TUMPANG

Bab 5

“Perempuan tu baring kat mana semalam?” Pak Lang tanya.

“Kat tingkat tengah tu,” jawab mak.

Pak Lang pergi ke tempat perempuan tu baring semalam. Dia memandang keliling. Memegang setiap penjuru dan dinding.

“Dia baring atas apa? Ada bagi bantal atau tilam?” tanya Pak Lang lagi.

“Itu semua barang yang perempuan tu gunakan semalam. Saya Cuma lipat ke tepi, tak berani nak angkat ke bilik.” Kata mak aku sambil menunjukkan tilam bantal dan kelambu yang digunakan oleh perempuan semalam.

Pak Lang membelek tilam bantal tu, menepuk-nepuk dan menekan ke atasnya dan kemudian meletakkannya semula. “Takde apa kat sini,” kata Pak Lang. “Pergi jemur tilam bantal semua ni. Biar kena matahari,” kata Pak Lang. Mak  pandang aku, bagi isyarat suruh jemur tilam bantal tu semua. Sedangkan aku takut nak sentuh benda tu.

“Takde apa. Pergi jemur. Lagi kamu takut, lagi dia suka. Jangan takut pada dia. Takutlah pada Allah,” kata Pak Lang tanpa pandang aku.

“Takkanlah tak takut Pak Lang. Dia masuk bilik Zara, dia bersembang dengan Zara. Dia berjalan-jalan kat ruangan ni. Dia ke dapur minum. Tipulah kalau Zara cakap Zara tak takut,” sahutku, kecil hati aku bila Pak Lang cakap macam tu. Macamlah aku ni cuba nak buat-buat takut, macamlah aku ni takut hantu lebih dari takut kat Allah. Aku tahulah jangan takut kat hantu tapi takut kat Allah. Aku tahu semua tu. Dah aku yang hadap perempuan tu malam semalam. Aku takutlah. Mak pandang aku. Pak Lang pun diam.

Sebab dek bengang dengan apa yang Pak Lang cakap, aku terus angkat tilam bantal tu dan bawa keluar rumah dengan diperhatikan oleh Pak Lang yang tersenyum lebar melihat aku marah.

Lepas jemur tilam dan bantal kat luar, aku masuk semula ke dalam rumah. Masa tu mak aku dengan Pak Lang berada di dapur. Ayah aku pula berada di bawah rumah, sedang mengasah parang. Katanya hari ni nak tebang pokok pisang. Sebab pisangnya dah masak.

Aku duduk kat atas tangga, memerhati Pak Lang dan mak aku. Mak aku tunjuk ke atas kayu alang tempat dia nampak budak kecil yang makan telur ayam kampung tu.

“Kalau ikut dari cerita kamu, memang benda tu dah ditinggalkan kat sini sebab dia dah makan sesuatu dari rumah ni. Bila kamu dah bagi dia makan, bermakna kamu dah setuju untuk dia tinggal di sini,” kata Pak Lang.

“Hah! Semudah itu?” aku bertanya.

“Tak semudah itu. Tapi dia dah berada di dalam rumah ni la.” Kata Pak Lang.

“Halaulah dia pergi,” kataku.

“Kamu ingat halau benda tu sama macam halau kucing?” kata Pak Lang lagi.

“Dia pun semudah itu masuk rumah ni, takkan nak suruh keluar susah pulak,” kataku membalas. Mak aku berdehem dah. Dia tahu aku ni kalau berdebat taknak kalah. Tak kisahlah debat dengan siapapun.

“Susah nak cari sebab dia belum tetap kat mana. Jadi, kena perhatikan kalau-kalau nampak benda pelik kat tempat-tempat yang dia ada lalu. Ikutkan cerita kamu, dia dah lalu kat semua kawasan rumah kamu ni. Jadi, tak tahu nak cari kat mana. Aku pun bukannya pandai sangat.” Kata Pak Lang.

“Ada orang hantar ke?” mak aku tanya.

