TUMPANG

Bab 6

Abang Zarul melangkah ke pintu menghala ke dapur. Kami ikut. Kami jenguk dari pintu. Tak nampak apa-apa yang pelik. Abang Zarul melangkah turun tangga perlahan-lahan. Aku dan mak pun turut melangkah turun tangga. Ketika Abang Zarul sampai di tangga terakhir di bawah sekali, ada sesuatu melintas laju di depan kami. Dari pintu keluar terus masuk ke bilik air. Tak nampak jelas, sebab memang laju.

Abang Zarul berhenti. Begitu juga aku dan mak. “Mak nampak tak?” Abang Zarul tanya.

“Macam ada benda melintas kan? Laju, tak nampak apa benda,” kata mak. Aku anggukkan kepala tanda setuju.

“Apa benda tu?” Abang Zarul tanya. Aku dan mak angkat bahu. Abang Zarul melangkah perlahan ke arah bilik air.

“Kamu nak ke mana tu Zarul?” mak tanya.

“Nak tengok kot dia menyorok kat bilik air. Tadi nampak dia macam lari ke bilik air,” kata Abang Zarul.

“Hish, jangan berani sangat. Tunggulah ayah kamu balik,” kata mak.

Abang Zarul tak jawab apa-apa tapi dia terus melangkah perlahan ke bilik air. Pintu bilik air tertutup rapat. Baru je Abang Zarul nak tolak pintu bilik air, kami dengar bunyi air dalam kolah berkocak seperti ada yang mengocak air dalam kolah tu. Abang Zarul pandang aku dan mak. Mak bagi isyarat supaya jangan pergi ke bilik air tu.

Tapi Abang Zarul degil. Dia menolak pintu bilik air yang tertutup rapat tu, perlahan-lahan. Sebaik pintu bilik air terbuka, kami nampak cebok sedang jatuh ke lantai seperti ada yang mencampaknya. Abang Zarul memetik suis lampu bilik air. Baru terang sikit.

Abang Zarul masuk ke dalam bilik air. Mengangkat cebok yang jatuh ke lantai. Air dalam kolah berkocak kuat. Abang Zarul jenguk ke dalam kolah, tiada apa di sana. Dan masa ni kami dengar bunyi mencakar tadi di atas bumbung bilik air. Berkeriut bumbung zink kami, buatkan mak terjerit sikit kerana terkejut. Abang Zarul pula melompat keluar dari bilik air.

“Apa benda tu?” Abang Zarul bertanya.

“Ada musang sesat kot,” kata mak nak menyejukkan hati. Aku dan Abang Zarul diam.

Tak sempat kami berfikir dengan baik, tiba-tiba terdengar bunyi berdentum kat tingkat atas. Dan diikuti dengan bunyi seperti seseorang berlari. Bergegar lantai papan rumah kami. Aku dah la yang paling belakang masa tu. Berdiri kat atas tangga. Kalaulah memang ada benda kat tingkat atas tu, memang aku la yang dia nampak dulu. Euuwww…. Meremang bulu roma aku weh. Tak berani nak pandang belakang pun.

“Apa benda pulak tu?” mak tanya. Aku dah pejamkan mata, takut.

Abang Zarul menaiki tangga terus ke tingkat tengah dan tingkat atas. Aku dan mak tak ikut. Kami berhenti kat tingkat tengah.

“Mak!” Abang Zarul panggil.

Aku dan mak bergegas berlari ke tingkat atas. Kami nampak Abang Zarul sedang berdiri di satu tempat dan di depannya ada bungkusan kain putih.

“Apa tu?” Mak tanya.

“Nampak macam batu nisan,” kata Abang Zarul.

“Allah!” ucap mak menggeletar.

“Siapa yang baling batu nisan ke sini?” Abang Zarul bertanya lagi.

Tiada sahutan, tiada jawapan. Masing-masing panik dan ketakutan.

Tak semena-mena kami terhidu bau busuk macam bangkai. Busuk sangat sampai aku rasa nak termuntah.

“Ni bau apa pula ni?” Abang Zarul bertanya sambil menutup hidungnya.

Aku dan mak masih diam. Tak tahu nak kata apa. Kali ni aku terasa macam jarum jam tu lambat sangat berjalan. Sebab tu ayah aku lambat balik. Kalau ayah aku ada, takdelah kami setakut ini.

“Ada orang nak main-mainkan kita ni mak,” kata Abang Zarul. Mak tak menjawab.

Abang Zarul melangkah ke salah satu tingkap lalu membukanya. Dia menjenguk ke luar.

“Mak, mari sini,” Abang Zarul melambai ke arah mak dan memanggil mak dengan nada berbisik. Mak pun berjalan menghampiri Abang Zarul. Aku pula dah macam belangkas melekat kat mak. Mata aku tak lepas dari memandang bungkusan yang berisi batu nisan tu.

