Masa aku remaja dulu, aku ingat lagi. Masa tu aku ikut ayah aku balik kampung sebab nak ambil durian. Aku punyalah excited nak balik kampung, masuk dusun durian atuk, duduk berkelah kat dangau aku dalam dusun durian tu. Seronok weh. Walaupun naik bengkak muka aku kena gigit dengan nyamuk.

Aku memang tak pernah menolak setiap kali ayah aku ajak balik kampung ambil durian. Adik-adik aku yang dua orang lagi tu tak suka. Mereka lebih suka duduk kat rumah dengan mak aku. Pada mereka, di rumah kami sendiri, mereka boleh main dengan kawan-kawan, main PS3 masa tu.

Apa yang lagi seronok bila balik kampung ialah aku ada ramai kawan kat kampung. Lelaki perempuan, diorang pun bila tahu aku balik kampung, ada je pelan mereka dah rancang untuk kami. Mandi sungai, kayuh basikal sampai kampung sebelah, panjat pokok rambutan Pak Abu, kacau itik angsa Opah Ju sampai kena kejar. Hahaha.

Masa aku ikut ayah tu, pagi Jumaat. Ayah aku ambil cuti. Mak aku tak ikut sebab dia kena kerja hari sabtu. Adik-adik aku, kalau mak aku tak balik, diorang pun taknak ikut balik. Tapi kalau mak aku balik, nak taknak mereka tetap kena ikut balik, tapi muka mencuka la. Masalahnya bila dah sampai kampung, elok ceria pulak. Masa nak balik kampung tu muka masing-masing mengalahkan apa, dah sampai kampung, excited diorang lebih dari aku.

Nak dijadikan cerita, masa yang aku balik kampung dengan ayah aku tu, sebaik saja sampai ke rumah tok aku, lepas minta izin ayah aku, aku terus keluar dari rumah, nak cari geng-geng aku. Sebab tok aku kata dia nak pergi dusun lepas solat Jumaat, jadi sebelum tu sempat la aku pergi cari geng kampung aku.

Masa tu mana ada whatsapp facebook semua ni. Jadi, aku kayuh basikal tua tok aku, aku pergi ke rumah setiap kawan aku. Yang mana ada memerap kat rumah, adalah nasib aku. Kalau diorang takde kat rumah, aku kayuh basikal ke tepi sungai hujung kampung sebab selalunya diorang main kat sana. Paling akhir tempat aku cari ialah kat tali air sebelah kedai makan Pak Yop. Kat situ diorang selalu berkubang.

Masa aku tengah drift lalu depan rumah Pak Leman, aku nampak Pak Leman berdiri kat tingkap rumah dia. Aku pun membelok ke laman rumahnya. Pak Leman ni hidup sebatang kara, dia dah berkahwin tapi isterinya dah meninggal dunia. Mereka tiada anak. Adik beradik Pak Leman ni aku tak tahu. Sebab sejak aku kenal Pak Leman ni, dia memang dah keseorangan.

Dia tak begitu dengan orang kampung, mungkin kerana perasaan jauh hati atau rasa rendah diri dengan orang kampung. Nak pulak mulut orang kampung yang sering mengatakan bahawa isteri Pak Leman meninggal dunia kerana makan hati dengan Pak Leman yang suka main judi kat kampung sebelah. Aku tak tahu, itu semua cerita yang aku dengar masa aku sibuk main dengan geng kampung aku.

Pernah juga aku tanya ayah aku, tapi ayah aku jegil mata kat aku balik. Katanya jangan sibuk hal orang dewasa. Makanya, aku diam je, taknak tanya dah. Sampai sekarang.

Cuma kalau aku lalu kat depan rumah Pak Leman, dan dia ada kat depan rumahnya, aku pasti singgah. Aku kesian tengok dia keseorangan. Dia pun tiap kali aku datang, dia macam seronok sangat. Dia hidang aku biskut kering dengan kopi. Dia bercerita tentang itu ini, tak berhenti sampailah aku turun dari pangkin dan sarung balik selipar aku. Masa tu dia akan pandang aku dengan wajah sedih, tanya aku “nak balik dah?” dan aku pun angguk je la. “Nanti ayah marah balik lambat” sahutku.

