HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Bab 2

Jalan Melur tu taklah panjang sangat. Kami waktu tu kat Jalan Melati, Jalan Melur kat lorong belakang tu je. Tapi aku rasa kami dah kayuh basikal tu lama, rasa macam dah sampai mana dah. Tapi Jalan Melati tu macam panjang sangat, kayuh lama pun tapi masih tak sampai hujung jalan. Aku dah berpeluh-peluh, Ikmal dah tercungap-cungap.

Aku tengok jam tangan, dah pukul 1.30 pagi.  Aku pandang keliling, semua rumah dah gelap. Aku pelik gak, selalunya malam raya kampung aku tu meriah. Sampai subuh dengar orang bertakbir dan main bunga api. Tapi kali ni rasa sunyi sepi. Macam kampung tu takde orang.

“Eh Wan. Kau perasan tak kita dah kayuh basikal ni macam dah jauh sangat. Tapi apasal jalan ni panjang sangat, setengah jam dah kot kita kayuh basikal, takkanlah tak sampai Jalan Melur lagi,” kataku separuh berbisik kat Wan yang sedang kayuh basikal kat tepi aku.

“Aku perasan gak. Tercungap dah aku kayuh basikal ni dengan perut penuh. Apasal tak sampai lagi ni?” kata Wan, juga separuh berbisik.

“Dan kau perasan tak kat kiri kanan kita ni dah gelap. Selalunya malam raya tak pernahnya orang kampung tutup lampu kan? Dan riuh sampai pagi,” kata aku lagi. Dan masa ni Wan menoleh ke kiri kanan. Riak wajahnya berubah sikit.

“Iyelah. Kita kat mana ni?” katanya perlahan.

Ikmal memperlahankan kayuhannya dan bersaing sama dengan aku dan Wan.

“Weh korang, cuba tengok pakcik tu. Dia static dari tadi duduk kat belakang basikal Daniel. Langgar lubang ke, brek ke, dia statik je. Kalau patung sekalipun, kalau langgar lubang, mesti dia pun bergerak sama kan. Tapi pakcik tu static je macam tak terkesan dengan basikal yang bergoncang sebab langgar lubang tu,” kata Ikmal perlahan.

Aku dan Wan pun terus fokus melihat pakcik yang masih duduk dengan keadaan yang sama seperti dia mula-mula naik basikal Daniel tadi.

“Danny,” aku panggil membuatkan Daniel membrek basikalnya. Dan betul apa yang Ikmal kata, pakcik tu tak bergerak. Seolah dia tak bersentuh dengan basikal tu pun.

“Apa dia?” Daniel jerit dari basikalnya.

“Setengah jam dah kita ni kayuh basikal, tapi tak sampai hujung jalan pun,” tanpa sempat ditahan, Wan bersuara.

“Tu la pasal, aku perasan jugak. Rumah kiri kanan pun gelap dah semua. Takkan semua tidur kot malam raya ni,” sahut Daniel. Kedudukan kami agak jauh. Azam kat depan sekali, Daniel dengan pakcik tu dan aku Ikmal dan Wan kat belakang sekali.

“Eh, Azam mana?” tiba-tiba Ikmal bertanya.

“Tadi dia dengan korang kan?” Daniel bertanya.

“Bila pula dia dengan kami? Kan dia kat depan sekali tadi?” tanyaku.

“Azam! Oooo Azam!” Daniel memanggil.

“Dia dah kayuh laju ke depan agaknya. Jom je la kita kayuh cepat ke rumah Mak Esah. Entah-entah dia dah sampai sana,” kata Wan cuba berprasangka baik walaupun suaranya agak gementar.

“Haah, dia dah sampai sana kot.” Kata Daniel sambil kembali mengayuh basikalnya dan kami mengikutinya dari belakang.

Aku perhati je pakcik tu, betul kata Ikmal. Dia statik kat tempat duduk belakang basikal Daniel walaupun Daniel bergerak agak kuat. Dan pakcik tu masih tunduk sampai dagunya bertemu dada.

Selang dua minit kot, kami jumpa hujung Jalan Melati. Rasa lega sikit. Sekurang-kurangnya kami dah jumpa hujung jalan. Dan paling kami rasa lega ialah kami nampak rumah orang kampung yang masih menyala lampunya. Keadaan kembali macam sediakala.

“Weh korang, lambatnya! Aku dah sampai rumah Mak Esah. Tengok korang takde, aku patah balik sini. Cepatlah, dah pukul berapa ni?” Aku dengan sayup suara Azam. Dan kami lega lagi sebab nampak Azam melambai-lambaikan tangannya ke arah kami dari Jalan Melur kat sebelah sana.

