BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 15 (AKHIR)

Dah sampai ke bawah rumah, baru aku teringat siapa lelaki yang berada di atas alang rumah tu. Dialah lelaki yang muncul dari pokok yang tumbang dalam cerita ketiga blog yang dibaca oleh Hadi.

Sebaik sampai kepada Ustaz Aziz, aku lihat gadis yang sedang meronta-ronta nak melepaskan diri dari pegangang ayah Azrul dan Ustaz Aziz.

“Siapa gadis ni?” tanyaku.

“Dia ni anak saudara pakcik,” sahut ayah Azrul. Aku diam, segan nak tanya lagi.

“Apa dah jadi ayah?” aku tanya ayah aku yang masih lagi terpinga-pinga.

“Entah. Azrul kata Maklang dia takde di rumah, minta ayah hantarkan dia ke rumah Makngah dia pula. Sampai kat sini, rumah ni semuanya bertutup. Ayah tunggulah sampai Azrul jumpa tuan rumahnya. Tapi sampai sudah takde orang jawab. Azrul tolak pintu, tak kunci tapi dia kata takut nak masuk. Jadi ayah temankan. Masuk je ke dalam rumah, ayah tak ingat apa-apa dah,” kata ayah aku bercerita ringkas, dan aku pun tak tanya lagi.

Aku jenguk ikut tingkat yang terbuka. Aku nampak Ustaz Hashim mengangkat tangannya dan menghalakan ke arah atas alang rumah. Dan setiap kali Ustaz Hashim seperti merentap sesuatu, gadis yang dipegang oleh ayah Azrul dan Ustaz Aziz menjerit kesakitan. Suami isteri yang aku jumpa kat dalam bilik tadi, yang juga merupakan ibu dan ayah kepada gadis tu menurut kata Azrul, menangis teresak-esak melihat keadaan anak gadis mereka. Ustaz Aziz mengarahkan mereka agar tak merapati anak gadis mereka.

“Sakit mak, tolong Aina,” kata gadis itu merayu lemah. Dan setiap kali ibu Aina nak merapatinya, Ustaz Aziz menghalang.

“Buat masa ni, dia bukan anak gadis puan.” Kata Ustaz Aziz kepada ibu dan ayah Aina. Ayah Aina memegang ibu Aina, menahannya agar tidak pergi kepada Aina yang kelihatan lemah tak bermaya dan meraung menangis kesakitan.

“Aku beri satu lagi peluang untuk kau pergi sebelum aku hancurkan kau.” Aku dengar Ustaz Hashim bersuara kuat.

“Kau tak boleh hancurkan aku, aku akan bawa gadis ini kerana dia pewaris aku,” Aina bersuara garau dengan suara lelaki. Sekali lagi mak Aina meraung.

“Gadis ini milik alam sini, bukan alam kau. Pergi!” kata Ustaz Hashim ke arah alang rumah. Mereka yang berada di bawah tak nampak lelaki di atas alang, tapi aku tahu Ustaz Hashim sedang bercakap dengan lelaki di atas alang tu. Cuma macam dia berkembar dengan Aina yang berada di bawah.

“Ustaz Hashim dah berjaya pisahkan mereka tapi saka itu masih taknak lepaskan Aina.” Kata Ustaz Aziz memberitahu ayah Azrul dan ayah aku yang ternganga melihat Ustaz Hashim seperti bercakap seorang diri di sana.

“Ustaz Aziz, uruskan dari sana. Kita dah guna cara lembut tapi dia berdegil. Sekarang kita gunakan cara kasar,” laung Ustaz Hashim kepada Ustaz Aziz di bawah rumah. Ustaz Aziz menganggukkan kepala tanda faham.

Ustaz Aziz melepaskan jarinya yang menekan dahu Aina. Dia melangkah ke arah kaki Aina. Ayah Azrul dan ayah aku memegang Aina. Tapi tak berdaya, tenaga Aina lebih kuat. Nak taknak, aku dan Azrul pun turut sama memegang Aina.

Ustaz Aziz mendirikan jari telunjuknya di atas tanah, memejamkan mata dan mulutnya bergerak-gerak membacakan sesuatu. Masa ni, suasana menjadi agak gelap seperti hujan nak turun sedangkan tadi cerah sebab dah pukul 1 tengahari. Seketika kemudian, Ustaz Aziz membuka matanya, memandang tepat ke mata Aina, dan memicit ibu jari kaki kiri Aina. Aina menjerit kuat dan suaranya serentak dengan satu suara garau yang agak menyeramkan dari bahagian atas rumah. Kami yang berada di situ memang rasa macam nak lari, takutnya la.