Sebaik aku sampai kat laman rumah Pak Leman, aku dongak ke atas, sebab rumah Pak Leman adalah rumah atas. Pak Leman pandang aku sambil tersenyum.

“Laju sangat tu tadi. Nak ke mana cadangnya?” tanyanya.

“Nak cari Sahak, Akma, Uda, tengoklah siapa yang Nadia boleh jumpa. Rindu kat kawan-kawan kampung. Lama dah tak balik,” kataku.

“Rindu kat kawan je? Kat Pak Leman tak rindu?” tanyanya sambil melangkah perlahan menuruni tangga kayu rumahnya.

“Nadia rindu juga kat Pak Leman. Tapi rindu kat kawan lebih lagi. Hahaha,” kataku mengusik Pak Leman. Pak Leman tersengih je dengan gurauan aku. Memang dia tahu aku suka mengusik dia.

Pak Leman melangkah perlahan menuju ke pangkin bawah pokok rambutan kat laman rumahnya. Aku pula terus tongkatkan basikal tua tok aku dan berjalan ke pangkin yang sama lalu bersalaman dengan Pak Leman dan terus duduk kat situ.

“Sejuknya tangan Pak Leman. Rumah Pak Leman dah pasang air-cond ke?” tanyaku mengusik.

“Hish kamu ni, mana ada air-cond. Kat kampung memang le sejuk, banyak pokok. Tangan kamu tu yang panas, baru lepas merempit kan?” kata Pak Leman.

“Pak Leman sihat?” tanyaku.

“Pak Leman sihat macam ni le, sihat orang tua,” sahut Pak Leman.

“Tapi muka Pak Leman nampak pucat, macam orang sakit,” kataku sambil menjeling lagi memandang Pak Leman yang sedang memandang jauh ke depan.

“Beberapa minggu ni Pak Leman takde selera makan. Mungkin sebab tu kot,” kata Pak Leman.

“Kenapa pula takde selera makan? Pak Leman jatuh cinta ke?” usikku lagi.

“Kamu ni, kalau tak mengusik Pak Leman, memang tak sah kan?” kata Pak Leman, masih tak pandang aku.

“Pak Leman, bahaya Pak Leman duduk seorang diri macam ni. Mana tahu Pak Leman jatuh ke, pening ke, sakit ke, takde orang yang tahu,” kataku masih memandang wajah Pak Leman yang masih merenung jauh ke depan.

“Kamu nak dengar cerita tak?” Pak Leman tiba-tiba tanya aku.

“Banyaknya cerita Pak Leman. Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis,” sahutku. Nak tergelak pun ada. Masa aku balik kampung yang sebelum kali ni, aku ada la dengar cerita orang kata Pak Leman ni dah nyanyuk. Ada orang nampak Pak Leman duduk berbogel kat tangga rumahnya waktu malam. Pernah dia ketuk pintu rumah jirannya, bila orang buka pintu, dia terus masuk ke rumah orang tu, dia ambil pinggan dan duduk makan nasi. Kalau ada orang lelaki dalam rumah tu, mereka layankan le, sebab Pak Leman sebatang kara, sian dia nak makan. Tapi kalau takde orang lelaki, memang pintu takkan dibuka. Lepas tu Pak Leman pergi ke rumah orang lain pula.

Pak Leman ni memang suka bercerita. Tiap kali aku datang ke rumahnya, dia mesti akan bercerita. Macam-macam cerita dia. Selalunya aku dengan geng aku la, sebab dia akan tahan kami bila kami lalu kat laman rumah dia. Cuma kali ni je aku sorang sebab aku belum sempat jumpa kawan-kawan aku tapi aku dah jumpa Pak Leman dulu. Tok dan ayah aku ada la pesan, jangan selalu sangat pergi ke rumah Pak Leman, takut aku mengganggu dia. Masalahnya bukan aku yang ganggu Pak Leman, tapi dia yang panggil aku. Aku kesian, sebab tu aku layankan.

