SIAPA TU AYAH?

Bab 6

“Pak Leman, kita nak cari anak saya kat mana?” tanyaku.

“Jom kita cari kat hutan belakang. Dulu kat situlah mereka simpan,” kata Pak Leman.

“Dulu? Simpan? Maksud Pak Leman?” tanyaku.

“Dulu pernah juga budak hilang macam ni sekaligus. Lepas 3 hari jumpa diorang ketiga-tiga beradik tersorok kat dalam hutan tu. Tapi lama dah, bertahun dah kot. Sekali je pun jadinya, mana tahu sekarang jadi lagi. Tapi tak tahulah kes sama atau tak. Kita cuba cari dulu,” kata Pak Leman sambil melangkah keluar rumah.

Aku masih terjengko-jengkok sambil dipegang oleh Zurina. Pergelangan kaki aku dah bengkak, sakitnya jangan cakap, rasa nak terkencing menahannya. Tapi aku kena bertahan, aku kena cari anak-anak aku. Zurina tu nampak macam tenang, tapi aku tahu dia pun sedang menahan perasaan. Tangan dia menggeletar masa pegang aku, mukanya merah, matanya bengkak.

Aku dan Zurina mengikut langkah Pak Leman. Rupanya dah ramai kat hutan belakang tolong cari anak aku. Mereka bawa tong dan ketuk kuat-kuat. Kemudian datang beberapa orang lagi dan tanya, kes macam dulu ke?

Tapi ada beberapa penghuni homestay macam aku, mereka pun terpinga-pinga sebab tak tahu cerita. Tapi mereka tolong juga mencari. Kami datang sini sebab nak bergembira dengan keluarga, tapi tak tahu macam ni pulak jadinya.

Lepas hampir tiga jam, kebanyakan orang yang tolong mencari tadi dah mula keluar dari kawasan hutan. Muka masing-masing keletihan. Dan wajah mereka hampa. Aku pula Pak Leman tak bagi masuk ke dalam hutan tu kerana keadaan kaki aku yang makin membengkak. Pak Leman kata takut mudarat, jadi dia suruh aku dan Zurina tunggu kat tepi hutan tu je.

“Pak Leman, tak jumpa ke anak saya?” tanya Zurina tak sabar bila dia nampak kelibat Pak Leman melangkah keluar dari hutan dan menghampiri kami.

“Takde kesan. Mungkin kes tak sama macam dulu. Ada orang culik anak kamu ke? Atau anak kamu keluar tanpa kamu sedar?” tanya Pak Leman.

“Saya nampak sendiri Pak Leman, ada sepasang lelaki dan perempuan ambil anak-anak saya. Saya macam kena pukau dan anak-anak pun sama. Mereka terus ikut pasangan tu tanpa pandang saya. Saya pun tak boleh panggil mereka sebab saya rasa seluruh anggota badan saya seperti terkunci, tak boleh bersuara atau bergerak,” kata Zurina menceritakan detik kejadian anak-anak kami dibawa pergi.

Pak Leman diam. Dia pun buntu. Dia tak boleh nak desak orang lain untuk terus mencari, mereka pun perlu balik berehat kerana esok hari bekerja.

“Macam ni la, kalau ikut daripada apa yang kamu cerita, saya rasa mereka ambil anak kamu sebab mereka ingat anak-anak kamu tu adalah anak mereka. Dan bila mereka sedar bahawa anak-anak itu bukan anak mereka, mereka akan pulangkan nanti. Kamu tunggu di rumah, mereka akan hantar anak-anak kamu balik. Tapi kalau di masa mereka menghantar kamu berdua tiada di sana, mereka akan bawa anak-anak kamu pergi bersama mereka. Jadi, saya cadangkan, kamu berdua tunggu di rumah. Buat solat hajat, mohon petunjuk dari Allah. Jika sampai pagi esok tak jumpa, kamu buat report polis. Biar polis pula datang bawa anjing pengesan. In Shaa Allah, anak-anak kamu tak apa-apa,” kata Pak Leman.

“Pak Leman, macammana kami nak menunggu saja sedangkan anak kami berada entah di mana. Makan ke mereka, sejuk ke mereka,” kata Zurina menahan sebaknya. Aku gosok belakang Zurina perlahan-lahan.

“Takpelah kalau Pak Leman kata begitu. Kami akan tunggu di rumah.” Kataku.

“Abang, anak kita hilang, abang nak tunggu kat dalam rumah?” tanya Zurina dengan suara yang agak tinggi.

“Segalanya dengan izin Allah. Kalau kita cari, tapi Allah hijabkan mata kita, kita tetap tak jumpa anak kita. Kita dah usaha cari, sekarang kita kena tawakkal. Jom kita buat solat hajat, mungkin dah lama kita tak minta hajat dari Allah, maka inilah masanya,” kataku, cuba bertenang dan cuba menenangkan. Tapi dalam hati hanya Allah yang tahu.