“Entahlah. Boleh jadi orang hantar, boleh jadi dia sesat, atau boleh jadi dia memang sedang cari tuan baru,” kata Pak Lang buatkan aku rasa seram sejuk.

“Jadi, kita nak buat apa sekarang ni?” tanya mak aku. Masa ni ayah aku masuk ke dalam rumah. Dia terus duduk kat kerusi makan dan memandang mak dan Pak Lang aku.

“Halim, kamu ambil tahi besi, campurkan dengan garam kasar. Tabur di setiap penjuru rumah. Kalau benda tu sesat atau cari tuan baru, dia akan rasa panas dan akan pergi segera sebab dia dah tahu rumah ini bukan tempat yang sesuai untuknya. Lagipun, kita perlu bagi makan 7 hari berturut-turut barulah dia bertuankan kita. Sebenarnya banyak lagi perkara lain yang perlu kita buat kalau nak bela benda-benda ni. Korang pun rajin solat, rajim baca Quran, panaslah dia nanti. Harap-harap dia keluar dari rumah ni,” kata Pak Lang membuatkan aku dan mak tarik nafas lega. Ayah pula menganggukkan kepala tanda faham dengan apa yang Pak Lang cuba sampaikan.

Pak Lang merapati ayah. Aku nampak Pak Lang berbisik sesuatu kepada ayah sambil pandang aku dan mak. Ayah pula menganggukkan kepala.

Lebih kurang sejam Pak Lang kat rumah aku, dia pun minta diri untuk balik. Katanya dia ada hal nak ke pekan. Dia pun berpesan kat kami, jangan fikir sangat. Sebab takut bila kita terlalu fikirkan benda tu, fikiran bercelaru, hati jadi tak tenang. Lagi mudah benda pelik ni menumpang.

Lebih kurang pukul 10 pagi, Abang Zarul balik. Dia terus masuk ke bilik. Tak sampai seminit, dia keluar dari bilik. “Mak, siapa masuk bilik Zarul semalam?” tanyanya.

“Takde siapa masuk bilik kamu. Kenapa?” tanya mak pula. Aku yang sedang potong pucuk paku pun memandang Abang Zarul.

“Semua barang Zarul bersepah di lantai. Katil pun berselerak dah macam dilanggar garuda,” rungut Abang Zarul.

“Kau masuk bilik aku ke Zara?” tanyanya sambil memandang tepat kat muka aku. Abang Zarul memang tak suka orang masuk bilik dia, pantang betul dia. Abang Zarul ni seorang yang teliti, segalanya kena kemas. Aku berani cakap, dia lebih pengemas dari aku. Sebab tu dia boleh jadi arkitek kot.

“Buat apa Zara nak masuk bilik abang?” sahutku, geram juga bila dia suka-suka nak tuduh aku.

“Ada barang hilang ke?” tanya mak.

“Mak mari ikut Zarul. Mak tengok sendiri bilik Zarul,” kata Abang Zarul sambil menarik tangan mak untuk ikut bersamanya ke bilik. Aku pun berhenti memotong pucuk paku, turut ikut Abang Zarul dan mak aku. Aku tengok bilik Abang Zarul.

Betul sungguhlah. Bersepah bilik Abang Zarul. Buku-buku semua dah tercampak ke lantai. Kain cadar dah di tarik ke lantai. Dinding papan bertoreh-toreh dengan sesuatu yang tajam. Pakaian dalam almari pun semuanya dah bersepah kat luar dengan pintu almari dah tercabut. Hish, betul-betul dilanggar garuda ni.

“Takde siapa masuk bilik ni pun. Siapa buat semua ni?” tanya mak dengan wajah pelik memerhati sekeliling bilik Abang Zarul.

“Zara, pergi panggil ayah,” kata mak. Dan aku cepat-cepat cari ayah. Aku nampak ayah sedang duduk di kerusi malasnya di beranda. Masa ni aku jadi cuak gak. Betul ke itu ayah. “Ayah,” aku panggil. Ayah menoleh. “Kenapa?” tanyanya.

