TUMPANG

Bab 9

Tak lama kemudian, rumah kami kembali terang benderang sebab ayah dah betulkan suis utama. Masa ni baru kami perasan, barangan dalam rumah berselerak macam ada orang dah selerakkan.

“Dia dah masuk dalam rumah ni rasanya, dia cari anaknya,” kata ayah tiba-tiba kat pintu nak ke dapur.

“Bila masa dia masuk?” Mak tanya.

“Mungkin masa dalam gelap tadi,” kata ayah.

Aku dan Abang Zarul diam. Aku tak dapat bayangkan, macammana masa dalam gelap tadi, ada makhluk pelik berada di kalangan kami, menggeledah rumah kami sedangkan kami tak sedar?

“Yang kat atas tu masih kat situ ke ayah?” Abang Zarul bertanya. Ayah mendongak ke atas alang kat tiang seri. “Ada lagi,” sahut ayah.

Aku pun tak faham, macammana mereka sangat tenang walaupun tahu ada sesuatu yang bukan dari alam ni, berada kat atas alang sana dalam rumah kami, memerhati kami. Dan ada maknya kat luar rumah yang terdesak nak ambil anaknya yang dah diikat kat dalam rumah. Mereka sangat tenang. Kalau aku, malam ni juga aku keluar dari rumah, pergi la rumah sesiapa, rumah Pak Tam ke, Mak Limah ke, tak kisah la rumah siapa, asalkan aku keluar dari rumah tu.

“Dah, tunggu kat sini. Aku nak pergi tengok Alang kat luar sana. Jangan usik apa-apapun dalam rumah ni. Kalau nampak benda pelik pun, jangan usik. Kalau nampak seseorang, jangan ditegur, jangan pandang, jangan bertentang mata dengannya.” Kata berpesan. Mak angguk kepala. Abang Zarul pun sama. Aku je yang keras kejung tak tahu nak jawab apa.

“Zarul, lepas ayah keluar, kamu kunci pintu. Lepas tu pergi tunggu kat tiang seri. Perhatikan benda kat atas tu. Sebab Pak Lang kata benda tu mungkin sesat, sebab takde sebab dia datang ke rumah ni. Kalau Pak Lang dapat kata putus dengan benda kat luar tu, mungkin kita akan lepaskan anaknya dan biarkan dia kembali kepada tuannya atau kembali ke tempat asalnya,” kata ayah.

Abang Zarul anggukkan kepala tanda faham

Ayah aku keluar dan Abang Zarul kunci pintu. Aku dengar ayah menjerit. Dan kemudian aku dengar ayah beristighfar dengan kuat dan jelas. Cepat je Abang Zarul nak buka semula pintu tapi mak menghalang. “Jangan buka pintu selagi ayah tak suruh buka. Biarkan.” Aku dan Abang Zarul berpandangan sesama sendiri. Aku risau mana tahu kot ayah jatuh ke kat luar sana.

Seketika kemudian, aku dengar suara Pak Lang membacakan Al Fatihah diikuti dengan 4 Qul. Aku kat dalam rumah pun ikut sama baca. Kat atas bumbung memang dapat dengar dengan jelas ada sesuatu yang sedang berjalan mundar mandir. Sesekali terdengar bunyi rengusan seperti anjing yang sedang marah.

“Tinggalkan rumah ini, kamu tiada kaitan dengan keluarga ini,” aku dengar suara Pak Lang.

“Haaaaaaaaa…..,” Aku dengan satu suara garau dari atas bumbung. Dan dalam masa yang sama, aku dengar bunyi sesuatu menggelupur kat atas alang dekat tiang seri, tempat aku nampak makhluk berbulu tu. Bunyi menggelupur tu diikuti dengan suara mendayu anak kecil, merengek minta dilepaskan. Meremang bulu roma, suaranya seakan bergema seperti memberi isyarat kepada makhluk yang kat atas bumbung sana.

