SIAPA TU AYAH?

Bab 2

Aku bangun, tengok jam. Dah hampir pukul 12, memang patut la dia lapar. Aku keluar dari bilik. Zurina dah bancuh air kat dapur, dan masukkan ke dalam peti sejuk.

“Jom kita jalan ke belakang ni, kita pergi kawasan air terjun tu, Pakcik Omar kata kat situ ada kedai makan kan? Kat situ kita makan,” kataku mengajak. Zurina tak banyak cakap, dia terus melangkah ke bilik dan pakai tudung. Azrul dan Azim sedang mengadap telefon.

“Ayah, siapa tu?” tiba-tiba je Azrul tanya aku sebaik sahaja dia menoleh ke arah aku.

“Siapa?” aku tanya Azrul balik sambil memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Azrul. Aku nampak sofa je.

“Dia dah lari keluar,” kata Azrul.

“Siapa?” tanyaku lagi, mula rasa nak meremang bulu roma. Tengahari kot ni.

“Entah. Budak kecil. Tadi dia duduk kat sofa tu. Bila Azrul tunjuk dia kat ayah, dia terus lari keluar,” kata Azrul tanpa wajah takut.

“Adik pun nampak tadi. Dia kata nak main dengan adik. Adik cakap bagitahu kat ayah dulu,” kata Azim, anak aku yang kecil.

Aku dan Zurina berpandangan sesama sendiri.

“Ayah, ibu, cepatlah, nak mandi sungai,” kata Azura merengek.

“Ok ok. Jom, semua. Tutup tv tu. Jom kita makan dan mandi air terjun. Nak tak?” kataku sambil mendukung Azim.

“Nakkkkk,” sambut anak-anakku serentak.

Kami semua keluar dari rumah. Setelah aku kunci pintu, kami pun melangkah bersama ke bahagian belakang rumah. Masa kami lalu kat bahagian dapur rumah tu, aku dengar bunyi air paip berpasang. Aku pandang Zurina.

“Awak tak tutup paip air ke?” tanyaku.

“Dah tutup dah tadi. Saya masak air je pun, lepas tu takde pun guna air paip tu,” kata Zurina sambil menjenguk kat bahagian dapur.

“Awak tunggu sini dengan anak-anak sekejap, biar abang pergi tengok.” Kataku sambil melangkah semula ke bahagian hadapan rumah. Aku buka kunci dan sebaik aku masuk ke dalam rumah, takde pun bunyi air paip tu. Aku terus ke dapur, air paip bertutup. Aku garu kepala aku yang tak gatal. Melangkah semula keluar rumah dan kunci pintu.

Aku mendapatkan semua Zurina dan anak-anak aku yang sedang menunggu di bahagian belakang rumah.

“Cepatnya abang tutup paip tu, terbang ke pun?” tanya Zurina mengusik aku.

“Paip air tu tak pasang pun,” kataku.

“Habis tu, siapa yang tutup? Sebab sebaik je abang lari ke depan tu tadi, paip tu dah tutup dah. Siap berbunyi lagi macam ada yang pulas kepala paip tu. Bukan abang ke?” tanya Zurina lagi dengan dahinya yang berkerut.

“Dah la tu, jom kita pergi. Anak-anak dah lapar tu,” kataku sambil melangkah ke dalam hutan mengikut laluan yang telah disediakan. Aku bukan taknak jawab soalan Zurina tapi aku taknak memanjangkan perkara itu. Walaupun hati aku dah mula rasa macam ada sesuatu yang tak kena.

Betul seperti apa yang Pakcik Omar beritahu, lebih kurang lima belas minit berjalan di dalam hutan yang agak terjaga itu, kami sampai di satu kawasan air terjun yang cantik. Ada beberapa orang yang sedang mandi manda di sana dan kelihatan beberapa buah kedai makan di tepi jalan di kawasan perkelahan tu.

Azura yang dari tadi merengek kata lapar, macam tak ingat dah pasal lapar. Dah berlari ke air terjun dan nak mandi. Azrul dan Azim pun ikut sekali. Tapi Azim sempat dipegang dek Zurina.

“Azrul! Azura! Makan la dulu. Tadi kata lapar,” jeritku bila dua anak aku dah berlari ke arah sungai.

“Alaaa… mandi dulu la ayah,” kata Azrul dengan wajah teruja melihat air sungai.

