TUMPANG

Bab 7

Malam tu solat isya aku adalah solat terpendek yang pernah aku buat selama aku hidup di muka bumi Allah ni. Iftitah takde, terus Al-Fatihah. Surah pun takde. Rukuk sujud, semua yang wajib je la. Khusyu’? aku tambah lagi satu dosa menipu kalau aku kata aku solat isya’ malam tu dengan penuh khusyu’ dan tawaddu’. Dalam kepala aku dok terbayang ada benda pelik sedang duduk kat atas katil aku, memerhatikan aku solat. Terasa-rasa je benda tu mengesot rapat kat aku, nak pegang aku. Ewwwwww…..! Begitulah jadinya bila syaitan menguasai minda. Masa solat pun ingat kat benda alah tu. Walhal masa solat, Allah ada ke depan aku. Allah lagi kuat, Allah lagi Berkuasa. Tapi hantu juga yang manusia takutkan.

Selesai solat isya’, aku tak sempat gantung telekung aku cantik-cantik macam selalu. Tanggal je telekung, biar kat sejadah, gulung je terus. Lepas tu aku terus lari keluar. Ayah dan Abang Zarul masih kat tengah rumah tu. Mereka berdua pandang aku macam terkejut.

“Mak aii, dah sudah solat dah? Kau buat solat witir satu rakaat ke cemana?” Abang Zarul tanya aku. Perli la tu. Aku tak jawab. Terus je jalan ke ruang atas, nak cari mak aku. Sambil tu, mata aku perhati ayah aku yang sedang membelek tiang seri rumah tu. Aku nampak ayah tabur besi karat dan garam kasar kat keliling tiang seri tu. Patutlah tadi nampak ayah terbongkok-bongkok kat situ.

Aku terus melangkah ke bilik mak. Aku nampak mak sedang duduk mengadap Al Quran. Aku tak dengar mak baca tapi aku nampak mak masih dengan kain telekung, duduk kat atas sejadah dan di depannya ada Al Quran.

“Mak, malam ni mak tidur dengan Zara ye?” kataku.

“Hmm…,” mak menyahut.

“Boleh ke mak? Zara takutlah nak tidur sorang. Entah apa benda kat luar sana. Abang Zarul pula jumpa botol pelik kat dalam bilik dia. Malam nanti, tak tahu la apa benda pula yang nak muncul. Ni semua perempuan tu punya pasal. Ayahlah, baik hati sangat bagi orang tumpang bermalam bagai. Kan dah menanggung,” rungutku.

Mak aku diam je. Malas nak layan aku agaknya.

“Mak dengar tak Zara cakap ni?” aku tanya lagi.

“Zara!” tiba-tiba aku dengan suara mak aku memanggil aku dari dapur. Aku terkedu sekejap. Aku pandang ‘mak’ yang sedang duduk di atas sejadah. Kaki aku melekat kat lantai. Tiada daya nak angkat kaki keluar dari bilik tu pun.

‘Mak’ aku kat atas sejadah tu tiba-tiba bergerak. Dia bangun berdiri sambil membelakangkan aku. Dia berdiri tinggi. Tinggi sampai alang rumah. Aku masih kat situ, dengan lutut terketar-ketar. Nak lari takde daya, nak jerit takde suara. Lagi nak buat apa?

“Zara, kau tak dengar ke mak panggil?” tiba-tiba Abang Zarul menyelak langsir pintu bilik mak dan panggil aku dengan nada suara yang agak tinggi. Aku menoleh kepada Abang Zarul. Aku berlari ke arahnya dan terus peluk Abang Zarul sambil menangis.

“Kau dah kenapa ni Zara? Aku bukan marah kau, Cuma kau tu buat tak dengar je mak panggil dah berkali-kali,” kata Abang Zarul melembutkan sikit suaranya bila aku menangis menggeletar sambil memeluk dia. Aku toleh kembali ke tempat ‘mak’ aku tadi. Tiada siapa di sana. Tapi memang ada sejadah, telekung dan Al Quran, cuma mak takde kat sana.

“Tadi ada orang kat situ. Zara ingat itu mak.” Kataku memberitahu Abang Zarul dengan suara masih menggeletar.

“Dah. Pergi kat mak. Mak ada kat dapur. Jangan jalan sendiri lagi. Ikut je mak atau ayah atau aku, faham?” kata Abang Zarul menolak aku keluar dari bilik itu. Dia pula menjenguk ke dalam bilik memerhati sekeliling tapi tak lama. Dia pun seram sejuk le tu.

Aku terus ke dapur. Mak sedang melenyek pisang. Katanya nak buat cekodok untuk sarapan pagi esok. Dalam keadaan macam ni pun, mak masih ada hati nak masak.