Aku pegang tangan mak aku. Dalam keadaan tegang tu, aku dengar bunyi sesuatu menyedut dari arah dapur kayu api mak. Aku dan mak menoleh serentak. Abang Zarul masa tu berada di tiang seri, ayah suruh dia tunggu di sana. Perhatikan benda kat atas alang tu, kalau dah takde kat sana, Pak Lang suruh beritahu dia.

“Mak, apa benda kat dapur kayu tu? Macam tengah menghirup kuah je,” kataku.

“Entahlah, rasanya semua makanan kita dah habis, takde yang tinggal,” kata mak.

Mak aku bangun dan melangkah ke arah dapur kayu. “Mak, ayah kata jangan pergi mana-mana kan. Kita tunggu kat sini je la mak,” kataku dah seakan merayu agar mak tak ke mana-mana. Tapi mak tak peduli rayuan aku. Dia terus melangkah perlahan-lahan ke arah dapur kayu. Aku pula, nak atau tak, aku terpaksa ikut mak aku.

Kat dapur, mak aku berhenti, intai ke arah bunyi yang sedang menyedut tu. Aku memang taknak tengok. Aku berdiri kat belakang mak aku je. Tapi aku dapat dengar bunyi telur ayam yang dah kosong dibaling ke lantai. Jadi, aku paksa diri aku untuk lihat apa yang sedang berlaku.

Aku nampak beberapa biji telur ayam bertaburan di lantai. Setiap telur ayam tu ada lubang kecil, seolah-olah dah ditebuk.

“Mak, apa benda kat dapur tu?” aku bertanya. Mak aku buat isyarat suruh diam.

Aku hilang sabar, aku pun ikut jenguk sekali. Aku nampak, iye aku nampak sesuatu. Lidah aku jadi kelu.

Ada satu anak kecil, dengan badan berbulu hitam, matanya bulat, besar dan berwarna merah, telinganya panjang, hidungnya juga panjang hingga ke dagunya. Dan yang paling meremang bulu roma, lidahnya seperti lidi, menyucuk ke telur ayam yang mak letak dalam bakul kat tepi dapur kayu.

Dia seperti menyedut telur-telur ayam tu hingga habis dan mencampakkan kulit telur ke lantai. Begitu berselera dia menyedut telur-telur tersebut hingga tak perasan kami di situ. Menggeletar lutut aku. Tak pernah seumur hidup aku, aku terfikir bahawa aku akan nampak hantu. Hantu yang orang kata tak boleh dilihat dengan mata kasar, tapi hari ini, malam ini aku nampak dengan jelas.

Tiba-tiba aku rasa ada sesuatu menyentuh bahu aku. Aku menjerit sekuat hati aku. Mak aku menoleh. Abang Zarul menekup mulut aku, menyuruh aku diam. Mana mahunya aku diam, dah la nampak benda yang tak patut aku nampak, lepas tu ada orang pegang aku pula.

“Diamlah Zara. Aku ni,” Aku dengar suara Abang Zarul. Aku buka mata dan berhenti menjerit.

“Mak, benda tu dah takde kat atas alang. Nak beritahu ayah ke?” Abang Zarul tanya.

Belum sempat Abang Zarul menjawab, lampu padam semula. Keadaan kembali gelap gelita. Allah. Aku pula disebabkan terkejut tadi, aku terlepas pegangan tangan mak aku. Sekarang aku sendirian.

“Mak, Zara takut,” aku berbisik.

“Mak ada kat sini.” kata mak aku, juga berbisik. Seketika kemudian, aku dapat rasakan tangan mak, aku pegang mak aku kuat-kuat. Takkan aku lepaskan lagi walau apa terjadi.

Lepas tu aku nampak cahaya dari lampu suluh. Aku nampak Abang Zarul sedang menyuluh ke arah mak aku yang sedang menyalakan lilin yang tadi terletak kat atas meja. Tiba-tiba aku rasa cuak. Kalau mak aku kat sana, tangan siapa yang aku pegang?

Aku tak berani menoleh, dan tak berani lepaskan tangan yang aku pegang juga. Aku diam kaku kat situ.