Aina terlentok tak sedarkan diri. “Rashid, pergi hantar botol ni kepada Ustaz Hashim cepat,” kata Ustaz Aziz sambil mengeluarkan botol yang dipegangnya sejak dari rumah pusaka usang tadi dari poket bajunya. Tanpa bertanya lagi, walaupun aku cuba sedaya upaya taknak naik ke rumah tu, aku ambil botol tu dan melangkah naik tangga dan masuk ke rumah tersebut semula lalu menyerahkan botol tersebut kepada Ustaz Hashim.

“Buka penutup botol tu, tapi jangan sampai kain hitam yang membalutnya terbuka. Dia perlu diletakkan di dalam tempat gelap tanpa udara supaya dia kehilangan tenaganya.” Kata Ustaz Hashim

“Dia tu siapa?” tanyaku sambil menjeling ke arah alang rumah tapi lelaki tadi dah tiada di situ. Masa ni azan zohor berkumandang. Ustaz Hashim tak menyahut. Aku terus buka penutup botol itu dan menghalakannya kepada Ustaz Hashim.

Ustaz Hashim mengangkat tangannya yang seolah menggenggam sesuatu, menekupkan genggamannya ke mulut botol tersebut dan meniupnya lalu cepat-cepat dia menutup botol tersebut. Selepas itu dia membalut botol tersebut sekali lagi dengan kain kuning yang dililit ke tangan kirinya sejak kami mengambilnya dari rumahnya pagi tadi, Aku pun taknak tanya, aku ingat kot tangannya luka ke apa. Rupanya ada gunanya. Aku rasa Ustaz Hashim dah tahu apa yang akan berlaku atau dia mungkin dah pernah berdepan dengan suasana macam ni, sebab tu dia tahu apa yang dia perlu bawa.

Botol itu berasap. Tapi Ustaz Hashim berjalan terus kelaur dari rumah. “Ustaz, botol tu berasap,” kataku. “Biarkan, itu tenaga dia yang sedang keluar,” kata Ustaz Hashim.

Ustaz Hashim turun tangga, dan terus berjalan ke arah belakang rumah. “Ada sungai tak area sini?” Usttaz Hashim bertanya kepada ayah Aina.

“Seberang jalan ni, kat belakang rumah orang depan ni adalah sungai,” kata ayah Aina memberitahu. Ibu Aina sedang mengadap Aina yang masih tak sedar.

“Dah boleh bawa dia naik. Ustaz Aziz tolong buat air penawar untuknya. Saya nak selesaikan benda ni,” kata Ustaz Hashim dan Ustaz Aziz menganggukkan kepala tanda faham.

“Jom bawa dia naik ke atas,” kata Ustaz Aziz. Mak dan ayah Aina memapah Aina masuk ke rumah mereka. Diikuti oleh ayah Azrul dan Azrul. Manakala aku dan ayah aku mengikut Ustaz Hashim.

Ustaz Hashim membawa botol yang masih berasap putih itu ke sungai yang ayah Azrul tunjukkan tadi. Di sungai tu, Ustaz Hashim mengambil sedikit tanah liat dari bahagian tebing sungai dan memasukkan tanah liat itu ke dalam botol. Asap tadi semakin berkurangan.

“Aku suruh kau pergi baik-baik, kau taknak, kau degil. Sekarang kat duduk sini sampai Malaikat Israfel meniup sengkakala kedua. Allahu Akbar,” Kata Ustaz Hashim perlahan sambil menutup semula botol tersebut.

Ustaz Hashim berjalan kembali ke rumah Makngah Azrul. Di bawah pokok ciku, Ustaz Hashim mengarahkan aku mengorek lubang sampai paras paha aku. Aduh, kena lagi. Haritu tanam ular, hari ni tanam botol pula.

Tengah aku mengorek tu, azan zohor berkumandang. “Cepat Rashid, kita tanam dia sebelum habis 1/3 waktu zohor menuju asar. “Kalau tak?” aku tanya cuak. “Kalau tak nanti dia akan keluar semula dari botol ni dan merasuk salah seorang dari kita. Nampaknya macam dia lebih suka kat kamu,” kata Ustaz Hashim membuatkan aku lebih cepat mengorek lubang tu sampai lebih dari paras paha aku.

