SIAPA TU AYAH?

Bab 5

“Siapa mereka?” tanyaku lagi. Zurina angkat bahu, mula mengesat air mata yang makin deras mengalir.

Aku bangun, melangkah keluar. Aku panggil nama anak-anak aku, tiada sahutan. Aku gapai satu kayu panjang yang tersandar di salah satu poko di depan rumah tu. Aku melangkah ke bahagian belakang rumah.

“Abang nak ke mana?” tanya Zurina sambil membetulkan tudungnya dan mengikut langkah aku.

Aku tak menjawab, aku terus melangkah ke hutan di belakang rumah. Aku jerit memanggil nama anak-anak aku.

Sampai kat hutan belakang rumah, aku terus melangkah masuk hutan mengikut jalan yang aku lalui yang menghala ke air terjun di belakang sana.

“Azrul! Azura! Azim! Kamu kat mana? Menyahut kalau dengar suara ayah ni,” kataku hilang dah rasa takut dalam kesuraman hutan tu.

“Kepada siapapun yang ambil anak aku, pulangkan! Aku tak izinkan kamu ambil anak-anak aku. Pulangkan!” aku jerit macam orang gila.

Tiba-tiba aku nampak seorang perempuan berpakaian putih, dia berdiri menghadap aku tapi tak bersuara. Hanya pandang aku.

“Mana anak aku? Pulangkan anak aku!” kataku cuba bertenang. Tapi perempuan itu ketawa perlahan.

“Abang,” Zurina panggil aku dan aku pula macam tak ingat dunia, aku libas Zurina dengan kayu yang aku pegang. Nyaris Zurina sempat mengelak.

Bila nampak Zurina terduduk di tanah, baru aku perasa itu Zurina, bukan perempuan berpakaian putih tadi. Dia dah kaburkan mata aku atau memang aku yang dah terpandang-pandang sebab terlalu risaukan anak aku. Aku segera dapatkan Zurina dan membantunya bangun.

“Kenapa abang libas saya dengan kayu?” tanyanya kehairanan.

“Abang minta maaf Rina, abang salah pandang,” kataku terasa bersalah.

“Kita panggil orang sini tolong carikan anak kita,” kata Zurina sambil mengibas-ngibas pakaiannya yang diselaputi tanah akibat terjatuh tadi.

“Tak tahu kenapa, abang rasa anak kita dibawa masuk ke dalam hutan ni,” kataku sambil memandang keliling.

“Abang, siapa tu?” tiba-tiba Zurina menunjukkan ke satu arah kepadaku. Aku terus pandang.

Dalam hutan tu, di bawah satu tiang lampu yang berwarna biru, aku nampak dua susuk tubuh berpakaian putih. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Mereka berdiri di sana memandang kami. Aku melangkah perlahan-lahan meredah hutan untuk menghampiri mereka. Zurina ikut kat belakang aku. Aku dah tak peduli dengan keselamatan aku mahupun Zurina, aku nak cari anak-anak aku.

Ketika hampir sampai kat dua orang itu, aku nampak ada tiga anak kecil bersama mereka. Aku cuba lihat kalau-kalau itu adalah anak-anak aku tapi bukan. Tiga anak kecil itu aku lihat seperti kebasahan, ada air menitik dari pakaian mereka. Takkan mereka pergi mandi air terjun waktu macam ni?

Aku terus melangkah ke arah mereka. Aku nampak kesemua mereka bermata putih, tiada mata hitam. Dan aku rasa mereka tak menjejak tanah kerana aku lihat mereka berdiri agak tinggi, dengan keadaan seolah terawangan. Sebab itulah aku dapat lihat dengan jelas air menitik dari pakaian anak-anak kecil tu.

“Aku tak datang sini untuk ganggu kamu. Aku cuma cari anak aku. Kalau kamu yang mengambilnya, pulangkanlah,” kataku. Tak tahulah dari mana datang keberanian itu, sedangkan aku seorang yang tak percaya hantu. Tapi demi anak-anak aku, aku buang segalanya, aku nak anak aku balik.

Lelaki dan perempuan itu tak menjawab, tiada sebarang bunyi dari mereka selain bunyi air terjun yang tak jauh dari tempat aku berdiri tu.

Mereka berpusing ke belakang dan bergerak meninggalkan aku. “Tunggu! Pulang anak aku!” jeritku. Aku melangkah laju mengejar mereka, tak sedar kaki tersangkut kat akar pokok dan aku jatuh, kepalaku terhantuk di pokok besar dalam hutan tu.

Zurina menghampiri aku. Dia membawa seseorang bersamanya. Seorang lelaki dalam usiaku juga.

“Abang, kenapa ni? Kepala abang berdarah ni,” Kata Zurina dengan linangan air mata.

