.” Kata Sufian.

“Lima keluarga je? Kenapa tak sewakan?” tanyaku.

“Manalah abang tahu. Kat kiri kita ni kosong, kanan ni ada sebuah keluarga india,” kata Sufian. Aku anggukkan kepala.

“Abang, tak tahulah kenapa hati saya nak tahu sangat siapa pemilik semua rumah kat tingkat 3 tu? Kenapa beriya berpagar besi macam tu, takut sangat orang lain melawat kawasan dia kot.” Kataku.

“Tak payahlah awak nak ambil tahu sangat. Kita uruskan hal kita je.” Kata Sufian. Aku tak jawab dah.

“Sedang kami leka memerhati dalam rumah tu, kami dengar bunyi bacaan Al-Quran dari masjid berhampiran. Aku tengok jam tangan, dah pukul 7.15 malam.

“Abang, kita dah lewat ni. Dah nak masuk maghrib. Jomlah balik. Nanti mak risau pula. Ain tu pun mesti mencari susu tu,” kataku macam terkejut bila tersedar masa tu dah senja. Jarang senja macam ni aku kat luar rumah. Mak aku sendiri dulu pun memang pantang berada di luar rumah waktu senja.

Sufian tak jawab apa-apa. Kami terus keluar, dan Sufian mengunci pintu. Lalu kami bergegas turun tangga. Masa kat tingkat 3, aku perasan ada sesuatu yang bergerak di celahan pagar besi tu. Aku pandang. Dalam samar-samar tu aku nampak seperti ada seseorang berdiri dan memandang kami dari dalam pagar tu.

Aku berhenti melangkah.

– Bersambung –

One thought on “PENGHUNI TINGKAT 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s