TUMPANG

Bab 10 (AKhir)

“Apa yang terjadi kat rumah mak tu?” tanyaku pada mak masa kami makan malam, itupun lepas tiga hari mak tinggal kat rumah aku. Suami aku dah pesan, jangan paksa mak sembang pasal rumah mak kat kampung. Aku tanya suami aku, apa yang Pak Lang sembang dengan dia masa kat rumah mak haritu. Suami aku kata takde apa, cuma bertanya khabar. Macamlah aku ni budak kecil, tanya khabar orang senyum, tapi ni muka masing-masing berkerut seribu. Takpelah kalau diorang taknak cerita kat aku.

“Mak tak tahulah Zara. Lepas ayah kamu meninggal dunia, mak rasa macam ada orang lain yang tinggal kat rumah mak tu, bersama-sama mak. Masa mak makan, dia basuh pinggan. Masa mak tengok tv, dia duduk kat kerusi malas ayah kamu. Masa mak tidur, macam terdengar nafas orang tidur kat sebelah mak. Tiap-tiap pagi selasa, mak akan jumpa telur ayam yang dah kosong kat atas meja makan.” Kata mak lepas aku bertanya.

Seram sejuk aku dengar mak aku cerita. Ayah aku dah meninggal dunia tiga bulan kot, maknanya dah tiga bulan mak melalui perkara tu kat rumah. Kenapa mak boleh bertahan? Kalau aku, semalam pun aku tak tahan. Dah la mak tinggal seorang diri. Memang la aku selalu balik, tapi takde pula mak ceritakan perkara ni. Dan takde pula aku nampak benda pelik kat rumah tu. Cuma aku tak nafikan, memang terasa-rasa ada orang lain dalam rumah tu. Tapi aku fikir itu hanya mainan perasaan. Bak kata Abang Zarul, aku suka berangan.

“Kenapa mak tak cakap kat Zara dari awal? Macammana mak boleh bertahan kat rumah tu? Mak ada nampak apa-apa yang pelik ke?” tanyaku.

“Mak taknak cakap sebab mak taknak kamu risau tak tentu pasal. Mula-mula memang mak rasa takut tapi benda tu tak kacau mak. Dia pun tak tunjuk dirinya pada mak. Mak pun dah terbiasa. Mak taknak tinggalkan rumah tu. Itu rumah yang datuk kamu tinggalkan untuk mak. Dan rumah tu banyak kenangan mak dengan ayah kamu. Mak tak boleh tinggalkan rumah tu,” kata mak dengan nada sedih kat suaranya.

“Habis tu, macammana Pak Lang boleh telefon Zara dan suruh Zara ambil mak?” aku tanya lagi. Suami aku dah berdehem kat tepi dinding sana. Dia memang tak suka aku tanya banyak kat mak aku, apatah lagi suara mak dah serak-serak nak nangis.

“Malam tu, Pak Lang datang rumah. Dia nampak benda tu, kat atas alang rumah. Katanya itu adalah benda yang sama yang ganggu kita sebelum kamu dan Abang Zarul berkahwin dulu. Dan dia memang terkejut, sebab dia tak sangka benda tu masih menumpang kat rumah tu. Pak Lang kata, benda tu seolah dah berkongsi rumah tu dengan mak. Pak Lang kata, masa dia halau benda tu dari rumah kita dulu, Pak Lang dengan benda tu dah buat perjanjian, selagi tiang seri rumah tu tak patah, dia tak boleh masuk ke rumah tu. Tapi mana tahu, syaitan tak boleh dibuat janji. Itu yang Pak Lang bengang tu. Terus dia paksa mak keluar dari rumah tu dulu supaya dia boleh buang benda tu habis-habisan. Dia kata taknak berjanji dengan benda tu lagi,” kata mak.

“Benda tu apa sebenarnya mak?” aku terus bertanya.

“Entah. Pak Lang kata, ada orang hantar. Tapi benda tu silap rumah. Sepatutnya dia tak datang rumah kita,” kata mak.

“Zara, Amira nangis tu,” tiba-tiba je suami aku panggil suruh tengok anak aku. Sedangkan aku tak dengar pun suara anak aku. Aku terus bangun dan pergi tengok anak aku kat ruang tamu. Elok je dia main. Aku pandang suami aku, dia jegilkan mata kat aku. Aku faham dah la, itu isyarat dia tak suka aku tanya mak banyak-banyak.