“Nak cerita apa Pak Leman?” tanyaku sambil memandang wajah tua Pak Leman. Dah tua sangat, kalau pandang lama-lama, macam seram pun ada.

“Dulu, ada seorang tua, rambutnya putih dan panjang sampai ke tanah. Begitu juga dengan janggutnya. Dia tinggal kat dalam gua kat atas gunung belakang kampung ni. Dia berjalan pegang tongkat, dia bisu tak boleh bercakap tapi dia boleh mendengar. Dia makan daun-daun hijau je. Sebulan sekali dia akan turun dari gunung tu dan masuk ke kawasan kampung ni,” Pak Leman berhenti sejenak.

“Dia tinggal seorang diri ke Pak Leman?” tanyaku berminat pula nak tahu kisah selanjutnya.

“Haah, dia tinggal seorang diri.” Kata Pak Leman.

“Kenapa dia tak tinggal je kat kampung ni?” tanyaku lagi.

“Dia tak boleh tinggal di kampung ni, sebab dia tak sama dengan kita,” Kata Pak Leman.

“Apa yang tak sama? Sebab dia bisu?” tanyaku.

“Tak. Dia datang dari alam lain,” kata Pak Leman.

“Alam lain?” tanyaku pelik. Pak Leman anggukkan kepala.

“Habis tu kenapa dia turun ke kampung ni sebulan sekali? Dia cari apa?” tanyaku.

“Dia cari pewaris. Dia akan masuk kampung ni, berjalan ke sana sini, melihat siapa yang dia suka.” Kata Pak Leman.

“Pewaris apa pulak?” tanyaku.

“Lelaki tua ni ada ilmu. Ilmu dia tinggi sangat. Dia nak turunkan ilmu dia tapi dia perlu cari orang yang betul-betul sesuai untuk terima ilmu dia.” Kata Pak Leman.

“Ilmu apa pulak tu? Ilmu terbang ke?” tanyaku sambil ketawa kecil. Aku rasa Pak Leman ni dah tak berapa betul ni, sampai berimaginasi tinggi. Sian dia. Sebab tu aku layankan juga.

“Ilmu dia ni tak boleh dapat di mana-mana. Kalau dijaga elok, ilmunya boleh menguatkan kita tapi kalau tak dijaga elok, ilmunya boleh melemahkan kita.” Kata Pak Leman bersungguh-sungguh bercerita.

“Orang kampung tak pelik ke dengan rupa dia tu? Rambut dan janggut panjang sampai tanah,” tanyaku.

“Orang kampung tak nampak dia. Dia je yang nampak orang kampung,” kata Pak Leman.
“Macammana pulak?” tanyaku.

“Itulah yang Pak Leman kata tadi, alam dia tak sama dengan kita.” Kata Pak Leman.

Tiba-tiba mata aku ternampak satu kelibat orang melintas kat dalam rumah Pak Leman. Aku pandang ke arah rumah Pak Leman. Sekali lagi aku nampak seseorang melintas, kali ni dia pandang ak. Aku nampak macam rupa Pak Leman pun ada. Entah kenapa hati aku jadi berdebar-debar. Terkejut pun ada sebab gerakan tu terlalu pantas, seperti melintas begitu je. Tapi aku pasti ada seseorang di dalam rumah tu. Sebab dari mula aku sampai, aku rasa macam ada mata memerhati dari dalam rumah tu sedangkan Pak Leman berada bersama aku kat bawah ni.

“Kenapa kamu pandang rumah Pak Leman macam tu?” tanyanya.

“Ada orang lain ke dalam rumah Pak Leman?” tanyaku.

“Ooo…. Lelaki tua tu la, dia ada kat dalam rumah Pak Leman,” kata Pak Leman bersahaja.

“Lelaki tua mana?” tanyaku.

