HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Bab 3

“Kau ada bau wangi tak Danny?” aku bertanya.

“Haah. Macam bau bunga. Wangi betul,” sahut Danny sambil menarik nafasnya dalam-dalam menyedut bau wangi tu.

“Mak aku kata, kalau ada bau wangi tengah malam, jangan tegur,” kata Wan pula.

“Kenapa?” tanya Azam.

“Sebab bau tu mungkin dari alam yang tak sama macam kita,” kata Azam.

“Iye ke? Kita bukan kutuk atau cakap benda tak elok. Kita puji kot,” kata Azam.

“Lagipun ini malam raya la. Hantu belum balik lagi. Esok lepas subuh baru diorang lepas,” kata Daniel.

Aku diam je. Gementar aku tak habis lagi. Rasa macam ada yang mengikut kat belakang kami.

“Dah la korang, kayuh cepat. Dah pukul 2 lebih dah ni. Dengan gelap, sunyi sepi, macam lalu kawasan kubur pula,” kata Wan.

“Haa… bila kau kata kubur, baru aku teringat. Bau wangi macam ni selalu ada kat kubur. Ada sejenis pokok besar tu, bunganya warna putih dan wangi. Bunga apa aku tak ingat,” kata Daniel lagi.

“Dah la tu korang. Jom balik cepat. Ayah aku mesti dah tunggu aku kat pintu pagar ni.” Kataku mula tak selesa dengan perbualan mereka.

“Kau takut ayah kau ke, kau takut hantu, Zikri?” Azam tanya aku. Aku malas nak jawab. Makin aku jawab nanti makin menjadi mereka mengusik.

Sedang kami mengayuh basikal, tiba-tiba je ada sesuatu yang berwarna putih terbang kat atas kepala kami. Laju, dan sekali lalu je. Hilang begitu saja.

“Korang nampak tak benda yang terbang kat atas kepala kita tadi?” Wan bertanya.

“Haah, aku pun rasa macam nampak sesuatu tapi tak perasan apa bendanya sebab laju sangat,” kata Daniel.

“Burung kot,” sahut Azam.

“Aku perasan macam sesuatu yang berwarna putih. Macam kain pun ada,” aku pula menyahut. Kat basikal aku masih ada lampu suluh milik Ikmal tadi. Kalau tak  nampak banyak pun, aku boleh nampak sikit.

“Hish kau ni Zikri. Kain apa pulak yang terbang malam-malam raya ni?” kata Wan bersuara cuak.

“Kenapa Wan, kau pun takut ke? Kalau kain putih terbang malam ni, rasanya Pontianak. Takpun Langsuir,” kata Azam sambil ketawa.

“Kau ni Azam, agak-agak la nak bergurau sebut nama tu tengah malam gelap gelita ni. Jangan cabul sangat,” kata Daniel menegur Azam yang agak lantang.

“Opps.. Sori geng. Aku bergurau je. Aku pun berdebar juga ni. Dah jauh kita kayuh tapi tak sampai hujung Jalan Melur lagi ni. Dalam keadaan macam ni, kalau kita serius sangat, takut keadaan jadi lagi teruk. Kita bertenang ok,” kata Azam.

Kami semua diam sambil mengayuh basikal masing-masing. Anjing terus melolong panjang tapi kami tak nampak kelibat anjing pun walau seekor.

Tiba-tiba kami dengar bunyi berdesir di dalam semak kat tepi jalan laluan kami. Kami terus berhenti mengayuh. Kami memandang ke arah semak tu. Daun-daun rumput tu bergerak-gerak seperti ada sesuatu yang menggerakkannya.

“Apa tu weh? Ular ke?” tanyaku sambil menyuluh ke arah semak yang bergerak tu.

“Entah. Musang kot. Takpun tupai,” kata Wan.

Ketika kami masing-masing fokus ke arah semak tu, tiba-tiba pokok besar kat tepi jalan bergerak kuat seperti ada yang menggoncangnya di atas pokok tersebut. Dan kami terasa tempias air seperti air hujan. Tapi hari tak hujan pun. Mungkin dari pokok besar tu.

“Dah la weh, jom kita balik,” kata Wan semakin takut.

Kami terus mengayuh basikal. Pokok besar tersebut masih bergoncang. Dan ketika kami hampir melepasi pokok besar tersebut, kami dengar suara mengilai yang panjang dan agak menyeramkan.

“HiiiiiHiiiiiiiiHiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii…….!!” Serius seram weh. Berbiji-biji kulit aku menahan rasa seram.

“Jalan terus, jangan berhenti, Tak tahu apa benda yang nak mengusik kita ni,” kata Daniel. Aku rasa dia pun dah mula rasa takut.

Kami akur. Kayuh basikal kami laju-laju, bersaing sesama sendiri. Tapi kami tak tinggalkan kumpulan. Kalau ada yang tertinggal di belakang, kami akan perlahankan kayuhan supaya semua bergerak bersama.

