SIAPA TU AYAH?

Bab 8 (AKHIR)

Kami semua melangkah balik ke rumah homestay aku. Sesampainya di rumah tu, aku nampak kereta Pakcik Omar memasuki halaman rumah. Dia memberhentikan kereta dan keluar dengan wajah kerisauan.

Pakcik Omar memandang Pak Leman. “Dia ganggu lagi ke?” tanyanya. Dan Pak Leman anggukkan kepala tanpa suara.

“Yang asal atau anak saya?” tanya Pakcik Omar lagi.

“Rasanya yang asal, sebab agak agresif,” sahut Pak Leman. Pakcik Omar menarik nafas panjang. Wajahnya terpamer riak kekesalan.

Zurina membawa anak-anak aku masuk ke dalam rumah untuk dimandikan dengan air yang telah Pak Leman sediakan. Isteri Pak Leman, Mak Seroja pun ada. Dia membawa sedikit makanan untuk kami.

Aku pula, terus duduk di luar rumah bersama Pak Leman dan Pakcik Omar, tekun mendengar perbualan Pakcik Omar dan Pak Leman walaupun aku tak faham mana akar mana pucuk. Dalam hati aku penuh tandatanya. Apa yang mereka sembangkan? Siapa dia tu? Apa yang asal? Apa yang agresif? Tapi aku tak berniat nak ganggu perbualan mereka, aku cuma pasang telinga. Disamping kaki aku yang makin berdenyut sakit.

“Pakcik minta maaf sangat Azam, dengan apa yang terjadi,” kata Pakcik Omar.

“Takpelah, bukan salah pakcik. Benda nak jadi. Syukurlah anak-anak saya semuanya selamat,” kataku.

“Tapi benda ni boleh dielakkan,” kata Pakcik Omar buatkan aku pandang tepat ke wajahnya. Pak Leman tunduk menguis tanah.

“Maksud pakcik?” aku tanya lagi.

“Tujuh tahun yang lepas, tiga orang cucu pakcik pun hilang. Kami dah buat laporan polis. Anak pakcik iaitu ibu mereka bermimpi bahawa anak-anaknya lemas di kawasan air terjun tu. Tapi pakcik kata bomba dan penyelamat dah cari kat dalam sungai tu tapi tak jumpa. Sampai satu malam, tak tahulah apa yang merasuknya, dia terjun ke dalam air sungai tu sendiri untuk mencari anaknya.” Pakcik Omar berhenti bercerita dan tunduk ke tanah.

“Jumpa tak anak-anaknya?” tanyaku.

“Tak jumpa. Dengan anak pakcik pun sekali hilang. Pakcik pun tak sangka anak pakcik akan seberani itu untuk terjun ke sungai tu untuk cari anaknya. Pakcik pun silap sebab tak awasi dia yang dalam keadaan runsing kerana teringatkan anak-anaknya,” kata Pakcik Omar.

“Lepas tu apa terjadi?” tanyaku.

“Lepas tiga hari, kami temui mayat anak-anak Faezah terapung di dalam sungai.” Kata Pakcik Omar menahan sebak.

“Sekejap, Faezah tu siapa?” tanyaku.

“Faezah itulah anak pakcik. Lepas suaminya meninggal dunia, dia dan tiga anaknya tinggal bersama pakcik di sini. Dia bantu maknya buat kuih dan setiap awal pagi dia akan hantar kuih ke kedai kedai berhampiran,” kata Pakcik Omar.

“Ooo… Maknanya yang saya jumpa subuh tadi tu, anak pakcik la kot,” kataku teringat kat perempuan yang datang ke rumahku subuh tadi, sebab ceritanya sama dengan cerita Pakcik Omar.

Pakcik Omar dan Pak Leman pandang aku dengan wajah serius.

“Kamu jumpa dia di mana?” tanya Pakcik Omar.

“Dia datang ke sini. Lebih kurang pukul 5 pagi. Dia beritahu nama dia Faezah. Katanya dia memang lalu kat sini setiap subuh dalam waktu macam tu untuk hantar kuih. Dia pun ceritakan bahawa tiga anaknya mati lemas kat sungai belakang ni. Tapi takde pula dia beritahu bahawa pakcik ni ayah dia,” ceritaku kepada Pakcik Omar dan Pak Leman yang masih memandang aku tanpa berkelip mata.

“Apa lagi yang dia kata?” tanya Pakcik Omar lagi.