“Lelaki tua dari gunung tu. Dia singgah kejap,” kata Pak Leman lagi.

Aku terdiam. Aku pandang tepat wajah Pak Leman. ‘Betullah Pak Leman ni dah nyanyuk kot’ desis hati kecil aku. Aku bangun dari dudukku.

“Eh, nak ke mana tu?” tanya Pak Leman.

“Nadia nak pergi cari kawan-kawan Nadia la Pak Leman. Nanti kalau Nadia ada masa nanti, Nadia datang jumpa Pak Leman lagi.

“Duduklah teman Pak Leman sekejap. Sian Pak Leman. Dah la semua orang pulaukan Pak Leman, kamu pun sama dah taknak sembang dengan Pak Leman. Sedihlah Pak Leman macam ni.” Kata Pak Leman dengan nada merajuk.

Aduh! Pak Leman ni. Aku tengok jam. Dah pukul 11 pagi. Tak pasal-pasal aku rugi setengah jam dah kat sini. Menyesal pulak aku singgah tadi.

Aku melangkah semula ke pangkin dan duduk sebelah Pak Leman.

“Tunggu kejap je. Pak Leman nak ceritakan cerita kedua ni. Lepas tu kamu boleh pergi,” kata Pak Leman.

“Oklah, Pak Leman punya pasal, Nadia dengar cerita Pak Leman. Tapi dengan syarat, habis cerita kedua ni, Nadia nak pergi tau,” kataku.

“Iye, satu cerita je lagi.” Kata Pak Leman. Maka aku tadahkanlah telinga aku lagi.

“Cerita ni pasal kisah seorang gadis dalam kampung ni. Namanya Seroja. Wajah dia tak cantik. Ada tompok-tompok putih kat kulit mukanya. Selalu kena ejek dengan kawan-kawan. Sebab tu dia sering bersendirian, taknak kawan dengan sesiapa. Sampailah satu hari, dia berjumpa dengan seorang nenek kat tepi sungai. Masa tu dia sedang menangis seorang diri kat situ, sebab malu melihat wajahnya di dalam air, yang tak cantik macam orang lain. Nenek tu datang dekat Seroja ni, dia tanya kenapa Seroja menangis. Seroja pun ceritakanlah dia malu pasal wajahnya yang tak cantik. Nenek tu kata dia boleh buat wajah Seroja jadi cantik. Seroja pun suka sangat.” Pak Leman berhenti bercerita.

Aku malas nak bertanya, sebab kalau aku bertanya, nanti ceritanya makin. Biarlah dia bercerita. Kan aku dah janji nak tunggu dia habiskan cerita keduanya.

“Nenek tu kata, Seroja perlu ikut nenek tu masuk hutan selama seminggu. Sebab nenek tu perlu masukkan tiga batang jarum ke dalam kulit wajah Seroja. Lepas seminggu, baru Seroja boleh balik ke rumahnya. Maka Seroja pun setuju. Dia terus ikut nenek tu masuk hutan.” Kata Pak Leman.

“Seroja tu tak beritahu kat mak ayah dia dulu ke? Seminggu kot nak duduk dalam hutan. Mak ayah dia tak marah ke?” aku tak dapat menahan diri dari bertanya walaupun aku tahu Pak Leman sedang berimaginasi.

“Dia tak beritahu. Dia terus ikut nenek tu. Satu kampung kecoh dulu sebab Seroja hilang. Semua orang kampung cari Seroja kat merata tempat tapi tak jumpa. Mak ayahnya dah buat report polis pun, polis pun cari tak jumpa. Mereka anggap Seroja dah dimakan haiwan buas di dalam hutan.” Kata Pak Leman. Dan aku diam, biarkan dia terus bercerita sambil aku tengok jam tangan, lima belas minit lagi dah berlalu.