Sampai hari ini, dah tiga bulan mak tinggal kat rumah aku. Kesihatan mak makin tak elok. Mak selalu termenung sendirian. Makan pun tak begitu berselera. Aku sedih tengok mak aku macam tu. Aku telefon Abang Zarul, Abang Zarul kata nanti dia bincang dengan Pak Lang.

Tak lama lepas tu, Pak Lang datang ke rumah aku. Dia ziarah mak. Katanya dia dah jumpa benda yang ganggu keluarga kami tu. Memang benda tu dah menumpang lama kat rumah tu. Dia tak pergi pada malam Pak Lang kata dia dah pergi. Masa ni meremang bulu roma aku. Maknanya selama ni benda tu memerhati setiap pergerakan kami kat dalam rumah tu. Aku tidur sendirian. Aku mandi, aku makan. Arrrghhh….. Aku tak dapat bayangkan.

“Tak boleh halau ke benda tu Pak Lang?” aku bertanya. Pak Lang pandang Abang Zarul. Abang Zarul tunduk je.

“Sebenarnya Pak Lang dah bawa seorang ustaz. Dia dah dapat kurung benda tu. Cuma Pak Lang tak tahu nak hantar ke mana?” kata Pak Lang. Aku bulatkan mata aku memandang Pak Lang.

“Tak tahu hantar ke mana? Tak boleh hapuskan ke?” tanyaku sebab terasa soalan Pak Lang tu macam satu soalan tak wajar.

“Sebab benda tu dihantar oleh seseorang. Caranya kita hantar balik je,” kata Pak Lang.

“Habis tu, kenapa tak hantar balik kat tuannya?” aku bertanya lagi.

Pak Lang diam. Aku pandang Abang Zarul, dah kenapa dia diam je? Entah kenapa aku rasa bengang. Semua orang macam taknak ambil peduli pasal rumah mak tu. Mak ni dah sampai sakit, rindu nak balik rumah dia kat kampung tapi Pak Lang boleh bagi alasan tak tahu nak hantar benda tu ke mana? Huh!

“Alang tahu ke siapa yang hantar? Dan apa tujuan dia hantar?” tiba-tiba mak mencelah.

Pak Lang geleng kepala tanpa pandang mak. “Ustaz tu yang tahu, tapi dia tak beritahu aku,” kata Pak Lang. Entahlah kenapa naluri aku berkata, Pak Lang tahu.

“Takpelah, kalau itu saja caranya, hantarlah dia balik kat tuannya,” kata mak perlahan.

Abang Zarul angkat mukanya yang tunduk dari tadi. Dia pandang Pak Lang. Pak Lang tarik nafas dalam sekali. Macam sangat berat untuknya menarik nafas, seolah tersekat di kerongkong.

“Baiklah kalau itu yang kamu mahu. Esok aku akan minta ustaz tu hantarkan semula benda tu kepada tuannya. Lepas tu aku akan panggil orang masjid untuk bacakan yassin selama tiga hari berturut-turut kat rumah tu. Seminggu ni aku tinggal kat rumah tu ye. Kalau dah takde apa, kau boleh balik ke rumah tu,” kata Pak Lang.

Mak aku tak jawab apa-apa. Dia hanya anggukkan kepala. Mak macam dah tak kisah apapun yang perlu dibuat asalkan dia dapat balik ke rumahnya semula. Tiga bulan tu adalah tempoh yang agak lama, dah la ayah baru meninggal dunia. Mestilah mak rindu.

Lepas lima hari dari hari Pak Lang datang ke rumah aku, kami dapat berita bahawa Pak Ngah jatuh sakit. Mak Ngah yang telefon aku beritahu, katanya tiba-tiba je Pak Ngah tak sedarkan diri. Bila sedar, matanya terbeliak dan dia meracau mengatakan perkara yang bukan-bukan. Seolah menghalau seseorang.

Sebaik dapat berita tu, mak cepat-cepat ajak aku pergi melawat Pak Ngah. Aku pun ajak suami aku. Memang kesian sangat keadaan Pak Ngah. Mak Ngah kata, dah bawa jumpa doktor. Doktor dah periksa, katanya mungkin Pak Ngah alami stroke dan demam panas kritial secara serentak, yang membuatkan Pak Ngah jadi macam tu. Adakala Pak Ngah jadi agresif, dia mencampakkan barang-barang dalam rumah dan menghalau semua orang yang ada di dalam rumah tu.