Masa sibuk mengayuh tu, Daniel memberhentikan basikalnya. Maka, kami yang kat belakang dia pun turut berhenti mengejut, hampir terlanggar basikal Daniel. Terangkatlah tayar basikal belakang aku, brek mengejut punya pasal.

“Kenapa Danny?” Azam bertanya.

“Kau dengar tak bunyi tu?” Tanya Danny membuatkan kami memasang telinga masing-masing.

Kami dengar bunyi seperti seseorang sedang berjalan sambil menyeret kakinya. Dan sekali lagi, bulu roma aku meremang walaupun meremang yang tadi tak turun lagi. Aku dah rasa nak menangis dah. Rasa macam nak jerit panggil mak ayah aku. Biarlah apa orang nak kata. Biarlah kawan-kawan aku bahan aku sampai setahun pun. Aku tak peduli dah.

“Bunyi tu macam kat depan kita ni.” Kata Wan.

“Zikri, cuba kau suluh ke depan,” kata Daniel. Aku pun angkat lampu suluh dari tempat aku lekatkan lampu tu di bahagian tepi handle basikal aku. Aku suluh ke arah bunyi tu.

Kami nampak sesuatu yang sedang bergerak perlahan menuju ke arah kami. Allahu! Apa benda pula tu? Nak lari ke mana lagi ni? Takkan nak patah balik ke belakang kot. Dah jauh kami mengayuh ni, padahal Jalan Melur tu bukannya panjang sangat.

“Ikmal ke tu?” Azam bersuara. Kami yang lain diam, dan terus fokus ke arah susuk tubuh di hadapan kami.

Tiada sahutan. Tapi dia terus berjalan sambil menyeret kakinya ke arah kami.

“Siapa tu?” Daniel pula bersuara. Lolongan anjing makin galak, macam berlawan-lawan pula dengan suara kami dan bunyi seretan kaki orang kat depan kami ni. Itupun mujur bunyi mengilai tadi kejap je.

“Korang, jom patah balik. Aku rasa lain macam je ni,” kata Wan.

“Nak patah balik ke mana? Kita nak balik kena terus ke depan sana sampai hujung jalan ni,” kata Azam.

“Kita ikut hujung jalan belah sana,” kataku setuju dengan cadangan Wan.

“Kau nak patah balik, jumpa benda apa entah terbang kat atas kepala, lepas tu pokok bergoncang dengan air sekali menjirus kita, dengan entah apa yang mengilai kat atas pokok tu, yang berdesir kat tepi hutan lagi. Nak patah balik?” kata Azam seperti dah naik marah.

Eh eh, tadi bukan main dia yang menyakat kami. Katanya takde hantu malam raya la, bertenang la, bergurau la, nak ceriakan suasana kononnya. Sekarang ni dah kenapa dia nak marah kami pula?

Aku tepuk bahu Wan perlahan. Aku suruh dia diam. Kalau boleh, aku taknak kami bergaduh dalam suasana macam tu. Kami mesti bersatu sekarang, walau apapun terjadi, tak kisahlah apa benda yang sedang melangkah kat depan kami ni.

Oleh kerana keadaan yang agak samar-samar, hanya disinari cahaya bulan dan sedikit cahaya yang bersisa dari lampu suluh Ikmal ni, kami tak dapat melihat objek kat depan kami dengan jelas. Kami hanya boleh menunggu objek tu menghampiri kami.

“Korang, aku rasa lain macam je. Aku nampak macam susuk badan seorang lelaki, kat tangannya ada pegang sesuatu, aku nampak macam… aaa….,” kata Daniel. Dia paling depan di antara kami berempat masa tu.

“Dia pegang apa? Pisau ke?” tanya Wan. Daniel geleng kepala.

“Penyamun ke Danny? Tak mustahil juga orang nak menyamun malam raya ni,” kata Azam.

Aku tak menyahut sebab dari cahaya lampu suluh, aku rasa aku nampak orang kat depan aku ni pegang apa. Tapi aku tak boleh nak bersuara sebab tekak aku dah tersekat, suara aku dah tak boleh keluar. Kaki aku dah terpaku kat jalan. Aku menggeletar dan aku rasa macam aku dah terkencing!

Lelaki kat depan kami, tanpa kepala dan di tangannya sedang memegang kepala yang dah terputus dari lehernya.

Aku tak tunggu dah. Aku pusingkan basikal aku. Dan aku kayuh basikal aku laju-laju.

“Zikri, tunggu!” aku dengan suara Wan menjerit memanggil aku tapi aku tak boleh berhenti kayuh basikal. Sampailah aku rasa aku jatuh dari basikal dan kepala aku terhentak ke jalan. Aku tak sedar dah masa tu.