“Lepas seminggu, Seroja keluar dari hutan dan balik ke rumah mak ayah dia. Mula-mula semua orang tak kenal dia sebab wajahnya dah cantik sangat. Takde dah tompok putih macam dulu. Bila dia masuk ke rumah mak dia, mak dia pun terkejut. Mula-mula maknya tak kenal dia, tapi dia bersungguh-sungguh memberitahu bahawa dia adalah Seroja. Dia ceritakan bagaimana dia mengikut nenek tua tu masuk ke dalam hutan dan nenek tua tu dah buat dia jadi cantik. Katanya nenek tua tu masukkan tiga batang jarum ke dalam kulit mukanya. Sebab tu rupanya dah cantik. Akhirnya mak dia percaya bahawa itu adalah anaknya. Mak mana tak seronok kalau anaknya yang disangka dah mati tapi rupanya masih hidup sihat bahkan dah makin cantik dari dulu.” Pak Leman berhenti bercerita. Dia meneguk air dalam botol yang memang ada kat pangkin tu masa aku datang tadi. Entah bila punya air la yang dia minum tu. Dia pelawa aku minum, tapi aku menolak.

“Lepas tu?” tanyaku, entahlah samada aku berminat dengan ceritanya atau aku nak Pak Leman cepat habiskan ceritanya.

“Sejak itu Seroja terkenal di dalam kampung tu. Semua orang memuji kecantikannya. Bahkan ada lelaki yang bergaduh kerana berebutkan Seroja. Seroja jadi makin angkuh kerana kecantikannya. Hinggalah pada suatu hari, Seroja sedang makan bersama mak dan ayahnya. Tiba-tiba dia rasa kulit wajahnya panas. Dia menjerit kesakitan sambil menutup mukanya. Mak dan ayah Seroja dah risau. Seroja tanya, apa yang maknya masak haritu, dan maknya beritahu itu adalah masak lemak pucuk paku campur cendawan kulat yang di ambil dari kayu reput dalam hutan. Masa tu barulah Seroja beritahu bahawa dia tak boleh makan cendawan kulat sebab itu pantang larang yang nenek tua tu bagi kalau nak dia kekal cantik. Mak Seroja menarik tangan Seroja yang menutup wajahnya, maknya terkejut melihat wajah Seroja yang menggerutu seperti kulit katak. Mak Seroja tanya kenapa dengan wajahnya. Seroja terus berlari ke cermin dan melihat wajahnya, dan sekali lagi Seroja menjerit ketakutan. Dalam cermin itu bukan dirinya tapi bayangan nenek tua yang mengubat wajahnya. Waktu tu baru dia teringat bahawa nenek tua tu ada memberitahu bahawa dia tak boleh melihat cermin untuk tempoh tiga purnama.” Sekali lagi Pak Leman berhenti bercerita.

“Lepas tu?” Tanyaku nak tahu selanjutnya.

“Lepas tu Seroja terperuk dalam bilik di rumahnya. Taknak jumpa sesiapa, walaupun mak atau ayahnya. Ramai dukun datang ke rumahnya untuk mengubatinya tapi semua pun balik dengan wajah takut. Mereka kata, bukan calang orang yang boleh mengubati Seroja. Dan sejak kejadian itu juga, kampung ni sering diganggu disebelah malamnya. Mana-mana rumah yang ada anak gadis pasti gelisah. Sebab ada seseorang memakai serba hitam dan menutup wajahnya, hanya kelihatan matanya yang akan masuk ke bilik anak gadis berkenaan dan menggigit jari hantu anak gadis tersebut dan menghisap darah mereka. Lepas seminggu, lebih kurang lima belas anak gadis yang menjadi mangsa. Kesemua anak gadis tersebut akan mendapat penyakit misteri iaitu kulit mereka akan menggerutu seperti kulit katak, lepas tu sakit dan tak lama lepas tu mereka akan mati. Ada seorang dukun memberitahu bahawa orang yang mengganggu itu adalah Seroja kerana untuk menghapuskan sumpah pantang larang yang dilanggarnya dengan nenek tua tu, dia perlu menghisap darah enam puluh orang gadis sunti. Mak ayah Seroja tak percaya kerana mereka kata Seroja tak pernah keluar dari biliknya sejak wajahnya kembali hodoh. Mulalah orang kampung memulaukan keluarga Seroja. Sampai akhirnya mak Seroja meninggal dunia kerana malu dan makan hati dengan orang kampung. Tinggallah ayah Seroja dengan Seroja yang masih duduk dalam biliknya. Dan orang kampung berkawal setiap malam bagi memastikan Seroja tak dapat hisap darah mana-mana anak gadis lagi.” Kata Pak Leman.

