TUMPANG

Bab 2

Aku jenguk ke luar bilik. Gelap. Tapi aku perasan ada sesuatu seperti bergerak di tangga turun ke dapur. Aku angkat lampu suluh, aku suluh ke arah benda yang bergerak tu. Aku nampak macam seseorang sedang duduk di tangga tu. Aku gerakkan lampu suluh aku, aku suluh ke arah kelambu tempat perempuan dan dua anaknya tidur. Tak nampak ke dalam tapi kelambu tu masih ada di situ.

Lalu aku suluh semula ke arah seseorang yang sedang duduk di tangga. Dah tiada siapa di situ. Aku syak itu Abang Zarul. Aku melangkah keluar dari bilik aku, menghala ke pintu untuk turun ke dapur. Aku cari suis lampu. Tap! Aku pasang lampu. Terang benderang bahagian dapur rumah. Aku pandang seluruh dapur melalui tingkat atas tu. Tiada sesiapa.

Aku pandang semula ke arah kelambu, risau mereka terganggu kerana aku pasang lampu. Aku nampak sesuatu bergerak di dalam kelambu tu. Hitam. Dalam keadaan cahaya yang agak terhad sebab aku Cuma pasang lampu dapur, aku nampak seseorang yang berselubung dengan kain hitam sedang duduk di dalam kelambu itu. Perempuan tadi kot, mungkin dia tersedar aku pasang lampu lalu terus bangun dan duduk.

“Minta maaf kak sebab pasang lampu. Dah ganggu akak tidur. Sekejap lagi saya tutup lampu.” Kataku.

Tiada sahutan. Cuma terdengar bunyi berdehem dan batuk kasar beberapa kali. Aku palingkan muka aku ke dapur semula dan aku terkejut. Aku nampak perempuan tadi yang masih berpakaian seperti dia mula-mula datang tadi, ada di dapur. Aku pandang semula ke arah kelambu. Objek hitam masih lagi di sana.

“Maaf dik, akak dahaga. Turun ke sini nak minum air sekejap,” kata perempuan yang berada di dapur.

“Kenapa tak pasang lampu?” tanyaku perlahan sambil memandang tepat mata perempuan itu. Dia seperti takut-takut nak pandang aku.

“Akak taknak ganggu orang dalam rumah ni. Maaf ye kalau akak dah mengganggu,” katanya lagi lalu bergerak ke sinki dan membasuh cawan.

Kemudian dia melangkah menaiki anak tangga ke tingkat tengah rumah, lalu di depan aku dan terus masuk ke dalam kelambu. Dan aku yakin aku dapat lihat masih ada benda hitam kat dalam kelambu tu. Masa ni aku kerutkan dahi. Selama perempuan tu berada di dalam rumah aku sejak malam tadi, aku tak dengar sikit pun bunyi suara bayi yang didukungnya. Takkanlah bayi tu tak menangis langsung, atau tak berbunyi. Selalunya bayi pasti akan menangis tak selesa bila dia kebasahan ataupun lapar susu.

Aku melangkah menuruni tangga terus ke dapur. Aku pandang keliling. Macam ada sesuatu yang memerhati.

“Abang Zarul?” panggilku perlahan. Aku tengok jam, pukul 3 pagi. Takkan Abang Zarul tak balik lagi kot. Aku tolak pintu bilik air, tiada sesiapa.

Aku melangkah menaiki tangga ke tingkat tengah semula. Aku terus ke bilik Abang Zarul. Bilik Abang Zarul pun macam aku, takde pintu, Cuma langsir. Aku selak langsir. Aku suluh ke atas katil. Aku nampak Abang Zarul berselimut. Eh, bila masa Abang Zarul balik? Siapa buka pintu untuk dia?

Aku tutup semula langsir pintu bilik Abang Zarul. Aku berpusing nak kembali ke pintu dapur, nak tutup lampu dan nak kembali ke bilik aku. Masa aku menoleh tu aku nampak kelibat sesuatu yang berwarna hitam seperti sedang terbang laju melintasi pintu dapur tu. Terkejut aku.

“Siapa tu?” tanyaku. Tiada sahutan.

“Kakak ke tu?” tanyaku lagi. Pun tiada sahutan.

Aku mula rasa tak sedap hati. Jantung aku kembali berdegup kencang. Lutut aku menggeletar. Bulu roma aku meremang. Tak pernah aku rasa macam ni. Aku ni bukanlah seorang yang penakut sangat. Aku anak kampung kot. Selamba je aku boleh tidur kat dusun durian atuk aku dulu seorang diri. Sebab prinsip aku, selagi aku tak nampak apa-apa yang orang kata, aku takkan percaya. Takde pulak aku jumpa benda pelik kat dusun durian atuk aku dulu walaupun aku dengar banyak cerita pasal langsuir terbang dari pokok ke pokok la, ada perempuan cantik lalu kat dangau la, tapi aku tak nampak apapun. Jadi, aku tak percaya.

