HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Bab 4

“Danny, Wan, Azam, bangunlah,” aku kuatkan sedikit suara dan goncangan di badan mereka. Namun mereka masih tak bergerak.

Aku pegang kaki Daniel, sejuk macam ais batu. Aku pegang tangan Wan dan Azam, sama juga, sejuk macam ais batu. Hati aku dah mula rasa tak sedap. Aku pandang siling rumah, aku pandang keliling. Takde kipas angin pun tapi kenapa kaki tangan kawan-kawan aku sejuk macam ais batu?

Aku rapatkan lilin ke muka Wan, nak tengok mukanya. Aku terkejut, nyaris tercampak lilin ke lantai. Mata Wan terbuka luas. Tapi mata hitamnya naik ke atas, seperti sedang melihat sesuatu di atas kepalanya. Kulit Wan pucat lesi dan hampir kehijauan. Aku suluh pula ke wajah Daniel dan Azam, sama juga. Wajah mereka pucat lesi dengan mata terbeliak memandang ke atas kepala mereka.

Aku bangun perlahan-lahan. Aku tutup mulut aku dengan tangan sebelah lagi kerana menahan ketakutan. Aku cuba cari pintu utama rumah tersebut. Aku tekad nak keluar dari rumah tersebut. Aku tak kira apa nak jadi, aku mesti keluar dari rumah tu. Walaupun kaki aku masih berdenyut dan berdenyut.

Dengan cahaya samar-samar, aku meraba dinding rumah tersebut. Dan akhirnya aku jumpa pintu. Aku tolak engsel pintu perlahan-lahan. Berkeriut bunyinya mungkin kerana dah berkarat.

Aku pandang ke bilik yang pakcik tu masuk tadi, risau juga kalau-kalau dia terdengar bunyi engsel pintu rumahnya terbuka. Tapi aku tak nampak pakcik tu. Mungkin dia dah tidur.

Akhirnya aku berjaya buka 2 engsel pintu tu. Lalu aku tarik daun pintu kayu tu perlahan-lahan. Sebaik sahaja daun pintu itu terkuak, aku nampak bahagian dapur. Eh! Rasanya itu adalah pintu utama untuk keluar dari rumah tu. Macammana pula ada dapur kat situ.

Aku jenguk ke bahagian dapur. Yang lagi pelik, kat dapur tu cerah pula. Ada 2 lampu gasoline di sana. Dan tiba-tiba aku dengar bunyi seperti seseorang sedang menggaul sesuatu di dalam kuali di atas dapur. Ada bau rendang. Makin berdebar jantung aku. Apa yang sedang terjadi sebenarnya ni? Aku kat mana?

Sedang aku tertanya-tanya sendirian, tiba-tiba aku rasa ada sesuatu yang sejuk menyentuh kaki aku. Aku terus melompat dan bergerak jauh sikit dari situ. Aku suluh apa yang menyentuh kaki aku tadi. Aku nampak Daniel dalam keadaan mengesot sedang bergerak ke arah aku dengan menghulurkan tangannya, seperti sedang meminta tolong. Matanya masih terbeliak memandang ke atas, mulutnya ternganga dengan air liurnya meleleh membasahi bajunya.

“Danny, kau sedar tak ni?” kataku sambil bergerak menjauhi Daniel. Takut aku. Tak tahu apa dah jadi pada Daniel dan yang lain.

Daniel tak menyahut tapi dia terus mengesot menghampiri aku. Dah macam zombie pulak aku tengok dia. Aku menjeling ke arah tempat Wan dan Azam tidur tadi. Mereka tiada di sana. Aduh, ke mana pula yang dua orang lagi tadi? Kat belakang aku ke? Meremang bulu roma aku bila terbayangkan rupa Wan dan Azam kat belakang aku. Ke mana pulak aku nak lari ni.

“Kenapa ni?” tiba-tiba aku dengar suara pakcik tadi. Aku menoleh ke arahnya. Pakcik tu sedang berdiri di pintu biliknya.

“Pakcik, apa dah jadi dengan kawan-kawan saya? Kenapa mereka macam mayat hidup?” tanyaku terus.

“Mayat hidup? Kat mana kamu tengok mayat hidup?” tanyanya semula.

“Tu,” aku halakan jari telunjuk aku ke arah Daniel tanpa memandang ke arahnya sebab aku tak sanggup lihat rupanya.

“Mana?” tanya pakcik tu lagi. Hish, pakcik tu pun satu, dah dia tunduk sampai ke dada, macammana dia nak nampak?

“Kat depan saya ni pakcik,” kataku sambil memandang ke arah Daniel. Tapi Daniel tiada di sana.

Aku pandang semula ke ruang tamu tempat kawan-kawan aku tidur tadi. Mereka bertiga masih di sana, sedang tidur lena. Aku garu kepala. Yang mengesot datang kat aku tadi tu siapa? Atau apa? Aku yakin itu adalah Daniel. Dan aku yakin tadi aku tengok Wan dan Azam pun dah tak ada di sana.

