HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Bab 5 (Akhir)

“Bila masa pulak kami masuk dalam rumah tu?” kata Azam.

“Habis tu macammana aku ada kat dalam sana? Bukan ke korang yang bawa aku ke sana?” tanyaku.

“Taklah, siapa yang nak masuk ke rumah tu kalau dah tahu dalam tu ada hantu?” kata Wan pula.

“Hantu?” tanyaku masih keliru.

“Lepas kita hantar pakcik tu, kita terus kayuh basikal nak balik ke rumah kan? Kami sampai kat hujung jalan, nampak Ikmal sedang tunggu kat sana dengan wajah macam takut. Lepas tu kami baru perasan kau takde. Nak pulak Ikmal bercerita apa dia nampak, lagi la kami takut.” Kata Daniel.

“Ikmal yang hilang kan? Bukan aku,” kataku lagi.

“Mula-mula kita rasa Ikmal yang hilang, tapi sebenarnya dia tak hilang. Dia kayuh basikal balik lepas dia serahkan lampu suluh kat kau. Tapi dia tak sampai hati tinggalkan kita selagi tak cerita perkara yang dia nampak. Sebab tu dia tunggu kita kat hujung jalan. Mana tahu kau pula yang hilang,” kata Wan menerangkan.

“Bila masa pula aku hilang? Kan lepas hantar pakcik tu, kita sama-sama kayuh basikal nak balik? Lepas tu kita nampak pokok besar tu bergoyang, ada suara mengilai, lepas tu kat depan sana kita terserempak dengan satu susuk tubuh tanpa kepala yang berjalan sambil pegang kepala dia kat tangan. Aku takut, lepas tu aku kayuh basikal laju-laju, tak tahu kat mana aku terlanggar batu kot, terus aku jatuh dan tak sedar diri. Bila aku sedar, aku berada kat dalam rumah pakcik tu. Kau Danny, dengan Azam dan Wan pula terbaring kat ruang tamu. Pakcik tu kata korang yang bawa aku ke sana,” ceritaku panjang lebar, tak puas hati bila mereka kata aku yang hilang.

“Kau jumpa pakcik tu? Dia berbual dengan kau?” tanya Wan sambil membeliakkan matanya.

“Iyelah, dah korang yang bawak aku ke sana,” kataku.

“Zikri, kau sorang je yang ke sana. Takde siapa bawa kau ke sana,” kata Daniel pula.

“Habis tu yang aku tengok tengah tidur kat ruang tamu rumah tu siapa?” tanyaku.

“Manalah kami tahu,” kata Azam.

“Kau nampak apa Ikmal? Sampai kau lari tinggalkan kami?” tanyaku kepada Ikmal.

“Aku kan ikut belakang basikal Danny. Pakcik tu duduk kat belakang basikal Danny. Aku rasa tak sedap hati dengan pakcik tu. Jadi sepanjang kita mengayuh basikal tu, aku tengok je pakcik tu. Dia memanglah tunduk je sambil peluk beg pakaian dia. Tapi ada satu masa tu, aku tengok pakcik tu angkat muka dia. Kepala dia berpusing, muka ke belakang dan dia pandang tepat muka aku. Masa tu la aku terkejut dan lampu suluh aku jatuh. Aku tak berani nak ceritakan perkara tu pada kamu semua masa tu sebab pakcik tu dengan muka terbalik ke belakang, masih pandang aku dengan matanya terbeliak ke atas dan mulutnya ternganga luas. Aku bagi lampu suluh kat kau dan aku terus kayuh patah balik ke laluan masjid. Kat sana aku jumpa beberapa orang kampung yang baru balik dari ‘melanggar’, aku ikut balik dengan mereka.” Kata Ikmal.

“Kenapa tak cakap kat kami?” kataku tak puas hati.

“Macam yang aku cakap tu la, muka pakcik tu pandang aku. Sedangkan korang semua lihat dia tunduk je ke bawah. Masa tu aku dah rasa, pakcik tu bukan orang. Lepas aku balik rumah, aku rasa tak selesa juga. Aku rasa bersalah tinggalkan korang. Tu pasal aku pergi balik ke hujung jalan Melur, tunggu korang kat sana. Mana tahu kau pulak hilang,” kata Ikmal.

