HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Bab 1

Aku selalu dengar, orang kata bulan puasa takde hantu. Semua hantu kena ikat. Sebab tu masa bulan puasa semua orang berani jalan malam-malam, pergi surau, pergi masjid untuk terawikh, berqiamulail, tahajud kat tengah-tengah malam. Budak-budak pulak, inilah masa untuk mereka jalan malam-malam, ronda keliling kampung cari geng, main meriam buluh, main mercun papan sumbat dalam botol kicap la, paling koman pun main bunga api la.

Macam aku ni, setakat mercun papan yang kecik kaler merah tu aku berani la main. Bukannya apa, mak ayah aku memang tak dedahkan aku dengan permainan yang melibatkan api ni, buatkan aku tak berani main. Nak pula dulu masa aku darjah 6 kot, ada kawan abang aku main mercun, aku pun tak tahu mercun apa. Tapi mercun tu akan menggelupur ke sana sini, lepas tu keluarkan percikan api yang cantik berwarna warni, akhir sekali mercun tu meletup, kuat. Aku pula excited tengok mercun tu cantik, aku pergi dekat. Masa aku pergi tu la, mercun tu meletup. Serpihannya kena kat kaki aku, lebur weh. Melecet jugak. Abang aku pula, takut mak ayah aku marahkan dia, dia suruh aku diam. Aku pun diam la, dah disogoknya aku dengan ais krim.

Bangkai gajah tengah jalan nak ditutup lama mana kan? Nak pula tutup dari mak ayah sendiri. Tak lama, esoknya mak aku tahu. Ayah aku pula membebel marahkan abang aku. Ayah aku kata, kalau kena je api tu terus rendam kaki dalam air, tentu tak melarat. Tu la, nak rahsia sangat dari mak ayah. Mak ayah tu membebel marah sebab sayang. Sebab taknak kita jatuh susah, taknak kita sakit.

Sejak itu memang mercun diharamkan kat rumah aku. Walaupun aku takut, tapi aku suka tengok orang main mercun tu. Aku suka ikut kawan-kawan aku pergi main. Pantang diajak. Walau mak dan abah aku tak izinkan, dalam diam aku keluar rumah. Pukul 10 atau 11 baru aku balik. Kalau abah aku dah tidur, aku selamat la. Tapi kalau abah aku belum tidur, memang abah aku balun aku dengan getah basikal. Tapi aku tak serik. Aku pergi juga.

Sampai ada satu tahun raya tu, aku ikut kawan-kawan aku. Kat tempat aku ada budaya ‘melanggar’ iaitu rombongan yang akan bergerak pada malam raya dari rumah ke rumah untuk bertakbir raya. Aku tak tahu la kat tempat lain orang panggil apa. Aku tak pernah ikut. Tahun tu adalah tahun pertama aku ikut kawan-kawan aku.

Kami lima orang, aku, Daniel, Azam, Ikmal dan Wan. Kami memang dah pakat malam raya tahun tu kami nak ikut rombongan ‘melanggar’. Aku dah cakap kat mak aku bahawa aku nak ikut rombongan masjid  pergi ‘melanggar’. Aku tak tahu la mak aku beritahu ayah aku atau tak. Mak aku pun dah izinkan. Aku pun tengah tunggu result SPM masa tu, dah besar kot.

Pergerakan rombongan tu bermula lepas solat Isya’. Excited la aku dengan kawan-kawan aku nak ikut. Dah siap pakai baju melayu bersampin bagai. Dah macam hari raya dah kat aku. Walhal aku tengok abang-abang dan pakcik-pakcik dalam rombongan tu pakai kain pelekat dengan tshirt pagoda je.

Kami bermula dengan rumah pertama yang bersebelahan dengan masjid. Wah, seronok rupanya. Bukan pergi bertakbir je, bahkan dapat makanan macam-macam. Belum hari raya lagi tu. Lepas keluar dari rumah ke empat, aku tengok jam dah pukul 12 malam. Aku risau juga kot mak aku tertunggu-tunggu aku balik. Maklumlah masa tu bukannya ada whatsapp macam sekarang ni. Dah la aku kayuh basikal je dengan empat lagi kawan aku. Perut pun dah senak masa tu, orang lain bertakbir, jamah kuih sikit dan minum air. Kami ni pula makan apa je yang tuan rumah hidang. Laksa, bihun sup, lemang rendang, lontong, entah apa lagi la. Air minum pun bergelas-gelas dah kami minum. Macam tak sedar diri.

Aku cuit Wan, bagi isyarat ajak balik. Aku tunjuk jam tangan, nak beritahu dah lewat. Wan pun angguk tanda faham. Dia pula cuit Daniel, Azam dan Ikmal. Kami dapat kata sepakat, nak balik. Daniel pergi mendapatkan Pakcik Osman, yang merupakan ketua rombongan ‘melanggar’ tu. Dia cakap sesuatu dan Pakcik Osman angguk kepala. Mungkin dia beritahu bahawa kami tak ikut ke rumah seterusnya.