Lelaki yang mengikut Zurina tadi membantu aku bangun. Dia memapah aku keluar dari hutan tu. Kaki aku masih sakit. Sebaik keluar dari hutan tu, aku duduk kat tepi rumah.

“Abang, ini orang yang menyewa sebelah rumah kita. Dia datang katanya dengar suara abang memanggil anak-anak kita tadi,” kata Zurina memperkenalkan lelaki yang bersamanya.

“Awak nampak anak awak ke kat sana?” tanya lelaki itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Lukman.

“Saya tak nampak anak saya, tapi saya nampak seperti sekeluarga, seorang perempuan, seorang lelaki dan tiga orang anak kecil dalam usia anak-anak saya. Tapi mereka seperti tak jejak ke tanah, terawang-awangan,” kataku.

“Jom kita masuk ke dalam rumah dulu. Nanti saya minta tolong orang-orang kat sini untuk cari anak-anak awak,” kata Lukman.

“Takpe, saya tunggu di sini,” Kataku berkeras.

“Saya rasa lebih baik awak masuk ke rumah dulu, tenangkan perasaan. Kita bukan kat tempat kita, kita tak tahu selok belok sejarah pantang larang kawasan ni. Takut makin kita melawan, makin jauh mereka bawa anak-anak awak,” kata Luman membuatkan aku dan Zurina memandangnya.

“Apa maksud awak?” Zurina bertanya.

“Dah beberapa kali terjadi macam ni kat kawasan ni. Siapa yang membawa anak-anak kecil, akan hilang. Tapi kita tak boleh nak teka perkara yang sama berlaku pada anak-anak awak ni, mungkin ada perkara lain, kita tak tahu. Jadi, sebaiknya kita bertenang dulu. Kita minta tolong orang carikan anak-anak awak,” kata Lukman lagi membuatkan aku makin kecut perut.

“Jom kita masuk rumah dulu. Takut nanti melarat kaki abang ni, nanti lagi susah nak cari anak,” kata Zurina memujuk aku walaupun aku tahu dia sendiri gundah gulana dari suaranya yang sebak tu.

Aku akur, Lukman memapah aku masuk ke dalam rumah. Aku duduk kat kerusi di luar rumah. Lukman pula terus berlari ke jalan, mungkin mencari bantuan.

Tiba-tiba aku dengar suara anak-anak aku kat dalam rumah. Aku dan Zurina berpandangan sesama sendiri. Zurina terus masuk ke dalam rumah, aku pun sama cuma gerakan aku perlahan sebab terjengkot-jengkot menahan sakit.

Sebaik aku melangkah masuk ke rumah, pintu tertutup dengan sendirinya, sekali dengan bunyi engsel ditolak. Aku menoleh ke arah aku tak nampak sesiapa. Habis tu siapa yang kunci pintu tu?

Aku pandang ke dalam rumah. Aku tak dengar suara Zurina dah. Tadi aku dengar juga suara dia memanggil anak-anak kami tapi kini dah senyap sunyi.

“Rina?” aku panggil Zurina. Tiada sahutan.

Dengan terjengkot-jengkot aku melangkah perlahan-lahan mencari Zurina ataupun suara anak aku sekejap tadi. Tiada sesiapa kat dalam rumah tu. Ketika aku sampai kat dapur, tap! Lampu semua padam. Gelap gelita sekejap dalam rumah tu. Aku pandang ke luar tingkat cermin, kat luar cerah, maknanya lampu kat luar menyala. Cuma lampu dalam rumah yang terpadam.

Aku mendiamkan diri seketika, cuba mendengar apa-apa bunyi yang mungkin ada. Aku dengar bunyi tapak kaki, dan bunyi air menitis. Sesekali aku dengar bunyi seperti kain diperah dan air menitis dari perahan itu. Aku duduk, mengesot mencari ruang yang boleh untuk aku menyorok. Akhirnya aku bersembunyi di satu ruang kecil di antara peti sejuk dan kabinet dapur.

Aku menggeletar masa tu. Aku betul-betul takut. Tapi aku cuba menahan diri sedaya upaya. Aku tak kira, siapapun yang akan muncul, jika ada anak-anak aku bersamanya, aku akan lawan.

Aku dengar bunyi tapak kaki itu makin hampir di tempat aku bersembunyi. Keadaan masih bergelap macam tadi, tapi masih ada cahaya lampu dari luar yang masuk melalui lubang-lubang kecil di dinding rumah, jadi aku masih dapat lihat jika ada sebarang pergerakan, walaupun samar-samar.

Aku dengar bunyi paip air dipasang. Aku dengar bunyi pinggan mangkuk berlaga-laga. Aku dengar bunyi air dituang ke dalam gelas dan bunyi seseorang sedang meneguk air tu. Aku nak sangat tengok siapa dia tapi aku tak berdaya bergerak dari tempat persembunyian aku.

