TUMPANG

Bab 8

Aku intai ke dalam bilik aku, mana tahu kot ada apa benda yang menyorok kat dalam tu. Mujur takde apa. “Jom mak, kita rehat kat dalam bilik Zara. Harap-harap takde apa la yang kacau kita kat dalam ni,” kataku cuba memujuk mak. Tapi sebenarnya aku pujuk hati sendiri. Sebab aku rasa aku yang takut sekarang ni, bukan mak. Tapi aku cuba nak tunjuk aku tak takut.

Mak duduk kat birai katil. Aku duduk kat lantai. “Mak, mak rasa apa benda yang sedang kacau keluarga kita ni? Tiba-tiba je. Perempuan tu siapa sebenarnya? Kenapa dia hantar benda-benda tu semua kat kita? Ke betul dia silap hantar?” aku tanya mak bertubi-tubi. Aku betul-betul kebingungan sekarang ni.

“Entahlah Zara. Mak pun tak tahu. Sejak mak nampak budak kecil kat atas alang rumah ni, mak selalu nampak lagi. Bukan sekali tu je. Mak nampak dia merangkak kat atas tu. Matanya merah. Tiap kali mak nampak dia, dia memang sedang memerhatikan pergerakan kita.” Mak memberitahu.

Aku pandang mak. “Mak tak cakap pun? Ayah tahu tak?” aku bertanya. Mak hanya gelengkan kepala.

“Mak tak rasa benda tu mengganggu kita. Cuma dia seperti dihantar seseorang untuk menjaga kita, atau menakutkan kita,” kata mak.

“Mak, itu hantu mak. Mana ada hantu nak jaga orang? Kalau ada orang hantar pun, atas alasan apa dia nak hantar kat kita? Dendam? Atau cemburu? Kenapa tiba-tiba je,” kataku tak puas hati sebab mak nampak tenang sangat.

Mak tak jawab soalan aku. Mak diam, capai taksir Quran yang aku letak kat atas kabinet kat tepi bilik aku. Aku pula sangkut kain telekung dan sejadah yang aku bungkus je tadi.

Sedang kami buat hal masing-masing, terdengar bunyi bumbung rumah kami seperti dihempap sesuatu yang berat. Berdentum bunyi, Terkejut weh. Nak luruh jantung. Aku terus pegang tangan mak dan tengok keliling.

“Apa tu mak?” tanyaku. Mak aku geleng kepala je.

Aku mengesot ke pintu, intai keluar bilik, nak tengok ayah dengan Abang Zarul sedang buat apa. Tapi aku tak nampak sesiapa kat luar. Aku dah mula cuak dah. Dalam keadaan macam ni, kalau aku tak nampak sesiapa, aku mula rasa tak puas hati. Sebab yang aku tengok tu pun belum tentu orang tu.

Otak aku tersentap sekejap. Aku toleh kat mak aku perlahan-lahan. Minda aku dah fikir lain dah. Itu mak aku ke? Betul ke mak aku?

Mak aku pandang aku. “Mak?” aku panggil. Mak aku tak menyahut. Tapi dia masih pandang aku. Dan ditangannya masih memegang tafsir Al-Quran.

“Ni mak kan?” tanyaku sambil pegang tangan mak. Mak tepis tangan aku. “Kau ni dah kenapa Zara? Mak la ni,” kata mak aku pandang aku sambil bulatkan matanya. Aku diam, aku tahu itu mak aku.

“Takde siapa pun kat luar ni mak. Ayah dan Abang pun takde,” kataku.

“Diorang pergi mana?” mak aku tanya sambil bangun dan melangkah ke pintu bilik dan sama-sama meninjau keluar.

Mak aku terus melangkah keluar bilik, tak sempat aku menahannya. Aku pun ikut. Tak gila aku nak tunggu sorang-sorang kat dalam bilik tu. Mak aku terus pergi ke tiang seri. Mak aku mendongak tengok apa tiang seri. “Astaghfirullah al azeem,” bisik mak perlahan.

“Kenapa mak? Ada apa kat atas tu?” aku bertanya tanpa aku berani nak dongak ke atas.

Mak aku tak jawab. Dia pandang keliling. “Mak cari apa?” aku tanya. Aku pegang tangan mak, tak lepas. Kang lepas kang, takut mak aku jadi benda lain pulak.

“Cari ayah dan abang kamu la. Mana diorang pergi. Tinggal kita macam tu je,” kata mak.

Mak melangkah ke dapur, aku ikut. Masa aku nak turun ke tangga, aku jeling sikit ke bahagian atas alang kat tiang seri tu. Aku nampak sesuatu. Tersentap lagi jantung aku, berdebar kencang tak tahu nak cakap. Benda tu macam berbulu hitam. Dia diam je kat situ. Matanya je yang memandang aku dan mak. Macam sedang mengawasi pergerakan aku dan mak.