“Jom makan dulu. Kalau tak dengar cakap ayah, kita balik,” kataku tegas. Aku tahu mereka lapar sebab kami Cuma sarapan roti pagi tadi, itupun awal pagi sebelum bertolak ke sini.

Dengan muka mencuka, Azrul dan Azura melangkah perlahan ke arah kami. Azim masih dalam pegangan Zurina. Kami masuk ke dalam sebuah kedai makan nasi campur kat situ. Kelam kabut anak-anak aku makan, mata tak pandang nasi dah, semua dah pandang ke sungai. Aku dan Zurina tersenyum je melihat gelagat mereka.

Tak sempat habis nasi di pinggan, “Ayah, dah kenyang. Azrul pergi mandi dulu ye,” kata Azrul dan dikuti oleh Azura yang terus bangun bila lihat abangnya bangun.

“Pergilah, main kat tepi ni je, jangan pergi jauh-jauh,” kataku melepaskan Azrul dan Azura.

“Adik pun nak ayah,” kata Azim yang melihat abang dan kakaknya dah berlari ke sungai.

“Azrul, bawa adik ni. Jangan jauh-jauh, kat tepi ni je,” kataku. Azrul dan Azura yang dah separuh jalan berpatah balik mengambil adiknya lalu berlari semula ke sungai. Seronok bukan main mereka.

“Pertama kali datang sini ke?” tiba-tiba makcik tokeh kedai tu bertanya.

“Iye makcik.” Sahut Zurina.

“Dari mana?” tanyanya lagi.

“Kuala Lumpur,” Zurina menyahut sambil menyuap makanan ke mulutnya. Tadi dia sibuk mencubit lauk untuk anak-anaknya.

“Kat sini menginap kat mana?” tanya makcik tu lagi.

“Kat homestay Pakcik Omar,” kataku menjawab.

“Ooo… dekat belakang ni je la. Hati-hati bawa anak kecil,” kata makcik tu sambil melangkah masuk ke dalam dapur kedainya semula sambil mengangkat semua pinggan mangkuk yang nak dibasuh.

Selesai makan, aku dan Zurina pergi mendapatkan anak-anak kami yang masih tekun bermain dengan air sungai di kawasan yang cetek airnya. Aku masukkan kaki aku ke dalam air, sejuk.

“Ayah, marilah mandi,” Azim panggil aku. Aku pun apa lagi, terus terjun la. Zurina  duduk di atas batu besar di tepi tempat kami mandi.

“Ayah, siapa tu ayah? Dari tadi dia lambai kat Azrul suruh datang kat dia,” tanya Azrul.

“Mana?” tanyaku melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Azrul. Tapi aku tak nampak sesiapa. Ramai yang dah naik ke tebing sungai sebab matahari dah naik. Tinggal keluarga aku dan ada beberapa anak muda yang masih bermain air sungai kat hujung sungai sana.

“Tu,” kata Azrul masih menunjukkan ke arah yang sama. Aku masih tengok tiada siapa di sana, Cuma ada kawasan landau yang redup kerana ditutup dengan batu besar dan pokok besar di sebelah sana.

“Berapa orang?” aku tanya walaupun aku rasa cuak. Nak test samada anak aku ni cakap betul atau tak.

“Lima orang macam kita. Mak dia, ayah dia, anak dia tiga orang,” kata Azrul.

“Mereka buat apa kat situ?” tanyaku lagi.

“Mereka duduk je kat sana dari tadi. Anak dia yang lambai kat Azrul suruh datang ke sana,” kata Azrul.

“Mereka tak mandi?” tanyaku.

“Tak, dari tadi mereka duduk sana je. Mata mereka hitam,” kata Azrul masih memandang ke arah ‘keluarga’ yang dia cakap tadi.

Aku dah tak sedap hati. Aku keluar dari sungai. “Jom kita balik dulu, dah nak zohor ni. Kita solat, rehat, nanti petang kita datang lagi,” kataku kepada anak-anak aku.

“Alaaaa… ayah. Sekejap je lagi,” kata Azura merengek dari dalam air.

“Ayah kira sampai 3, siapa tak keluar dari air tu, ayah tinggal,” kataku.

Dan dengan berat hati, anak-anak aku keluar dari air sungai. Azura memapah adiknya yang enggan tinggalkan air. Zurina menanti di tebing sungai dengan kain tuala nak lap anak-anaknya.

