SIAPA TU AYAH?

Bab 4

Aku dan Zurina berpandangan sesama sendiri. Zurina dah buat muka cuak.

Aku bangun, basuh tangan aku kat sinki. Lepas tu aku melangkah ke ruang tamu, tengok setiap bilik. Sampai kat ruang tamu, aku tengok pintu terbuka macam tadi. Aku kerutkan dahi. Kalau yang pertama tadi bolehlah aku andaikan aku tak tutup rapat. Tapi kali aku tahu, aku yakin, aku dah tutup rapat, aku dah kunci.

Aku melangkah keluar rumah. Aku pandang keliling. Aku pandang ke jalan, aku pandang ke pokok-pokok besar yang ada kat situ. Tiada apa yang pelik. Aku masuk semula ke dalam rumah. Aku tutup pintu. Aku pasang semua lampu. Aku belek semua tingkap. Semuanya baisa je.

Aku duduk di sofa. Termenung di situ. Kenapa rasa macam pelik sangat ni? Macam ada sesuatu yang tak kena. Ada seseorang yang memerhati. Tapi di mana? Siapa?

Aku usap muka aku perlahan. Aku bangun, kunci pintu, kali ni aku kunci betul-betul. Aku tekan, aku tolak pintu tu. Aku selak engselnya. Aku tutup lampu kat ruang tamu. Aku duduk sekejap di sofa dalam gelap tu, aku nak tunggu kalau pintu tu terbuka lagi.

Tak lama aku tunggu, lebih kurang tiga minit kot, pintu kayu jati yang berukir indah tu, terbuka perlahan-lahan. Seperti ditolak dari luar. Jantung aku berdegup kencang. Aku rasa kaki dan tangan aku macam dah kebas. Aku betul-betul cuak masa tu.

Aku masih duduk di sofa, menanti apa yang akan muncul di sebalik pintu tu. Siapa yang boleh buka engsel pintu di sebelah dalam dari sebelah luar?

Aku nampak kelibat sesuatu yang berwarna putih. Seperti kain langsir, disebalik pintu tu. Dan aku dengar bunyi rengusan perlahan. Aku masih menunggu. Aku nampak seorang wanita yang seusia Zurina, memakai jubah berwarna putih dengan rambut hitam mengurai panjang. Dengan kaki tanpa menjejak lantai, dia masuk ke dalam rumah tu perlahan-lahan.

Aku terpaku kat situ. Selama ni aku cuma dengar pasal hantu. Inikah rupa hantu? Macam manusia biasa?

Ketika wanita itu telah masuk hampir 2 langkah dari pintu, tak tahulah dari mana aku dapat kekuatan sampai aku menjerit ke arahnya. “Kamu siapa?” Wanita itu menoleh ke arah aku dan dengan sekilas pandang, dia hilang di sebalik daun pintu yang masih terbuka.

Aku bangun dari sofa. Baru nak melangkah ke pintu, tap! Lampu semua padam, bekalan elektrik putus.

“Ayah! Ayah! Takut!” aku dengan suara anak-anak aku menjerit kat dapur. Aku meraba-raba mencari handphone aku, yang aku tak tahu letak kat mana pun.

“Duduk diam kat situ, nanti ayah datang. Jangan jalan ke mana-mana, tunggu dengan mak,” kataku cuba menenangkan anak-anak aku walaupun aku sendiri tak berapa nak tenang. Langkah pun dah rasa senget je.

Aku dengar bunyi rengusan sama seperti tadi. Bunyi tu macam dekat sangat dengan aku. Meremang bulu roma aku. Aku istighfar entah berapa ratus kali dah. Aku berjalan ke arah pintu, sebab aku dapat lihat cahaya lampu dari jalan masih ada. Bermakna hanya rumah ini yang terputus bekalan elektrik.

“Ayah! Cepat!” aku dengar suara Azrul.

“Iye, ayah datang sekarang. Siapa tahu kat mana ayah letak telefon tadi?” jeritku dari ruang tamu.

“Rina, handphone awak ada kat awak kan? Call handphone abang, abang tak tahu letak kat mana tadi,” kataku.

Dan tak sampai seminit, handphone aku berbunyi dan menyala, ada kat atas kabinet tepi tv. Cepat-cepat aku ambil handphone tu dan buka lampu suluh. Aku cari peti utama bekalan elektrik kat tepi pintu. Aku tolak semula suis besar yang jatuh. Dan rumah cari cerah semula.

Aku jenguk keluar dari pintu yang terbuka. Aku keluar, aku lihat keliling. Ada angin sejuk meniup aku. Aku masuk semula ke dalam rumah. Aku tutup pintu, aku kunci, aku tarik satu kabinet kat tepi pintu dan aku sendalkan kat pintu. Kalau macam ni pun boleh terbuka lagi, aku rasa aku perlu keluar dari rumah ni malam ni juga.