Lalu kami semua kembali mengayuh basikal menghala ke tempat Azam. Kami masuk ke Jalan Melur. Lepas dua minit mengayuh, keadaan jadi seperti tadi semula. Kiri kanan gelap dan lampu jalan berkelip kelip, kejap menyala kejap padam. Aduh, aku cuak balik. Rasa menyesal pula tak terus balik rumah je lepas jumpa hujung jalan tadi.

Kami terus mengayuh. Jalan makin gelap. Lampu jalan terus terpadam. Ikmal memasang lampu suluhnya dan menghalakannya ke depan.

“Allah!” tiba-tiba dia menjerit dan lampu suluh terjatuh dari tangannya. Dia berhenti mengayuh, badannya menggeletar. Dia tunduk ke tanah sambil pejamkan matanya kaut-kuat.

Daniel, aku dan yang lain pun turut berhenti. Kami hanya ditemani cahaya bulan.

“Kenapa Ikmal?” kami bertanya serentak.

Ikmal diam. Tapi kami dengar bunyi nafasnya agak kuat.

“Ikmal! Kau ok tak? Jangan nak bergurau masa ni,” kata Azam.

“Weh korang, jom la kita balik,” Ikmal bersuara dengan nada terketar-ketar.

“Dah nak sampai rumah Mak Esah ni. Aku rasa selang 2-3 rumah je ni. Lepas tu kita balik la sama-sama. Elektrik takde kot, sebab tu semua rumah pun bergelap,” kata Daniel.

“Aku nak balik,” kata Ikmal.

“Kita dah sampai sini dah. Sama-sama la. Jangan tinggal kawan macam ni. Sian pakcik ni. Kita ni dah tentu kat kampung kita. Tapi pakcik ni di luar kawasan dia. Nak pergi rumah Mak Esah yang dah tentu gelap dan tak terurus. Sekejap je lagi, boleh la ye,” kata Azam memujuk.

“Takpelah kalau kamu semua nak balik. Pakcik turun kat sini saja. Nanti pakcik jalan ke depan sana sampai rumah kakak pakcik,” kata pakcik tu masih duduk di tempat duduk belakang basikal Daniel dan masih dengan kedudukan tadi, tak berubah.

“Eh, takpe pakcik. Kami hantar sampai rumah Mak Esah. Macammana pakcik nak jalan gelap macam ni? Dekat je lagi kat depan tu,” kata Daniel dengan suara serba salah.

“Weh, jom je korang. Dah nak sampai, kejap je lagi,” kata Daniel sambil mula mengayuh semula. Diikuti oleh Azam.

Ikmal serahkan lampu suluhnya kepada aku. “Kau jangan suluh melilau. Biar lampu suluh tu menghala kat satu arah je,” kata Ikmal membuatkan aku mengerutkan dahi aku. Dah kenapa dia bagi arahan macam tu? Kalau takut aku rosakkan lampu suluhnya, kenapa nak bagi kat aku pula. Dia pegang la sendiri.

Tapi aku malas nak banyak cakap dah. Aku nak cepat sampai rumah Mak Esah, hantar pakcik tu, dan pecut balik rumah. Aku tekan lampu kat jam tangan aku, dah pukul 2 pagi. Dan masa ni la pula kami dengar bunyi anjing melolong panjang. Seram sungguh bunyinya. Berdebar terus dada aku sampai bergetar la badan aku. Naik bulu roma semua.

“Tak pernah pula aku dengar bunyi lolongan anjing sedekat ini. Selalunya aku dengar sayup-sayup jauh je. Ini macam kat sebelah je,” kata Wan.

“Hish, kau diam je la. Jangan tegur apa-apa. Jangan tinggal aku,” kataku, suara aku menggeletar. Aku takut, betul-betul takut. Peluh dingin mula membasahi dahi dan belakang badan aku. Tak pernah aku rasa setakut ini dalam hidup aku.

Wan terus diam. Ikmal pun aku tak dengar suara atau nafasnya yang kencang tadi.

Seperti yang Daniel cakap tadi, tak lama kemudian kami sampai kat rumah Mak Esah. Dan kami nampak rumah Mak Esah terang benderang. Aku pandang Wan.

“Ada elektrik lagi ke kat rumah Mak Esah ni? Bukan dah lama ke rumah ni takde penghuni?” tanyaku.

