SIAPA TU AYAH?

Bab 7

“Tapi semua tu dulu. Dah tujuh tahun berlalu. Masa tu saya pun hilang arah,” kata Faezah dengan wajah sugul.

“Faezah memang asal orang sini ke?” aku bertanya.

“Iye, saya membesar di sini, lepas kahwin pun menetap kat sini. Ayah saya pun tinggal di sini,” jawab Faezah.

“Moga Faezah tabah. Anak-anak syurga tu menanti awak kat sana. Dan doakan anak kami selamat,” kataku.

“Anak-anak abang dan kakak selamat. Jangan risau. Nanti carilah kat batu besar seberang air terjun tu.” kata Faezah sebelum berpaling nak meninggalkan kami.

Aku dan Zurina berpandangan sesama sendiri. Rasa sedih dia tu memang sampai ke hati kami. Nak pujuk, memang tak tahu macammana, benda dah jadi. Nak bagi harapan, anak-anak kami pun tak tahu macammana keadaannya. Kami sekadar melihat Faezah meninggalkan kami, makin jauh dan terus hilang dari pandangan.

Entah kenapa tiba-tiba aku rasa macam pernah tengok Faezah. Wajahnya tak begitu jelas sebab tudungnya menutupi sebahagian wajahnya. Tapi yang membuatkan aku rasa macam pernah tengok dia ialah bila melihat dia berjalan. Aku nak pandang lebih pun tak boleh, bukan mahram aku kot. Kang tengok lebih-lebih pulak, apa kata Zurina. Tapi aku tak tahu di mana aku tengok dia. Cuma seperti satu dejavu. Ahh… Perasaan aku je kot.

“Ya Allah, moga anak-anak kita selamat. Saya tak tahu macammana nak hadapi macam Faezah tu. Mungkin saya hilang pedoman kot. Tiga anak hilang sekaligus, Ya Allah,” kata Zurina seakan mengeluh.

“Istighfarlah, jangan terlalu ikut hati dan perasaan. Ungkapan awak ni dah macam tak ingat Allah pulak,” tegurku perlahan tanpa pandang wajah Zurina.

“Astaghfirullahal azim. Allahu Akbar. Saya terlepas pandang. Allah, ampunkan aku Ya Allah,” ucap Zurina sambil menitis air matanya.

Aku faham perasaannya. Aku pun rasa yang sama. Cuma aku kena kuat, lebih kuat dari Zurina. Aku yakin Allah dan tulis segalanya. Andai anak-anak aku masih dipinjamkan untuk aku di dunia ni, pasti mereka akan kembali dengan selamat. Tapi jika Allah nak ambil mereka balik, aku tak boleh halang. Cuma kalau boleh, aku nak tengok anak-anak aku, aku nak tahu di mana mereka samada mereka hidup atau mati.

“Abang, siapa tu?” Zurina tiba-tiba mencuit aku sambil menunjukkan ke arah pokok manggis di tepi rumah. Aku menoleh. Aku nampak pasangan lelaki dan perempuan yang aku nampak selalu tu, dengan berpakaian putih dan tak nampak kaki, manakala mata mereka hitam.

Aku bangun perlahan, dan melangkah ke arah mereka. “Abang nak ke mana?” Zurina bertanya. Aku tak jawab, aku terus melangkah perlahan dan  merapati pasangan itu. Tapi makin aku hampir kepada mereka, mereka makin menjauhi aku. Aku terus mengikuti mereka, Zurina pun sama sambil memegang tangan aku.

Hinggalah kami sampai ke bahagian belakang rumah. Pasangan itu aku lihat terus bergerak seperti mahu kami mengikut mereka. Mereka berhenti bila telah berada di tengah hutan dan aku berhenti mengikut mereka.

“Kamu ni siapa sebenarnya? Kalau kami ada buat salah, beritahulah. Kami minta maaf. Jika kamu yang mengambil anak-anak kami, pulangkanlah, mereka anak kami.” Kataku perlahan sambil memandang ke arah pasangan tersebut yang masih berdiri di tengah hutan sambil memandang kami.

Perempuan dalam hutan tu melambaikan tangan ke arah kami, perlahan-lahan seolah mahu kami mengikut mereka. Aku melangkah nak pergi kepada mereka tapi Zurina menahan aku.

“Mereka tak sama dengan kita. Biarkan mereka. Jom masuk ke rumah,” kata Zurina.

Aku akur. Aku baca Al-Fatihah berkali-kali. Aku berhenti bertentangan mata dengan pasangan dalam hutan tu. Aku dan Zurina berpaling, nak tinggalkan kawasan belakang rumah. Baru tiga langkah kami berlalu, aku dengar suara Azrul memangggil aku. “Ayah! Ibu!” Masa ni aku berpusing. Zurina pun sama. Dia pun seperti tercari-cari suara tu.

“Awak dengar apa yang saya dengar?” tanyaku.

“Iye, saya dengar suara Azrul,” kata Zurina sambil matanya melilau mencari suara tadi.

