SIAPA TU AYAH?

Bab 3

Lepas solat Asar, kami keluar ke taman permainan yang aku katakan kepada Zurina. Tak jauh dari taman permainan tu ada pantai tapi nampak macam pantai untuk jalan-jalan je, bukan untuk mandi. Kat tepi pantai tu ada banyak kedai makan. Maka sambil anak-anak aku bermain, aku dan Zurina membeli makanan untuk kami makan malam nanti. Banyak juga Zurina beli makanan.

Dulu aku selalu tegur dia bila dia beli makanan banyak, aku risau membazir. Lepas tu dia merajuk, dia beli cukup-cukup je. Tapi rupanya anak-anak aku suka berulang makan. Maklumlah mereka sedang membesar, kejap kejap nak makan. Masa tu aku terasa bersalah, aku tegur mereka nak makan, aku larang mereka membeli makanan. Sedangkan Zurina tu membeli bukan untuk orang lain, tapi untuk anak-anak dia. Dia seorang ibu, dia tahu apa dan tahap mana anak-anaknya nak makan.

Lepas membeli makanan tu, aku dan Zurina berjalan ke arah taman permainan. Dari jauh aku kira anak-anak aku. Azim takde. Aku dah cuak, berlari ke arah taman permainan. Zurina pun sama.

Kami mengelilingi taman permainan, Azrul, Azura dan ada dua orang kanak-kanak lain. Azim tiada.

“Azrul! Azura! Adik mana?” tanyaku. Ya Allah, tak tahulah nak cakap macammana perasaan aku masa tu. Zurina dah meleleh air mata dah.

“Azrul! Adik mana?” tanyaku lagi, kali ni agak keras sikit suara aku.

“Tu,” kata Azrul sambil menudingkan jarinya ke arah satu pokok besar. Aku menoleh ke arah pokok besar tu. Aku nampak Azrul bersama seorang perempuan tua dengan rambut putih.

Cepat-cepat aku dan Zurina berlari ke arah Azim sambil memanggil namanya. Perempuan tua yang bersamanya berjalan pantas terus masuk ke dalam semak di belakang pokok besar.

“Adik, buat apa kat sini?” tanyaku sebaik dapat memegang tangan anak aku yang didukung oleh Zurina.

“Nenek tu panggil. Dia bagi adik keropok,” kata Azim sambil menunjukkan plastik keropok yang belum dibukanya.

“Adik, berapa kali ibu pesan, kalau tak kenal, jangan pergi kat orang tu,” Zurina pula bersuara, serak suaranya menangis tadi.

“Dia kata dia nak bagi keropok je,” jawab Azim. Dalam tak sedar, aku rampas keropok tu dari tangannnya dan campakkan ke dalam hutan.

“Tak kisah la dia nak bagi keropok ke apa, jangan ikut orang tak kenal, itu je. Faham?”  kataku sambil pandang tepat ke wajahnya. Azim terus berlari mendapatkan kakak dan abangnya. Zurina pandang aku sambil gelengkan kepala.

“Dah, jom balik,” kataku memanggil anak-anak aku yang sedang bermain.

“Alaa… ayah, tak puas main lagi, sekejap je lagi,” kata Azrul yang masih berbuai kat buaian.

“Balik!” kataku. Zurina pandang aku lagi, buat isyarat sabar.

“Ok, lima minit lagi kita balik,” katanya kepada anak-anak aku. Aku diam je. Memang Zurina selalu berlembut dengan anak-anak, sebab tu anak-anak aku rapat dengan ibu mereka.

“Ok ibu.” Sahut Azrul. Dan aku kagum dengan didikan isteri aku, cukup lima minit, anak-anak aku datang kat kami yang sedang duduk di kerusi.

Dalam perjalanan balik, aku tanya Azrul, “Azrul, tadi Azrul nampak tak nenek tua yang bagi adik keropok tu?”

“Mana ada nenek tua?” kata Azrul.

“Habis tu, yang sembang dengan adik tadi siapa?” tanyaku.

“Entah. Azrul tak nampak pun nenek tua. Tapi Azrul nampak la adik pergi kat pokok besar tu. Azrul ingat adik nak duduk kat situ. Kan kat situ ada kerusi,” kata Azrul menerangkan keadaannya.

“Lain kali, jangan biar adik sendirian. Kena teman adik. Kalau orang culik adik macammana?” kata Zurina. Azrul dan Azura diam, dengan muka berminyak berpeluh sebab bermain tadi.