“Entah. Lepas tu kau tengok laman rumahnya. Cantik je macam ada orang jaga. Rumah aku pun rumput sampai lutut,” kata Wan pula.

“Arwah kakak pakcik dulu ada tinggalkan pesanan kepada orang sini untuk jaga rumah ni. Upahnya dia suruh ambil dari hasil tanaman kat belakang rumah dia,” kata pakcik tu sambil turun dari tempat duduk belakang basikal Daniel.

“Oooo…. Kami tak tahu pulak pasal tu. Kami memang orang kampung ni tapi sibuk belajar kan. Tak tahu banyak pasal orang kampung ni,” kata Azam seperti cuba memujuk andai pakcik tadi kecil hati dengan kata-kata aku dan Wan tadi.

“Marilah masuk ke rumah ni dulu.” Pelawa pakcik tu sambil melangkah menyeret kakinya menuju ke tangga kayu rumah tersebut dan diperhatikan oleh kami.

“Takpelah pakcik. Kami dah lewat sangat ni. Takut mak ayah kami risau pulak. Esok je la kami datang lagi ye pakcik,” kata Daniel lembut.

“Iyelah, kalau sesat nanti datang sini ye,” kata pakcik tu sambil ketawa kecil. Walaupun dia ketawa kecil, tapi aku rasa macam ketawanya seolah mengejek kami. Entahlah kenapa aku prejudis sangat dengan pakcik ni sejak dari mula bertemunya tadi.

Daniel dan Azam turut ketawa kecil kerana merasakan pakcik tu cuba bergurau dengan kami. “Ini kampung kami, In Shaa Allah tak sesat,”  sahut Azam.

“Haah, iye tak iye juga. Takkanlah sesat kat kampung sendiri,” kata pakcik tu lagi.

“Kami balik dulu pakcik. Esok kami datang lagi bawa juadah raya,” kata Daniel pula.

“Baik-baik jalan balik. Mana tahu ada hantu kat hujung jalan,” kata pakcik tu lagi sambil ketawa kecil seperti tadi. Tapi dia masih tunduk tak memandang kami.

“Hish pakcik ni, malam raya mana ada hantu. Esok kot baru hantu balik,” sahut Azam turut sama ketawa.

“Daniel, jom la. Lewat dah ni,” ajakku tak sabar. Boleh pula nak bergurau pasal hantu malam-malam buta ni. Tak kisahlah hantu kena ikat ke, hantu belum balik ke, tak payah la cakap macam tu.

“Iyelah, jom.” Kata Daniel sambil memusingkan basikalnya dan mula mengayuh mengikut aku dan Ikmal yang memang berhenti kat tepi jalan je. Kami tak masuk sampai halaman rumah Mak Esah. Hanya Azam dan Daniel yang hantar pakcik tu sampai tangga.

“Ikmal mana?” Azam bertanya. Baru kami perasan Ikmal tiada bersama kami.

“Tu lampu suluh dia ada,” kata Daniel.

“Tadi lepas lampu suluhnya jatuh, memang dia bagi aku pegang lampu suluh ni,” kataku sambil masih memandang keliling mencari Ikmal.

Kami mengayuh basikal perlahan sambil memanggil nama Ikmal. Tiada sahutan tapi lolongan anjing bersahut-sahutan macam kat sebelah kami je.

“Ke dia dah balik? Sebab tadi kan bersungguh dia kata nak balik,” kata Wan pula yang berdiam diri dari tadi.

“Agaknya kot.” Sahut Azam.

“Eh korang perasan tak, keliling kita ni semua rumah tak berlampu. Lampu jalan pun padam. Tapi mcammana rumah Mak Esah tu boleh ada lampu? Takkan pakai generator kot,” kata Wan.

“Haah kan, aku pun baru perasan,” kata Daniel.

“Dah la, tak payah cakap apa-apa lagi. Jom kita balik cepat,” kataku tak sabar nak sampai rumah.

Kami berempat terus kayuh basikal. Laju dan makin laju tapi kami tak jumpa hujung jalan. Sama macam keadaan kat Jalan Melati tadi. Cuma masa kat Jalan Melati tadi, lampu jalan masih terang benderang, takdelah kecut perut sangat. Tapi kali ni, dah la kiri kanan gelap, lampu jalan padam, anjing pula melolong kat tepi kami, macam mengikut je kat tepi basikal kami ni.

Sedang kami mengayuh tu, tiba-tiba ada bau wangi yang teramat sangat. Baunya menusuk betul. Bukan bau minyak wangi. Macam bau bunga.

-BERSAMBUNG-

One thought on “HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s