Akhirnya, doktor terpaksa memberi Pak Ngah ubat pelali. Barulah Pak Ngah tak agresif. Aku tengok mak menangis melihat keadaan abang keduanya. Aku pujuk mak. Tapi jauh di sudut hati aku, aku pun sedih melihat keadaan Pak Ngah. Pak Ngah ni seorang yang garang tapi dia baik hati. Di antara empat adik beradik mak, Pak Ngah yang boleh dikategorikan sebagai orang kaya pada masa tu. Dan dia juga murah hati. Banyak benda yang aku minta dari ayah aku tapi tak dapat, aku boleh dapat kalau minta dari Pak Ngah.

Pak Ngah ada tiga orang anak. Yang sulung jadi askar, yang kedua sebaya aku, jadi cikgu dan yang bongsu masih tinggal bersama Pak Ngah, membuka gerai makan kat tempatnya. Boleh dikatakan anak-anak Pak Ngah semuanya berjaya.

Cuma Pak Ngah kurang bergaul dengan kami sejak datuk aku meninggal dunia. Pak Ngah seperti taknak lagi berhubungan dengan kami. Macam dah buang kami. Tapi kami masih pergi ke rumahnya. Mak pun masih lawat Pak Ngah. Begitu juga ayah. Tapi ayah dah tak berkunjung ke rumah Pak Ngah sejak peristiwa perempuan berpurdah datang rumah kami malam-malam minta air tu. Selalu mak ajak, tapi ayah suruh Abang Zarul yang bawa mak. Ayah akan bagi pelbagai alasan kalau diajak pergi ke rumah Pak Ngah. Ayah macam berkecil hati. Tapi ayah tak halang mak atau aku mahupun Abang Zarul untuk pergi ke rumah Pak Ngah. Cuma ayah taknak pergi.

Lepas menziarah Pak Ngah, mak suruh aku bawa dia balik terus ke rumahnya. Suami aku akur. Memang rumah mak nampak lain. Nampak damai dan tenang. Tak macam yang aku tengok sebelum ni. Pak Lang buka pintu, dia baca sesuatu kat pintu utama. Lepas tu dia panggil kami semua naik ke rumah. Ya Allah, memang rindu sangat dengan rumah tu. Banyak kenangan kami bersama.

Aku masuk dan terus buka tingkap semua. Pak Lang memang jaga rumah ni dengan baik. Takde habuk pun dalam rumah ni. Mak terus ke dapur, memerhati segala perkakasannya di dapur. Aku nampak muka mak sangat gembira kerana dapat balik ke rumah tu.

“Boleh dah ke aku duduk kat rumah ni Alang?” mak aku tanya.

“Boleh dah. Takde apa kacau lagi. Senang-senang nanti, boleh buat doa selamat dan tahlil untuk arwah mak ayah kita dan suami kamu,” kata Pak Lang tersenyum memerhati gelagat adiknya yang kelihatan sangat gembira dapat balik ke rumah tu. Cerah muka mak, taklah murung je macam masa kat rumah aku.

Aku minta izin suami aku untuk tinggal kat rumah mak aku sampai mak aku buat doa selamat hujung minggu. Suami aku izinkan. Jadi dia balik seorang diri. Aku dan anak aku tinggal dengan mak aku. Rumah itu dah betul-betul aman dan tenang. Takde perasaan takut-takut macam dulu. Walaupun beberapa kali aku pandang atas kayu alang rumah tu, aku takde perasaan cuak pun.

Setiap hari mak pergi lawat Pak Ngah. Keadaan Pak Ngah makin teruk. Sampai akhirnya Pak Ngah menghembuskan nafasnya yang terakhir bila dia terjatuh dari tingkat atas rumah. Kepala Pak Ngah terhentak kat pasu bunga. Takde orang yang perasan masa Pak Ngah jatuh sebab Mak Ngah sedang solat maghrib masa tu. Anak bongsu Pak Ngah yang nampak Pak Ngah kat bawah rumah masa dia balik dari gerai makannya nak tunaikan solat maghrib.

Mak pula masa tu sedang sibuk memasak sebab keesokan harinya kami nak buat kenduri doa selamat untuk rumah tu dan tahlil untuk arwah maktuk, tokwan dan ayah. Terduduk mak kat dapur bila tahu Pak Ngah dah meninggal dunia. Kami ingat kami nak buat tahlil untuk tiga orang, tak sangka kami kena buat tahlil untuk empat orang. Serius sedih.