Aku pandang kejap je. Lepas tu aku paling semula ke depan. Masa tu mak dah turun tangga ke dapur. Aku pun terus lompat je, tak kira nak berapa tangga yang aku tak pijak. Pintu daput terbuka luas. Mak tutup dan kunci.

“Ayah dan abang kamu keluar cari sesuatu agaknya,” kata mak melangkah ke tingkap, yang juga terbuka luas. Aku terfikir juga, kalau ayah dan abang keluar, kenapa tingkap pun terbuka?

Masa mak aku tutup tingkap, pintu dapur terbuka semula seperti ada orang menolaknya dari luar. Walhal mak dah selak engsel atas dan bawah. Melompat aku terkejut bila gedegang pintu tu terbuka sendiri. Aku peluk tangan mak aku. Ayah aku pesan suruh aku jaga mak, sekarang aku tak tahu siapa jaga siapa.

“Takpe, kita duduk kat sini. Kita tengok apa yang masuk,” kata mak dengan tenangnya. Aku tak tahu dari mana mak dapat ketenangan tu. Semalam mak menggigil bukan main tapi malam ni mak sangat tenang. Aku pula yang gelabah. Mak nak tunggu apa yang masuk? Hilang akal ke apa mak aku ni? Ke itu bukan mak aku? Mak, ayah dan abang aku dah tinggalkan aku kot kat dalam rumah ni seorang diri? Aku dah mula fikir yang bukan-bukan.

Aku duduk kat kerusi sebelah mak. Tangan mak aku tak lepaskan. Biarlah kalau itu bukan mak pun, sekurang-kurangnya rupa dia masih macam mak aku dan dia tak buat apa-apa kat aku.

Sedang kami duduk menunggu di tepi pintu yang terbuka luas, aku dengar bunyi tapak kaki melangkah  kat luar pintu. Aku dah menggeletar, mak aku gosok tangan aku tenangkan aku dan suruh aku diam. Aku dah nak menangis.

Aku dengar bunyi daun pintu ditolak perlahan. Berkeriut bunyi pintu lama tu ditolak. Aku menunggu dengan penuh debar, apa yang akan masuk. Jantung aku berdegup sampai badan aku ikut bergegar.

Dari celahan pintu, aku nampak satu pergerakan berwarna hitam. Dia berdiri di tengah pintu, mendengus di situ. Aku tutup mulut aku. Mak aku pun macam tu. Benda tu macam sedang mengawasi keadaan rumah aku. Aku dan mak masih kat belakang daun pintu. Aku cuba nak tengok apa benda tu tapi tak nampak sebab penglihatan melalui celahan pintu tu agak terhad.

Aku dengar bunyi air berkocak kat dalam bilik air. Allah. Tuhan je la tahu perasaan aku masa tu. Tapi aku tengok mak macam tenang je. Apa benda pulak kat bilik air tu. Ni kalau ada apa-apa yang keluar dari bilik air ni, memang terus nampak kami di balik daun pintu ni. Sebab pintu bilik air dan pintu dapur tu bertentangan.

Aku tengok pintu bilik air dibuka dari dalam. Aku pejam mata dah, tak sanggup nak tengok apa yang akan keluar. Menggeletar dah seluruh badan. Mak terkumat kamit membaca surah. Aku ni, doa keluar rumah pun aku tak ingat dah.

“Mak, Zara. Kenapa duduk kat sini?” aku dengar suara Abang Zarul. Aku buka mata. Rupanya Abang Zarul yang keluar dari bilik air tadi. Aku jenguk ke pintu, tiada siapa kat situ.

“Siapa buka pintu ni? Ayah pesan jangan buka,” kata Abang Zarul menutup kembali pintu dapur.

“Ayah kamu mana?” mak bertanya.

“Ayah pergi rumah Pak Lang, nak bawa Pak Lang ke sini,” kata Abang Zarul.

“Tadi ada benda berdiri kat pintu ni bang,” aku tak sabar, terus beritahu Abang Zarul.

“Benda apa?” Abang Zarul tanya.

“Entah, warna hitam. Dia yang tolak pintu ni terbuka,” kataku.

“Takpelah, biarkan dulu. Kita tunggu ayah balik,” kata mak.

“Kenapa ayah nak panggil Pak Lang?” mak tanya lagi.

“Ayah kata, dia dah kunci benda yang kat atas alang tu. Sebab tu benda tu dok diam situ tak boleh bergerak. Tapi dia memerhati kita. Ayah kata, ayah risau benda tu terlepas dari kunci. Sebab ayah Cuma buat apa yang Pak Lang ajar untuk kunci benda tu. Pak Lang pesan, kalau nampak benda tu sedang lalu di atas tiang seri, terus tabur tahi besi dan garam kasar kat bawah tiang tu. Itu cara nak kunci benda tu supaya tak ke mana-mana,” kata Abang Zarul.