Pak Leman memapah aku hingga ke muka pintu. Pak Leman kata sesudah solat subuh nanti, dia akan minta ahli qariah masjid untuk adakan solat hajat, memohon agar anak-anak aku dipulangkan. Dan lepas tu dia berjanji akan bawa orang-orang dari masjid untuk membantu cari anak-anak aku lagi.

“Kamu berdua masuk ke rumah. Allah jaga anak-anak kamu, jangan risau.” Kata Pak Leman sambil melangkah meninggalkan homestay yang kami duduki.

Aku dan Zurina masuk ke dalam rumah bila kami terdengar bunyi suara anak-anak kami. Laju aku berjalan, dah tak ingat pada kesakitan.

“Azrul, Azura, Azim, kamu dimana nak? Ibu dengar suara kamu. Kamu ada kat dalam rumah ni kan? Mari datang kat ibu,”  kata Zurina sambil berlari dan mencari anak-anak aku di dalam setiap ruang dan sudut. Memang aku sendiri dapat dengan suara anak-anak aku seperti sedang bermain bersama tapi aku tak nampak mereka. Macam ada kat sebelah aku je.

“Rina, ambil wudhu, kita solat. Ada yang nak melalaikan kita,” kataku bila tersedar anak-anak aku memang tiada di dalam rumah tu. Aku perasan sesuatu, aku nampak seseorang dalam cermin yang terletak di ruang tamu. Tapi aku tak berani pandang tepat ke arahnya, tapi aku yakin kami sedang dipermainkan.

Zurina akur, dia mengambil wudhu, lalu menyarung telekungnya dan membentang sejadah untuk kami solat bersama. Dalam solat, aku dengar Zurina menahan sebaknya, merayu dalam doanya agar anak-anak kami ditemukan.

Aku masih duduk di sejadah di masa Zurina bangun melipat sejadahnya. Tapi di mana Zurina bangun, aku lihat bayangan Zurina di dalam cermin masih duduk. Meremang lagi bulu roma aku.

“Rina, awak duduk dulu, jangan bangun lagi.” Kataku sambil mengerling di cermin tu. Bayangan Zurina memang tiada dalam cermin tu.

Zurina duduk seperti yang aku suruh. Dan masa ni aku nampak bayangan di dalam cermin bangun berdiri. Fuh! Tangan aku menggeletar.

“Kenapa ni bang?” Zurina tanya aku.

“Takde apa, awak ambil Al-Quran di tepi tv tu. Abang nak baca,” kataku. Zurina bangun lalu mendapatkan Al-Quran seperti yang aku minta. Aku tak pandang lagi kea rah cermin tu, sebab aku tahu bukan bayangan kami di dalam cermin tu. Sebab tu la orang tua dulu-dulu pantang kalau diletakkan cermin besar dalam rumah. Cukuplah sekadar nak tengok wajah kita. Tapi orang sekarang, lagi besar cermin lagi luas rumah kononnya.

Aku duduk membaca Al Quran. Aku cuba fokus. Sebab dalam kesamaran, aku nampak seseorang duduk di atas sofa di ruang tamu. Seorang lelaki. Dia hanya duduk dan memandang ke arah aku. Tak berbuat apa-apa.

Sedang aku membaca Al-Quran dengan suara sekejap ada sekejap takde, Zurina mencuit bahu aku perlahan. Aku berhenti membaca Al-Quran dan menoleh ke arah Zurina.

“Abang perasan tak, apa yang saya rasa?” tanyanya separuh berbisik seperti taknak orang lain dengar walhal aku dengan dia je kat dalam rumah tu.

“Awak rasa apa?” tanyaku.

“Macam ada orang lain dalam rumah ni, sedang memerhatikan setiap gerak geri kita.” Kata Zurina.

“Takdelah, perasaan awak je tu. Cuba awak tidur, awak penat sangat ni. Dengan hati gelisah lagi, fikirkan pasal anak-anak, nanti awak jatuh sakit, lagi susah. Dah la anak-anak hilang, kaki abang makin bengkak, nanti awak pula sakit. Jadi makin susah nanti.” Kataku cuba memujuk Zurina.

Aku yakin Zurina tak nampak apa yang aku nampak. Perempuan di dalam cermin dan lelaki yang duduk di atas sofa. Mungkin mereka hanya tunjukkan diri kepada aku, mereka mahu melalaikan aku atau mungkinkah mereka nak bagi petunjuk kat aku?

“Saya tak berani nak baring kat bilik. Saya baring kat sini sajalah,” kata Zurina sambil berbaring kat tepi aku. Telekungnya masih dibadan. Aku sambung membaca Al Quran dan aku perasan lelaki tadi dah tiada di sofa. Aku toleh kiri kanan, melilau mataku mencari susuk tubuh lelaki tadi. Aku jeling ke cermin, tiada bayangan apa-apa.