“Lepas perasan kau hilang, dan Ikmal pun dah ceritakan kepada kami pasal pakcik tu, kami pula tak sampai hati untuk balik dan tak cari kau. Maka terpaksalah kami mengayuh berpatah balik ke rumah Mak Esah sebab nak cari kau.” Kata Wan.

“Jadi, apa yang aku alami, pokok bergoyang, lolongan anjing, benda berdesir kat semak tepi jalan, semua tu aku dengan siapa? Bukan dengan korang ke?” tanyaku masih keliru.

Wan, Daniel dan Azam menggelengkan kepala.

“Lepas hantar pakcik tu, kami terus kayuh basikal balik. Macam biasalah, jalan tu bukannya panjang sangat.” Kata Azam.

“Ehem!” tiba-tiba kami dengar bunyi orang berdehem. Terkejut kami berlima kat situ.

“Jomlah balik. Kenapa kita berkumpul kat sini pulak?” kata Daniel. Baru sedar kami masih di pinggir jalan di hadapan rumah Mak Esah.

“Siapa yang berdehem tu?” tanya Wan.

“Dah, jangan peduli. Jom balik,” kat Azam.

Kami akur, kayuh basikal jalan seiringan. Tapi kat kiri kanan jalan, seperti ada yang mengikut.

“Jangan pandang kiri kanan atau belakang. Kayuh terus kalau taknak kena tipu daya benda tu lagi,” kata Daniel.

“Benda apa?” tanyaku.

“Hantu pakcik tu la,” kata Wan.

“Tapi korang kata malam raya hantu belum balik kan?” kataku. Tapi tiada siapa yang menyahut kata-kataku. Lalu aku pun diam.

“Macammana korang boleh tahu aku ada kat rumah tu?” tanyaku.

“Basikal kau ada kat sana. Maknanya kau sendiri yang kayuh basikal kau ke sana,” kata Wan.

“Taklah, aku pengsan kan,” kataku masih tertanya-tanya apa yang dah terjadi.

“Dah, jangan cakap lagi. Kat atas kepala kita ni, macam ada benda terbang, ikut kita dari rumah Mak Esah tadi,” kata Azam separuh berbisik. Aku terus dongakkan kepala sebaik terdengar Azam berkata begitu.

“Jangan tengok dia Zikri! Jalan terus,” kata Daniel dengan suara agak keras.

Aku cepat-cepat tunduk kembali tapi aku sempat lihat sekilas pandang, kat atas kepala kami, ada bayangan pakcik tadi sedang berjalan di atas angin. Matanya memandang kami. Masa aku mendongak, dia sedang memandang aku. Seramnya la muka pakcik tu. Matanya putih, bebola mata hampir nak terkeluar. Mukanya seperti rangka tanpa daging dan kulit.

Aku kayuh basikal aku laju-laju tapi aku terasa macam basikal aku tak bergerak. Aku nampak kawan-kawan aku mengayuh semakin jauh meninggalkan aku. Aku cuba nak jerit memanggil kawan-kawan aku tapi suara aku tak keluar. Aku toleh ke belakang, aku nampak pakcik tu sedang merangkak di tanah dan berpaut kat tayar belakang basikal aku. Ya Allah! Apa aku nak buat ni.

“Kau kena tinggal dengan aku. Kau tak boleh pergi. Sebab kau dah jadi sebahagian dari aku dan aku dah jadi sebahagian dari kau. Kau tak boleh balik ke alam kau, kau kena tinggal di alam aku,” aku dengar suara pakcik tu garau.

Aku terus kayuh basikal aku walaupun aku tahu basikal aku tak bergerak pun. Dan pakcik tadi terus merangkak ke bahagian depan basikal aku. Aku menangis. Aku tak mampu bersuara. Aku dah tak nampak kawan-kawan aku.