“Azrul! Kamu kat mana? Mari datang dekat ibu sebab ibu tak nampak kamu,” kata Zurina dengan nada yang agak tinggi.

“Ibu, adik sejuk,” aku dengar suara itu lagi.

Kali ini Zurina hilang sabar. Dia berlari masuk ke dalam hutan. Pasangan lelaki dan perempuan yang berdiri di situ tadi, masih ada di sana. Mereka memerhatikan Zurina.

“Rina, jangan pergi sana. Balik ke sini,” aku panggil Zurina sebab aku dapat rasakan pasangan itu memang nak memerangkap kami agar mengikut mereka. Aku bimbang jika mereka bertujuan menyesatkan kami.

“Abang, saya dengar suara Azrul. Saya tahu anak-anak kita ada kat sini,” kata Zurina lagi sambil melilau kat dalam hutan tu sambil diperhatikan oleh pasangan lelaki dan perempuan tu.

Aku cuba percepatkan langkah aku dengan kaki yang kian membengkak. Aku kena tarik Zurina keluar dari hutan tu. Belum sempat aku sampai dekat Zurina, aku nampak ada tiga anak kecil berpakaian serba putih berdiri bersama dengan pasangan tadi.

Kali ni aku pun terjebak. Aku rasa tiga anak kecil yang bersama mereka itu ialah anak-anak aku. Makin laju langkah aku.

“Azrul! Azura! Azim! Kamu ke tu? Mari dekat ayah,” kataku. Aku dah tak nampak Zurina. Aku tak dengar suaranya pun. Aku pun tak peduli, aku terus melangkah ke arah kumpulan lima orang itu. Mereka tak menjarakkan diri dengan aku.

Ketika aku sampai kepada kumpulan itu, aku pegang tangan salah seorang anak itu, tangannya sejuk sangat. “Azrul?” aku panggil.

Dari samar-samar cahaya lampu dan bulan, aku nampak wajah anak-anak kecil itu. Wajah mereka pucat lesi, mata mereka hitam. Kulit mereka hitam kebiruan dan nampak seperti bengkak.

Salah seorang anak kecil yang kusangka Azim, menghulurkan tangan dan memegang tangan aku. Cengkamannya terlalu kuat hingga berkeriut muka aku. Aku cuba nak lepaskan tangan aku tapi tak berdaya, cengkaman anak kecil itu lebih kuat.

“Kau pergi dari sini. Mereka milik aku sekarang,” aku dengar suara yang seakan bergema, seolah aku berada di dalam gua. Masa ni aku terdengar bunyi air berkocak seperti ada sesuatu yang menggelupur di dalam air. Aku seperti tersedar.

Aku angkat muka aku, aku beristighfar dan masa ni aku tak nampak pasangan tu lagi. Aku baru teringatkan Zurina. Aku panggil namanya berkali-kali.

Dan aku terdengar satu suara sayup di kejauhan. Aku bergerak perlahan ke arah suara itu. Dan makin aku hampir dengan suara itu, bunyi air berkocak makin kuat tapi bunyi menggelupur tu makin lemah.

“Abang! Tolong!” aku dapat dengar suara Zurina dengan jelas kali ini.

Aku lajukan langkahku sampai ke air terjun dan aku nampak Zurina sedang terkapai-kapai kelemasan di dalam sungai. Aku panik. Aku tak ingat kaki aku yang sakit, aku terus terjun ke dalam sungai nak selamatkan Zurina. Tapi sebaik sahaja aku terjun, seperti ada sesuatu yang menarik kaki aku. Aku pun ikut lemas.

Aku nampak tak jauh dari tempat Zurina terkapai-kapai, ada tiga orang lagi yang aku nampak wajahnya hanya separuh dari dalam air. Matanya hitam. Aku yakin tiga orang itu adalah tiga anak kecil yang bersama pasangan tadi. Dan dalam terkapai-kapai tu, aku dapat lihat  pasangan lelaki dan perempuan tadi berdiri di atas batu besar, di seberang air terjun tu.

Pandanganku makin kabur, Aku makin lemah. Aku tak berdaya berenang. Aku dah tak nampak Zurina, mungkin dia dah tenggelam.

Dalam keadaan aku menanti mati, aku terdengar suara laungan azan. Dan masa ini cengkaman di kaki aku seperti dilepaskan. Aku cuba berenang tapi aku dah terlalu lemah. Akhirnya aku menyerah, aku dah tak berdaya, pandangan aku kabur. Aku tak sedar.

Aku tersedar bila aku tersedak air. Aku terbatuk-batuk terasa seperti air memenuhi dada aku. Aku rasa sukar nak bernafas. Aku rasa ada orang tepuk belakang aku dan panggil nama aku. Aku duduk dan muntah air. Aku pandang keliling. Aku nampak Pak Leman dan beberapa orang kampung situ agaknya.

“Pak Leman, isteri saya. Dia lemas,” kataku memberitahu.

“Jangan risau, isteri kamu selamat,” kata Pak Leman sambil menunjukkan ke arah Zurina yang berselimut dengan tuala akibat kebasahan.