“Kat mana mereka sekarang?” tanyaku.

“Satu malam, orang kampung berjaya menangkap orang yang menghisap darah anak gadis tu. Ternyata betullah dia ialah Seroja. Mereka mengikatnya pada pokok dan terus membakarnya. Ayah Seroja cuba menghalang tapi tiada yang peduli. Akhirnya Seroja meninggal dunia.” Kata Pak Leman mengakhiri ceritanya.

Masa ni tiba-tiba tingkap rumah Pak Leman tertutup sendiri, dihempas dengan kuat pulak tu. Semua tingkap termasuk pintu. Aku bangun rasa nak lari punyalah terkejut. Tapi Pak Leman nampak tenang je.

“Siapa yang tutup tingkap pintu rumah Pak Leman tu?” tanyaku sambil mataku melilau melihat ke rumah Pak Leman.

“Seroja punya kerja la tu,” kata Pak Leman membuatkan aku pandang wajah Pak Leman.

“Seroja mana Pak Leman?” tanyaku sambil mengerutkan dahi aku.

“Seroja yang dibakar oleh orang kampung tu la,” kata Pak Leman, masih tenang sedangkan aku dah cuak semacam.

“Hah??? Kenapa dia ada kat dalam rumah Pak Leman?” tanyaku.

“Dia memang duduk sini,” kata Pak Leman lagi.

“Pak Leman kata dia dah mati?” tanyaku.

“Memang dia dah mati,” jawab Pak Leman lagi.

“Habis tu, macammana dia ada kat rumah Pak Leman?” aku tak habiskan soalan aku.

“Dia kena cari baki anak gadis untuk dihisap darahnya,” kata Pak Leman dan masa ni meremang dah bulu roma aku.

“Takpelah Pak Leman, Nadia balik dulu.” Kataku terus melangkah ke basikal aku. Aku nak kayuh basikal aku, tapi entahlah tiba-tiba rantai basikal jatuh pulak. Aku menoleh kat Pak Leman. Pak Leman pandang aku sambil senyum. Aku pandang ke arah rumah Pak Leman, aku nampak seseorang dengan wajah yang amat buruk.

“Nadia! Kau buat apa kat sana? Dah puas ayah cari kamu!” tiba-tiba aku dengar suara ayah aku. Aku pandang ke jalan, aku nampak ayah aku berdiri kat sana, pandang aku dengan wajah risau. Rupa nak marah pun ada.

“Basikal jatuh rantai,” kataku.

“Dah, tolak je. Jom balik rumah tok. Ayah nak pergi solat Jumaat. Opah bising cari kamu. Sampai je terus keluar. Dah, balik!” kata ayah aku, tak pernah aku nampak wajah dia sebengis itu. Tapi ada terselit wajah cuak dan risau. Sayang ayah aku kat aku kan.

Aku tolak basikal sampai kat ayah. Ayah suruh aku jalan dulu. Aku toleh ke tempat Pak Leman tadi. Aku nampak Pak Leman pandang aku. Aku lambaikan tangan kat Pak Leman tapi Pak Leman tak balas, hanya pandang aku. Aku pandang ke tingkap rumah Pak Leman, aku nampak perempuan dengan wajah hodoh tu masih di situ, pandang aku. Seram sejuk weh, macam hantu. Mana ada hantu siang hari kan?

Sampai kat rumah tok, tok dah bersiap nak pergi solat Jumaat. Opah pula ada kat dapur, dah siap berhidang. Sedap, gulai lemak pucuk ubi dengan ikan sepat goreng. Ada ulam rebus dan sambal belacan juga. Fuh! Lauknya tak la mewah, tapi boleh buat air liur aku meleleh tap tap.