Aku toleh sekali lagi ke arah tempat yang Azrul tunjukkan tadi. Masih tiada sesiapa di sana. Berderau juga darah aku. Sebab selama ni tak pernah pun Azrul beritahu nampak sesuatu yang aku tak nampak.

“Awak nampak sesiapa di sana?” tanyaku kepada Zurina perlahan sambil menunjukkan batu besar yang Azrul tunjuk kat aku tadi.

“Ada batu besar je la. Kenapa bang?” tanya Zurina setelah dia meninjau ke tempat yang aku tunjukkan tadi.

“Takde apalah. Jom, bawa anak-anak balik,” kataku sambil mendukung Azim. Zurina pula memegang tangan Azura. Azrul tak bercakap dah, terus berjalan, marah le tu sebab diajak balik masa tengah seronok bermain.

Di pertengahan perjalanan, Azim yang berada di atas dukungan aku, asyik memandang ke belakang. “Kenapa Azim?” tanyaku sambil sama memandang ke belakang.

“Tu, kawan adik kata dia nak ikut,” kata Azim sambil menunjukkan ke arah belakang. Aku pun dengan spontan terus berpusing ke belakang. Takde sesiapa.

Zurina pandang aku dengan muka cuak. Dah la kami masih dalam hutan tu. Walaupun hutan tu berjaga, cantik dan memang banyak kerusi untuk riadah, kami tetap terasa seram bila Azim cakap macam tu.

Aku letakkan Azim ke bawah. “Dah, jalan terus ikut ibu. Jangan pandang belakang lagi,” kataku.

Zurina menghulurkan tangan kepada Azim, Azim berlari mendapatkannya. Aku berjalan di belakang sekali, aku sendiri pun tak berani nak pandang belakang. Entah siapa yang anak-anak aku nampak.

Sampai je kat kawasan rumah, kami terus masuk. Selesai solat zohor, kami semua merebahkan diri di ruang tamu. Besar rumah ni. Aku terlena.

Aku tersedar bila dengar suara Azura ketawa. Aku buka mata. Aku lihat keliling aku, Azura takde kat tempat dia tidur tadi. Zurina masih terbaring di sofa, Azrul dan Azim ada kat tepi aku. Aku tengok jam, baru pukul 3.30 petang, hari pun masih panas.

Aku bangun mencari suara Azura. Aku nampak Azura kat dalam bilik utama. Dia sedang duduk bermain dengan anak patung yang dibawanya dari rumah. Memang anak patung tu tak lekang dari tangannya walau kemana kami pergi.

Aku intai Azura dari tepi pintu. Aku nampak Azura seperti sedang bermain dengan seseorang. Aku dengar dia bercakap-cakap. Meremang bulu roma aku.

“Azura,” aku panggil. Azura menoleh ke arah aku yang sedang berdiri di muka pintu.

“Eh, eh, tunggu la,” kata Azura kepada seseorang seperti menahan orang tu daripada pergi.

“Kamu bercakap dengan siapa?” tanyaku.

“Tu kawan Azura,” kata Azura.

“Dia datang dari mana?” tanyaku.

“Dia masuk ikut pintu la. Dia ajak Azura main. Ibu dan ayah semua tidur.” Kata Azura.

Aku melangkah masuk ke dalam bilik tu. Aku buka tingkap luas-luas.

“Azura, berapa kali ayah cakap? Jangan bawa orang yang dikenali masuk ke dalam rumah kita. Dan jangan bercakap atau bermain dengan orang yang kita tak kenal,” kataku.

“Tapi dia cakap ini rumah atuk dia,” kata Azura.

Dan aku terdiam, menggosok kepala yang tak gatal.

“Kenapa bang?” tiba-tiba Zurina bersuara kat pintu membuatkan aku terlompat sikit akibat terkejut.

“Hish awak ni, datang tu bagi signal dulu boleh tak?” tanyaku dengan nada geram.

“Kenapa pula nak geram ni? Selalu takde pun abang terkejut macam ni,” kata Zurina.

“Takde apalah. Jom kita siap-siap. Lepas Asar kita keluar. Kita bawa mereka ke taman permainan. Abang dah google tempat ni, tak jauh dari sini ada satu tempat permainan berbayar untuk budak-budak.” Kataku cuba menutup riak gelisah aku.

Zurina akur. Dia berlalu meninggalkan aku dan Azura yang masih membelek anak patungnya.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s