Mak la yang paling sedih. Dah la ayah baru je pergi. Rumah pusaka pun terpaksa ditinggalkan kerana masalah yang tak diundang. Sekarang baru je nak aman damai dan seronok, dah abang kesayangannya pergi buat selama-lamanya.

Lepas lima bulan dari hari tu, Abang Zarul datang ke rumah aku dengan anak isterinya. Mak aku kat kampung. Tak duduk dengan aku dah. Aku je yang balik ke rumah mak setiap hujung minggu.

“Kau tahu tak siapa yang hantar benda tu untuk kacau keluarga kita sejak dulu?” tiba-tiba je Abang Zarul buka cerita kepada aku. Masa tu suami aku takde kat rumah sebab hari tu adalah hari bekerja. Abang Zarul bercuti dan isterinya seorang cikgu. Masa tu cuti sekolah. Sebab tu mereka datang lawat aku. Masa Abang Zarul tanya tu, aku dengan dia je kat dapur. Anak aku asyik bermain dengan anak Abang Zarul kat halaman bersama isteri Abang Zarul.

“Kan Pak Lang kata tak tahu siapa yang hantar. Dan katanya benda tu sesat, silap rumah,” kataku. Abang Zarul tunduk, wajahnya muram.

“Abang tahu ke siapa yang hantar?” aku bertanya bila aku terasa sangsi dengan rupa Abang Zarul yang tiba-tiba berubah.

“Pak Ngah yang hantar,” kata-kata Abang Zarul membuatkan aku terduduk kat lantai. Aku rasa dunia aku berputar sekejap. Aku pening. Abang Zarul pegang aku, lalu diambilnya air masak, suruh aku minum.

“Abang, fitnah besar ni bang. Takkanlah Pak Ngah yang hantar,” kataku setelah keadaan aku kembali lega. Walaupun dada aku masih berdegup kencang.

“Iye, Pak Ngah yang hantar,” kata Abang Zarul.

“Mana Abang tahu?” aku bertanya. Aku masih tak percaya. Pak Ngah?

“Ayah yang bagitahu,” kata Abang Zarul. Dan sekali lagi kepalaku berpinar. Ayah?

“Mana ayah tahu?” tanyaku lagi tak puas hati.

“Ingat tak malam yang benda tu mengacau kita, sampai ada batu nisan jatuh kat tengah rumah kita kat tingkat atas. Aku buka tingkap, kita nampak susuk tubuh seseorang kat bawah pokok cempedak.” Kata Abang Zarul cuba mengingatkan aku.

“Iye, Zara ingat tu. Tapi kita tak nampak siapa dia kan?” tanyaku.

“Itu Pak Ngah,” kata Abang Zarul.

“Mana Abang tahu?” tanyaku lagi.

“Ayah yang bagitahu,” kata Abang Zarul.

“Abang boleh tak cerita terus, jangan cakap sepatah-sepatah. Zara tak boleh sabar.” Kataku membentak, mula geram sebab aku sangat terkejut dengan apa yang aku dengar.

“Ayah balik dari masjid masa tu sebenarnya. Ayah kata dia ketuk pintu setengah jam takde orang buka pintu. Ayah balik marah-marah kan. Sebenarnya masa tu ayah dah tahu, Pak Ngah yang hantar. Ayah yang nampak Pak Ngah kat bawah pokok cempedak. Bila ayah tegur Pak Ngah, Pak Ngah terus pergi tak cakap apapun. Dan Pak Lang pun sama. Beberapa kali Pak Lang datang sini untuk tengok benda tu, Pak Lang kata dia nampak Pak Ngah. Tapi bila ditegur, Pak Ngah terus pergi tanpa berkata apa-apa. Sebelum ayah jatuh kat bilik air, ayah ada beritahu aku, supaya jangan beritahu kat mak bahawa Pak Ngah yang hantar. Pak Lang kata, malam ayah jatuh kat bilik air, Pak Lang nampak kelibat Pak Ngah kat bahagian dapur rumah kita. Tapi Pak Lang tak berani nak kata Pak Ngah yang sebabkan ayah jatuh sebab dia tak nampak. Cuma Pak Lang ada sikit rasa sangsi bila lihat Pak Ngah menangis teruk pada hari pengkembumian ayah. Pak Lang kata, Pak Ngah ada sebut bahawa dia tak sangka sampai boleh bawa ajal. Tapi Pak Lang taknak tanya kenapa Pak Ngah cakap begitu sebab Pak Lang taknak ada sangsi sesama adik beradik. Jadi, Pak Lang ambil keputusan untuk diamkan diri,” kata Abang Zarul bercerita panjang lebar.

