TUMPANG

Bab 1

Aku pandang je mak aku dari dapur. Aku tahu mak aku teringat kat rumah dia kat kampung. Orang tua seusia mak aku tu, memanglah akan selalu rindukan rumahnya sendiri. Rumah aku ni taklah sebesar rumah kampung. Rumah teres kos rendah je, dengan bilik 2 dan bilik air satu. Dulu rumah aku ni ada 3 bilik tapi Azlan ,suami aku pecahkan bilik yang kat dapur tu, barulah dapur aku luas sikit. Kalau tak, berlanggar je kalau berselisih.

Maklumlah, anak aku baru seorang, Amira. Baru 6 bulan. Jadi kami rasa tak perlu lagi kami berumah besar. Nantilah kalau ada rezeki lebih, barulah kami cari rumah yang besar sikit. Ini pun dah bersyukur kami tak perlu menyewa rumah. Memanglah pinjam kat bank tapi sekurang-kurangnya geran dah nama aku dan Azlan. Kalau menyewa, bayar sewa bulan sama je macam bayar loan bank, tapi rumah tetap hak orang. Kalau tuan rumah minta balik rumahnya, kami kena keluar juga.

Aku melangkah merapati mak aku yang sedang duduk di atas buaian kat tempat letak kereta depan rumah aku. “Panjang menung mak. Mak teringat kat rumah kampung ke? Atau mak rindu kat ayah?” tanyaku bergurau sambil duduk kat tepi mak.

“Takde apalah, Saja tengok anak orang depan ni main ha. Nanti Amira dah besar, dia pulak main kat depan rumah macam ni,” kata mak. Aku perasan mak macam terkejut masa aku sampai. Jauh mak mengelamun rupanya.

“Mak tak seronok ke duduk kat rumah Zara?” tanyaku sambil memegang tangan tua mak.

“Mak ok je.” Sahut mak pendek.

“Rumah Zara ni kecil je. Tak sama macam rumah Abang Zarul. Tapi kalau mak nak pergi ke rumah Abang Zarul, Zara boleh hantarkan. Zara Cuma nak mak happy je, jangan sedih-sedih lagi.” Kataku.

“Hish kamu ni. Duduk mana pun sama, dua-dua pun anak mak,” kata mak lagi.

“Habis tu, sejak mak tinggal kat sini, Zara tengok mak asyik termenung je. Macam orang susah hati pun ada,” kataku.

“Mak teringat kat rumah kat kampung. Entah macam mana rupanya sekarang.” Kata mak.

“Kan Pak Lang dah janji akan jaga rumah tu. Nanti Pak Lang dah berjaya halau benda tu, mak baliklah semula ke rumah tu,” kataku.

“Mak selalu terfikir, kenapa benda tu datang ke rumah kita, bukan rumah orang lain,” kata mak.

“Entahlah mak. Zara pun pelik juga. Tapi Pak Lang kata dia sesat kan,” kataku.

“Benda ni bukan macam kita. Dia di alam lain. Kalau manusia, mungkin kita boleh kata dia sesat. Tapi benda ni? Entahlah, mak berprasangka buruk bahawa ada orang hantar. Itu je,” kata mak lagi.

Aku diam. Sebenarnya aku pun ada rasa macam tu. Tapi aku tak berani nak kata apa-apa sebab aku taknak apa yang aku rasa nanti jadi fitnah.

Rumah mak kat kampung tu adalah rumah pusaka peninggalan arwah nenek dan datuk aku. Masa nenek aku meninggal dunia, dia panggil empat orang anaknya. Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang dan mak aku sebagai anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan nenek dan datuk aku. Arwah nenek beritahu bahawa arwah datuk aku berhajat agar rumah tu diberi kepada mak aku. Sebab mak aku satu-satunya anak perempuan dan mak aku je yang belum dapat mana-mana tanah dari arwah datuk aku. Abang-abang mak aku semuanya dah dapat tanah dusun masing-masing.