Aku takut. Tapi aku lebih bimbangkan keselamatan anak-anak aku. Selama ni aku tak percaya hantu, sebab aku kerja di bahagian pengkomputeran. Aku tahu buat grafik. Aku tahu macammana nak edit gambar sampai nampak real padahal semua tu gambar biasa. Tapi kali ni aku lihat sendiri, aku nampak sendiri. Bukan dari video, bukan dari gambar, aku lihat secara terus. Aku nampak hantu. Tapi itu hantu ke? Tak nampak macam hodoh yang selalu orang cakap tu. Nampak macam orang biasa Cuma dia seperti di awangan, tak jejak di lantai. Atau aku salah tengok?

Tapi kalau betul bukan hantu, macammana dia buka pintu yang aku dah kunci, dah selak engsel semua tu?

“Abang?” aku tersentak bila Zurina panggil aku masa aku tengah memeriksa pintu tu.

“Kenapa bang?” Zurina tanya aku lagi.

“Takde apa. Suis utama tu jatuh tadi,” kataku.

“Tu kenapa sandal pintu dengan kabinet tu?” tanya Zurina lagi.

“Anak-anak dah habis makan semua?” tanyaku mengubah topik pertanyaan.

“Dah. Saya suruh mereka solat dulu. Abang tu la, pergi makan. Nasi dah sejuk,” kata Zurina.

Tanpa berkata lagi, aku terus melangkah ke dapur. Aku taknak tunggu sebab nanti Zurina akan tanya lebih banyak dan aku tak mampu nak jawab. Aku tahu Zurina dah rasa sesuatu.

Aku basuh tangan, aku makan nasi yang aku tinggalkan tadi. Zurina muncul. Dia duduk di depan aku. Dia pandang aku dengan wajah seperti nak berbicara sesuatu. Aku pandang dia.

“Kenapa?” tanyaku.

“Tadi ada sesiapa masuk dalam rumah tak?” Zurina tanya aku buatkan aku tersentak lagi.

“Kenapa awak tanya macam tu?” tanyaku semula, cuba berlagak aku ok.

“Masa lampu padam tadi, ada orang buka paip air kat dapur, ada orang buka tutup peti sejuk, ada orang laga-lagakan pinggan, ada orang tarik kerusi tu macam duduk dan bangun dari situ,” kata Zurina. Aku bulatkan mata pandang muka Zurina tepat.

“Azrul kot?” tanyaku.

“Bukanlah. Dia yang tanya saya siapa tu,” kata Zurina lagi.

“Entahlah.” Sahutku sepatah, dah tak tahu nak jawab apa. Aku sambung makan. Sebenarnya aku dah takde selera nak makan, tapi sebab sayangkan makanan dan perut aku memang lapar, aku telan juga.

“Ada sesuatu yang tak kena dengan rumah ni. Macam ada yang marah atau tak suka atau terlalu suka sebab kita berada di sini,” kata Zurina.

Aku diam. Habiskan makanan aku.

“Abang dengar tak ni?” tanya Zurina lagi.

“Perasaan awak je tu,” kataku lagi sambil menyuap suapan terakhir. Zurina diam, tapi dahinya berkerut seribu.

Aku bangun membawa pinggan ke sinki dan membasuhnya di sinki. Zurina pula mengemas perkakasan lain yang masih di atas meja.

“Lepas ni awak solat. Lepas solat, awak cubalah tengok kalau esok kita boleh pergi ke tempat lain. Tengok kat Cameron ke, Port Dickson ke, kalau ada chalet atau hotel kosong, book terus, kita keluar dari rumah ni dan bawa anak-anak ke sana.” Kataku.

“Ada atau tak, esok saya tetap nak keluar dari rumah ni. Kalau takde tempat nak pergi sekalipun, kita balik ke rumah kita.” Kata Zurina tanpa pandang aku, ada ketegasan dalam suaranya. Aku diam.

Zurina berlalu ke bilik, meninggalkan aku yang masih duduk di kerusi dengan segelas air di tangan. Aku termenung panjang kat situ. Sedang aku termenung tu, aku dengar ada orang mengetuk cermin tingkap di sinki dapur. Aku bangun dan melangkah ke tingkap tu. Dari dalam rumah, aku nampak sesuatu yang berwarna putih bergerak-gerak diluar tingkap sana.

Aku berfikir dua tiga kali, samada nak buka cermin tingkap tu atau tak. Kalau buka nanti tak tahu apa benda tu, kalau tak buka pula, mungkin memang ada orang kat luar sana. Mana tahu pekebun kat hutan belakang rumah ni ke, dia nak minta apa-apa.