“Mak panggil,” kataku. Ayah lalu bangun, meletakkan buku yang sedang dibacanya dan mengikut langkah aku ke bilik Abang Zarul.

Muka ayah berubah sebaik melihat keadaan bilik Abang Zarul. “Zara, betul kamu tak masuk bilik abang kamu ni?” lagi sekali aku kena tuduh. Aku tarik muka.

“Kalau betul pun dia yang masuk, takkanlah dia nak buat semua ni jadi macam ni. Abang ni pun,” kata mak aku membela aku.

“Habis tu, siapa buat semua ni?” Abang Zarul bertanya. Merah padam mukanya. Kalau mak dan ayah takde tu, memang aku dah kena belasah kot.

“Perempuan semalam kot. Sebab kan Zara kata, Zara nampak Abang Zarul tidur kat biliknya? Tapi ayah pula kata, Abang Zarul tak balik,” kataku mengimbas kisah semalam.

“Perempuan? Perempuan mana pulak ni? Mak bagi orang tumpang tidur kat bilik Zarul ke?” tanya Abang Zarul.

“Semalam ada perempuan dan dua anaknya tumpang tidur kat rumah ni. Tapi mereka tidur kat luar je. Tak masuk bilik kamu pun,” kata mak.

“Siapa mak? Kot anak-anak dia yang main kat dalam bilik Zarul,” kata Abang Zarul masih tak puas hati.

“Dia tak macam yang abang sangka. Perempuan tu…” kataku terhenti bila ayah batuk. Tak tahulah batuk betul atau buat-buat batuk.

“Dah dah la tu. Kemas je balik. Tengok kot ada barang hilang. Mana tahu perempuan semalam sebenarnya nak mencuri je,” kata ayah.

Masing-masing terdiam. Abang Zarul terus mengangkat barang-barangnya yang bersepah di lantai dengan muka tak puas hati dan marah. Mana tak marahnya, semua plan yang dia buat dah koyak dan berselerak di lantai. Selerak boleh dikemas tapi dinding biliknya yang dah berlubang tu nak buat macammana.

“Nanti kita cari papan nipis, kita tampal bahagian yang berlubang tu,” kata ayah sambil berlalu pergi meninggalkan aku, mak aku dan Abang Zarul terkial-kial mengemas bilik tu. Tak lama kami bantu sebab lepas tu Abang Zarul suruh kami tinggalkan dia. Dia pun jenis tak suka orang usik barang dia. Bilik dia, dia yang kemaskan. Orang lain tak boleh usik. Mak pun ajak aku kembali ke dapur, sambung masak.

Tiada apa yang pelik hinggakan aku pun terlupa dah pasal perempuan semalam dan semua kejadian pelik tu. Ayah dan mak pun masing-masing tak buka cerita pasal semalam. Abang Zarul lagi la, dia tak tahu apa-apa, sibuk kemas bilik dari dia balik sampai asar. Lepas asar dia keluar main bola dengan kawan-kawannya. Dah nak maghrib baru balik, terus masuk bilik. Ayah pula pergi masjid.

Masuk jam 7 malam, aku mula rasa seram sejuk. Perasaan semalam kembali bertamu. Aku rasa macam ada seseorang yang lain dalam rumah tu, yang sedang memerhatikan segala pergerakan kami. Dan aku rasa macam seseorang tu bukan orang biasa. Sebab ada sesekali aku terdengar bunyi rengusan nafas yang kasar. Bila aku menoleh, takde sesiapapun.

Sebaik selepas solat maghrib, aku ambil Al-Quran dan baca. Bacaan aku asyik salah. Aku terlalu fokus pada bunyi nafas dan langkah lain dalam rumah tu. Dan dari dalam bilik tu, di sebalik langsir pintu bilik, aku dapat lihat memang ada seseorang yang sedang berjalan mundar mandir dalam rumah tu. Aku cuba buat tak tahu, cuba baca Al Quran, cuba fokus tapi tak boleh. Nak pula bila bunyi langkah tu berhenti kat depan pintu bilik aku. Aku terasa-rasa orang tu sedang berdiri kat langsir dan memerhatikan aku.