“Dia cuba tenangkan hati kami. Katanya anak-anak kami selamat. Dia suruh cari kat batu besar tu. Kebetulan semalam isteri saya terlena lepas solat hajat, dia pun bermimpi perkara yang sama, katanya anak-anak saya berada dekat batu besar tu. Sebab tu kami pergi ke sana. Tapi macam ada ‘orang’ lain dalam hutan tu yang mengalihkan pandangan saya sampai tak sedar bahawa Zurina dah kelemasan. Bila dia jatuh ke sungai tu pun saya tak pasti,” kataku mengenang semula kejadian pagi tadi.

“Kalau macam tu, memang ‘yang asal’ la yang buat kacau ni, bukan anak saya,” kata Pakcik Omar sambil memandang Pak Leman. Pak Leman hanya anggukkan kepala tanda setuju.

“Apa maksud pakcik ‘yang asal’?” tanyaku tak sabar kerana ayat tersebut yang disebut dua kali.

“Begini kisahnya. Masa pakcik datang ke kampung ni dulu, orang kampung pernah memberi amaran bahawa kat kampung tak boleh ada anak tiga orang. Pelik kan? Pakcik tak percaya. Sampailah anak pakcik Faezah tu kematian suami dan membawa anaknya tiga orang tinggal bersama pakcik. Dan terjadi kejadian lemas tu. Masa tu Pak Leman ni la yang beritahu, katanya dulu kat sini adalah kawasan hutan. Lalu diteroka oleh orang lama dulu-dulu dan jadikan sebagai sebuah kampung. Sampai sekarang makin maju bila pihak kerajaan memberi subsidi untuk membangunkan kawasan air terjun kat belakang nun untuk dijadikan kawasan perkelahan. Dan penduduk asal juga diberi peluang untuk membeli homestay yang dibina oleh kerajaan kat sini, dengan harga yang murah. Masa tu la pakcik beli homestay ni.” Cerita Pakcik Omar. Aku diam sabar menanti Pakcik Omar meneruskan ceritanya.

“Tapi Pak Leman tak ceritakan bagaimana asalnya hutan diteroka dan kampung ini diteroka sebab dia taknak pakcik fikir dia begitu percaya dengan kisah dongeng orang dulu-dulu. Rupanya orang yang meneroka hutan kat sini, ada buat perjanjian dengan penunggu hutan, atau senang kata ‘penduduk’ hutan yang kita tak nampak. Perjanjian itu mengatakan bahawa setiap lima tahun, mereka mahukan korban iaitu tiga anak kecil yang mempunyai talian darah. Contohnya adik beradik. Sebelum pakcik sampai sini, dah ada beberapa kejadian lemas yang mengorbankan tiga beradik sekaligus. Dan yang terakhir ialah cucu pakcik. Masa tu pakcik baru sedar, ada perkara yang kita tak percaya tapi jangan ambil mudah setiap perkara yang pernah diceritakan oleh orang terdahulu. Setiap satu kejadian pasti ada sejarahnya. Sejak kes cucu pakcik lemas, kami pegang ketat dengan peraturan tu. Kami takkan benarkan orang luar yang punyai anak tiga orang datang ke sini. Kalau adapun, kami larang mereka ke sungai tu. Itu dah jadi pantang larang. Dan sampai sekarang dah tujuh tahun, penunggu hutan tu sedang menanti korban tapi kami akan pastikan tiada korban lagi.” Kata Pakcik Omar. Aku yang mendengar ni mengerutkan dahi. Antara percaya dengan tidak.

“Masa isteri kamu telefon nak booking homestay, Pakcik pun tengah kelam kabut. Dah last minit pun dia booking tu. Isteri pakcik kena strok sebaik sahaj dapat berita kematian cucu-cunya, sampailah sekarang. Jadi, pakcik sibuk dengan dia lagi. Pakcik dah beritahu dia bahawa pakcik takde kat sini pada tarikh tu sebab ada anak saudara pakcik berkahwin kat luar kawasan. Tapi isteri kamu kata tempat lain dah penuh, dia nak juga. Sebab tu pakcik serahkan kunci kat kamu masa kat pintu gerbang nak masuk sini je kan semalam. Sebab pakcik rushing. Dan pakcik pun terlupa nak tanya samada kamu ada bawa anak kecil tak. Kalau ada anak kecil, berapa orang. Pakcik memang terlupa. Sebab tu pakcik kata, masalah ni sepatutnya boleh dielakkan.” Kata Pakcik Omar mengakhiri ceritanya.

“Kesiannya kat nenek mereka. Mesti dia sedih dan terkejut sangat sampai jadi strok. Kesian juga kat Faezah. Mesti dia sedih sangat masa tu kan. Dah la suami meninggal, anak-anak pun mati lemas. Macammana la perasaan dia masa mayat anak-anaknya dijumpai,” kataku perlahan dengan nada yang agak sebak. Besar sungguh ujian keluarga Pakcik Omar.