Maka, aku tekad nak buka tingkap tu. Aku tarik besi kat tepi tingkap tu perlahan-lahan dan aku buka tanpa sebarang bunyi. Aku nampak seorang perempuan, sedang merenung tajam ke arah aku dari luar tingkap tu. Aku rasa itu adalah perempuan yang sama yang masuk ke dalam rumah aku sekejap tadi. Tapi kali ini dia bertentangan mata dengan aku. Dia pandang aku, matanya hitam, tiada mata putih.

“Astaghfirullahal azim,” ucapku. Tanganku menggeletar. Cepat-cepat aku tutup tingkap tu semula. Cuak weh, rasa macam nak balik malam tu juga.

Aku melangkah ke bilik. Ambil wudhu dan solat isya’. Anak-anak aku ada di ruang tamu menonton tv. Zurina sedang membelek handphonenya, mungkin mencari tempat percutian lain untuk kami pergi esok. Bukan senang nak cari last minute macam ni, nak pula cuti sekolah.

Selesai aku bagi salam, sekali lagi lampu terpadam. Gelap gelita seluruh rumah. Aku dengar suara anak-anak aku menjerit panggil maknya. Dan aku dengar suara Zurina menenangkan anak-anaknya.

Aku bangun, meraba dinding dan melangkah perlahan keluar dari bilik. Sampai kat ruang tamu, aku nampak Zurina dengan lampu suluh dari handphonenya, sedang memeluk anak-anak kami. Aku terus pergi ke peti suis utama tadi, suis utama tak jatuh pun. Habis tu kenapa takde elektrik?

Aku jenguk keluar melalui tingkap. Lampu jalan ada. Habis tu kenapa kat rumah aku ni takde elektrik? Ahh.. sudah…

“Kat dalam laci kabinet dapur ada lilin saya nampak tadi. Pasanglah lilin dulu,” kata Zurina. Aku akur. Aku pasang lampu suluh dari handphone aku, dan berjalan ke dapur mencari lilin yang dikatakan oleh Zurina. Sedang aku mencari tu, aku dengar bunyi kerusi ditarik. Kerusi tu dah la betul-betul kat belakang aku. Cuak weh, meremang bulu roma.

Aku buat tak dengar je. Aku ambil tiga batang lilin, aku melangkah ke dapur gas. Aku pasang dapur gas dan bakar sumbu lilin lalu letakkannya ke atas piring kecil yang aku ambil dari tempat susunan pinggan mangkuk. Masa aku tekun dengan lilin tu, aku dengar bunyi kerusi ditolak masuk semula, dan dari pandangan sisi mata aku, dan dalam kesamaran lampu lilin, aku nampak kerusi tu betul-betul bergerak sendiri.

Aku tarik nafas dalam-dalam, aku istighfar dan aku hembus perlahan. Aku niatkan dalam hati aku, aku datang bukan nak kacau sesiapa, aku cuma nak bawa anak dan isteri aku bergembira. Andai aku dah mengganggu sesiapa, aku mohon agar Allah gerakkan hati aku untuk betulkan kesilapan jika ada, dan moga Allah permudahkan segala urusan aku dan anak-anak.

Lepas siap ketiga-tiga lilin itu aku dirikan di atas piring kecik, aku tinggalkan satu di atas kabinet dapur, manakala dua lagi aku bawa ke ruang tamu, tempat Zurina dan anak-anak aku sedang menunggu.

Sebaik sampai kat ruang tamu, aku tak nampak anak-anak aku. Aku cuma nampak Zurina terbaring di lantai, manakala pintu terbuka luas. Allahu akbar, bayangkan perasaan aku masa tu. Aku panggil Zurina, dia tak sedar. Aku jenguk seluruh ruang rumah dan bilik, aku tak nampak anak-anak aku. Aku panggil mereka, tiada sahutan.

Aku ambil air, renjiskan ke muka Zurina dan tepuk pipinya. Zurina bangun seperti baru tersedar dari tidur.

“Rina, anak-anak kita mana?” tanyaku. Zurina diam, dia seperti kebingungan.

Aku bacakan surah Al-Fatihah lalu hembuskan ke anak rambut di dahinya, masa ni Zurina sekali lagi macam tersentak dan terus peluk aku sambil menangis.

“Kenapa ni? Anak-anak mana?” tanyaku.

“Ada orang ambil anak-anak kita bang. Sepasang suami isteri, mereka berpakaian serba putih. Mereka kata itu anak mereka, dan saya tak berdaya buat apa-apa sebab macam dah kena pukau,” kata Zurina.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s