Tiba-tiba langsir diselak dengan kuat. Aku tersentak lalu menjerit. Aku tutup muka aku dengan tangan. Aku takut. Aku terasa seseorang tarik tangan aku.

“Weh Zara, kau ni dah kenapa ha?” aku buka mata, aku nampak Abang Zarul bertinggung kat depan aku.

“Eh abang, ingatkan siapa tadi,” kataku cuba menyembunyikan perasaan cuak aku.

“Kau dengar tak macam ada bunyi benda mencakar dinding kat luar rumah?” tanya Abang Zarul membuatkan aku cepat-cepat memasang telinga.

“Takde pun,” kataku.

“Cuba kau dengar betul-betul,” kata Abang Zarul. Aku pun diam, cuba fokus. Mula-mula perlahan, tapi makin lama aku dengar, bunyi tu macam makin kuat dan hampir dengan aku. Aku melompat bangun. Abang Zarul pun ikut bangun dan pandang keliling bilik aku.

“Abang dengar sama macam apa yang Zara dengar ke?” tanyaku.

“Aku dengar macam bunyi tu bukan kat luar rumah, tapi kat dalam bilik kau ni Zara,” kata Abang Zarul.

“Iye, Zara pun dengar macam tu. Apa benda tu bang?” tanyaku dengan wajah hampir menangis.

“Manalah aku tahu. Ke ada kucing kat bilik kau ni?” tanya Abang Zarul terus melangkah ke tepi katil aku dan membelek-belek dinding seperti mencari sesuatu.

“Korang buat apa kat sini?” tiba-tiba mak menegur kami. Aku yang tadi menahan tangis, terus menangis sebab terkejut. Aku terus bangun dan peluk mak aku.

“Kenapa ni?” Mak aku tanya sambil pandang Abang Zarul.

Abang Zarul buat isyarat suruh mak diam. Aku taknak pandang Abang Zarul. Aku terus peluk mak, tekupkan muka aku kat bahu mak.

Aku dengar suara Abang Zarul berbisik, “Ada orang kat luar rumah ni, sedang mencakar dinding. Ayah mana?” Abang Zarul tanya.

“Ayah kamu kat masjid la. Lepas isya nanti baru balik,” kata mak juga berbisik.

Tiba-tiba kami dengar bunyi tingkap terbuka dan tertutup seperti ada angin kuat. “Kau tak habis tutup tingkap ke tadi Zarul?” Mak tanya.

“Zarul dah tutup semua mak,” kata Abang Zarul sambil melangkah keluar dari bilik aku dan mencari tingkap yang berbunyi dentum dentam tadi.

“Takde pun tingkap yang terbuka. Semua dah kunci,” kata Abang Zarul selepas dia memeriksa semua tingkap.

“Takde apalah tu. Kita salah dengar tadi kot,” kata mak.

“Zara, jom tolong mak siapkan makan malam. Ayah balik nanti boleh terus makan sama-sama,” kata mak cuba mengalih perhatian kami. Aku tak jawab apa-apa. Aku ikut mak.

Belum sempat kami melangkah ke dapur, kami dengar bunyi pinggan mangkuk berlaga kat dapur. “Siapa kat dapur tu?” aku pandang mak. Mak angkat bahu.

“Abang Zarul, pergi tengok siapa kat dapur,” kataku.

Abang Zarul tiada pilihan. Dia je lelaki dalam rumah masa tu. Nak taknak, dia kena pergi lihat siapa atau apa kat dapur tu yang sedang bermain-main dengan pinggan mangkuk mak. Aku dan mak mengikut kat belakang Abang Zarul dengan dada yang berdebar macam nak pecah.

– Bersambung –

One thought on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s