“Kamu ke mana Nadia? Sampai je terus hilang,” kata opah.

“Nadia nak pergi cari kawan-kawan Nadia la opah. Tapi Pak Leman pula ajak singgah. Ingat nak singgah kejap je tapi dia punya sembang, itu yang jadi lambat. Tak sempat jumpa kawan pun lagi. Nanti lepas solat Jumaat nak ikut tok pergi dusun durian pulak. Petang nanti la Nadia pergi cari kawan-kawan.” Kataku.

“Ada lagi ke dia?” Opah tanya tok. Aku pandang tok. Tok angkat bahu.

“Siapa opah?” aku tanya. Opah tak jawab.

“Lepas ayah balik solat Jumaat, kita balik,” kata ayah aku sambil memakai kopiah. Aku yang sedang asyik melihat hidangan opah aku, terus pandang ayah aku dengan terkejut.

“Nak balik dah? Kenapa pulak? Kan kita baru sampai,” kataku.

“Ayah ada hal sikit. Kena balik awal. Lain kali kita datang,” kata ayah aku.

“Alaaa….. belum sempat jumpa kawan lagi. Belum makan durian lagi,” rungutku mula nak memberontak.

“Ayah cakap balik, kita balik! Jangan cakap apa-apa lagi,” kata ayah aku sambil jegil mata kat aku. Aku terus tunduk dan diam. Tapi muncung aku bolehlah ikat reben.

“Dah tu. Ahmad, kamu pergi solat Jumaat dulu dengan ayah. Nadia, kamu makan. Orang lain dah makan, tunggu kamu lambat sangat,” kata opah. Aku tak jawab, selera pun dah hilang tapi demi nak memberontak, aku angkat juga pinggan tapi letak kuat-kuat, biar ayah dengar, dia ayah tahu aku tengah memberontak. Aku kat rumah Pak Leman je kot, yang nak marah sangat tu kenapa. Bukannya aku pergi jauh, rumah Pak Leman tu selang berapa rumah je dari rumah tok. Dari tepi jalan pun boleh nampak aku kat sana. Itupun nak marah. Huh!

Lepas ayah dan tok aku pergi, aku duduk makan. Marah memang la marah, tapi aku pun lapar juga. Aku makan sambil diperhatikan oleh opah yang tersenyum pandang aku.

“Ayah kamu tu, sebab dia sayang kamu la dia bertegas dengan kamu. Adalah sebabnya tu. Bukan dia suka-suka nak marah kamu. Dia sayang kamu tau.” Kata opah pujuk aku.

“Nadia kat rumah Pak Leman tu je. Ayah pun nampak tadi. Apa yang dia nak marah sangat? Bukannya Nadia pergi mandi sungai ke, berkubang kat tali air ke, curi buah rambutan kat dusun orang ke. Nadia duduk je kat pangkin luar rumah Pak Leman sambil dengar Pak Leman bercerita. Itupun nak marah sangat. Tiba-tiba je ada kerja mustahak nak balik. Hish!” rungutku sambil suap juga makanan aku.

“Takpelah, ikut ayah balik dulu. Nanti lain kali datang lagi. Bukannya jauh sangat rumah opah ni. Nak durian, nanti opah kumpulkan. Minggu depan tok dan opah cadang ke rumah kamu, lama dah tak tengok cucu opah yang dua orang lagi tu. Nanti opah bawakan durian ye. Dah, jangan muncung lagi,” opah aku pujuk aku.

“Tapi Nadia belum jumpa kawan-kawan Nadia kat kampung ni lagi,” kataku.

“Lain kali datang boleh jumpa diorang kan,” kata opah. Aku diam. Terus makan.

Lepas ayah balik dari solat Jumaat, dia terus ajak aku balik. Aku tak bercakap, muncung je mulut aku. Tapi tetap kena ikut ayah aku balik jugak kan.