“Sebab tu kamu perlu rehat. Tidur sekejap. Mungkin kepala kamu terhentak juga masa jatuh basikal tadi. Sebab tu kamu nampak benda bukan-bukan,” kata pakcik tu lagi sambil melangkah ke arah belakang rumah, tempat aku berbaring tadi.

“Mari ke dapur, kita minum air kopi. Mana tau kamu boleh rasa lega sikit,” kata pakcik tu lagi.

“Pakcik, dapur bukan kat sini ke?” tanyaku sambil menunjukkan ke arah pintu yang aku buka tadi.

“Itu pintu keluar. Dapur kat sebelah sini,” kata pakcik tu tanpa memandang aku.

“Tapi tadi saya nampak dapur kat situ. Dan ada orang sedang memasak,” kataku kepada pakcik tu.

“Teruk kepala kamu tu,” kata pakcik tu lagi menyeret kakinya lalu melangkah ke dapur.

Aku pandang ke arah kawan-kawan aku yang sedang tidur di ruang tamu. Aku pandang pintu utama yang aku nampak dapur tadi. Aku pandang kaki aku sebab terasa-rasa seperti Daniel sedang memaut dengan matanya terbeliak dan mulut ternganga luar.

Aku berpeluk tubuh, sejuk panas sejuk panas dah aku rasa badan aku ni. Aku pegang dahi aku, nak rasa samada aku demam ke. Aku cubit pipi aku nak tahu aku mimpi ke. Dan tiba-tiba aku terasa ada seseorang meniup kat telinga aku. Terlompat aku kat situ. Dalam tak sedar, aku berlari ke arah dapur yang pakcik tadi masuk.

Kat sana, aku nampak pakcik tadi sedang duduk di meja makan. Kat depan dia ada dua gelas air suam. Aku menghampiri pakcik tu.

“Duduklah,” katanya.

Aku akur, aku duduk. Buat masa ni, pakcik tu saja makhluk bernyawa yang aku boleh nampak. Yang lain aku dah tak tahu jadi apa. Kawan-kawan aku pun aku takut nak hampiri. Aku rasa macam dah nak gila kot.

“Minumlah.” Katanya sepatah.

Aku ambil gelas yang berisi air kopi kat dalamnya. Aku rapatkan ke hidung. Bau kopi itu hanyir, seperti darah ikan. Aku menjauhkan gelas itu dari aku. Aku tutup hidung dan menahan muntah yang hampir keluar dari mulut aku.

“Kenapa? Tak sedap?” Pakcik tu tanya aku.

“Saya tak minum kopi. Pakcik minumlah,” kataku.

“Takde milo kat rumah ni. Ada kopi je.” Kata pakcik tu lagi. Aku perhatikan saja pakcik tu. Aku tunggu dia mendongakkan mukanya untuk minum air dalam gelas tu.

“Takpe, saya tak dahaga. Pakcik minumlah,” kataku.

Pakcik tu menghalakan gelas ke mulutnya dan aku lihat pakcik tu mengeluarkan lidahnya dan menjilat air kopi dalam gelas tu dengan penuh berselera, tanpa mengangkat kepalanya. Aku terus bangun, kerusi yang aku duduk tu jatuh.

“Kenapa?” tanya pakcik tu.

“Macammana pakcik boleh minum macam tu?” tanyaku. Pakcik tu tak jawab tapi dia terus bangun dari kerusinya dan melangkah kembali ke ruang tamu.

Aku pandang keliling dapur. Dan kali ini sekali lagi aku dengar bunyi seperti seseorang sedang menggaul sesuatu dalam kuali. Aku melangkah perlahan-lahan mencari arah bunyi itu. Di satu sudut, aku nampak susuk tubuh seorang wanita dalam usia lebih tua dari mak aku kot, sedang menggaul sesuatu dalam kuali di atas dapur.

Aku melangkah perlahan-lahan menghampiri susuk tubuh itu. Ketika aku makin hampir dengan perempuan itu, aku terdengar suara berdehem. Aku menoleh ke arah suara tersebut. Aku nampak pakcik tadi sedang berdiri di muka pintu antara dapur dan ruang tamu.

“Apa kamu buat kat dapur tu?” tanyanya.

Aku melangkah ke arah pakcik tu. “Ada orang sedang memasak kat dapur tu? Siapa dia?” tanyaku.

“Itukan kakak pakcik, yang korang panggil Mak Esah tu,” kata pakcik tu.

“Mak Esah? Bukan ke Mak Esah dah meninggal dunia tahun lepas?” tanyaku sambil mengerutkan dahi.

Pakcik tu tak menjawab. Dia duduk di kerusi malasnya seperti mula-mula aku sedar dari pengsan tadi.

“Pakcik, saya nak balik. Kat mana pintu keluar?” tanyaku.

“Tunggulah subuh baru balik. Sekarang ni masih gelap kat luar sana.” Kata pakcik tu lagi.

“Takpe pakcik. Saya boleh balik. Saya dah biasa jalan dalam gelap,” kataku cuba berdalih. Aku betul-betul nak keluar dari rumah ni.

