TUMPANG

Bab 4

Aku merapati mak. Menggosok-gosok bahu mak. Mak masih kelihatan terkejut dengan apa yang terjadi. Aku pun seram sejuk juga.

“Mak, jom masuk bilik Zara sementara tunggu azan subuh.” Kataku sambil memegang tangan mak yang masih terketar-ketar. Mak ikut aku bangun dan melangkah perlahan masuk ke dalam bilik aku.

Belum sempat aku selak langsir bilik, aku nampak seperti seseorang sedang duduk di atas katil aku. Aku berhenti di muka pintu. Mak aku pandang aku, aku pula muncungkan mulut aku menunjukkan ke arah orang yang berada kat atas katil aku.

“Panggil ayah kamu. Jangan masuk dulu,” kata mak aku berbisik. Suara mak masih menggigil.

Aku pegang tangan mak, pimpin mak ke tingkat atas, terus tuju ke bilik ayah. Tapi ayah tiada di bilik. Aku panggil ayah perlahan. Tiada sahutan.

“Ke mana pulak ayah ni? Tadi baru je dia bercakap dengan kita?” kataku.

“Ada tu. Ke mana pula dia nak pergi. Bukannya masuk waktu subuh lagi kalau dia nak ke masjid pun. Lagipun, baru kejap tadi je dia naik ke sini kan?” Kata mak.

Tiba-tiba aku dengar bunyi kerusi malas ayah kat beranda berbunyi seperti ada orang yang sedang duduk di atasnya. Aku pandang mak. “Takkan ayah duduk kat kerusi malas tu waktu macam ni?” tanyaku perlahan dengan wajah pelik. Mak tak cakap apa-apa, tapi wajah mak menjelaskan perasaannya yang keliru dan cuak.

Aku buka pintu ke beranda perlahan-lahan. Aku nampak seseorang sedang duduk di atas kerusi malas ayah. Dan kerusi malas itu pun bergerak laju, lebih laju dari yang ayah selalu duduk. Aku tak nampak siapa yang berada di atas kerusi malas tu, sebab tempat bersandar kerusi tu agak tinggi. Aku cuma nampak ada orang di situ. Dan kat situ pun takde lampu, cahaya suram dari sang bulan je.

“Ayah,” aku panggil perlahan. Kerusi malas tu berhenti bergoyang. Aduh, tapi jantung aku pula yang makin berdegup kencang.

“Ayah buat apa kat sini?” tanyaku perlahan. Aku yakin itu ayah sebab siapa lagi yang ada dalam rumah aku ni. Ayah kata Abang Zarul takde, aku dengan mak kat sini, maka dah tentulah ayah yang duduk kat kerusi malas tu.

Dari samar-samar cahaya bulan, aku nampak kelibat seseorang bangun dari kerusi malas tu. Gerakannya agak perlahan. Dari susuk tubuh, aku rasa itu bukan ayah. Mak aku tarik aku masuk ke dalam rumah, dan suruh aku tutup pintu. Aku pula yang dah keras kejung kat situ, tak dapat nak bergerak.

“Zara, jom masuk. Bukan ayah tu,” kata mak aku sambil menarik aku masuk ke dalam rumah semula. Dengan terketar-ketar, mak aku cuba selak engsel pintu, nak kunci. Tapi tangan mak menggeletar membuatkan selak besi tu tak masuk ke dalam lubang kuncinya. Aku pula dah macam orang bingung, diam tak tahu nak buat apa. Aku asyik melihat susuk tubuh yang berjalan perlahan menuju ke pintu yang sedang mak aku nak kunci tu.

“Ni dah kenapa pulak ni?” tiba-tiba ayah bersuara membuatkan mak menjerit dan aku macam baru tersedar dari mimpi.

“Tu ada orang kat luar, duduk kat kerusi malas abang. Dia sedang berjalan ke pintu ni. Abang tolong kunci pintu ni cepat,” kata mak.

“Mana ada siapa kat luar tu. Awak ni mimpi ke?” tanya ayah lalu merapati pintu dan membukanya. Tiada siapa kat luar seperti yang yang aku dan mak nampak tadi.

“Takde siapa pun,” kata ayah setelah menoleh ke kiri dan kanan beranda. Aku pun ikut jenguk sekali, memang tiada sesiapa.

Ayah terus menutup pintu dan menguncinya.

“Ayah kat mana tadi? Kami panggil ayah tapi ayah takde kat bilik,” kataku.

“Ayah ke bilik air, ambil wudhu. Nak solat sunat, lepas tu ayah terus ke masjid. Kenapa cari ayah?” tanya ayah aku.

“Kat bilik Zara tu, macam ada orang sedang duduk kat atas katil,” kataku sambil menudingkan jari ke arah bilik aku.

“Siapa pulak?” tanyaku ayahku sambil mengerutkan dahinya. Aku angkat bahu, tak tahu nak jawab.