Aku kembali memandang ke arah depan dan dua susuk tubuh lelaki dan perempuan tadi sedang duduk bersila di depan aku. Kusss semangat! Nyaris tercampak Al-Quran kat tangan aku. Aku pandang Zurina, dia seperti dah lena.

Aku tunduk, buka mukasurat terakhir yang aku baca tadi, tapi aku tak jumpa penanda. Dengan terketar-ketar, aku buka je mana-mana muka surat, aku baca tapi aku pejam mata. Bismillahirrohmaanirrohim. Alhamdulillaahirobbil ‘aalamiin, Arrohmaanirrohiim, Maalikiyau middiin, Iyyakana’budu waiyyaa kanasta’in…. sampai habis.

Aku buka mata, mereka tiada kat depan aku. Kali ni aku tak berani pandang keliling. Walaupun aku dapat rasa mereka ada di sekeliling aku. Aku buka semula Al-Quran, aku baca.

Lebih kurang lima belas minit, Zurina menjerit dalam tidurnya memanggil anak-anaknya. Aku tepuk bahunya perlahan. Dia tersedar.

“Abang, anak-anak kita kat air terjun bang. Mereka ada kat sana, kesejukan,” katanya sambil menangis tersedu-sedu.

“Awak mimpi je tu,” kataku memujuk.

“Saya yakin bang, mereka ada kat sana. Kat tepi batu besar di bahagian sebelah sana air terjun tu,” kata Zurina dengan yakin.

“Takpelah, esok kita cari kat sana,” kataku.

“Tak bang, saya nak pergi sekarang,” kata Zurina bertekad sambil menanggalkan kain telekung dan mencari tudung untuk dipakai.

“Percayalah cakap abang, mereka selamat.” Kataku memujuk Zurina. Aku tak boleh biarkan dia ke kawasan air terjun tu, nanti entah apa pula yang akan kami jumpa di dalam hutan. Bak kata Pak Leman, semakin kami buru anak-anak kami, semakin jauh mereka akan bawa. Dan aku taknak itu terjadi. Tak tahulah kenapa, tapi aku yakin dengan kata-kata Pak Leman. Aku ada naluri tu.

Zurina tak jadi bangun. Aku tengok jam, dah pukul 5 pagi.

“Sekejap lagi dah nak azan subuh. Lepas solat, Pak Leman akan bawa orang masjid ke sini untuk cari anak-anak kita. Nanti kita cari kat batu besar yang awak cakap tu ye,” kataku. Zurina anggukkan kepala, terpaksa akur dengan kata-kata aku.

Tiba-tiba aku dengar bunyi pintu diketuk. Aku dan Zurin berpandangan sesama sendiri. Siapa pula yang ketuk pintu homestay tu pada masa macam ni?

Zurina bangun lalu melangkah ke pintu. Aku menghalang.

“Mungkin ada orang dah jumpa anak-anak kita,” kata Zurina penuh harapan.

Bunyi ketukan itu berlarutan. Dengan susah payah dan penuh kesakitan, aku bangun. Aku melangkah ke pintu. Aku pandang Zurina. “Bukalah bang. Waktu macam ni takde hantu dah kot,” kata Zurina. Tak pernah aku lihat dia seberani itu.

Aku buka pintu perlahan-lahan. Ada seorang perempuan aku kira usianya muda dua tiga tahu dari kami, berdiri di depan pintu. Memandang kami sambil tersenyum.

“Minta maaf kerana mengganggu kakak dan abang waktu macam ni. Saya terdengar anak-anak kakak dan abang hilang malam tadi, betul ke?” tanyanya dengan lembut.

“Awak siapa?” aku bertanya.

“Saya Faezah, tinggal dekat-dekat sini juga. Saya baru lepas hantar kuih kat kedai depan tu. Mereka memang suruh saya hantar kuih waktu macam ni.” Kata perempuan itu.

“Mana awak tahu pasal anak kami hilang?” tanyaku lagi masih tak percaya kepada perempuan itu.

“Dah kecoh sekampung ni bang. Takkanlah tak tahu lagi. Tujuh tahun lepas, anak saya pun hilang macam ni. Sebab tu saya tahu perasaan bila perkara macam ni terjadi,” kata perempuan itu membuatkan Zurina membuka pintu luas dan terus berdepan dengan perempuan tadi.

“Anak awak pun pernah hilang macam ni?” tanya Zurina sambil memandang tepat perempuan tadi. Aku pula dah diam kat tepi.

“Haah kak. Kat kawasan ni juga,” katanya.

“Habis tu, jumpa balik ke? Jumpa kat mana?” tanya Zurina.

Perempuan yang bernama Faezah tu tunduk sambil gelengkan kepala.

“Tak jumpa?” tanya Zurina lagi tak sabar.

“Anak saya mati lemas kat air terjun belakang hutan ni. Lepas tiga hari baru jumpa mayat mereka terapung tiga beradik,” kata Faezah sambil mengesat air matanya.

“Ya Allah.” Kata Zurina sambil turut sama mengalirkan air mata.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s