Aku dengar lagi bunyi tapak kaki melangkah. Makin hampir dengan tempat aku bersembunyi. Dan tiba-tiba ada bau hanyir. Seperti bau kain yang berendam lama di dalam air. Dan aku terasa ada air menitik di atas kepala aku. Mula-mula sikit, lepas tu makin banyak dan sampai aku basah. Aku mendongak, aku nampak seseorang! Sedang memandang aku dari atas sana. Dan kainnya yang basah berjuntaian dan menitis ke atas aku.

Aku pandang orang itu, itu adalah perempuan yang sama yang aku lihat masuk ke dalam rumahku, perempuan yang aku nampak di dalam hutan tadi bersama dengan seorang lelaki dan tiga anak kecil. Rambutnya mengerbang hampir kena kat kepala aku.

Aku cuba bangun tapi kaki aku seperti melekat. Perempuan itu seperti ada kuasa magnet, merangkak secara terbalik dari atas siling, dan menghampiru aku melalui dinding. Aku nak menjerit, tapi suara aku macam dah tersekat. Sebaik hampir kepada aku, aku dapat lihat dengan jelas rupanya.

Wajahnya pucat kebiruan, seperti mayat yang lemas di dalam air, nampak urat-uratnya yang kehijauan menonjol dari bawah kulit, matanya hitam dan dia memandang aku dengan bunyi rengusan.

Dalam tak sedar, aku tolak perempuan itu dan bangun berlari keluar dari sudut persembunyian aku. Perempuan itu masih memandang aku dengan wajah seperti pelik melihat aku di situ.

“Mana anak aku? Mana anak aku????” aku jerit, tak peduli dah siapa dia. Yang pasti dia bukan manusia biasa seperti aku.

“Hanya anak aku di sini, anak kau tiada di sini,” aku dengar suara seorang perempuan, perlahan seolah berbisik.

“Anak aku ada di sini tadi. Kau dah ambil, pulangkan. Tolonglah,” kataku merayu.

“Hanya anak aku di sini!” perempuan itu menjerit. Dia mengangkat tangannya yang seperti ranting kayu reput lalu menghalakan ke leher aku seperti mahu mencekik aku. Aku pula macam terpukau tak daya melawan. Menggelupur aku menahan lemas. Kuat betul cengkamannya. Aku tak sangka akan lalui detik begini. Takkanlah aku akan mati di tangan hantu, tak pernah aku dengar hantu bunuh orang.

Aku menarik tangannya tapi tak berdaya. Dan tiba-tiba aku dengar laungan azan, betul-betul di hadapanku. Perempuan tadi seperti tersentak, menoleh ke belakang, lalu menjerit dan menutup telinganya. Dan aku nampak dia terbang lalu hilang entah ke mana.

Aku buka mata, terang benderang rumah aku. Aku nampak Zurina berlari menghampiri aku sambil menangis. Dia dudukkan aku.

“Kenapa ni bang?” tanyanya sambil menangis.

“Awak ke mana tadi Rina?” tanyaku pula sambil memegang leher aku yang masih sakit.

“Saya kat luar, tunggu orang datang bantu,” kata Zurina.

“Anak-anak kita mana? Dah jumpa?” Tanyaku.

“Belum lagi. Tapi dah ramai orang bantu cari mereka kat dalam hutan belakang ni. Saya pula cari abang, tengok abang terperosok kat sini,” kata Zurina.

“Nasib baik Pak Leman ni datang bantu. Dia yang azan tadi. Kami tak nampak pun abang kat sini tadi sampailah Pak Leman azan, baru nampak abang kat sini. Apa dah jadi bang?” tanya Zurina lagi.

“Ada perempuan dengan pakaiannya yang basah, air menitik-nitik, dia cuba cekik abang,” kataku memberitahu.

“Takpe, kita keluar dari sini dulu. Anak-anak kamu ada kat dalam hutan sana, cuma kita tak nampak. Jom kita cari, sebelum mereka bawa pergi lebih jauh,” kata Pak Leman yang berdiri di belakang kami sedari tadi.

“Mereka bawa pergi lebih jauh?” tanyaku.

“Siapa mereka tu Pak Leman?” Zurina pula bertanya.

“Nantilah saya ceritakan. Atau kamu tanya Pakcik Omar, dia lebih tahu,” kata Pak Leman sambil melangkah berlalu pergi meninggalkan kami.

Aku dan Zurina berpandangan sesama sendiri. Aku lihat jam dinding, pukul 12.30 malam. Ya Allah, kat manalah anak-anak aku. Sedihnya weh, baru aku tahu rasanya bila kehilangan anak, macam nyawa pun sanggup digantikan sebagai galang ganti.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s