“Dah cukup tu Rashid, tanam botol ni,” kata Ustaz Hashim lembut. Aku takut nak pegang botol tu.

“Takde apa, tanam je,” kata Ustaz Hashim

“Dah lepas 1/3 zohor ke? Ustaz kata dia suka saya, nanti masa tanam, dia keluar nanti macammana?” tanyaku.

“Jangan banyak tanya, tanam je,” kata ayah aku menolak belakang kepala aku. Ayah aku ni, dia tak tahu betapa cuaknya aku. Tadi kat rumah usang sana, suara perempuan kata suka kat aku, sekarang Ustaz Hashim pula kata benda tu suka kat aku, maknanya betullah tu dia suka kat aku. Lagi nak suruh aku tanah benda tu. Mestilah aku takut. Tapi nak taknak, aku kena buat juga, dah ayah aku pandang aku macam lelaki yang berdiri kat atas alang tadi.

Lepas siap tanam, aku ikut Ustaz Hashim dan ayah aku ke rumah Makngah Azrul semula. Berkali-kali aku toleh tanah tempat aku tanam botol tu, mana tahu botol tu keluar semula.

“Dah, tak payah tengok lagi. Dia dah selamat kat sana,” kata Ustaz Hashim.

“Nanti dia keluar cari saya macammana? Sekarang ni dah masuk 2/3 waktu zohor menuju asar dah kan?” tanyaku masih dengan muka cuak.

“Hish kamu ni, percaya sangat. Saya cakap macam tu sebab kita ni belum solat zohor lagi. Nanti kamu teragak-agak, perkara jadi lambat. Kalau tak cakap macam tu, entah-entah dah masuk asar nanti pun kita belum selesai,” kata Ustaz Hashim sambil tersenyum memandang aku. Ayah pun sama. Aku terdiam, maknanya aku dah terkena la ni? Kena tipu.

Semasa kami naik ke rumah Makngah Azrul, kami lihat ayah Azrul sedang menangis memegang tangan Makngah Azrul. Suasana sedih sangat masa tu. Aku terpinga-pinga, ni dah drama apa pulak ni?

“Andak minta maaf sangat, Andak membuang adik beradik hanya kerana marah sedangkan marah itu hasutan syaitan. 20 tahun kita terpisah hanya kerana ego Andak.” Kata ayah Azrul, menangis teresak-esak.

“Takpelah Andak, perkara dah lepas. Sekurang-kurangnya kita sempat berjumpa. Kami pun ada salahnya juga. Langsung taknak bertolak ansur. Lepas mak meninggal, memang kami pergi ke rumah mak dan jaga rumah mak walaupun kami sering nampak arwah mak memandang kami dengan wajah marah dari dalam rumah tu,” kata Makngah Azrul.

Ustaz Hashim cuit aku. “Jom kita solat dulu,” katanya. Aku ikut Ustaz Hashim. Kami menumpang solat di rumah Makngah Azrul di bilik yang telah ayah Aina sediakan untuk kami. Selesai solat, kami kembali ke ruang tamu. Masa aku berjalan ke ruang tamu, aku lihat ada pintu bilik terbuka, gatal mata aku menjenguk ke dalam bilik. Aku nampak Aina sedang duduk dan minum air penawar yang Ustaz Aziz sediakan. Walaupun wajahnya pucat, tapi dia nampak lawa. Aku senyum sendirian.

Tiba-tiba kepala aku sakit, ayah aku tepuk dari belakang. “Berapa kali ayah pesan? Masuk ke rumah orang, mata tu jaga, jangan nak melilau,” kata ayah aku sambil jegilkan mata kat aku. Ustaz Hashim tergelak kecil.

Kami duduk semula kat ruang tamu.