Lepas mak hidupkan lilin, mak pandang aku. “Zara, mari sini. Apa kamu buat kat situ?” mak aku tanya. Suara aku tak keluar. Kaki aku terpahat kat lantai. Aku dapat rasa tangan yang aku pegang tu bergerak dan menyentuh leher aku.

“Kau dah kenapa Zara?” Abang Zarul tanya aku. Aku tak menjawab juga.

Tok! Tok! Tok! Pintu diketuk kuat bertalu-talu. “Zarul, buka pintu. Ayah ni,” aku dengar suara ayah.

Abang Zarul cepat-cepat buka pintu. Perhatian dah dialihkan kat ayah. Tiada siapa pandang aku yang sedang menggigil keseluruhan badan bila ada tangan yang sedang memegang bahagian belakang leher aku. Dah la keadaan gelap masa tu.

 “Dia dah masuk rumah.” Kata ayah.

“Siapa?” Mak tanya. Ayah tak jawab.

“Yang duduk kat alang tu pun dah takde,” kata Abang Zarul.

“Dia dah ambil anak dia. Pergi betulkan semula suis utama,” kata Pak Lang yang mengikut kat belakang ayah.

“Zara?” Pak Lang panggil aku bila nampak aku diam tak bergerak kat tepi dinding. Aku tak menyahut dan Pak Lang merapati aku.

“Allahu akbar!” Aku dengar suara Pak Lang.

“Lepaskan dia. Ambil anakmu dan pulang ke tempat asalmu. Ini amaran terakhir,” kata Pak Lang.

Pak Lang berdiri tegak, meletakkan kedua-dua jari telunjuknya di atas dahinya dengan mulut terkumat kamit. Aku dengar Pak Lang membaca beberapa surah Al Quran. Pandangan aku pula mula berpinar-pinar. Antara nampak dengan tak nampak, aku rasa aku nak pitam.

Tapi aku sempat dengar bunyi satu suara ngauman yang agak kuat dan diikuti dengan bunyi jeritan anak kecil sebelum aku jatuh terjelepuk ke lantai. Rumah kembali cerah dan aku Cuma sempat dengar suara mak aku memanggil nama aku je. Lepas tu aku tak dengar apa-apa dah.

Bila aku sedar, hari dah nak pagi. Mak sedang menyapu muka aku dengan air. Aku buka mata dan panggil mak. Aku dapat lihat muka mak aku risau. Tapi sebaik saja dia dengar suara aku, riak wajah mak berubah jernih semula. Mak senyum pandang aku.

“Eloklah kamu dah sedar.” Kata mak. Lalu memeri aku segelas air menyuruh aku minum. Pak Lang datang menghampiri aku.

“Kamu ok?” Pak Lang tanya aku.

“Ok. Apa jadi semalam? Apa benda semua tu?” aku bertanya.

“Dah, takde apa. Benda tu sesat. Dia salah rumah. Tapi sebab dia dah makan kat rumah ni, jadi dia taknak keluar. Dia mengganas sebab kita kurung anak dia. Takpe, sekarang dia dah pergi. Lain kali ingat, jangan suka-suka nak bagi orang tak dikenali tumpang rumah kita,” kata Pak Lang.

Lepas tu memang keadaan dah ok. Dari situ aku tahu, hantu atau jin itu pun macam kita. Dia pun boleh sesat.

Segalanya menjadi seperti sediakala semula. Abang Zarul habis belajar dan dapat kerja sebagai arkitek kat Johor. Aku pula dengan keputusan SPM yang cukup-cukup makan, dapat kerja sebagai pembantu kedai je. Tapi tak lama, sebab lepas tu aku dirisik orang kampung tu juga. Cuma dia bekerja di bandar tak jauh dari kampung tu.

Lepas berkahwin, aku ikut suami aku tinggal kat bandar. Abang Zarul pun dah berkahwin juga. Dia dan isterinya tinggal kat Johor. Mak dan ayah tinggal kat rumah kami kat kampung. Semua macam biasa. Betul-betul biasa.