“Aku kata tunggu, tunggulah! Kalau taknak jadi apa-apa kat kau, jangan lawan cakap aku!” tiba-tiba pakcik tu bersuara garau. Agak tinggi nada suaranya seakan menengking. Aku tergamam dan terus diam.

“Kalau kamu taknak jadi macam kawan-kawan kamu, kamu dengar arahan aku. Duduk di sini bersama aku. Aku akan jaga kamu,” kata pakcik tu lagi. Kali ni aku makin kecut perut. Aku pandang kawan-kawan aku yang masih berbaring di lantai di ruang tamu.

“Kenapa dengan kawan-kawan saya pakcik? Apa pakcik dah buat kepada mereka?” tanyaku.

“Mereka berdegil. Mereka melawan cakap aku. Aku sedut darah mereka sampai habis untuk diberi kepada haiwan peliharaan aku,” kata pakcik tu lagi, lepas tu dia ketawa macam orang hilang akal.

Aku buntu. Siapa pakcik ni? Apa dah jadi dengan kawan-kawan aku? Aku kat mana sebenarnya ni?

Perlahan-lahan aku duduk di lantai. Tak jauh dari pakcik tu. Sebab pakcik tu duduk di atas kerusi. Aku rasa kalau aku duduk di lantai, aku mungkin boleh nampak muka pakcik tu. Pakcik tadi masih ketawa biarpun dagunya masih rapat ke dadanya. Aku tunduk perlahan-lahan, cuba melihat wajah pakcik tu.

Ketika aku makin hampir dapat melihat wajah pakcik tu, tiba-tiba pakcik tu jerkah aku, “Kamu tengok apa?!” tanyanya dengan nada agak kasar.

Masa ni pakcik tu angkat kepalanya tapi kepala pakcik tu terpusing ke belakang 180 darjah. Jadi, aku hanya nampak belakang kepala pakcik tu saja, manakala wajahnya dah terpusing ke belakang. Aku menjerit.

“Nak tengok sangat kan?” tanyanya.

“Pakcik ni apa sebenarnya? Kenapa kurung saya kat sini. Lepaskan saya,” kataku merayu dengan suara hampir menangis.

“Aku mahu teman.” Kata pakcik tu lagi.

“Tapi saya kena balik rumah. Mak ayah saya sedang tunggu saya. Esok hari raya, tapi saya masih tak balik rumah. Mesti mak ayah saya risau,” kataku cuba berlembut, mana tahu pakcik tu akan lepaskan aku.

“Semua orang yang aku lepaskan pulang, takkan datang semula kepada aku. Jadi kau akan kekal di sini, menemani aku,” kata pakcik tu. Aku tak berani pandang dia, sebab aku cuma akan nampak rambut sahaja sebab wajahnya dah terpusing ke belakang.

Pakcik tu bangun, dia melangkah ke arah aku dalam keadaan masih menyeret kakinya. Aku pula macam dah terlekat di lantai, tak mampu bergerak. Aku menangis, meleleh air mata jantan aku. Aku rasa nasib aku akan jadi macam Daniel, Wan dan Azam. Tak sangka aku mati dengan cara ni, di malam raya. Masa ni aku teringat kat mak aku. Aku menyesal sebab selalu lawan cakap ayah aku. Sekarang baru aku tahu, mereka selalu marah aku, bebel kat aku, sebab mereka taknak aku jadi macam sekarang ni. Rupanya walaupun aku dah besar, mak ayah aku masih menjaga keselamatan aku. Kalaulah aku diberi peluang kedua, aku takkan lawan cakap mak abah aku lagi. Aku akan akur dengan setiap patah arahan mereka.

Tapi sekarang semuanya dah terlambat. Langkah pakcik pelik tu makin hampir dengan aku. Dan aku tak mampu buat apa-apa.

Tiba-tiba aku dengar bunyi ketukan bertalu-talu di pintu. Dan aku dengar suara orang memanggil nama aku. Suara itu amat aku kenali. Tak tahu dari mana datangnya kekuatan, aku bangun dan berlari ke pintu lalu membukanya.

Aku nampak Ikmal. Dia tarik tangan aku keluar dari rumah tu. Aku menurut, lari macam lipas kudung mengikut belakang Ikmal. Kami berhenti berlari ketika kami sampai di jalan depan rumah Mak Esah tu.

“Kau ok ke Zikri?” Tanya Ikmal. Aku masih tercungap-cungap kerana berlari laju sebentar tadi. Tapi aku sempat anggukkan kepala.

“Syukurlah kau tak apa-apa,” aku dengar suara seseorang, bukan suara Ikmal tapi suara yang aku kenal. Aku angkat muka. Aku nampak Daniel, Wan dan Azam pun ada di situ.

“Eh, bukankah korang bertiga ada kat dalam rumah tu tadi, sedang baring di ruang tamu,” kataku agak keliru.

-BERSAMBUNG-

2 thoughts on “HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s