Pak Long, Pak Ngah dan Pak Lang setuju. Maka, rumah pusaka tu dipindahmilik kepada mak aku. Lepas tu mak aku kahwin dengan ayah aku. Dan dapat dua orang anak, aku dan Abang Zarul. Abang Zarul dah berjaya, dia jadi arkitek sekarang. Dia tinggal di Kuala Lumpur bersama isteri dan dua orang anak. Aku pula belajar tak berapa nak pandai, dapat jadi kerani je. Suami aku Azlan kerja sebagai pembantu tadbir je kat sebuah pejabat kerajaan. Kami dah berkahwin hampir 3 tahun dan dikurniakan seorang anak, Amira yang sekarang berusia 6 bulan.

Lepas aku berkahwin, aku dan Azlan tinggal dengan mak aku. Tapi lepas tiga bulan kami berkahwin, ayah aku meninggal dunia kerana jatuh kat bilik air akibat pening. Lepas itulah macam-macam kejadian muncul sampailah aku bawa mak aku tinggal kat sini. Tak jauh pun dari rumah mak aku. Kalau naik kereta kancil aku tu, setengah jam sampailah rumah mak aku. Tapi masalah yang timbul kat rumah tu membuatkan mak aku tak dapat balik ke rumah tu. Nak pergi tengok pun tak berani, selagi benda tu ada di sana.

Apa benda tu? Haaa…. Macam ni ceritanya.

Ada satu malam tu, masa tu ayah aku sedang tengok tv kat tingkat atas rumah. Bukannya rumah mak aku tu rumah banglo dua tingkat pulak. Biasalah, rumah kampung dulu-dulu kan bertingkat-tingkat. Rumah mak aku tu 3 peringkat. Dapur dan bilik air kat tingkat bawah sekali. Lepas tu ada setingkat rumah tengah yang ada bilik dan ruang rehat. Dan kemudian naik 3 anak tangga lagi baru jumpa ruang tamu. Kat sinilah ada televisyen, dan tempat ayah aku selalu duduk baca suratkhabar, baca Quran. Bilik tidur ayah aku pun kat tingkat atas tu.

Rumah kampung, kan tanahnya luas. Kiri kanan depan belakang tanahnya luas. Kat belakang rumah ada kandang kambing, reban ayam itik. Mak dan ayah aku memang rajin bela haiwan dan serasi pula tu. Kalau bela itik, sampai boleh bisnes telur masin. Kalau bela kambing, beranak pinak sampai boleh meniaga untuk aqiqah. Rezeki mereka sangat baik. Rezeki aku dan abang aku juga la tu.

Malam tu, aku dengan mak aku kat tingkat tengah tu, lipat kain. Abang aku tak tahu le kat mana. Masa tu pukul 10.00 malam kot. Ada orang ketuk pintu rumah kat dapur. Aku dengan mak aku berpandangan, tak pernah lagi ada orang ketuk rumah waktu macam tu. Mak aku panggil ayah aku. Aku aku turun tangga ke dapur. Mak dan aku tunggu kat tingkat tengah tu.

“Siapa tu?” ayah aku jerit dari dalam rumah.

“Saya nak minta air minum saja, anak saya dahaga,” terdengar suara perempuan kat luar rumah.

Tak sempat mak aku larang, ayah aku terus buka pintu. Kami nampak seorang perempuan berpakaian serba hitam dan berpurdah, Cuma nampak mata je. Dia sedang dukung seorang bayi dan di sisinya berdiri seorang anak lelaki dalam usia lima tahun.

“Minta maaf abang. Saya tak tahu nak pergi mana lagi dah malam ni. Anak saya dahaga sangat, saya nak minta air je untuk dia minum,” kata perempuan itu.