Hinggalah satu hari ayah jatuh kat bilik air. Tak tahu macammana ayah jatuh. Tapi ayah kritikal, kerana kepalanya terhentak ke kolah. Tak lama, ayah meninggal dunia. Gelapnya dunia ni aku rasa. Sebab ayah tak sakit atau bagi tanda dia nak pergi. Semuanya tak nampak pelik. Aku tak sempat jumpa ayah. Masa mak telefon beritahu keadaan ayah, ayah dah tak sedar diri. Aku Cuma dapat bercakap dengan ayah yang koma masa tu.

Tak lama pun ayah menderita, ayah meninggal dunia tak sampai 24 jam lepas jauh kerana pendarahan teruk kat kepala. Adik beradik ayah dan mak datang memberi penghormatan terakhir kepada jenazah ayah. Ayah selamat dikebumikan.

Malam tu, Pak Ngah datang jumpa mak. Beriya-iya Pak Ngah minta maaf dengan mak. Kami pun pelik, kenapa dengan Pak Ngah. Bila ditanya kenapa, Pak Ngah tak jawab. Pak Ngah cuma menangis. Kami pun taknak paksa Pak Ngah. Mungkin dia sedih di atas pemergian ayah. Sebab di antara semua adik beradik mak, Pak Ngah yang tak pernah datang jenguk kami lepas tok dan tokwan aku meninggal. Mak pun tak tahu kenapa, beberapa kali mak pergi ke rumah Pak Ngah dengan ayah, tapi Pak Ngah taknak jumpa mak. Tak tahulah apa yang dia marah sangat dengan mak.

Mungkin sebab itulah Pak Ngah menangis. Dia mungkin menyesal sebab tak sempat berjumpa dengan ayah dan minta maaf.

“Takpelah Angah, segalanya dah lepas. Abang Haji pun dah maafkan Angah. Jangan sedih lagi. Apapun yang tersimpan kat hati, kita lepaskanlah ye Angah. Lepas ni kita berbaik semula,” kata mak, turut menangis teresak-esak. Keadaan masa tu memang menyedihkan. Aku pun mengalir air mata melihat mak dan Pak Ngah aku berpelukan masing-masing saling meminta maaf.

Lepas tiga hari, aku balik ikut suami aku ke bandar. Abang Zarul balik ke Johor dengan keluarganya. Tinggallah mak seorang diri kat rumah kampung tu. Puas aku dan Abang Zarul ajak mak ikut kami tapi mak taknak. Mak kata ayah yang tinggalkan mak, tapi mak takkan tinggalkan ayah. Jadi, kami pun tiada pilihan. Kami pun terpaksa balik untuk teruskan kehidupan kami.

Sampailah satu hari tu, iaitu tiga bulan yang lepas, Pak Lang aku suruh aku ambil mak aku dari rumah kampung tu dan bawa tinggal dengan aku buat sementara waktu. Mula-mula aku pelik juga, mak aku tu bukannya nak tinggalkan rumah tu. Tapi bila Pak Lang berkeras suruh bawa mak aku, aku pun turutkan.

Masa aku ambil mak aku, aku dapat rasakan macam ada satu benda lain kat dalam rumah tu. Mak aku pula dah macam orang bingung je. Bila aku ajak ke rumah aku, mak aku tak bantah langsung. Aku kemas beg pakaian mak aku. Mak aku ikut je.

“Nanti Pak Lang beritahu bila dah boleh balik semula ke rumah ni. Nak kena pulih semula rumah ni, dah lama sangat dia menumpang. Syaitan memang tak boleh di bawa muafakat,” kata Pak Lang.

Aku taknak tanya apa-apa sebab nampak Pak Lang macam runsing dan mak aku pula macam kebingungan, asyik termenung je. Bercakap pun tak banyak. Cuma aku nampak Pak Lang sembang dengan suami aku. Takpelah, nanti aku tanya kat mak apa sebenarnya dah jadi.

– Bersambung –

One thought on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s