Aku nampak pakcik tu bangun berdiri kat depan aku. Dengan wajah yang amat menggerunkan, dia buka mulutnya besar. Besar sangat sampai muat aku masuk ke dalamnya. Badan aku keras, aku tak mampu melawan. Aku hanya mampu menangis. Dan keadaan makin gelap bila aku dah masuk ke dalam mulut pakcik tu.

Aku dapat rasakan badan aku basah terkena air liur pakcik tu. Aku basah lencun. Aku dapat rasa dua kali air tersimbah ke badan aku. Ketika ini barulah suara aku dapat keluar. Aku menjerit memanggil mak dan ayah aku. Aku harap mereka dapat dengar suara aku. Aku jerit sekuat hati aku sampai sakit tekak aku. Aku tak peduli dah orang nak kata aku gila atau apa. Aku nak orang tahu bahawa aku dah ditelan dek pakcik hantu tu.

Tiba-tiba aku rasa kepala aku sakit. Pipi aku macam di tunjal-tunjal. Mungkinkah pakcik tu sedang menguyah aku. Badan aku sakit-sakit macam kena pukul. Dan masa ni aku dengar suara lain. Suara tu macam aku kenal sangat. Itu suara mak aku. Takkan mak aku pun ada kat dalam badan pakcik ni?

“Zikri! Oooo Zikri! Apa nak jadi dengan kau ni Zikri?” Aku dengar suara mak aku dan sekali lagi aku terasa ada air disimbah ke muka aku, lepas tu aku terasa pipi aku ditampar kuat berkali-kali. Aku buka mata aku.

Aku nampak mak aku, ayah aku, Ikmal, Wan, Azam dan Daniel kat depan aku, cantik dengan busana raya. Aku pula basah lencun kat kat katil. Muka ayah aku dah macam singa lapar tak makan seminggu. Ikmal, Wan, Azam dan Daniel pula terkekeh-kekeh menahan ketawa.

“Orang dah siap bertakbir, dah solat raya, dah menziarah kubur, kau masih tidur? Hari raya ni Zikri, kau tidur! Kawan-kawan dah datang beraya, kau tidur! Berapa kali ayah kejut bangun dari subuh tadi, kau tak bangun. Macammanalah kau duduk kat asrama, patutlah selalu kena rotan dengan ustaz sebab tak bangun solat subuh berjemaah. Kau dah besar Zikri, tak malu ke dengan kawan-kawan kamu ni?” ayah aku membebel manakala mata aku masih terkebil-kebil.

Serius ahhh… Aku mimpi! Kenapa macam real sangat?

“Dah, bangun. Pergi mandi. Adik-adik dah bersiap dah nak pergi beraya. Bangun,” kata mak aku sambil menarik kain selimut dan bantal aku yang dah lencun sebab disimbah dek ayah aku tadi. Dua baldi kot ayah aku simbah aku. Macammana la aku boleh tak sedar. Ini semua pakcik tu punya pasal.

Ayah aku berjalan keluar bilik sambil membebel-bebel. Sepatutnya pagi raya semua orang bermaaf-maafan tapi aku ni, kena marah lagi.

“Cepatlah siap Zikri. Jom kita beraya kat rumah Mak Esah. Dia kan beriya-iya menjemput kita datang ke rumah dia hari ni. Sian dia, anak cucu dia tak balik raya kali ni,” kata Ikmal.

“Mak Esah? Bukan dia dah mati ke?” kataku sambil terbeliak memandang Ikmal.

Tiba-tiba kepala aku sakit diketuk dek Daniel. “Kau tak sedar lagi ni Zikri. Bila masa pula Mak Esah tu meninggal?” kata Daniel.

Aku diam sambil menggaru kepala yang tak gatal.

“Dah, kau pergi siap. Lepas tu kau minta maaf kat mak ayah kau. Kami pergi beraya kat rumah Cikgu Nurul dulu. Lepas tu kami datang sini balik, kita sama-sama pergi rumah Mak Esah.” Kata Wan. Mereka yang lain menurut. Aku juga yang masih terkebil-kebil.