Aku menarik nafas lega.

“Pak Leman, rasanya ada orang atau sesuatu yang cuba perangkap kami agar kami terjun di dalam sungai ni. Saya nampak seperti satu keluarga. Mereka yang bawa kami ke sini,” kataku cuba memberitahu apa yang terjadi.

“Bawa bertenang. Kita balik ke rumah kamu dulu. Tukar pakaian dan solat subuh. Lepas tu kita cari anak-anak kamu,” kata Pak Leman sambil menepuk bahu aku.

Sesampainya aku dan Zurina di rumah, Pak Leman dan beberapa orang lagi menanti di luar rumah. Mereka seperti sedang berpakat dan merancang nak untuk cari anak-anak aku.

Selesai solat, aku dan Zurina keluar rumah semula. Ada beberapa tong dan buluh telah dikumpulkan di depan rumah. Pak Leman kata semua tu untuk digunakan dalam usaha mencari anak-anak aku nanti.

Baru je nak melangkah, Zurina cuit aku.

“Abang, saya baru teringat sesuatu. Semalam kan saya kata saya bermimpi anak-anak kita berada dekat batu besar di seberang air terjun tu. Lepas tu, Faezah pun ada pesan suruh cari anak-anak kita di tempat yang sama,” kata Zurina cuba mengingatkan aku.

Aku anggukkan kepala. Seperti ada satu kebetulan di situ. Tapi macammana mimpi Zurina dan pesanan Faezah boleh sama? Siapa Faezah tu sebenarnya? Fikiran aku buntu.

Aku menghampiri Pak Leman. Aku sampaikan apa yang Zurina katakan kepadaku. Pak Leman pandang aku dengan wajah pelik. Lepas tu dia mengusap wajahnya seperti menyimpan satu cerita yang berat.

“Takpelah, kalau macam tu, kita cuba cari kat kawasan tu dulu,” kata Pak Leman lalu mengarahkan anak-anak muda yang mengikutinya agar mulakan pencarian di batu besar tu. Sepanjang kami meredah hutan untuk ke air terjun tu, mereka mengetuk tong dan buluh dengan satu irama yang aku pun tak berapa tahu, tapi memang ada irama. Bukan main ketuk macam tu je. Yang aku tahu, suasana dalam hutan tu amat bising masa tu.

Sebaik sampai kat kawasan air terjun tu, Pak Leman menahan aku dan Zurina. “Kamu berdua tunggu sini. Biar yang lain pergi tengok dekat batu tu.” kata Pak Leman.

“Takpe, saya nak ikut cari anak saya,” kata Zurina.

“Kamu tunggu sini. Kalau nak anak kamu selamat,” kata Pak Leman membuatkan langkah Zurina terbantut. Aku pandang Zurina dan buat isyarat agar akur dengan arahan Pak Leman. Kami nak anak-anak kami ditemui, taknak keadaan jadi lebih kalut.

Lalu aku dan Zurina menanti di tebing sungai tu. Mereka semua pergi ke arah batu besar.

“Abang ingat tak semalam masa kita bawa anak-anak mandi kat sini, mereka kata ada kawan kat batu besar tu lambai-lambai kat mereka ajak main sama, tapi kita tak nampak pun kawan tu. Lepas tu abang terus ajak kami balik. Masa dalam perjalanan balik pun, Azim kata kawan dia tu ada ikut kat belakang kita,” kata Zurina mengingatkan aku perkara yang terjadi di air terjun semalam.

“Abang ingat, tapi apa kaitannya?” tanyaku masih kebingungan, atau aku dah tak boleh fikir sebab asyik ingatkan anak-anak aku.

“Mungkin anak-anak kita dibawa ke situ, sebab tu saya mimpikan mereka dekat batu besar tu,” kata Zurina lagi. Aku diam.

Tiba-tiba bunyi tong dan buluh berhenti. Dan disambut dengan laungan azan. Aku dan Zurina memandang ke arah kumpulan orang-orang Pak Leman yang sedang mencari anak kami.

Aku nampak tiga orang anak muda sedang mendukung anak-anak kami! Zurina terduduk, air matanya mengalir laju, deras sekali. Aku pula mengusap muka, rasa tak berdarah sekejap. Allah, Allah, Allah.

Bila mereka sampai di tempat kami sedang berdiri menanti mereka, mereka baringkan Azrul, Azura dan Azim. Anak-anak aku kelihatan lemah dan menggeletar. Mereka kesejukan dan mungkin juga kelaparan. Aku sujud syukur di situ, aku cium bumi Allah dengan lelehan air mata.

Zurina terus memeluk anak-anaknya. Pak Leman membacakan sesuatu dan meniup ke bahagian ubun-ubun kepala setiap seorang anak-anak aku.

“Ayah, sejuk,” Aku dengar suara Azura.

“Ibu, lapar,” aku dengar suara Azim.

“Ayah, nak balik,” aku dengar suara Azrul.

Dan aku dengar suara Zurina meraung.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s