TUMPANG

Bab 3

“Telur ayam kampung?” mak aku tanya perempuan tu balik.

“Iye, telur ayam kampung,” kata perempuan itu lagi sambil matanya melilau melihat sekeliling bilik aku.

“Lupa pula nak tanya, siapa nama adik ni?” mak aku tanya. Iye tak iye juga, kami langsung tak tahu nama perempuan tu.

“Nama saya Noraini. Orang panggil Aini je.” Sahut perempuan tu dengan matanya masih bulat melihat-lihat keseluruhan bilik aku seperti mencari sesuatu.

“Anak Aini memang makan telur ayam kampung ke?” tanya mak aku.

“Iye kak. Dia makan telur ayam kampung. Dia tak makan yang lain. Dia lapar,” kata perempuan tu lagi.

“Akak cari apa kat bilik saya?” tiba-tiba aku bertanya, rasa tak selesa melihat matanya melilau melihat bilik aku macam tu.

“Takde apa. Cantik kemas bilik adik ni,” katanya terus menundukkan mukanya dan matanya terus pandang ke lantai. Aku pandang mak aku sambil kerutkan dahi.

“Jomlah kita ke dapur. Rasanya kat dapur tu ada telur ayam kampung. Petang tadi akak kutip dari reban ayam kat belakang tu,” kata mak aku, cuba mengendurkan keadaan yang tegang sebab aku menegur perempuan tu tadi.

Perempuan tu tak cakap apa-apa, terus melangkah pergi dari pintu bilik aku.

“Kenapa cakap macam tu? Dia kan tetamu. Kecil hati dia,” kata mak aku berbisik.

“Mak tak nampak ke dia tengok bilik ni macam mencari sesuatu? Dah la nampak mata je, besar matanya tengok keliling bilik ni,” kataku tak puas hati.

“Dah, dah. Kamu tidur. Mak nak pergi tengok ada ke telur ayam kampung kat dapur tu. Sian anaknya lapar. Memang tadi anaknya tak makan sangat, mungkin penat, ataupun tak biasa bukan tempat dia,” kata mak aku sambil bangun dari katil aku dan terus melangkah keluar dari bilik aku dan menutup suis lampu.

Lepas mak aku pergi, aku baringkan badan aku. Aku dah tak rasa mengantuk dah. Tapi kepala aku pening sikit. Iyelah, mana tak pening, macam-macam hal terjadi lepas perempuan tu masuk ke rumah aku. Cepatlah pagi, biar perempuan tu dan anak-anaknya pergi dari rumah ni. Aku berprasangka perempuan tu bukan saja-saja singgah kat rumah aku malam-malam hari ni. Aku rasa dia memang ada niat tak baik.

Baru je aku nak terlelap, aku terasa macam ada sesuatu sedang bertenggek kat kepala katil aku. Aku tak nampak jelas, tapi aku dapat dengar bunyi mendengus perlahan. Macam orang berdengkur lembut pun ada. Aku dongakkan kepala aku, melihat ke kepala katil aku, tak nampak apa-apapun.

Dan tiba-tiba katil aku bergerak-gerak seperti ada orang yang sedang melompat-lompat di atas katil aku. Aduh! Masa ni aku rasa macam tak berani nak toleh belakang aku. Aku yakin ada seseorang atau sesuatu kat atas katil aku, kat sebelah aku.

Aku cuba nak jerit panggil mak aku tapi suara aku tersekat. Tangan aku pun macam dah keras, kaki aku dah kejang. Aku pejamkan mata. Aku cuba baca apa-apa ayat Al Quran yang aku tahu. Surah Al-Ikhlas, An-Nas, Al-Fatihah, semua yang terlintas kat kepala aku la. Betul atau tak, itu belakang cerita. Tapi yang pasti aku baca. Aku pun tak tahu, benda alah apa yang sedang bertenggek kat atas katil aku ni.

Prangggg!! Ada bunyi kaca pecah kat dapur. Aku terus bangun. Eh, elok pula aku bangun, takde pun kejang macam tadi. Aku tak toleh dah. Aku terus berlari ke dapur.

Aku nampak mak aku sedang berdiri dengan matanya memandang ke siling rumah. Kat lantai ada kaca pecah bertaburan.

“Mak?” aku panggil. Tapi mak aku tak menyahut. Dia masih memandang ke siling rumah.

“Mak ok ke?” tanyaku lagi sambil melangkah menuruni anak tangga ke dapur.

Aku pandang keliling, mencari perempuan tadi. Dia tiada.

“Mak, Kak Aini tadi mana?” tanyaku. Mak masih begitu.

“Mak, kenapa ni?” tanyaku lagi mula risau melihat keadaan mak begitu. Aku lihat ke siling rumah, arah yang mak aku sedang tengok. Aku tak nampak apa-apapun.

“Kenapa ni?” tiba-tiba ayah aku berdiri kat pintu dari tingkat tengah ke dapur.

“Entahlah ayah. Mak ni. Tiba-tiba jadi kejung macam ni. Ayah tengokkan mak, Zara risau,” kataku sambil mengutip kaca yang bertaburan di lantai.

“Mah, kenapa ni?” ayahku bertanya sambil memegang dahi mak aku. Ayah aku baca sesuatu dan tiup di kepala mak aku sambil mengusap muka mak aku dari atas ke bawah.

Mak aku macam tersedar dari tidur. “Eh, abang buat apa kat sini?” mak tanya aku buatkan aku pandang ayah aku tanpa berkelip mata.

“Awak tu yang dah kenapa? Keras kaku, dengan kaca pecah bertaburan kat lantai. Awak buat apa?” tanya ayah aku.

“Saya…,” kata mak aku dengan matanya berputar seperti sedang berfikir apa yang telah terjadi.