“Mak nampak tak tu?” kata Abang Zarul sambil menunjukkan ke satu arah.

“Siapa tu?” mak bertanya setelah dia nampak seseorang berdiri di bawah pokok cempedak kat sebelah rumah kami.

“Entah. Tapi dia macam memandang ke arah kita,” kata Abang Zarul.

Aku pun sibuk nak menjenguk. Aku nampak seseorang seperti seorang lelaki, memakai jubah berwarna putih. Tapi tak begitu jelas sebab masa tu mana ada lampu jalan. Dapat lihat dari cahaya suram bulan je sebab masa tu bukan bulan penuh.

Dan tiba-tiba ‘DUM!’ sesuatu jatuh di atas bumbung. Dan kami dengar bunyi tu seakan bergerak ke arah tingkap yang sedang terbuka di mana kami bertiga sedang memerhati susuk tubuh di luar sana.

“Zarul, tutup tingkap tu. Entah apa benda yang kacau kita ni,” kata mak.

Abang Zarul cepat-cepat menutup tingkap. Kami menoleh ke arah bungkusan batu nisan tadi, tapi batu nisan tu tiada di sana.

“Mana pergi bungkusan tadi?” Abang Zarul bertanya. Aku hanya geleng kepala dan angkat bahu.

“Siapa ambil?” Abang Zarul bertanya dan memerhati keliling. Aku tetap angkat bahu. Dah tak mampu bersuara dah. Lutut aku menggeletar.

Tak cukup dengan itu, tiba-tiba pintu dari beranda diketuk kuat dari luar. Melompat aku, mak dan Abang Zarul sekali. Terkejut. Macam nak jatuh jantung kami dah. Sekarang ni nak lari keluar pun takut, duduk diam dalam rumah pun takut.

Bunyi ketukan makin kuat. “Siapa tu? Jangan main-main. Kalau ini gurauan, kamu dah melampau!” kata Abang Zarul separuh menjerit. Nampak macam Abang Zarul dah bengang dan naik marah. Mungkin dia dah penat terkejut.

Abang Zarul melangkah ke pintu. Mak bagi isyarat jangan buka.

“Takpe mak. Kita buka. Ni mesti ada orang nak main-mainkan kita ni,” kata Abang Zarul seperti dah hilang sabar. Mak tak sempat menahan dan Abang Zarul dah buka pintu. Berdebar-debar dah jantung aku. Aku tak sanggup nak tengok apa kat luar pintu tu.

“Kamu semua ni dah kenapa? Ayah ketuk pintu dapur macam dah nak pecah, takde siapa buka pintu. Ayah bagi salam sampai dah nak hilang suara, takde siapa menyahut. Ni yang ayah ketuk pintu beranda pulak. Nasib baik ada orang. Kalau tak, ayah nak report polis je,” rungut ayah dengan wajah seakan marah dan melangkah masuk lalu membuka kopiahnya dan menyangkutnya pada paku di dinding.

Aku, mak dan Abang Zarul kehilangan suara. Terkejut bila dapat tahu yang mengetuk pintu macam nak pecah tu ialah ayah. Ayah yang kami kenal sebagai seorang yang lemah lembut tu. Maknanya ayah dah betul marah la tu. Entah dah berapa lama dia ketuk pintu dapur agaknya. Aku tengok jam, pukul 9.30 malam. Selalunya ayah akan sampai ke rumah lepas solat isya’ pukul 9.00 malam. Maknanya ayah dah ketuk pintu selama setengah jam! Patutlah ayah marah.

Mak bagi isyarat kat Abang Zarul supaya menutup dan mengunci pintu beranda tu cepat-cepat. Abang Zarul akur. Mak menghampiri ayah yang sedang menanggal baju melayunya, tinggal tshirt pagodanya saja.

“Lama dah ke abang sampai?” mak tanya dengan nada sehabis lembut. Cuba nak pujuk ayah, nak redakan marah ayah.

“Lama dah. Awak semua ke mana?” tanya ayah, nadanya perlahan sikit dari tadi.

Aku, mak dan Abang Zarul berpandangan sesama sendiri. Tak tahu macammana nak mulakan kata-kata. Mak bagi isyarat suruh diam dulu, jangan cakap apa-apa sebab mood ayah masih belum ok. Ayah terus melangkah ke dapur. Masa ni bulat mata aku pandang mak. Baru teringat makan malam belum terhidang.

Ayah pula laju ke dapur. Terus buka tudung saji. Lauk tak berpanas, nasi tak bercedok, semua pun tak tersedia.

“Awak semua tak makan malam ke?” ayah aku tanya, masih dengan nada yang belum tenang.

“Maaf bang. Ada hal sikit tadi. Sekejap saya siapkan. Zara, meh tolong mak,” kata mak aku, cepat-cepat mengangkat lauk di atas meja dan masukkan ke dalam periuk lalu panaskannya. Ayah duduk di lantai tepi pintu dapur lalu membuka surat khabar jawi yang memang ada kat situ. Abang Zarul duduk sebelah ayah.