“Tolong mak ambilkan tepung. Mak malas nak bangun. Tadi mak lupa ambil,” kata mak aku. Aku akur. Cepat-cepat ambil tepung dan kembali kepada mak.

“Mak dah solat isya’?” aku bertanya.

“Dah,” jawab mak ringkas.

“Kenapa mak tak sangkut telekung?” aku tanya mak.

“Mak ingat sebelum tidur nanti mak nak solat sunat. Mohon Allah jauhkan kita dari bala bencana,” kata mak sambil mengacau tepung dan pisang yang dah disatukan di dalam besen kecil. Aku diam.

“Kenapa Zara tanya? Mana Zara tahu mak tak sangkut telekung?” mak aku tanya pula.

“Takde apalah mak.” Jawabku, malas nak panjangkan cerita walaupun dalam hati aku tertanya-tanya siapa kat bilik mak aku tadi.

Sedang aku sembang dengan mak tu, ayah turun tangga ke dapur dan terus buka pintu. “Abang nak ke mana pulak tu? Dah malam ni. Tak payahlah keluar,” kata mak.

“Aku ada kerja sikit. Sekejap je.” Kata ayah terus melangkah keluar. Aku pula cepat-cepat pergi tutup pintu semula, takut betul aku tengok pintu terbuka luas malam-malam ni sejak perempuan tu datang malam semalam. Risau aku kalau dia datang lagi malam ni.

“Abang kau mana?” mak tanya aku. Aku jenguk ke atas, kat tingkat tengah. Aku nampak Abang Zarul sedang duduk bersandar kat dinding.

“Ada kat atas tu,” kataku memberitahu mak.

“Apa dibuatnya?” mak tanya lagi. “Takde buat apa, dia duduk je,” kataku.

“Zarul,” mak aku panggil. Aku tengok Abang Zarul, dia masih duduk di posisi tadi. Tak bergerak apatah lagi nak menoleh. Menyahut pun tak.

“Zarul?” mak aku panggil lagi. Abang Zarul tetap tak menyahut.

“Abang!” panggilku kuat sedikit, geram bila tengok Abang Zarul tak bagi respon langsung.

Abang Zarul seperti terkejut, terus bangun dan berlari turun tangga terus ke dapur. Mukanya pucat.

“Kamu ni dah kenapa?” mak aku tanya. Abang Zarul diam, tak menyahut tapi dadanya turun naik menandakan nafasnya kencang seperti baru bersukan berat.

“Mak, ada benda kat kayu alang bumbung rumah kita ni,” Zarul bersuara buatkan aku dan mak memandangnya tanpa berkedip mata.

“Benda apa? Kamu nampak apa?” Mak aku tanya dengan wajah cuak.

“Zarul nampak mata. Kata atas kayu alang, dia pandang Zarul.” Kata Zarul.

“Kamu jangan main-main Zarul. Ayah kamu tu keluar buat apa?” tanya mak, berhenti terus mak kacau pisang dengan tepung tu.

“Ayah bawa botol yang Zarul jumpa kat dalam bilik tu. Zarul rasa ayah nak tanam botol tu,” kata Zarul.

“Botol apa tu?” mak tanya lagi.

“Entah,” sahut Zarul.

Zarul terus bangun ke pintu. “Abang nak ke mana tu?” aku pula bertanya.

“Nak pergi tengok ayah,” kata Abang Zarul.

“Eh, tak payahlah. Tunggu kat sini. Sekejap lagi ayah balik la tu,” kataku. Sebenarnya aku takut. Nanti aku tinggal berdua dengan mak je, takde lelaki. Dah la Abang Zarul kata dia nampak mata kat alang rumah.

Nasib baiklah tak lama lepas tu ayah pun masuk dalam rumah. Terus kunci pintu.

“Abang tanam kat mana botol tu?” mak bertanya.

“Kat belakang reban ayam, bawah pokok cempedak,” kata ayah.

“Ayah, Zarul nampak sesuatu kat kayu alang rumah,” kata Zarul.

“Kamu nampak apa?” ayah tanya balik.

“Sepasang mata, tak berkelip pandang Zarul. Tapi tak begitu nampak muka dan badan,” kata Abang Zarul.

Ayah diam. Tak bagi respon kepada aduan Abang Zarul. Masa ni aku nak sangat telinga aku jadi pekak. Biar aku tak dengar apa yang mereka bualkan.

“Apa benda tu bang?” mak tanya abah.

“Tadi, masa aku balik dari masjid lepas solat isya’, aku nampak perempuan semalam berdiri kat atas jalan depan rumah kita ni. Dengan dua anaknya, sama macam semalam. Tu yang aku kelam kabut balik dan ketuk pintu, hampir setengah jam. Perempuan tu datang kat aku, dia kata dia ada tertinggal barang. Dia nak ambil semula.” Kata ayah membuka kisah yang dilaluinya tadi.