Sampai kat homestay kami, dari jauh, aku nampak seseorang. Dia sedang berjalan mundar mandir di depan homestay kami tu. Aku cuit Zurina, dan muncungkan mulut ke arah homesyat kami. Zurina pandang ke arah yang aku tunjukkan.

“Siapa tu?” tanya Zurina.

“Entah,” sahutku.

Aku terus memandu sampai ke depan homestay kami. Bila kami sampai, aku nampak seorang lelaki berjalan laju ke arah belakang rumah. Aku terus turun dari kereta dan memandangnya. Cepat betul dia berlari, sampai tak sempat aku lihat siapa dia. Tapi yang pasti dia seorang lelaki memakai baju seperti kurta berwarna putih. Dengan seluar juga berwarna putih.

Aku tengok jam tangan, dah pukul 7 malam. Aku cepat-cepat masuk semula ke dalam kereta, pandu kereta terus masuk ke halaman homestay, parking di sana dan suruh anak-anak aku masuk ke dalam rumah.

Aku melangkah ke bahagian belakang homestay kami. Melilau mata aku mencari lelaki tadi dalam kesamaran senja tu. Tapi tak nampak sesiapa.

Ketika aku nak berpatah balik ke bahagian depan homestay, aku nampak kelibat anak kecil berlari di dalam hutan belakang homestay. Aku cuba tengok, budak kecil berpakaian putih juga, dalam usia dua atau tiga tahun.

Sedang aku fokus melihat budak kecil tu, azan berkumandang. Aku tersentak seketika. Cepat-cepat aku berjalan ke bahagian depan rumah dan terus masuk. Aku terasa seperti ada angin sejuk meniup aku. Menggeletar aku sekejap.

“Kenapa bang?” Zurina bertanya bila tengok muka aku pucat semacam berdiri kat pintu utama.

“Takde apa. Tadi kat luar panas, tiba-tiba masuk kena air-cond, rasa sejuk pula,” kataku cuba menyembunyikan perasaan aku.

Zurina tak jawab. Dia kembali masuk ke bilik anak-anak kami yang sedang bersiap selepas mandi. Bisingnya bukan main.

“Jangan bising, kan orang sedang azan tu,” kata Zurina menegur anak-anaknya sambil membetulkan baju Azim. Diam sekejap anak-anak aku, tak sampai pun seminit, mereka bertolak-tolak sambil ketawa semula.

Aku terus masuk bilik, mandi dan ambil wudhu. Zurina dan anak-anak aku dah tunggu kat atas sejadah, menanti aku untuk jemaah bersama.

Lepas solat, Zurina ke dapur nak hidangkan makan malam. Petang tadi kami dah beli ayam percik kat tepi pantai tu. Balik panaskan dan masak nasi je. Semua kelengkapan memang dah disediakan. Pakcik Omar pun ada pesan, semua barang di dalam rumah tu boleh digunakan. Memang untuk penyewa homestay tu katanya.

Aku pula duduk kat ruang tamu dengan anak-anak aku, buka siaran astro, anak aku tengok kartun. Tengah seronok melayan kartun tu, tiba-tiba aku dengar Zurina menjerit kat dapur. Aku pun apa lagi, berlarilah ke dapur.

Aku nampak Zurina duduk di tepi kabinet bawah sinki. Mukanya pucat ketakutan. Aku segera dapatkannya.

“Kenapa ni?” aku tanya.

Dalam keadaan terketar-ketar tu, dia tunjuk ke arah tingkap kat sinki. Aku tengok, takde apa pun.

“Takde apapun kat situ. Awak nampak apa?” tanyaku lagi. Risau melihat keadaannya begitu.

“Tadi ada orang kat tingkap tu. Dia tengok saya, matanya besar. Dia berdiri je kat situ,” Zurina bercerita dengan suara seakan nak menangis.

Aku buka cermin tingkap. Aku jenguk keluar. Ada satu lampu kat belakang rumah tu. Dan di sepanjang jalan dalam hutan kat belakang rumah tu pun ada lampu selang 10 kaki tapi bukan lampu kalimantang la. Cuma lampu warna warni untuk mencantikkan suasana. Tapi entah kenapa aku rasa macam kecantikan pemandangan itu seperti menyeramkan. Tak tahulah kenapa.

Aku tiba-tiba macam terdengar bunyi seseorang berjalan sambil menyeret kaki. Aku jenguk ke kiri kanan luar tingkap tu. Tak nampak sesiapapun. Dan tiba-tiba aku dengar bunyi pernafasan yang agak kuat, seolah anjing mendengus pun ada. Bulu roma aku dah meremang. Aku tutup tingkap tu.