Pak Leman dan Pakcik Omar berpandangan sesama sendiri.

“Faezah turut meninggal dunia akibat lemas masa mencari anak-anaknya kat sungai tu,” kata Pakcik Omar.

“Maksud pakcik, Faezah anak pakcik tu dah meninggal dunia?” tanyaku cuak sekejap.

“Iye, mayatnya ditemui terapung selepas dua jam mayat anak-anaknya di bawa ke darat oleh pasukan penyelamat,” kata Pakcik Omar.

“Habis tu yang jumpa saya subuh tadi siapa?” tanyaku.

“Wallahu’alam,” sahut Pakcik Omar.

“Siapa pula yang kacau kami, yg macam satu keluarga tu?” tanyaku tak puas hati

“Banyak versi yang kami dengar. Ada yg kata perjanjian tu dibuat kerana peneroka asal telah menyebabkan kematian lima sekeluarga ‘penduduk hutan’ tanpa dia sedar. Sebab itulah peneroka itu bersetuju dengan syarat tu. Dan lepas lima tahun, mereka ni akan merayau mencari korban di kalangan manusia di alam kita. Wallahu’alam. Tak tahu kesahihannya,” kata Pak Leman.

“Tadi pakcik tanya ‘yang asal’ atau anak pakcik? Adakah Faezah memang selalu muncul macam subuh tadi?” Tanyaku.

“Ada penduduk sini yang mengadu pernah nampak jelmaan Faezah merayau di kawasan air terjun memerhati orang ramai yang mandi di situ. Tapi dia tak ganggu sesiapa,” kata Pakcik Omar lagi.

Dan aku mengerutkan dahi, menggaru kepala yang tak gatal. Susah aku nak hadam cerita ni.

“Takpelah, perkara dah selesai. Alhamdulillah. Segala yang terjadi adalah rahsia Allah. Untuk mendekatkan kita kepada-Nya. Dan untuk kita sedar bahawa bumi Allah ini luas, bukan hanya yang kita nampak sahaja yang melata di bumi-Nya, bahkan masih banyak lagi makhluk ciptaan-Nya yang menumpang di sini,” kata Pak Leman.

“Sudahlah, kamu tak perlu fikir lagi pasal ni. Pakcik akan pulangkan semula duit homestay yang kamu dah bayar ni sebagai tanda minta maaf pakcik di atas kelalaian. Sampai anak-anak kamu hilang, isteri kamu hampir lemas, dan kaki kamu cedera macam ni.” Kata Pakcik Omar dengan riak kesal.

“Eh, takpelah pakcik. Benda dah nak jadi, janganlah salahkan diri sendiri. Semuanya dengan izin Allah. Alhamdulillah semuanya dah selamat. Cuma kami tak jadi bermalam dua malam. Lepas ni kami akan bersiap dan balik ke KL. Saya pun kena dapatkan rawatan ni, kaki saya makin berdenyut.” Kataku.

“Kalau macam tu, pakcik pulang balik bayaran untuk satu malam ye. Jangan buat pakcik serba salah sangat,” kata Pakcik Omar.

“Pakcik tanyalah isteri saya sebab dia yang uruskan hal tempahan homestay ni.” Kataku lagi dan bangun untuk masuk ke dalam rumah untuk menjenguk anak-anak aku.

Masa aku masuk ke dalam rumah, anak-anak aku dah bersiap dan sedang makan kuih talam dan seri ayu yang Mak Seroja bawakan tadi. Laju mereka makan, nampak sangat mereka kelaparan.

“Kamu semua pergi ke mana?” tanyaku sambil duduk di tepi Azrul.

“Ada seorang makcik dan pakcik tu ajak kami mandi sungai. Dia kata nanti ibu dan ayah akan datang kemudian,” kata Azrul.

“Kan ayah dah kata, jangan ikut orang yang kamu tak kenal,” kataku.

“Kami taknak ikut. Tapi lepas tu ada kuda warna putih datang, kuda tu cantik. Pakcik dan makcik tu kata nak naik tak? Kami pun kata nak. Lepas tu kami terus naik kuda tu dan sampai sungai tu. Kat sana ada ramai orang. Lepas tu ada nenek yang bagi kami makan tapi makanan dia tak sedap. Azim cakap, itulah nenek yang bagi dia keropok masa kat taman permainan petang semalam. Tapi Azim taknak makan, dia asyik nangis je, panggil ibu dan ayah,” kata Azura yang lebih petah berbicara.