Ayah aku pandang mak aku. Mak aku turun tangga terus ke dapur dan ambil cawan lalu isikan air masak. “Masuklah,” ayah pelawa. Aku pula duduk kembali menyambung lipat kain. Tapi aku dapat lihat semua orang yang kat dapur tu.

“Takpelah, bagi anak saya minum je. Saya pun nak berjalan jauh lagi ni,” kata perempuan tu menolak pelawaan ayah aku untuk masuk ke dalam rumah.

Mak aku hulurkan air kepada anak lelaki perempuan tersebut. Dan anak itu mengambil cawan dari tangan mak aku lalu terus minum air tersebut dengan lahapnya, kelihatan jelas sekali dia amat dahaga.

“Dari mana ni? Nak ke mana?” tanya ayah aku.

“Kami dari kampung sebelah. Suami saya tak balik dah dua minggu. Petang tadi tuan rumah halau kami keluar sebab dah lama tak bayar sewa. Dia dah bagi tempoh lama dah untuk kami keluar, tapi kami masih kat situ. Dia kata suami saya dah lari, taknak bayar sewa. Dia marah sangat, sebab tu halau kami.” Kata perempuan itu sambil tunduk.

“Ni nak ke mana?” tanya mak aku.

“Rumah mak saya kat kampung sebelah sana. Saya nak pergi rumah mak saya,” kata perempuan tu.

“Jauh lagi ke?” tanya ayah aku.

“Tak jauh lagi. Kalau saya berjalan terus, dalam sejam sampai la,” kata perempuan itu lagi sambil mengusap rambut anak lelakinya yang kelihatan kepenatan.

“Takpelah, malam ni tidur je kat sini dulu. Esok pagi teruskan perjalanan. Kesian kat anak-anak tu, dah penat nampaknya,” kata ayah aku membuatkan mak aku pandang aku. Aku pula buat isyarat macam tak puas hati ayah tu nak ajak orang yang tak dikenali untuk tumpang tidur kat rumah kita. Tapi apalah daya aku nak halang. Lagipun memang rupa tiga beranak tu amat kesian.

“Eh, takpelah bang. Saya nak minta air minuman je. Minta maaf sebab ganggu abang dan kakak malam-malam begini,” kata perempuan tu lagi sambil menarik tangan anak lelakinya seperti mahu melangkah pergi.
“Tidur je kat sini malam ni. Kesian kat anak-anak tu. Awak tu perempuan, tak elok berjalan malam macam ni,” kata mak aku pula, tak sampai hati melihat keadaan tiga beranak tu.

“Umi, abang mengantuk,” kata anak lelaki tadi sambil menggisal matanya dengan jari.

“Mari masuk rumah pakcik, tidur kat rumah pakcik ye malam ni,” kata ayah aku. Anak lelaki itu memandang ayah aku dan ibunya silih berganti. Memang nampak perempuan itu seperti dalam keadaan serba salah.

Ayah aku pegang tangan anak lelaki itu. “Mari,” kata ayah aku. Dan anak lelaki itu menurut, dia menghampiri ayah aku dan menarik tangan ibunya sekali.

Dalam keadaan terpaksa, perempuan tadi pun melangkah perlahan masuk ke dalam rumah kami.

“Terima kasih abang, kakak. Minta maaf sekali lagi kerana menyusahkan. Takpe, saya dan anak-anak saya boleh tidur di sini saja. Esok awal pagi lepas subuh, kami keluar,” kata perempuan itu.

“Takkanlah nak tidur di dapur ni. Jom tidur kat atas. Sejuk anak-anak tu nanti,” Kata mak aku. Aku yang duduk kat atas memerhati je gelagat perempuan tu dengan anak-anaknya, dan gelagat mak ayah aku sekali. Ayah aku nampak ikhlas, memang takde perasaaan buruk sangka. Tapi aku nampak muka mak aku macam tak berapa nak ikhlas. Tapi terus terang cakap, aku pun tak berapa suka sebab tak tahu siapa perempuan tu.