“Malam tu masa kami tengah bersiap untuk kenduri esok harinya, benda tu datang ganggu. Lepas mak meninggal, kami tertanya-tanya saka tu dah takde ke. Kami ada tanya beberapa bomoh, mereka kata saka tu dah pergi. Mana tahu rupanya dia tunggu waris dari cucu perempuan sulung arwah mak iaitu Aina. Saka tu marah kot sebab Aina nak berkahwin. Mujur malam tu tak jadi apa-apa, dia cuma ganggu sekejap je. Masa kami jumpa Aina kat dalam bilik pengantin malam tu dengan benda tu, benda tu beri amaran katanya Aina tak boleh berkahwin. Macam tu je lepas tu dia hilang bila lompat ke dinding. Kami panggil Bomoh Sukin, dia katanya benda tu dah pergi, dah takde apa dah. Keesokan harinya, rombongan pengantin lelaki tak sampai. Sepatutnya mereka nikah pagi dan terus bersanding semua tapi mereka tak sampai. Akhirnya mak pengantin lelaki telefon, katanya anak lelaki dia tak balik sejak dua hari lepas. Mereka dah cari tapi tak dapat hubungi dia. Sampai hari ini, dah dua minggu berlalu. Kenduri pun dah lepas. Nak kata malu, memang malu la. Tapi apa nak kata? Pihak pengantin lelaki pun minta maaf sangat sebab mereka pun masih kalut mencari anak lelaki mereka sebab tak siapa tahu,” kata Makngah Azrul menghabiskan ceritanya dengan wajah sugul.

Siapa tak sedih, lepas satu, satu masalah yang datang.

“Habis tu, sampai sekarang tak jumpa lelaki tu?” ayah Azrul bertanya. Makngah gelengkan kepala.

“Aina macammana?” ayah Azrul bertanya lagi.

“Dia murung je. Tak banyak cakap, tak berapa nak makan. Kami dah cuba berubat kampung, pergi kepada doktor pakar, semua kata Aina ok. Rupa-rupanya dia murung bukan hanya pasal pengantin lelaki tak muncul je, malah benda tu pun sedang mengganggu dia agaknya. Sian dia,” kata Makngah Aina lagi.

“Takpelah. Moga-moga lepas ni semua akan pulih semula. Mungkin akan mengambil masa, biar lambat asalkan selamat. Jangan berhenti berdoa, doa ibu tiada hijab,” kata Ustaz Aziz mencelah setelah lama berdiam diri mendengar perbualan adik beradik itu.

“Jomlah kita makan dulu. Minta maaf tak sempat masak, saya beli lauk je tadi. Jomlah kita makan, dah lewat dah kita belum makan tengahari lagi,” tiba-tiba Pakngah Azrul muncul dari dapur mempelawa kami makan. Dan tak semena-mena perut aku berkeroncong, padahal tadi takde apa pun.

Selesai makan, ayah aku, Ustaz Hashim, Ustaz Aziz meminta diri untuk pulang. Azrul dan ayah Azrul berhasrat nak bermalam dulu di rumah Makngah Azrul, nak jumpa Maklangnya dan nak melawat kubur arwah mak mereka.

“Begitulah sebaiknya,” kata Ustaz Hashim.

“Ustaz Aziz boleh tumpang kami,” kata ayah aku mempelawa. Dan Ustaz Aziz akur.

Kami singgah sebentar di masjid kampung itu untuk tunaikan solat Asar sebelum meneruskan perjalanan balik ke rumah kami semula.

Dalam perjalanan aku berasa lega, kerana ketiga-tiga cerita dalam blog Hadi dah selesai. Aku dah boleh tidur malam. Aku dah boleh jalani kehidupan aku dengan baik lepas ni. Cuma ada satu lagi perkara aku nak selesaikan, aku nak jumpa Hadi, aku nak ajak dia jumpa Ikhwan. Kali ni betul-betul aku nak tengok, Ikhwan tu betul sakit atau dia buat-buat sakit?

Eh, sekejap. Tiga kisah? Kenapa aku rasa baru selesai dua? Ular, Pengantin dan Lebuhraya. Saka Ular kami dah tanam kat belakang rumah Azrul, Pengantin Aina yang tak jadi berkahwin kerana saka dan Lebuhraya? Ahh.. aku pening balik. Apa benda lebuhraya yang tak selesai? Aina tak jadi kahwin sebab saka? Bukan, dia tak jadi kahwin sebab pengantin lelaki hilang.

Eh eh, kenapa pula aku kena fikir pasal orang lain yang tak jadi kahwin. Ah, lantaklah, buat masa ni hati aku dah tenang. Aku malas nak fikir. Yang aku perlu fikir sekarang ialah, siapa sebenarnya penulis blog tu.

Kami sampai kat rumah dah nak maghrib. Aku dan ayah tak banyak sembang malam tu walaupun mak banyak bertanya. Aku penat. Aku nak tidur. Rasanya tak sampai 50 saat aku letak kepala, aku dah hilang entah sampai negeri mana dah kot.