Zurina bagi isyarat supaya jangan bertanya lagi. Mak Seroja pun bagi isyarat yang sama. Dan aku akur, lalu berhenti bertanya.

“Abang siaplah. Barang semua saya dah kemas. Tunggu abang je,” kata Zurina.

“Kaki kamu tu, jangan biar. Terus pergi klinik, mereka akan bagi ubat untuk surutkan bengkak,” kata Mak Seroja.

“Baiklah Mak Seroja. Moga-moga tak serius. Takde perkara paling bertuah dalam hidup saya selain dapat berjumpa dengan anak-anak saya semula,” sahutku sambil terhencot-hencot melangkah masuk ke bilik dan bersiap.

Setelah siap semua, anak-anak aku masuk ke dalam kereta. Zurina pandu kereta. Setelah selesai berurusan dengan Pakcik Omar dan berterima kasih dengan Pak Leman, kami bergerak.

“Ayah, anak patung Azura tertinggal,” tiba-tiba Azura bersuara bila melihat anak patungnya tiada.

“Takpelah, nanti kita beli lain,” kata Zurina.

“Taknak! Zura nak yang tu juga,” rengek Azura.

“Patah lah balik sekejap. Tak jauh lagi ni. Pakcik Omar pun masih di sana kot.” Kataku. Selepas apa yang terjadi semalaman, aku tak sanggup lagi untuk dengar anak aku bersedih.

Zurina berpatah semula ke homestay. Di pintu gerbang aku ternampak satu papan tanda yang tertulis, “Resort Bukan Tiga”.

“Semalam masa kita sampai, tak nampak pun papan tanda ni kan?” tanyaku pada Zurina.

“Haah. Tapi memang masa saya google tempat ni, saya tahu namanya “Resort Bukan Tiga”. Kelakar nama resort ni kan? Siapalah yang letak nama macam ni?” Kata Zurina sambil ketawa kecil.

“Setiap satu kejadian pasti ada sejarahnya.,” kataku sambil pandang keluar, sikit pun aku tak tersenyum, sebab aku tahu sejarahnya.

Sampai di homestay yang kami duduki semalam, tiada sesiapa di sana. Pakcik Omar pun dah balik agaknya.

“Siapa tu Ayah?” tiba-tiba Azrul bertanya. Aku pandang ke arah yang Azrul tunjuk.

Ada seorang perempuan sedang berdiri di dalam rumah tersebut, di bahagian tingkap cermin yang terbuka. Dia memandang kami. Dan aku nampak ada tiga anak kecil bersamanya.

“Eh, itu kan Faezah yang kita jumpa subuh tadi? Apa dia buat kat situ? Itu anak siapa dengan dia tu? Bukan dia kata anak-anak dia dah meninggal dunia ke?” kata Zurina mula memegang tombol nak buka pintu kereta. Tapi cepat-cepat aku menahannya.

“Tak perlu. Jom kita teruskan perjalanan balik,” kataku. Zurina pandang aku dengan wajah penuh tandatanya.

“Jomlah kita balik. Kaki abang ni dah tak tertahan sakitnya.” Kataku.

“Tadi bukan abang ke yang suruh patah balik ambil anak patungnya? Ni dah ajak balik pula. Sekejap je, saya minta Faezah ambilkan,” kata Zurina.

“Abang kata tak payah. Jom kita balik.” Kataku dengan nada agak tegas.

“Ayah, nak anak patung Zura,” rengek Azura. Aku tak menyahut tapi memberi isyarat kepada Zurina untuk terus pandu balik dengan wajah serius. Dan Zurina akur walaupun wajahnya penuh tandatanya. Takpelah, nanti akan kuceritakan segalanya kepadanya, lepas kami keluar dari tempat ni.

Aku biarkan Azura menangis di tempat duduk belakang. Dan akhirnya dia tertidur. Biarlah anak-anak aku menangis, asalkan mereka selamat di depan mata aku. Ajal maut di tangan Tuhan, itu benar. Andai aku boleh ikhtiar agar mereka selamat, aku ku cuba sedaya upaya aku walaupun nyawaku jadi galang ganti, biarpu mereka tak tahu pengorbananku. Setelah ikhtiar, aku tawakkal kepada Allah, kerna hanya Dia yang mampu melindungi anak-anak aku, malah diri aku sendiri.

Sekarang ni aku tengah fikir, apa aku nak jawab kat bos aku nanti? “Azam, macammana percutian? Seronok?” Dan entah bila pula aku boleh dapat cuti lagi.

– T A M A T –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s