“Kamu dah makan ke?” ayah aku bertanya. Perempuan tu tak jawab. Lalu ayah aku cuit anak lelaki tadi, lalu bertanya soalan yang sama. Anak itu geleng kepala menandakan mereka belum makan.

“Kalau belum makan, marilah makan dulu apa yang ada ni. Mujur makanan kami ada lebih ni. Rezeki kamu anak beranak,” kata mak aku. Lalu mengambil pinggan dan membuka tudung saji di atas meja. Sebenarnya hidangan itu ditinggalkan untuk abang aku yang tak balik-balik lagi ni.

Perempuan tadi duduk kat kerusi dengan anaknya. Bayi di pangkuannya masih tidur.

Aku perhatikan je. Perempuan tu tak makan, dia tak usik pun nasi dalam pinggannya yang mak aku sedokkan. Dia cuma ambil pinggan anak lelakinya, dan suap anaknya. Dia tak makan pun. Entah la kenapa, timbul pula rasa kesian kat mereka. Mungkin betul perempuan tu dalam kesusahan. Dia pun nampak serba salah kerana macam nak menyusahkan mak ayah aku.

Selesai makan, mak aku dah siapkan tempat untuk mereka tidur. Mak aku bentang tilam kat tengah rumah tu, siap dengan kelambu lagi. Iyelah, masa tu memang semua rumah kampung masih pakai kelambu. Kalau tak memang kenyang la nyamuk. Lagipun, kat kampung mana ada siling. Bumbung pun zink. Bila malam, sejuknya kemain. Bukan macam sekarang, siang malam pun panas tak kira la bumbung apa.

Aku pun malas nak masuk campur, aku masuk bilik aku. Waktu tu pun dah kira tengah malam dah. Mak dan ayah aku tidur kat bilik tingkat atas. Kiranya aku dan perempuan tu anak beranak tidur kat tingkat tengah tu. Ada satu lagi bilik, bilik abang aku tapi dia tak balik lagi.

Tengah aku tidur, aku tersedar bila aku dengar bunyi orang melangkah. Maklumlah rumah atas, dinding papan, lantai papan, kalau ada orang melangkah atau bergerak, memang berkeriut bunyi lantai. Aku pasang telinga dalam gelap tu. Bunyi melangkah tu seperti dari hujung sana ke hujung sini berulang alik. Bilik aku memang takde pintu, cuma ditutup dengan langsir.

Lebih kurang 5 minit aku pasang telinga, nak dengar bunyi orang melangkah tu. Nak pastikan itu langkah orang atau langkah kucing mak aku. Atau mungkinkah abang aku. Iyelah, dia tak tahu ada orang lain kat luar tu. Risau dia terkejut pulak nanti.

Aku terus bangun dari katil aku, meraba-raba mencari cermin mata dan lampu suluh. Aku yakin itu abang aku. Aku kena beritahu dia pasal perempuan anak beranak tu ada tidur kat situ. Sebaik aku dapat menggapai cermin mata dan lampu suluh, aku tengok jam. Pukul 2 pagi. Takkanlah abang aku baru balik kot. Dia pergi mana. Selalunya kalau dia lepak dengan kawan dia pun, paling lewat pukul 12 dia dah balik.

Aku turun dari katil. Sebaik aku pijak lantai, dan lantai tu berkeriut, aku dengan macam bunyi melangkah tadi seperti berlari. Masa ni entah kenapa aku rasa macam sejuk semacam. Bulu roma aku naik berdiri. Aku tak takut pun tapi memang itulah keadaan aku. Aku usap tangan aku, aku gosok belakang tengkuk aku yang terasa sejuk.

Aku melangkah ke pintu. Aku selak langsir. Aku intai keluar bilik yang gelap. Jantung aku berdebar.

– Bersambung –

3 thoughts on “TUMPANG

Leave a Reply to azuana sajahan Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s