Aku tengok jam, pukul 4 pagi. Aku angkat semua serpihan kaca yang telah aku kutip, lalu masukkannya ke dalam tong sampah berhampiran sinki.

“Mak, mana Kak Aini tadi? Kan dia ikut mak ke dapur tadi?” tanyaku.

“Kak Aini mana pulak ni?” ayah aku bertanya.

“Perempuan yang ayah ajak tumpang tidur kat rumah kita malam tadi. Katanya anaknya lapar, nak makan telur ayam kampung. Mak pun ajak dia ke dapur,” kataku menceritakan keadaan tadi.

“Telur ayam kampung? Anak dia yang mana nak makan?” tanya ayahku semula.

“Entahlah ayah. Kami pun pelik juga. Tapi mak kata takpe, mak ada simpan telur ayam kampung kat dapur. Zara baring semula, tak tahulah apa jadi sampai mak keras kat dapur seorang diri kat sini,” kataku.

“Habis tu mana dia sekarang? Dah makan ke?” tanya ayah.

“Tadi, memang dia ikut saya ke dapur. Saya pegang telur ayam kat tangan ni ha, ambil mangkuk nak pecahkan. Ingatkan dia nak goreng atau apa. Tapi macam ada satu benda panjang macam tali, dari atas siling sana, terus tarik telur ayam tu dari tangan saya. Tu yang mangkuk kaca terlepas dari tangan saya dan saya pandang ke atas sana.” Mak berhenti bercerita. Muka mak pucat, macam nak nangis pun ada.

“Apa yang ada kat atas sana?” tanya ayah aku sambil mendongak memandang ke atas siling.

“Ada seorang budak kecil, dengan telinga yang panjang, ada gigi taring, matanya merah. Dia makan telur ayam kampung tu. Lidahnya panjang. Allah,” kata mak sambil menutup mukanya dengan tangannya yang menggeletar.

Aku pegang tubuh mak. Risau mak tumbang kat situ. Memang mak nampak lemah sangat.

Ayah aku tak cakap apa-apa. Dia pandang ke siling. Tapi dahinya berkerut seribu. Aku pula pandang keliling, meremang bulu roma aku bila mak kata nampak budak kecil kat atas siling tu. Aku teringatkan bunyi seseorang yang bergerak-gerak kat atas katil aku tadi.

“Perempuan tu mana?” tanya ayah.

“Saya tak tahu.” Kata mak aku sambil menangis. Aku gosok bahu mak aku perlahan.

Ayah aku terus melangkah naik tangga ke tingkat tengah. Ayah pasang lampu. Terang benderang. Aku pegang tangan mak aku, ikut ayah.

Aku nampak ayah selak kelambu tempat perempuan tu tidur dengan anaknya. Ternyata tiada siapa di situ tapi bayinya masih ada di situ, berselimut seperti tadi. Anak lelakinya yang seorang lagi juga tiada.

Ayah aku masuk ke dalam kelambu lalu mengambil bayi dalam selimut.

“Allahhhh!!!” tiba-tiba ayah aku menjerit lalu mencampakkan bayi tersebut ke lantai.

Aku berlari mendapatkan ayah aku. “Kenapa ayah?” tanyaku. Ayah aku tak jawab.

Aku pandang ke arah bayi yang ayah aku campak tu. Aku pun terlompat sikit. Tiada bayi dalam selimut tu. Yang ada Cuma batu nisan!

Aku mengundur ke belakang, terus menghampiri mak aku.

“Abang panggillah Zarul keluar dari bilik dia. Saya rasa tak sedap hati.” Kata mak aku.

“Mana ada Zarul. Dia tidur kat rumah kawan dia malam ni.” Jawab ayah aku perlahan. Matanya masih menatap batu nisan yang dalam selimut tu.

“Abang Zarul takde? Tapi Zara ada pergi tengok Abang Zarul, ada je dia tidur kat bilik dia,” kataku. Aku yakin aku nampak Abang Zarul sedang tidur kat biliknya tadi.

“Dia takde. Kalau dia balik siapa yang buka pintu untuk dia?” tanya ayah aku. Aku diam. Tapi untuk aku melangkah ke bilik Abang Zarul dan nak lihat samada betul ke dia kat atas katilnya, memang aku tak berani. Cukuplah dengan benda-benda pelik yang terjadi kat rumah aku malam ni.

Ayah aku bangun. Dia terus melangkah masuk ke bilik Abang Zarul. Ayah pasang lampu. Terang dah bilik Abang Zarul.

“Takde pun abang kamu,” kata ayah aku. Aku panjangkan leher aku melihat ke dalam bilik Abang Zarul. Keadaan katil tu tak sama macam yang aku tengok tadi. Sekarang memang Abang Zarul takde kat bilik dia. Tapi aku yakin 200 peratus, tadi Abang Zarul ada baring kat situ. Aku yakin dengan apa yang aku nampak. Tapi buat masa sekarang, aku rasa lebih baik aku diam.

“Takpe, sekarang pun dah subuh. Sekejap lagi azan subuh. Biarkan semua ni kat sini. Jangan usik apa-apa. Nanti ayah panggil Pak Lang kamu ke sini. Suruh dia tengokkan apa sebenarnya yang terjadi. Siapa perempuan semalam dan apa benda yang makan telur ayam tu.” kata ayah sambil melangkah ke tingkat atas dan masuk ke biliknya, tinggalkan aku dan mak dengan batu nisan yang berselimut kemas kat situ. Sesekali aku toleh ke dapur, nak pastikan tiada siapa di situ walaupun aku macam terasa-rasa aku orang yang sedang perhatikan kami dari sana, atau dari siling rumah.

– Bersambung –

One thought on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s