“Tak mandi lagi???!” ayah aku tiba-tiba lalu kat depan pintu bilik aku dan pandang aku macam apa entah. Cepat-cepat aku tarik tuala aku, dan masuk bilik air.

Lepas mandi, aku ambil baju melayu yang mak aku dah siap gosok semalam. Sedondon biru bandung kami tahun ni. Tapi aku tak pergi sembahyang raya. Macammanalah aku boleh tidur balik lepas solat subuh tadi? Lepas bersiap, aku cari ayah aku. Ayah takde. Aku nampak mak aku kat dapur. “Mak, ayah mana?” tanyaku.

“Ayah kau keluar dengan orang masjid, katanya nak menziarah Pak Leman yang sedang sakit kat rumahnya. Kenapa cari ayah kamu? Tak pernah kamu cari ayah kamu tu?” tanya mak aku.

Aku merapati mak aku. Aku pegang tangan mak aku. Aku cium tangan mak aku. Tak sedar air mata aku mengalir.

“Mak, Zikri minta maaf dari hujung dari sampai hujung kaki. Zikri tak pernah berniat nak buat mak dan ayah susah hati. Zikri akan cuba berubah. Dan Zikri tahu apa yang mak ayah buat adalah untuk kebaikan Zikri.” Mak aku peluk aku sambil menangis.

“Mak sentiasa maafkan anak-anak mak. Mak tak pernah simpan perasaan buruk terhadap anak-anak mak. Doa mak sentiasa mengiringi anak-anak mak,” kata mak buatkan aku makin teresak-esak.

“Kat sini lagi kamu Zikri? Kawan-kawan kamu dah menunggu kat lama nun,” tiba-tiba terdengar suara ayah dari muka pintu.

Aku berlari mendapatkan ayah. Aku tarik tangan ayah, aku cium tangan ayah. Aku menangis. Aku tak boleh bersuara, tekak aku sakit. Ayah tarik tangannya yang sedang aku cium. Dia peluk aku erat. Aku dengar esakannya. Di satu sudut aku nampak dua lagi adik aku sedang terkebil-kebil pandang aku dan ayah aku yang berpelukan. Mereka mungkin pelik melihat aku dan ayah aku begitu.

“Dah tu, pergilah. Kawan-kawan kamu tunggu kat luar tu. Jangan keluar lama sangat, lepas zohor kita nak ke rumah adik beradik ayah.” Kata ayah aku tanpa pandang aku, suaranya pun serak.

Aku melangkah keluar. Kawan-kawan aku dah menunggu aku. Aku capai basikal aku, kami mengayuh basikal perlahan-lahan menuju ke rumah Mak Esah, walaupun aku masih ada perasaan curiga, ‘Mak Esah masih hidup ke?’

Sampai kat rumah Mak Esah, memang rumah tu nampak sunyi walaupun persekitarannya cantik tersusun. Kami bagi salam. Dan Mak Esah muncul kat depan pintu dengan senyuman riang bila nampak kami.

“Waalaikumussalam. Alahai anak-anak Mak Esah. Terima kasih sebab sudi ziarah Mak Esah pagi raya ni. Mari masuk, kita makan lemang dengan rendang ayam. Semalaman Mak Esah masak walaupun tahu anak cucu Mak Esah tak balik. Tapi Mak Esah tahu, anak-anak Mak Esah yang ini akan datang.” Kata Mak Esah lagi.

Kami semua masuk ke dalam rumah Mak Esah. Beraneka makanan dah terhidang kat atas meja, membuatkan rasa ragu-ragu aku makin hilang. Aku dah kembali ke dunia normal aku.

Sedang kami makan, tiba-tiba terdengar suara garau memberi salam. Suara tu macam aku biasa dengar. Kami sama-sama menoleh ke arah suara itu. Berdiri seorang lelaki berjubah dengan kopiah putih dikepalanya, tersenyum memandang kami. Muka masing-masing berkedut macam ada persoalan. Aku ni lagi la terkejut. Itu adalah pakcik semalam, yang kami tumpangkan ke rumah Mak Esah dalam mimpi aku tu. Tak tahulah kenapa aku tak boleh move on dari mimpi aku semalam. Betul-betul macam nyata. Aku berdiri dah, siap siaga nak lari.