Aku terlopong mendengarnya. Tak tahu nak marah ke, nak sedih ke, atau nak rasa apa.

“Kenapa pula Pak Ngah nak buat macam tu?” tanyaku.

“Pak Ngah tak puas hati bila tokwan bagi rumah pusaka tu kat mak. Dia nak rumah tu. Sebenarnya dah beberapa kali dia pujuk mak untuk letak nama dia setengah bahagian kat geran rumah tu tapi mak kata amanah tokwan adalah untuk mak menjaga rumah tu. Mak takkan pecahkan bahagian dalam geran untuk rumah tu,” kata Abang Zarul.

“Sebab tu mak asyik minta maaf kat Pak Ngah, mak tahu Pak Ngah berkecil hati dengan mak sebab taknak bagi setengah bahagian kat Pak Ngah.” Sambung Abang Zarul lagi.

“Apa kena mengenanya dengan benda tu?” tanya aku.

“Pak Ngah hantar benda tu kacau kita, supaya kita keluar dari rumah tu. Itu je,” kata Abang Zarul.

“Pak Ngah? Zara memang tak sangka. Bertahun kita percayakan dia. Dia tak rasa bersalah ke?” aku bertanya dengan geram. Sakit pula hati aku.

“Pak Lang kata, lepas ayah meninggal dunia, Pak Ngah dah menyesal di atas perbuatannya. Pak Ngah cuba nak hentikan benda tu, tapi benda tu dah terlalu lama kat rumah kita dan Pak Ngah dah bagi upah darah kat benda tu. Tak boleh buat apa dah, melainkan Pak Ngah mengorbankan dirinya jika diambil semula. Maknanya Pak Ngah perlu cari badan lain untuk menjaga benda tu.” kata Abang Zarul lagi.

“Tapi, macammana Pak Ngah boleh tahu buat benda-benda kurafat macam ni. Kita bukannya ada sejarah yang jadi bomoh atau buat kerja-kerja ni,” kataku masih cuba untuk tak percaya.

“Pak Ngah tak buat. Dia upah orang lain buat. Pak Ngah cuma bagi titis darah dia je, dan duit upah. Semuanya orang tu yang buat. Pak Ngah pun tak tahu orang tu buat apa. Cuma yang Pak Ngah nak, kita tinggalkan rumah tu. Tu je,” kata Abang Zarul lagi.

Dan kali ni aku taknak tanya dah. Aku rasa aku faham, sejelas-jelasnya. Aku taknak bertanya lagi. Sebab aku tahu, setiap soalan aku, akan dapat jawapan yang lebih menyakitkan hati aku.

“Zara, ini amanah ayah. Jangan beritahu mak. Pak Ngah pun dah takde. Rumah mak tu pun dah aman dah. Mak pun dah seronok. Jangan kita putuskan kegembiraan mak. Biarlah cerita ni habis setakat kita saja. Aku beritahu sebab aku memang nak kau tahu. Aku nak kau tahu bahawa dalam hidup ini, hanya Allah tempat pergantungan kita, bukan manusia lain. Kalau mak tahu, seumur hidup mak akan penuh kekesalan. Atau mungkin juga kebencian. Yang pada akhirnya, tiada siapa yang menang. Jadi, jangan beritahu mak. Kita jaga silaturrahim adik beradik mak ye,” kata Abang Zarul. Aku tak jawab, sambung bancuh teh yang tergendala sekejap tadi, cuma tadi mood aku lain, sekarang mood aku lain.

Dan sampai sekarang aku dan Abang Zarul masih simpan amanah ayah. Pak Lang pun kukuh utuh memegang rahsia abang kandungnya. Nak dibenci, orangnya dah takde. Nak diludah, nanti apa bezanya aku dengan dia. Moga arwah maktuk, tokwan dan ayah aku dirahmati Allah hendaknya. Moga ada pengampunan buat Pak Ngah. Dan moga mak aku terus gembira hingga ke akhir hayatnya. Tak semua perkara perlu kita hebahkan. Cukuplah ia sampai kepada kita sahaja. Tak perlu dibuka andai kisah itu membuatkan akan ada aib yang terdedah, akan ada kisah duka yang berpanjangan dan akan ada kebencian yang tiada kesudahan.

– T A M A T –

3 thoughts on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s