“Barang apa yang dia tertinggal? Dah sah-sah la dia bukan manusia, berani lagi dia datang sini?” kata mak aku.

“Alang awak ada beritahu aku pagi tadi, katanya siapapun yang hantar benda tu kat kita, dia akan datang balik untuk tuntut barang dia. Tapi dia tak boleh masuk kawasan rumah ni sebab Alang dah pagar katanya, dengan besi karat dan garam kasar.” Kata ayah.

“Siapa dia tu? Kenapa dia kacau keluarga kita?” mak tanya lagi tak puas hati.

“Alang kata, boleh je silap rumah. Mungkin nak hantar ke rumah lain.” Sahut ayah.

“Boleh pulak silap rumah benda macam ni?” terpacul aku bertanya.

“Boleh. Sama juga macam santau. Nak hantar kat orang lain, tapi terkena kat orang lain,” kata ayah lagi.

“Tok tok tok,” tiba-tiba pintu dapur diketuk orang. Aku tengok jam, waktu yang sama perempuan tu datang semalam.

Kami semua diam, tak bergerak.

“Tok tok tok,” ketukan itu berbunyi lagi, kali ni lebih kuat.

“Siapa tu?” ayah aku bertanya. Tiada sahutan. Lama juga keadaan senyap sunyi.

Tak lama lepas tu kami dengar bunyi seperti seseorang sedang berjalan di atas bumbung rumah. Berjalan tanpa henti, mundar mandir dari hujung sana ke hujung sini.

“Jom kita ke tingkat tengah.” Ayah mengajak kami semua. Aku, mak dan Abang Zarul akur. Kami terus ke tingkat tengah. Aku tak berani nak jenguk dalam bilik. Tapi Abang Zarul terus masuk ke bilik dia.

Ayah pula terus ke tiang seri, mendongak melihat ke atas. Dan ayah tunduk semula dengan wajah yang menyembunyikan sesuatu.

“Ada apa kat atas tu?” mak tanya.

“Takde apa,” sahut ayah.

Abang Zarul tiba-tiba keluar dari bilik, dan memegang sesuatu lalu menyerahkan kepada ayah. “Ayah, ini kan botol yang ayah pergi tanam tadi? Kenapa masih ada kat bilik Zarul?” Abang Zarul tanya. Dan masa ini, bunyi orang berjalan di atas bumbung makin kuat.

Ayah ambil botol tu dari tangan Abang Zarul. “Mungkin benda ni yang dia nak ambil balik kot,” kata ayah.

“Tapi kan ayah dah tanam tadi?” Abang Zarul bertanya. Ayah tak jawab. Tapi wajah ayah keliru dalam serius.

“Ayah dah tanam. Tapi lepas ayah tanam, masa ayah melangkah balik ke rumah ni, ayah dengar bunyi sesuatu sedang mengorek di tempat ayah tanam tu. Ayah jalan terus, tak patah balik.” Kata ayah.

“Maknanya dia masuk rumah ni dah letakkan kembali ke tempat asal?” mak tanya. Aku dah seram sejuk.

“Mak, jom la kita keluar dari rumah ni. Zara takut sangat ni. Apa benda yang kacau kita ni?” kataku hampir menangis.

Abang Zarul mendongak ke kayu alang rumah. Wajahnya berubah. “Ayah?” Abang Zarul panggil ayah. Ayah buat isyarat suruh diam. Abang Zarul pandang aku dan mak. Lagi la kecut perut aku. Mak tak sabar, mak mendongak nak tengok ke atas alang rumah tapi ayah cepat-cepat pegang kepala mak, tak bagi mak mendongak. Aku? Memang takkan aku dongak laaaaa….

“Ada apa kat atas sana?” mak tanya.

“Takde apa. Awak dengan Zara pergi masuk bilik. Baca Al Quran. Jangan tegur apa pun yang awak nampak atau dengar,” kata ayah.

“Cuba abang bagitahu apa sebenarnya yang berada kat dalam rumah ni?” mak tanya lagi.

“Zara, pergi bawa mak masuk bilik,” kata ayah. Aku? Ayah suruh aku bawa mak masuk bilik? Kaki aku dah macam magnet dah melekat kat lantai. Sekarang ni aku yang sedang berharap ada orang papah aku masuk bilik.

“Zara! Kamu dengar tak apa ayah cakap?” ayah aku bersuara dengan nada agak tinggi. Aku cepat-cepat pegang tangan mak dan bawa mak masuk bilik aku.

– Bersambung –

One thought on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s