“Ini adik makcik. Dia tinggal di Selangor. Dia jarang balik sini. Isterinya baru meninggal dunia dua bulan lepas. Mereka takde anak. Tu yang tahun ni dia datang beraya dengan Mak Esah sebab dia tahu Mak Esah pun beraya seorang diri.” Mak Esah menjelaskan kepada kami.

Ikmal, Daniel, Azam dan Wan bangun bersalaman dengan pakcik tu. Daniel bagi isyarat kat aku suruh salam pakcik tu bila dia lihat aku masih terkedu kat tempat aku berdiri tadi.

“Kamu dah kenapa Zikri? Macam nampak hantu,” kata Mak Esah.

Aku cuba melawan perasaan takut aku. Aku cuba senyum kat pakcik tu. Pakcik tu senyum semula kepada aku. Dia melangkah menghampiri aku lalu menghulurkan tangan kepada aku untuk bersalaman. Dengan berat hati aku menyambut salamnya. Pakcik tu lalu duduk kat sebelah aku.

“Hish Mak Esah ni, macam la tahu orang nampak hantu macammana kan?” kata pakcik tu sambil tersenyum mengusik adiknya.

“Dah dia kejung terbeliak macam tu, tak macam nampak hantu ke?” kata Mak Esah sambil menuangkan air ke dalam cawan dan menolaknya ke depan pakcik tu.

“Hari raya mana ada hantu Mak Esah,” kata Azam sambil disambut tawa oleh kawan-kawan aku yang lain. Aku pula cuba-cuba baut senyum, tapi tak jadi. Pakcik tu tepuk bahu aku perlahan, seperti memujuk kerana aku sedang dibahan dek kawan-kawan aku.

“Tak kiralah hari raya ke, puasa ke, tak puasa ke, bukan hari raya ke, hantu memang tak wujud. Takde hantu tu. Yang ada cuma syaitan dan jin. Dan yang kena rantai kena kurung tu ialah syaitan. Sebab Allah nak kita beribadat dengan sempurna tanpa gangguan syaitan. Tapi masalahnya syaitan dah membuat tapak di hati kita, membuatkan kita masih leka walaupun syaitan dah dirantai,” kata pakcik tu lagi.

“Maknanya memang takde benda pelik la masa bulan puasa kan pakcik? Dah syaitan takde,” kata Wan.

“Yang kena rantai tu syaitan. Tapi jin masih ada. Jin tu pun makhluk ciptaan Allah sama macam kita. Jin ni tak dirantai. Cuma kita tak nampak mereka. Mereka pun ada yang baik ada yang jahat. Yang baik tetap buat segala suruhan Allah macam kita. Tapi di alam mereka la,” kata pakcik tu lagi.

“Yang orang selalu sebut hantu tu, apa pakcik?” tanya Ikmal pula. Hish, ramah sangat mereka ni tanya pasal hantu syaitan jin semua tu dah kenapa? Aku pula dah tak sabar nak keluar dari rumah tu.

“Itulah jin. Mereka hidup lebih lama dari kita. Sebab tu ada di kalangan mereka yang rupanya dah agak teruk, sebab dah hidup terlalu lama. Ada yang sampai beribu tahun. Tapi tak perlu takut kat mereka. Kita cuma perlu takut pada Allah.” Kata pakcik tu.

“Macammana nak tahu itu adalah jin pakcik?” tanya Wan pula. Dan kali ni aku taknak tunggu. Aku bangun.

“Kau nak ke mana Zikri?” Azam bertanya.

“Ayah aku pesan tadi suruh balik awal. Sebab nak pergi rumah mak sedara aku. Aku balik dulu la. Nanti kita jumpa lagi. Mak Esah, saya balik dulu. Nanti bila-bila senang, saya datang lagi. Selamat hari raya Mak Esah.” kataku sambil melangkah keluar dari rumah Mak Esah, dan terus balik rumah.

– T A M A T –

One thought on “HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s