Aku salam tok dan opah, terus masuk dalam kereta. Duduk kat tempat duduk belakang. Taknak duduk kat sebelah ayah. Aku hempas pintu kuat sikit. Ayah jeling aku, aku tak pandang ayah. Tok dan nenek senyum je pandang aku. Ayah aku geleng kepala.

Ayah aku mula memandu kereta. Sampai kat depan rumah Pak Leman, ayah aku berhenti. Dia suruh aku tengok ke arah rumah Pak Leman. Aku pun jeling le sikit. Terkejut aku, rumah Pak Leman yang aku singgah tadi, tak macam rumah orang dah. Penuh dengan lalang tinggi. Rumahnya pun dah buruk macam nak roboh. Macam rumah hantu. Seram betul tengok rumah Pak Leman.

“Aik, tadi rumah Pak Leman tu ok je.” Kataku pada ayah. Ayah terus memandu. Aku masih pandang ke rumah Pak Leman. Aku nampak ada gerakan kat dalam rumah tu, bulu roma aku meremang, dada aku berdebar. Tapi aku tak berani nak tanya apa-apa kat ayah aku. Aku diam, ayah pun diam.

Ketika dah hampir separuh perjalanan kami, ayah buka mulut.

“Pak Leman dan meninggal dunia dua bulan lepas,” kata ayah aku tanpa pandang aku. Aku pandang ayah aku.

“Habis tu yang bercerita dengan Nadia tadi siapa?” tanyaku.

“Wallahu’alam,” kata ayah. Sejuk je aku rasa. Lain macam sejuknya. Fuh!

“Pak Leman bercerita pasal Seroja yang mati dibakar, pasal orang tua dari atas gunung. Tak macam dia dah mati pun?” tanyaku tak puas hati.

“Seroja tu anak Pak Leman. Dan Pak Leman sendiri adalah waris kepada orang tua dari gunung tu,” kata ayah pendek.

“Hah? Biar betul ayah??!” tanyaku.

“Betul,” kata ayah.

“Tapi ayah..” kataku.

“Kamu tahu tak, masa ayah jumpa kamu tadi, kamu duduk dalam belukar kat kawasan rumah Pak Leman tu. Ayah pun tak tahu Pak Leman dah meninggal dunia. Bila tok dan opah beritahu tadi, barulah ayah tahu. Dan dari situlah ayah terus cari kamu. Mujur sempat jumpa,” kata ayah.

“Mujur sempat jumpa?” tanyaku.

“Dah beberapa anak gadis dalam kampung ni hilang. Tak tahu ke mana.” Kata ayah.

Aku diam. Tak tahu nak tanya apa.

“Buat masa ni, kita janganlah balik kampung dulu. Bila-bila tok rindu, ayah ambil tok dan opah datang ke rumah kita,” kata ayah.

“Nadia taknak balik kampung lagi ayah,” kataku perlahan.

Aku tekad, takkan balik kampung lagi. Aku bercakap dengan orang mati kot! Siap dia sembang real story dia lagi kat aku.

Sekarang ni rumah Pak Leman dah takde, ada orajg luar beli tanah Pak Leman. Dah ada banglo kat tana Pak Leman. Tapi walau macammana indahnya tersergam banglo kat situ, aku tak dapat lupakan Pak Leman dan Seroja. Macam terpandang-pandang je aku akan Pak Leman setiap kali lalu depan tanah Pak Leman.

Sian Pak Leman.

5 thoughts on “CERITA PAK LEMAN

  1. xpernah ku lejuk maca blog tok.. ari2 ku check nya dah update cerita kah belom. setiap kali mun belom, mesti atiku ambak nunggu. mun nya dah start cerita ya, siap jak.. xsabar atiku nunggu kol 11pm nya up cerita sambung nya… caya lah kak long… ai lep u..

    Like

  2. setiap pagi sy mesti buka blog ni nak bace cerita baru ..
    sedih la dah lama xde 😦
    walaupun tau dah bulan puasa cuti, sy tetap buka juga hari2

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s