“Kenapa semua ni terjadi malam ni? Apa yang perempuan tadi dah bawa masuk ke dalam rumah ni?” rungut ayah sambil melangkah menuruni anak tangga ke tingkat tengah dan terus ke bilik aku. Aku dan mak ikut dari belakang.

Ayah aku terus selak langsir pintu bilik aku. Ternyata tiada siapa di situ. “Takde siapa pun?” kata ayah.

“Tadi ada orang duduk kat katil Zara ayah. Mak pun nampak, kan mak?” tanyaku. Mak anggukkan kepala.

Ayah melangkah semula ke tempat tidur perempuan tadi. Batu nisan tu dah takde kat sana!

“Korang ada usik apa-apa ke kat sini?” tanya ayah.

“Takde.” Aku dan mak jawab serentak.

“Mana batu nisan tadi?” ayah tanya. Aku dan mak angkat bahu, juga serentak.

“Ni memang ada orang nak permainkan kita ni.” Kata ayah dengan nada macam nak marah.

Ayah melangkah ke bilik Abang Zarul, terus selak langsir. Abang Zarul tiada di sana. Ayah keluar dari bilik Abang Zarul, melangkah ke dapur, pusing sekeliling dapur, mendongak ke siling, melihat ke kayu alang. Tiada apa di sana. Ayah berjalan ke tingkat atas, perhatikan sekeliling.

“Siapapun kamu yang cuba ganggu kami, sila keluar dari rumah ini. Kami tak ganggu sesiapa, jadi kamu jangan ganggu kami,” ayah bersuara dengan lantang, tak tahu ayah cakap dengan siapa.

Masa ni aku dengar bunyi sesuatu yang berlari di atas bumbung. Lepas tu dengar bunyi macam orang yang berlari di atas bumbung tu melompat ke tanah. Aku peluk mak kuat-kuat. Meremang bulu roma.

Ayah berlari ke tingkap tempat bunyi orang melompat ke tanah. Ayah nak buka pintu tapi mak menghalang. “Biarkan dulu bang. Kita tak tahu apa bendanya tu. Entah orang ke, bukan orang ke, binatang ke.” Kata mak membuatkan ayah aku tak jadi buka tingkap.

Aku pun cuak gak. Mana tahu buka tingkap nanti, entah makhluk apa yang melompat masuk dalam rumah ni.

Tak lama kemudian, terdengar bunyi azan subuh sayup-sayup berkumandang di udara dari arah masjid. Ada sedikit rasa lega di hati aku. Mak pun macam menarik nafas lega.

“Abang nak ke masjid juga ke?” tanya mak. Seolah takut ditinggalkan ayah.

“Takpelah, abang solat kat rumah je. Awak dengan Zara pergi ambil wudhu, kita solat Jemaah,” kata ayah. Aku dan mak akur.

“Tapi Zara takut nak masuk bilik,” kataku. Macam masih terpandang-pandang orang yang duduk kat katil aku tadi.

“Jom, mak ikut ke bilik kamu. Kita pergi ambil wudhu sama-sama,” kata mak memujuk aku. Ayah hanya memandang kami sambil membentang sejadah di ruang tamu untuk kami solat berjemaah bersama.

Sebaik habis kami solat subuh, ayah terus lipat sejadah. Katanya dia nak ke rumah Pak Lang. Nak beritahu apa yang dah terjadi. “Nantilah matahari naik dulu. Gelap lagi ni,” kata mak.

“Kita sarapan dulu.” kata mak menyambung bila lihat ayah diam dan akur dengan kata-kata mak. Aku tahu, ayah nak selesaikan hal tu segera. Tapi dalam masa yang sama, dia risau juga nak tinggalkan kami berdua kat rumah tu. Dah la Abang Zarul takde.

Lepas sarapan, ayah keluar dari rumah. Menunggang motorsikal tuanya terus ke rumah Pak Lang. Tak lama lepas tu, ayah balik semula dengan Pak Lang membonceng kat belakang motorsikal ayah.

“Korang pun satu, berani sangat tumpangkan orang tak dikenali malam-malam buta. entah siapa dia, siap bawa batu nisan lagi. Kalau hantu tu satu hal, kalau perompak macammana?” kata Pak Lang agak tegas. Ternyata Pak Lang terkejut sangat mendengar cerita kami semua dengan apa yang dah terjadi semalam.

“Manalah tahu, kami kesian tengok dia dengan anak-anaknya. Kecil-kecil lagi,” kata mak.

“Memang jin syaitan tu pandai perdaya manusia.” kata Pak Lang sambil memerhati sekeliling.

“Alang cari apa?” tanya mak.

“Cari apa-apa yang mungkin dia tinggalkan. Selagi tak jumpa, risau benda tu masih berada kat dalam rumah ni. Macam dia ada tinggalkan sesuatu je ni.” kata Pak Lang membuatkan hati aku cuak semula.

“Tinggalkan sesuatu?” mak pula terus tanya. Pak Lang tak jawab.

– Bersambung –

One thought on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s