“Ooo.. Benda hitam mata merah kat atas alang tu la bendanya?” aku bertanya.

“Kan ayah dah cakap, jangan keluar dari bilik, jangan tengok atau tegur apa-apa yang nampak pelik,” kata Abang Zarul pandang aku.

“Habis tu, dah berdentum atas bumbung, entah apa benda yang jatuh, lepas tu tengok pulak keluar takde siapa, takkan kami nak duduk diam lagi kat dalam bilik tu?” aku melawan. Geram juga sebab ditinggalkan begitu saja dengan entah apa benda yang dok memerhati kami dari atas alang tiang seri.

“Tenang je dulu. Istighfar banyak-banyak. Nanti Pak Lang datang, tahulah dia nak buat macammana,” kata mak.

Dum! Sekali lagi bumbung rumah kami macam dihentak sesuatu. Dan paling aku tak tahan, masa tu la elektrik takde. Gelap gelita satu rumah!

“Zarul, pergi pasang pelita.” Aku dengan suara mak. Tiada sahutan dari Abang Zarul tapi aku dengar bunyi kaki melangkah dan bunyi laci almari dibuka. Tak lama kemudian aku nampak cahaya pelita dihidupkan. Abang Zarul meletakkan pelita tu kat atas meja dapur.

“Lambat sangat ayah kamu ni,” kata mak, macam mak pun dah hilang sabar.

Kami bertiga beranak mengelilingi pelita kat meja dapur. Masa ni kami dengar bunyi sesuatu sedang berjalan di atas bumbung rumah. Seperti dia berjalan dari hujung sana ke hujung sini, silih berganti. Seperti mundar mandir sedang mencari jalan untuk masuk ke rumah.

Dan seketika kemudian, pintu dapur diketuk bertalu-talu. Lega rasanya bila ayah dah balik. Cepat je aku bangun nak buka pintu. Tapi Abang Zarul menghalang. “Jangan buka pintu dulu. Kita tak tahu itu ayah atau bukan,” kata Abang Zarul. Mak anggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata Abang Zarul.

Bunyi ketukan makin kuat. Dan masa ni pulak la anjing tu nak melolong panjang, sayup je aku dengar. Dan bulu roma aku kembali meremang.

Setelah lama ketukan kat pintu tu bertalu, ia berhenti. Tapi tak lama. Lepas tu dengar bunyi cakaran kat dinding, meleret di keliling dapur. Aku rasa nak meraung dah. Kalaulah aku buka pintu tu tadi, entah apa benda yang masuk.

Lama juga bunyi cakaran meleret kat dinding rumah, diikuti bunyi rengekan anak kecil dari kayu alang rumah. Bunyinya seperti seorang anak yang merengek meminta susu dari ibunya. Mendayu-dayu, merayu-rayu. Dan di luar pula seperti ada yang sedang marah kerana dipagar tak dapat masuk ke dalam rumah. Selalunya aku baca buku cerita hantu, tapi hari ni aku alaminya sendiri, di rumah aku sendiri. Selalunya aku cuma berdebar membaca cerita, tapi kali ini aku tak sabar nak tunggu siang menjelma.

“Jangan kau ganggu keluarga ini, kembali kepada tuanmu jika mahu selamat. Tempat kamu bukan di sini,” aku pasang telinga, aku dengar suara seseorang di luar rumah. Suara yang amat aku kenali.

“Itu suara Pak Lang kan mak?” aku bertanya separuh berbisik.

“Haah, macam suara Pak Lang tu. Mungkin dia dah ayah dah sampai,” sahut mak. Fuh! Tak tahulah nak kata macammana leganya hati aku masa tu.

“Zarul, buka pintu. Ayah ni,” aku dengar suara ayah di pintu diikuti dengan bunyi ketukan. Abang Zarul terus melangkah ke pintu dan buka pintu. Ayah terus masuk dan kunci pintu semula.

“Alang kat luar ke?” mak aku tanya.

“Haah, dia suruh cari suis utama, hidupkan balik elektrik sebab rumah lain ada elektrik. Rumah ni je elektrik takde,” kata ayah sambil memegang lampu suluh dan melangkah menaiki tangga ke tingkat atas.

“Zarul, kamu tunggu dengan mak dan Zara. Kamu semua jangan ke mana-mana, tunggu je kat situ sampai Pak Lang selesai hal dia kat luar. Benda tu sedang cari anaknya yang dah ayah kunci kat alang tiang seri tu,” kata ayah aku kepada Abang Zarul. Aduh, ayah ni. Boleh tak kalau tak payah beritahu pasal benda kat luar dan  yang kat atas alang tu? Baru je nak lega.

– Bersambung –

One thought on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s