Pagi esoknya, aku bangun macam biasa cuma badan aku sengal-sengal. Semalam takde pun rasa sengal badan, mungkin sebab kepenatan sangat tu. Aku buka telefon aku. Baru sempat nak on data.

Wah, banyak whatsapp kat group aku. Hadi dah sihat. Semalam dia dah balik rumah. Kawan yang lain pm aku suruh aku add diorang masuk dalam group sebab masing-masing dah tukar nombor. Semuanya gara-gara blog berangkai tu. Macammana jadi macam tu, aku tak tahu dan taknak ambil tahu. Aku nak pergi ke rumah mak Aqil, aku nak berdepan dengan Ikhwan, walau apapun yang terjadi.

Aku pm Hadi, ajak dia pergi rumah mak Aqil. Dia setuju. Dia pun nak tahu sangat siapa penulis blog tu. Mak membebel-bebel kenapa aku nak keluar lagi padahal segalanya dah selesai. Tapi aku minta izin kat mak aku, sehari je lagi. Dan sebab ayah menyokong aku, maka mak aku lepaskan dengan berat aku keluar lagi hari tu.

Ketika kami sampai kat rumah mak Aqil, rumah tu bertutup macam tiada penghuni. Kami bagi salam berkali-kali tapi tiada yang menjawab. Baru je aku dan Hadi nak tinggalkan rumah tu, mak Aqil muncul dengan wajah murung dan memegang tikar kat tangannya. Dia pun terkejut bila tengok kami kat depan rumahnya.

“Hah! Ikhwan meninggal dunia? Bila? Kenapa?” kami bertanya mak Aqil bila dimaklumkan bahawa dia baru saja pulang dari tanah perkuburan menguruskan pengkebumian Ikhwan.

“Hari tu kan kamu datang sini Rashid, masa tu dia demam kan? Dia demam kebah deman kebah dan seminggu sebenarnya. Makcik pun ingat tak melarat, tapi mana tahu ada jangkitan kuman pada jantungnya.” kata mak Aqil memberitahu.

“Minta maaf makcik, kami tak tahu. Salam takziah,” kataku, sedih pula bila tengok mak Aqil macam tu. Kami pula banyak tanya.

“Takpelah, makcik redho. Dah lama dia sakit. Biarlah dia pergi dengan tenang,” kata mak Aqil.

“Dia memang ada masalah jantung ke makcik?” tanya Hadi.

“Dia lahir normal. Lepas tu dia kena sawan satu hari tu sebab demam, lepas tu dia jadi macam tu. Tak habis kat situ, doktor kata jantungnya berlubang. Allah, masa tu kami sedih sangat. Aqil rapat dengan adiknya, dia sayang sangat kat adiknya. Dia tandatangan borang derma organ, katanya kalau dia meninggal dunia, jantungnya hendaklah diberi kepada Ikhwan. Kebetulan jantung dia sesuai untuk adiknya. Lepas Ikhwan meninggal dunia, doktor dah buat pembedahan. Segalanya berjalan lancar. Tak sangka pula jantung tu dijangkiti kuman selepas semuanya pemeriksaan doktor mengatakan semua dah ok. Mungkin dah ajal dia,” kata mak Aqil menceritakan kisah Aqil dan adiknya.

“Maknanya Ikhwan menggunakan jantung Aqil?” tanya Hadi. Mak Aqil mengangguk.

“Makcik, saya bukan nak menggesa, cuma saya nak minta izin, boleh tak saya tengok-tengok bilik Ikhwan atau bilik Aqil?” tanyaku buatkan mak Aqil memandang aku dan Hadi tanpa berkelip.

“Kenapa pula?” tanya mak Aqil.

“Ceritanya agak panjang makcik. Takpe, kami Cuma nak cari sesuatu. Makcik boleh ikut sekali, tengok kami. Kami nak cari sesuatu yang kami tak pasti apa dia,” kata Hadi.

“Carilah, kamu tahu bilik Ikhwan,” kata mak Aqil. Dan kami tak buang masa, terus masuk ke bilik Ikhwan. Kami tak usik apa-apa, Cuma memerhati keliling. Nak cari sesuatu yang boleh membawa kami kepada blog tu. Takde apa.

Hadi membongkokkan badannya. Dia gamit aku, aku pun turut membongkokkan badan melihat bawah katil. Aku nampak sesuatu. Aku tarik benda tu. Ianya sebuah laptop lama, dah berhabuk.