Tapi kali ni perasaaan aku lain macam. Sebab aku nampak jelas kelibat bayangan hitam tu. Tak pernah pun kat rumah mak aku ada benda macam tu.

Aku percepatkan langkah aku, aku tutup suis lampu dapur dan terus melangkah masuk ke bilik aku bertemankan lampu suluh yang tak secerah mana tu. Aku terus baring kat atas katil aku. Aku pejamkan mata aku kuat-kuat. Aku selimutkan badan aku dari kaki sampai kepala. Sampai aku berpeluh-peluh. Aku cuba lena, tapi tak boleh. Aku tak tahu kenapa aku rasa macam ada benda lain dalam rumah aku ni, sedang memerhati setiap seorang dari kami. Masa ni aku menyumpah ayah aku yang baik sangat nak tumpangkan orang tak dikenali untuk tidur kat rumah kami.

Aku dengar bunyi lantai berkeriut seperti ada seseorang sedang memijak lantai. Diikuti dengan bunyi langkah demi langkah perlahan. Seperti yang mula-mula tadi. Dari hujung sana ke hujung sini. Kebetulan hujung sini tu adalah bilik aku. Aku yakin bunyi derapan kaki itu ada melalui depan pintu bilik aku beberapa kali. Aku selak selimut yang menutup muka aku. Tapi aku tak bangun. Aku cuba nak perhati kat pintu bilik aku, kalau-kalau aku nampak sesuatu.

Kali ini aku dengar bunyi derapan kaki itu menghampiri ke pintu bilik aku. Aku menunggu dengan penuh debaran. Aku takut sebenarnya tapi aku perlu tahu siapa yang berjalan di dalam rumah tu, di tengah malam buta ni dengan keadaan yang gelap tu. Bunyi langkah kaki tu macam manusia, tapi siapa? Kat dalam rumah aku sekarang ni Cuma ada mak aku, ayah aku, abang aku, aku dan perempuan yang ayah ajak tumpang tidur tu.

Langkah kaki itu sampai ke pintu bilik aku. Dan dia berhenti di situ. Ah sudah! Kenapa dia tak patah balik macam yang aku dengar sebelum ni? Maknanya sekarang dia sedang berdiri betul-betul di depan pintu bilik aku. Dah la pintu bilik aku takde pintu, dia boleh masuk bila-bila saja. Masalah aku sekarang, dia tu siapa?

Aku dengar bunyi besi yang menyangkut langsir kat pintu bilik aku seperti ditarik perlahan-lahan. Amat perlahan seperti taknak aku sedar. Aku panik weh masa tu. Tuhan je tahu macammana gelabahnya aku masa tu. Rasa nak bernafas pun susah, jantung berdegup macam baru lepas berlari 400 meter kat sekolah. Nak menjerit pun tak boleh.

Aku dengar bunyi nafas orang. Kuat bunyi nafas ditarik dan dilepas. Aku pejam mata aku kuat-kuat.

Tiba-tiba lampu bilik aku terpasang. Aku buka mata. Mak aku berdiri kat pintu, sedang pandang aku. Aku terus bangun duduk, badan aku berpeluh-peluh. Mak aku datang dekat dengan aku, pandang aku semacam je.

“Kenapa mak?” tanyaku.

“Kenapa kamu berpeluh-peluh macam ni?” tanyaku mak aku.

“Takde apa, panas.” Kataku.

“Panas? Sejuk je mak rasa. Dah kalau panas, kenapa berkelubung dengan selimut tu macam sejuk sangat?” mak aku tanya lagi sambil pandang aku dengan wajah pelik.

“Kenapa ni mak?” tanyaku lagi.

“Abang Zarul kamu dah balik?” mak tanya aku.

“Dah, tu ada tidur kat dalam bilik dia,” kataku.

“Siapa buka pintu untuk dia?” tanya mak aku lagi.

“Manalah Zara tahu. Tadi Zara tengok kat bilik dia, ada je dia kat bilik sedang tidur,” kataku.

“Tadi kamu ada pergi ke bilik mak ke?” tanya mak lagi.

“Takde pun. Kenapa?” tanyaku kembali.

“Betul kamu takde datang bilik mak? Selak langsir bilik semua?” tanya mak lagi.

“Takdelah mak.” Kataku pula mula rasa lain macam bila mak tanya aku banyak kali macam tu.

“Tadi kamu kata kamu bangun tengok bilik abang kamu, maknanya kamu ada bangunlah kan?” kata mak aku lagi tak puas hati.