“Ayah,” Abang Zarul panggil ayah perlahan. Ayah tak menyahut tapi memandang Abang Zarul, memberi isyarat untuk teruskan percakapan.

“Zarul nak tanya sikit ni.” Kata Abang Zarul. Mak dah jegilkan mata kat Abang Zarul sebagai amaran jangan cakap apa-apa lagi kat ayah. Tapi Abang Zarul degil. Dia dah tak boleh tahan dah. Kalau aku pun, aku akan cakap.

“Hah, nak cakap apa?” kata ayah bila Abang Zarul diam.

“Tak payah keluar malam ni. Duduk je kat rumah,” kata ayah.

“Bukan macam tu. Tadi masa ayah kat luar, ayah ada nampak atau dengar bunyi yang pelik-pelik tak?” Abang Zarul bertanya.

“Maksud kamu? Bunyi pelik macammana tu?” tanya ayah sambil mengerutkan dahi.

“Apa-apa saja, yang tak biasa kita dengar kat rumah ni. Atau nampak sesiapa yang pelik ke? Atau ada bau pelik ke,” kata Abang Zarul. Ayah diam sejenak, seperti berfikir apa yang Abang Zarul cuba sampaikan.

“Sebenarnya kamu nak cakap apa ni? Cuba cakap terus terang,” kata ayah.

“Tadi lepas maghrib, macam-macam benda pelik terjadi kat dalam rumah ni. Ada benda mencakar dinding kat luar rumah, ada benda melintas laju masuk ke bilik air, kocakkan air, lepas tu ada bungkusan batu nisan kat tingkat atas, macam-macam lagi. Sampailah ayah ketuk pintu beranda tu.” kata Abang Zarul.

“Iye ayah. Sebab tu kami tak sediakan makan malam lagi. Dan sebab tu juga agaknya kami tak dengar ayah ketuk pintu dapur,” sambungku pula sambil menyedok nasi masuk ke dalam pinggan.

“Ada lagi yang mengganggu ke?” kata ayah perlahan.

“Apa yang mengganggu, ayah?” Abang Zarul tanya. Iyelah, Abang Zarul kan takde kat rumah semalam. Dia tak tahu apa dah jadi semalam. Dia cuma tahu bilik dia bersepah macam dilanggar garuda je. Aku pun belum sempat menceritakan apa yang terjadi. Tapi Abang Zarul tahu bahawa ada perempuan dan dua anaknya menumpang tidur kat rumah kami semalam.

“Dah. Jom kita makan dulu. Dah lewat ni,” kata mak. Ayah bangun, terus ke meja makan dan duduk tempat kebiasaannya. Abang Zarul mengikut. Aku dan mak pun turut duduk sekali. Tiada siapa yang buka mulut bercakap masa makan. Semua diam tapi aku, Abang Zarul dan mak sesekali memandang sesama sendiri, pelik sebab ayah diam je. Tapi muka ayah serius.

Selesai makan, ayah terus naik ke tingkat tengah. Aku dan mak kemaskan meja makan dan basuh pinggan. Abang Zarul ambil wudhu dan solat isya’.

Aku perhatikan ayah dari dapur. Ayah berdiri di tengah-tengah ruang tu, memerhati sekeliling. Sesekali aku tengok ayah meraba dan mengetuk dinding. Ayah dongak ke atas pandang kayu alang dan bumbung rumah. Lepas tu aku nampak ayah pegang tiang seri rumah tu, mengusap tiang tu dari atas ke bawah dan meletakkan sesuatu di keliling tiang seri itu.

Aku cuit mak dan suruh mak tengok ayah. “Biarkan dia. Ada la benda dia nak buat.” Kata mak.

Setelah siap semua kerja dapur, aku dan mak pun ambil wudhu dan solat isya’. Belum sempat aku masuk bilik untuk solat, Abang Zarul keluar dari biliknya dan membawa sesuatu di tangannya.

“Apa ni ayah? Ini bukan barang Zarul ni,” kata Abang Zarul sambil menyerahkan satu botol kecil dan di dalamnya terdapat bungkusan kuning yang diikat dengan benang hitam.

Ayah mengambil botol itu dari tangan Abang Zarul. Aku pula tak jadi masuk bilik, dah keras kejung kat pintu bilik. Ayah pandang aku. “Apa yang kamu tercegat kat situ? Pergi masuk solat.” Kata ayah menjeling aku. Lain macam angin ayah aku malam ni, tahulah dia penat ketuk pintu kat luar.

Walaupun takut nak masuk bilik, aku masuk juga sebab masa tu aku rasa macam aku takut kat ayah aku lebih dari takutkan hantu.

– Bersambung –

One thought on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s