“Itu laptop Aqil dulu. Dah lama tak pakai, dah rosak agaknya,” tiba-tiba mak Aqil bersuara dari pintu bilik.

“Boleh kami tengok laptop ni?” tanyaku.

“Tengoklah, entah boleh guna atau tak lagi,” kata mak Aqil sambil berlalu pergi.

Aku cari plug, sambungkan dan pasang laptop tu. Ianya masih berfungsi. Hadi dan aku  berpandangan sesama sendiri. Tiada sambungan internet, macammana nak tengok blog.

“Cuba kau tengok history search kat google chrome dia,” kata Hadi. Aku buka.

Salah satu history kat google dia ialah ‘Blog Makhluk Tak Terlihat,” Aku tak sabar dah. Aku on wi-fi aku dan sambungkan ke laptop. Aku masuk blog tu. Sampai kat situ, aku terhenti. Aku takde Log-in dan Password. Aku lepaskan keluhan berat, rasa nak menjerit.

“Sudahlah Rashid. Ada perkara yang kita kena lepaskan sebab diluar kuasa kita. Aku rasa Aqil berada dalam diri adiknya, meminta bantuan kita melalui adiknya. Dulu minta kau bantu carikan anaknya, sekarang mungkin nenek Azrul pula. Wallahu alam,” kata Hadi.

Aku diam. Aku tutup laptop tu semula. Aku terpaksa akur. Bak kata Hadi, ada perkara yang berlaku diluar jangkaan akal manusia dan hanya dengan izin Allah. Aku rasa akal aku tak dapat terima tapi aku terpaksa lepaskan.

Sampai kat rumah, aku buka komputer aku. Aku baca semula semua email yang Hadi forward kat aku. Satu persatu.

Email pertama: “Dia ada di mana-mana. Kamu mengambil barangan miliknya. Pulangkan atau dia datang mencari kamu, dan kamu akan jadi sebahagian dari mereka.”

Jawapannya saka ular tu.

Email kedua : “Mereka makin ramai, tapi hanya satu jalan untuk hantar mereka kembali ke tempat mereka. Jalan itu adalah dia, yang datang dari alam satu lagi.”

Dia yang datang dari alam satu lagi? AQIL???? Jadi betullah Blogger itu Adiknya? Atau sebenarnya dirinya sendiri?

Email ketiga : “Kamu telah melewatkan kepulangan mereka, menjadikan mereka makin kuat. Pembayang, ular, lebuhraya, pengantin.”

Satu lagi tak selesai, LEBUHRAYA!

Email keempat : Yang aku tak sempat habiskan membacanya masa tu sebab ayah aku menjenguk ke bilik dan suruh aku tidur.

“Kamu buntu, cari di lebuhraya, dia ada di sana,”

Ha? Cari siapa kat lebuhraya? Aku tekan dahi aku.

Lelaki bertutup kepala? Lelaki yang ayah aku langgar, dia cedera teruk tapi masih boleh berjalan sampai ke ladang kelapa sawit dan memandang kami dari sana. Seolah mahu kami mengikutnya. Ahhhh…! Aku tak boleh fikir. Aku tutup laptop. Aku baring kat katil. Aku terlena.

Sedar-sedar mak aku kejut suruh solat asar. Sampai ke petang aku terlena.

Aku bangun, solat asar. Aku duduk kat buaian depan rumah aku. Aku buka whatsapp. Azrul hantar message kat aku. Cepat-cepat aku buka.

“Rashid, polis dah jumpa pengantin lelaki Aina. Dia kena langgar lari kat highway. Jenazahnya tercampak jauh dari highway. Ada orang asli kat situ buat aduan jumpa rangka manusia. Polis jumpa jenazahnya betul-betul di kawasan kita terlanggar lelaki bertutup kepala tu.”

Aku tutup telefon dan letak kat tepi. Aku pejamkan mata dan usap muka aku. Allahu Akbar. Kenapa aku tak perasan pasal ni. Patutlah aku pelik sangat dan tertanya-tanya, apa kaitan lelaki bertutup kepala kat highway tu dengan dua kisah lain di dalam blog tu. Dan sekarang dah terjawab. Subhanallah, Allah Maha Berkuasa dan Berkehendak. Kun Faya Kun. Aku akur, baru ku sedar, betapa kerdilnya aku di sini Allah. Tak kisah berapa tinggi ilmu manusia, masih tak tercapai akal manusia untuk melihat rahsia Allah. Wallahu’alam.

– T A M A T –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s