“Kamu semua balik rumah terus tau. Nanti risau mak ayah kamu. Jangan nak melencong ke lain pula. Malam raya ni,” kata Pakcik Osman pesan kat kami. Kami pun angguk kepala je. Sekurang-kurangnya ayah aku tak boleh nak marah aku sebab Pakcik Osman boleh jadi saksi bahawa aku ikut rombongan ‘melanggar’ malam ni. Takkan ayah nak marah kan.

Aku dan kawan-kawan aku pun mengayuh basikal kami masing-masing menghala ke rumah. Laluan kami semua sehala, sebab rumah kami dekat-dekat. Mula-mula sampai rumah Wan dulu. Lepas tu rumah Daniel, rumah Ikmal dan rumah aku. Rumah Azam akhir sekali.

“Kalaulah aku tahu seronoknya ikut rombongan ‘melanggar’ ni, dari dulu lagi aku ikut setiap malam raya,” kata Azam.

“Kan.” Sahut Ikmal.

“Korang tahu tak, inilah masa paling lewat aku pernah berada di luar rumah. Selalunya balik pukul 11 pun ayah aku dah jadi singa lapar. Ni dah dekat 12.30 tengah malam. Pecah rekod weh aku keluar lewat malam ni,” kataku, tak tahulah nak bangga ke atau baru nak rasa takut kat ayah aku. Tapi takkanlah ayah nak marah kan, aku bukannya pergi lepak kat tempat tak elok.

“Malam raya takpe. Takkan ayah kau nak marah.” Sahut Daniel.

“Kalau hari lain, mungkin ayah kau takut kau disorok hantu kot.” Kata Wan sambil disambut ketawa oleh kawan aku yang lain.

“Malam ni ayah kau tak risau sangat kot. Kita bukannya pergi tempat tak elok. Pakcik Osman kenal ayah kita semua. Lagipun, malam raya ni hantu belum balik kot. Masih dalam kurungan. Esok lepas subuh baru diorang terlepas dari kurungan,” kata Daniel pula. Dan masih disambut dengan ketawa kawan-kawan aku yang lain.

Ketika kami hampir nak sampai ke rumah Wan, kami terserempak dengan seorang lelaki berkain pelekat dengan baju kemeja tangan panjang sedang berjalan di tepi jalan. Kami berpandangan sesama sendiri. Lelaki itu berjalan di depan kami, perlahan je. Kami boleh dengar bunyi kakinya diseret.

“Siapa tu?” tanyaku berbisik.

“Entah. Tengok dari belakang mcam aku tak biasa tengok je.” Kata Wan.

“Malam raya. Orang dari luar pun ramai datang sini, balik kampung kan. Jom je la kita jalan. Dia bukannya kacau kita pun,” kata Ikmal sambil terus kayuh basikalnya.

Kami yang lain pun ikut sekali. Aku tak tahu kawan aku yang lain, tapi aku ada rasa berdebar-debar sikit. Bukannya apa, dah la ini kali pertama aku berada di luar rumah pada masa yang agak lewat macam ni, lepas tu nampak pulak orang yang entah siapa yang nak jalan seorang diri di tengah malam buta tu dengan menyeret kaki. Nak taknak, kami kena juga melintasi lelaki tua tu.

Masa kami melintasi lelaki tua itu, kami masing-masing menjeling ke arah lelaki tua itu. Dia tunduk sampai dagunya terkena ke dada. Rambutnya panjang menutup leher. Dia pakai selipar yang macam dah nak putus. Patutlah dia berjalan sambil menyeret kaki, mungkin takut seliparnya putus kot.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba lelaki tua tu angkat mukanya dan beri salam. Terkejutnya alahai. Wan siap jatuh dari basikalnya. Aku pula terjerit sikit. Aduh, malu weh! Ikmal yang kat belakang aku pula brek sampai terangkat tayar belakang. Anak jantan tapi penakut. Harap takde siapa yang nampak selain kami.

“Waalaikumussalam,” jawab kami hampir serentak. Yang membezakan cuma volume je. Suara aku dan Wan macam keluar dengan tak keluar je.

“Anak boleh tunjukkan jalan tak? Pakcik rasa pakcik dah sesat ni,” kata lelaki tua itu.

“Pakcik nak ke mana?” tanya Azam memberanikan diri.

“Pakcik nak pergi ke rumah kakak makcik. Pakcik bukan orang kampung ni. Pakcik rasa rumahnya kat area sini. Tapi pakcik dah pusing sejak selesai isya’ tadi, tapi tak jumpa pun. Pakcik pun dah penat,” kata pakcik tu lagi masih tunduk, tak pandang kami.