“Memang la Zara ada bangun. Tapi Zara ke dapur. Sebab nampak kakak yang tumpang tidur tu sedang minum. Dahaga katanya. Lepas tu Zara teringat kat abang, nak tengok samada dia dah balik atau belum. Tu yang Zara tengok kat bilik dia. Lepas tu Zara masuk bilik ni tidur balik,” kataku menjelaskan kepada mak aku. Tak pula aku ceritakan apa yang aku lalui tadi, sebab nanti takut mak aku kata aku mengigau pula. Lagipun aku takde bukti cukup nak tunjuk kat mak.

“Kakak yang tumpang tidur tu pergi ke dapur minum air? Mana dia tahu cawan air kita semua letak kat mana? Dia baru je datang malam tadi,” kata mak aku pula sambi mengerutkan dahinya.

“Dia carilah kot. Segan nak panggil kita malam-malam ni.” Kata aku cuba memberi jawapan agar mak aku tak fikir banyak lagi. Mak aku diam je tapi aku nampak ada riak tak puas hati di wajahnya.

“Kenapa mak datang cari Zara malam-malam ni?” tanya aku kembali ke topik asal tadi.

“Masa mak tidur, mak dengar bunyi orang berjalan kat tingkat atas tu. Mak bangun, mak selak langsir. Mak nampak ada orang sedang berjalan. Mak panggil nama kamu, tak menyahut. Mak panggil abang kamu, pun tak menyahut. Lepas tu mak keluar bilik, nak pasang suis lampu. Masa tu macam ada orang ikut kat belakang mak. Mak ingat ayah aku ke. Hish, meremang bulu roma mak ni ha. Mak pasang juga lampu. Bila lampu dah menyala, takde siapa pula kat tingkat atas tu. Tu yang mak terus datang sini, nak tengok kamu ke yang datang ke tingkat atas tadi,” kata mak aku.

“Takde pula Zara naik ke atas tu mak. Abang Zarul kot,” kata aku.

“Tu la, takde pula mak pergi tengok kat bilik abang kamu. Mak ingat dia tak balik malam ni. Sebab ayah kamu kata, dia pergi rumah kawan dia si Talib tu, nak siapkan projek akhir. Lagipun mak takde buka pintu untuk dia pun,” kata mak aku.

“Habis tu, siapa yang buka pintu masa Abang Zarul balik?” tanyaku. Kali ini aku dengan mak sama-sama mengerutkan dahi.

“Betul ke dia dah balik?” tanya mak aku tak puas hati.

“Iye mak, tadi Zara dah pergi ke bilik dia. Memang nampak Abang Zarul tidur kat atas katil dia. Kalau mak tak percaya, mak pergilah tengok,” kataku.

“Takpelah kalau macam tu. Mak pergi tidur balik la. Esok la kita tanya abang kamu,” kata mak aku sambil bangun dari katil aku dan melangkah ke pintu.

“Mak,” panggilku separuh berbisik. Mak aku pandang aku.

“Zara rasa tak sedap hati dengan kakak yang tumpang tidur kat rumah kita ni,” kataku, masih lagi berbisik, membuatkan mak aku kembalik duduk kat tepi aku.

“Kenapa?” mak aku tanya, juga berbisik.

“Tak tahu kenapa tapi macam ada yang tak kena,” kataku. Mak aku diam.

“Mak tak perasan ke, bayi dia tak berbunyi langsung sejak datang tadi. Bukan ke bayi selalu menangis?” tanyaku.

“Tak semestinya. Ada bayi yang tak banyak ragam, tidur je selagi ada bau maknya,” kata mak aku.

“Mak ada tengok bayinya?” tanyaku. Mak aku geleng kepala.

“Entah betul bayi entah tak. Mana tau dia nak rompak kita je mak,” kataku mula mengeluarkan prasangka buruk yang bermain kat dalam kepala aku sejak tadi.

“Hish kamu ni, tak baik cakap macam tu. Dia dalam kesusahan, kita bantu,” kata mak, masih cuba berbaik sangka tapi aku yakin mak pun ada rasa tak selesa dengan kehadiran perempuan tu.

Sedang kami berbisik berbual tu, tiba-tiba langsir bilik aku terselak. Aku dan mak pandang ke arah pintu serentak. Perempuan tadi sedang berdiri di pintu dan memandang kami dengan matanya yang agak besar dari masa dia mula-mula sampai tadi. Nampak macam lebih berani. Aku dan mak terkejut. Dah la dia berpurdah, nampak mata je.

“Kenapa dik?” tanya mak aku.

“Anak saya nak makan, boleh saya dapatkan telur ayam kampung?” dia bertanya membuatkan aku dan mak berpandangan sesama sendiri.

– Bersambung –

One thought on “TUMPANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s