Masa aku sedar, aku berada dalam sebuah rumah. Rumah yang agak usang, hanya bercahayakan lampu gasolin. Aku duduk. Kepalaku terasa berat. Aku pandang keliling.

“Kamu dah sedar, nak. Baguslah. Minum air suam ni dulu. Biar segar sikit badan tu,” aku dengar suara seseorang yang macam baru je aku dengar. Aku toleh ke arah suara itu.

 Aku nampak pakcik yang kami tumpangkan tadi. Dia masih macam tadi, menundukkan mukanya sampai dagu berlaga dada.

“Saya kat mana ni pakcik?” tanyaku.

“Kat rumah kakak pakcik la, arwah Mak Esah,” kata pakcik tu, walaupun dia tak angkat muka pandang aku, tapi dia agak ramah berbanding masa kami mula-mula jumpa dia kat jalan tadi.

“Macammana saya ada kat sini? Mana kawan-kawan saya?” tanyaku masih melilau memerhati keliling rumah tu. Agaknya tadi rumah ni cerah bukan sebab lampu elektrik tapi sebab gasoline tu la kot. Tapi siapa yang pasang gasoline tu kalau Mak Esah dah meninggal dan pakcik tu pun baru sampai?

“Kawan-kawan kamu ada kat ruang tamu nun. Mereka yang bawa kamu ke sini. Mereka kata kamu jatuh basikal dan terus pengsan. Rumah lain semua tak buka pintu bila mereka ketuk.” Kata pakcik tu lagi, masih duduk dan menggoyangkan kerusi malas kat tepi dinding. Berkeriut keriut bunyi kerusi malas tu.

“Tapi tadi kami nampak..,” aku berhenti berkata-kata.

“Nampak apa?” tanya pakcik tu lagi. Aku gelengkan kepala, tak sanggup nak cakap.

“Nampak hantu?” tanya pakcik tu lagi buatkan aku pandang dia.

“Mana pakcik tahu?” tanyaku.

“Kan pakcik dah kata, kalau nampak hantu, datang balik ke rumah pakcik,” kata pakcik tu sambil ketawa kecil.

“Tapi mana ada hantu malam raya macam ni kan pakcik?” tanyaku naif.

“Manalah pakcik tahu. Korang yang kata hantu belum balik malam raya. Pakcik tak pernah tengok hantu, jadi pakcik tak tahu macammana hantu tu,” kata pakcik tu lagi. Aku diam.

“Pakcik, saya nak jumpa kawan-kawan saya,” kataku.

“Pergilah kat ruang tamu depan tu. Mereka semua lena kat sana. Gelap sikit kat sana, bawa lilin ni,” kata pakcik tu sambil menunjukkan sebatang lilin  yang sedang menyala di atas meja kecil si tepi dinding.

Aku tengok jari pakcik tu, seperti satu tulang tanpa daging. Macam kat sekolah tu, yang ada objek rangka dalam kelas biologi. Bulat mata aku dan aku terpempan seketika.

“Kenapa tercegat kat situ? Kata nak jumpa kawan-kawan kamu,” kata pakcik tu lagi. Aku tengok jam tangan, dah dekat pukul 4 pagi, dan aku masih tak balik rumah!

“Jangan risau, pagi esok baliklah. Pakcik pun suka kamu semua kat rumah ni. Ada peneman pakcik malam-malam raya ni.” Kata pakcik tu lagi.

Aku tak jawab. Aku tarik bekas berisi lilin tu perlahan-lahan dan melangkah ke ruang tamu mencari kawan-kawan aku. Betullah Daniel, Azam dan Wan sedang lena berbaring di atas lantai berbantalkan kusyen.

Aku gerakkan kaki mereka satu persatu perlahan-lahan sambil memanggil nama mereka. “Wan, Danny, Azam, bangun,” tapi mereka tak bergerak.

“Biarlah mereka tidur. Penat agaknya. Kat sini selamat, takde siapa kacau. Kau pun pergilah rehat, bengkak kat kepala tu pun belum surut elok lagi.” Kata pakcik tu sambil melangkah masuk ke sebuah bilik. Aku pandang kaki pakcik tu, dia masih menyeret kakinya seperti masa kami berjumpa dengannya tadi. Kalau tadi, mungkin dia menyeret kakinya sebab seliparnya hampir putus. Tapi sekarang dah kat dalam rumah kot, takkanlah dia masih nak seret kakinya.

Tiba-tiba aku teringat pada susuk tubuh tanpa kepala yang membuatkan aku kayuh basikal macam orang gila tadi sampai aku jatuh tak sedarkan diri. Orang tu pun jalan menyeret kaki sama macam pakcik ni. Ahh… takkanlah kot. Sebab kepala pakcik ni masih kat tempat asal, walaupun dari mula sampai sekarang aku tak nampak dia angkat mukanya.

-BERSAMBUNG-

2 thoughts on “HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Leave a Reply to afrinamran Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s