“Dah, bangun. Takde apa. Perasaan awak je kot. Jom abang tolong siapkan. Anak-anak pun dah lapar tu,” kataku cuba menenangkan Zurina. Zurina bangun, dia terus duduk di atas kerusi. Aku tepuk bahunya, dan gosok perlahan.

“Saya rasa macam ada yang tak kena dengan rumah ni,” kata Zurina tiba-tiba.

“Hish, jangan fikir banyak. Kita nak bercuti, nak legakan fikiran, bukan nak serabutkan fikiran.” Kataku sambil menyedok nasi ke dalam mangkuk.

“Esok kita balik la bang,” kata Zurina lagi.

“Eh, kan dah sewa sini dua malam? Esok kita bawa anak-anak mandi kat laut pula,” kataku memujuk.

“Taknaklah. Rasa macam ada yang memerhati kita je kat rumah ni,” kata Zurina lagi.

“Macam ni la, lepas solat isya’ nanti, awak cuba tengok kalau ada homestay atau chalet lain yang kita boleh pergi. Tak kisah la kat mana. Kalau ada, esok kita keluar, kita pergi tempat lain, ok?” tanyaku memujuk Zurina.

Zurina anggukkan kepala sambil tersenyum. Merah balik muka dia yang pucat tadi. Lega aku melihatnya. Aku pandang semula ke arah tingkap cermin tu, memang aku nampak ada pergerakan, tapi aku tak tahu apa tu. Dan aku taknak buka cermin tingkap tu.

Lepas siap berhidang, aku melangkah ke ruang tamu nak panggil anak-anak aku untuk makan malam. Pelik juga aku mereka diam je. Selalunya mereka akan bising, bermain, bergaduh, mengadu pasal yang lain.

Masa aku sampai kat ruang tamu, aku tengok pintu terbuka luas. Berderau darah aku. Aku cari anak-anak aku. Ada tiga-tiga, sedang tekun tengok kartun kat tv.

“Azrul, siapa buka pintu ni?” tanyaku.

Azrul pandang aku, “Entah” jawabnya sepatah dan kembali pandang ke televisyen.

Aku jenguk ke luar rumah. Aku pandang kiri kanan, dan keliling rumah. Halaman rumah tu terang benderang tapi tak tahu lah kenapa aku rasa seram. Terasa macam ada yang memerhati dari celah-celah pokok besar yang ada kat situ. Aku pandang juga kot ada orang yang berdiri di sana. Tapi takde.

Kawasan rumah ni memang takde pagar antara setiap rumah tapi pokok-pokok yang ditanam yang menjadi pagar antara setiap rumah menyebabkan pemandangan aku terhadap rumah sebelah menyebelah tak berapa jelas. Aku belum sempat nak jumpa penyewa-penyewa homestay kat kiri kanan aku, tapi aku memang nampak ada beberapa keluarga yang lalu lalang di jalan depan homestay tu.

“Kenapa bang?” tiba-tiba Zurina bertanya membuatkan aku tersentak sikit tapi aku cuba untuk tak nampak terkejut sangat.

“Takde apa, tadi pintu ni terbuka. Kita tak tutup rapat kot, angin tolak,” kataku berselindung. Walhal aku yang tutup pintu tu tadi, aku tahu aku dah kunci dan tutup rapat.

“Jom makan semua. Dah sejuk nasi tu,” kata Zurina mengajak anak-anaknya yang masih leka menonton kartun.

Aku ambil remote tv, dan terus tutup tv. Anak-anak aku yang ternganga dari tadi, terus tutup mulut dan menoleh ke arah aku.

“Ayah, nak tengok kartun,” rengek Azim.

“Makan dulu, lepas makan, solat. Lepas tu baru tengok kartun,” kataku. Aku tahu, selalunya lepas solat, mereka akan tidur kepenatan, takdenya nak tengok tv lagi.

Maka, dengan muka tak puas hati, anak-anak aku mengikut langkah Zurina ke dapur. Aku tekan pintu lagi sekali, nak pastikan pintu tu memang dah tertutup rapat.

“Wah, ayam percik! Sedapnya!” Azura menjerit bila melihat lauk kegemarannya. Terus tarik pinggan yang dah diisi nasi ke depannya.

“Tu la, orang ajak makan, taknak. Perut tu lapar sebenarnya kan?” kata Zurina tersenyum melihat anak-anaknya.

“Ayah, siapa tu?” tiba-tiba Azim bertanya masa kami tengah makan. Cepat-cepat aku menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Azim.

“Mana?” tanyaku.

“Tadi dia jenguk kat situ,” kata Azim sambil mengangakan mulutnya yang sedang disuapkan nasi oleh Zurina.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s