“Siapa nama kakak pakcik? Ada alamat penuh ke?” tanya Ikmal.

“Nama kakak pakcik Asiah. Dia duduk kat Jalan Melur, rumahnya kat hujung jalan. Pakcik pernah datang dua kali je rumah dia, itupun ada orang bawakan. Kali ni je pakcik balik sendiri sebab anak-anak pakcik semuanya balik ke rumah mertua mereka,” kata pakcik tu lagi.

“Asiah?” tanya Daniel sambil menggaru kepala berfikir nama penduduk kampung tu. Kami semua pun masing-masing berfikir.

“Kalau rumahnya di hujung Jalan Melur, itu rumah Makcik Esah,” kata Azam pula.

“Haa, iyelah. Orang panggil dia Esah,” kata pakcik tu lagi.

“Tapi Mak Esah kan dah meninggal dunia?” tanya Azam pula.

“Betullah tu. Kakak saya dah meninggal dunia tahun lepas. Tapi masa tu pakcik tak datang sebab ada masalah kesihatan. Pakcik masuk wad masa tu.” kata pakcik tu lagi. Masih dengan keadaan menunduk. Jenuh aku rendahkan muka aku sebab nak tengok muka pakcik tu tapi tetap tak jelas walaupun jalan tu terang benderang dengan lampu jalan setiap selang 10 kaki.

“Ooo… kalau rumah Mak Esah tu, kami tahu sangat la. Boleh kami tunjukkan rumahnya. Tapi rumahnya dah lama ditinggalkan. Sebab tiada siapa datang membersihkannya.” Kata Daniel pula.

“Sebab tu pakcik datang sini. Pakcik nak jaga rumah tu.” kata pakcik tu lagi.

“Kalau macam tu, jom la kami hantarkan pakcik ke sana,” kata Daniel lagi.

Aku angkat kepala pandang Daniel. “Aku nak balik Daniel, ayah aku mesti dah risau tu,” sahutku mencari alasan taknak ikut. Tak tahulah kenapa aku tak sedap hati. Samada sebab aku takutkan ayah aku, ataupun aku resah dengan pakcik tu.

“Alaa, Zikri. Kejap je, jalan belakang ni je. Tak sampai lima minit pun.” Kata Azam.

“Aku takut ayah aku marah nanti. Ni pun dah lewat,” sahutku.

“Haah, aku pun sama,” sahut Wan pula.

“Ke korang takut?” tanya Ikmal sambil senyum meleret memandang aku. Perli la tu.

Aku pandang Wan. Wan buat isyarat ikut je la kejap. Aku pun nak taknak ikut sekali. Aku jeling jam tangan, dah dekat pukul 1 pagi.

“Pakcik naik basikal saya,” kata Daniel. Kebetulan basikal dia saja yang ada tempat duduk belakang. Pakcik tu akur. Dia duduk di tempat duduk belakang basikal Daniel.

“Kau jangan laju pulak Danny. Jatuh pakcik tu nanti.” Kata Azam berpesan.

“Aku tahu la,” sahut Daniel memulakan kayuhannya.

Daniel kayuh basikalnya perlahan. Aku, Ikmal dan Wan kat belakang. Aku pandang je pakcik tu. Dia masih tunduk sambil peluk beg lusuhnya. Kesian pulak aku tengok. Kalaulah dia sampai kampung ni masa berbuka tadi, duduk kat masjid sampai isya’. Lepas tu berpusing-pusing dengan selipar dah nak putus tu cari jalan sampai waktu macam ni, mesti dia dah penat. Menyesal pulak aku berburuk sangka kat dia.

Tapi, aku tak perasan pun pakcik tu kat masjid tadi. Ke dia pergi masjid lain? Dalam kampung ni, masjid ada satu je. Yang lain semua surau kecil. Pakcik tu datang ke sini naik apa?

“Kau fikir tak apa yang aku fikir Zikri?” tiba-tiba Wan bertanya.

“Mana aku tahu kau fikir apa,” sahutku mengurut dada kerana terkejut tiba-tiba Wan menegur ketika aku sedang scan pakcik tu.

“Kau tak rasa pelik ke dengan pakcik tu? Atau aku je yang rasa lain?” tanya Wan lagi.

“Entahlah. Yang aku fikir sekarang ialah nak cepat sampai rumah Mak Esah tu hantar pakcik ni, dan lepas tu aku nak pecut balik rumah. Entah-entah ayah aku dah tunggu depan pintu. Naya aku,” sahutku menyembunyikan perasaan cuak aku terhadap pakcik tu.

-BERSAMBUNG-

One thought on “HANTU BELUM BALIK MALAM RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s