BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 14

Aku melangkah macam orang buta kat dalam rumah tu. Berjalan meraba dinding. Dengan terasa angin dari nafas seseorang mengikut aku sambil tertawa perlahan. Aku tak tahu siapa dia tapi aku yakin dia seorang perempuan.

“Aku mencari pewaris. Dah lima keturunan pewaris aku lelaki, pewaris sebelum ni adalah perempuan dan aku akan cari perempuan juga. Jadi kau bukanlah calon terbaik untuk menjadi pewaris aku. Tapi, aku suka kamu. Kita boleh jadi kawan,” kata suara itu sambil ketawa terkekeh-kekeh kat tepi telinga aku.

Aku dapat rasakan seperti ada satu benda kasar meleret kat leher aku. Dan kemudian menyucuk-nyucuk kat belakang aku. Ya Allah, apa benda la ni. Semalam aku tengok ular, dah kurung dah. Sekarang ni apa pula?

“Jangan ganggu anak ini. Nyah kau dari alam ini, sini bukan tempat kamu,” tiba-tiba aku dengar suara Ustaz Hashim. Aku lihat pintu bilik utama tadi pun dah terbuka. Ustaz Hashim berdiri di muka pintu sambil memegang sebiji botol kaca.

“Aku tak boleh pergi selagi pewaris aku tak datang jemput aku,” aku dengar suara garau perempuan tadi, aku pandang sekeliling tapi aku tak nampak sesiapa.

“”Pewaris kau dah tiada. Tapi pencipta kau paling berkuasa. Kembalilah kepada yang berhak. Kamu bukan milik bumi ini lagi,” kata Ustaz Aziz pula dari bahagian ruang tamu. Bila pula dia berjalan ke sana, aku tak perasan pun.

“Aku meneman keturunan ini sejak dulu lagi. Ada perjanjian sumpah mati antara kami. Mereka tak boleh halau aku begitu saja,” kata suara itu lagi, suara itu memenuhi ruang rumah, sepertinya berada di mana-mana, di dalam dinding, di atas siling, di dalam tiang utama. Ustaz Hashim menyuruh aku agar aku tak bergerak, kerana dikhuatiri aku akan terpijak atau terlanggar sesuatu yang dapat menyerap tubuhnya memasuki tubuhku.

“Perjanjian sumpah mati itu antara kamu dengan keturunan terdahulu, bukan dengan keturunan kini.” Kata Ustaz Hashim.

“Tidak!!! Perjanjian sumpah mati untuk selama-lamanya, tiada had keturunan!” kata suara itu lagi, kali ni dengan agak kuat, seperti dia dah marah.

“Jika begitu, kamu balik semula ke tempat kamu bermula, di tempat kamu berjanji. Cari semula orang yang berjanji dengan kamu. Setiap perjanjian, tidak berat sebelah, itu kamu tahu. Kamu berjanji dengan siapa, kamu rujuk semula orang itu,” kata Ustaz Hashim, masih memegang botol kaca itu.

“Kamu sedang memperbodohkan aku. Kamu silap!” kata suara itu lagi.

“Kami tak memperbodohkan kamu kerana kami tahu kamu pandai. Kami tahu kamu kenal Allah. Kami tahu bahawa kamu sedar sesungguhnya ada kuasa lebih tinggi dari kuasa kamu. Matahari milik Allah akan naik di atas kepala. Masa itu kamu akan hancur jika kamu masih di sini. Jadi, lebih baik kamu pergi sekarang, sebelum kamu gagal pulang berjumpa kerabat kamu di alam sana setelah berkurun lama kamu tinggal di kalangan manusia,” kata Ustaz Hashim lagi.

Tiba-tiba aku terasa ada orang tolak aku. Aku tersungkur ke lantai. Sakitnya kepala aku terhentak kat lantai papan tu. Siapa kata lantai papan tak sakit.

Tingkap terbuka sendiri, cerah rumah tu bila cahaya matahari masuk ke dalam rumah. Ustaz Aziz merapati aku. Aku menggosok dahi aku yang sakit.

“Bengkak dahi kamu ni.” Kata Ustaz Azizi sambil melihat-lihat kepala aku.

“Takpe, nanti kita tuam,” kata Ustaz Hashim yang berdiri di tingkap melihat ke luar.

“Dah selesai ke ustaz?” aku bertanya. Ustaz Aziz tak menjawab.

“Dia dah pergi mencari pewaris yang telah dipilihnya,” kata Ustaz Hashim.

“Ayah Azrul mana? Bukan dia dah masuk ke dalam rumah ni tadi ke?” aku tanya lagi. Baru aku perasan tak nampak ayah Azrul sejak tadi. Dan ayah aku pun tak sampai lagi ke dari menghantar Azrul? Jauh sangat ke?

“Jom, kita kena pergi cepat,” kata Ustaz Hashim. Ustaz Aziz menganggukkan kepala.

“Pergi mana?” tanyaku.

“Pergi cari pewarisnya,” kata Ustaz Aziz.

“Siapa?” tanyaku lagi. Ustaz Aziz terus tarik tangan aku dan keluar dari rumah tu.

Kat luar rumah, aku nampak ayah Azrul sedang berdiri di satu pokok manggis di bahagian dapur rumah itu. Aku tunjukkan ayah Azrul kepada Ustaz Aziz. Ustaz Aziz pandang Ustaz Hashim. Ustaz Hashim melangkah ke arah ayah Azrul.

 “Salleh, awak ok?” Ustaz Hashim bertanya.

Ayah Azrul memandang Ustaz Hashim, kelihatan dia menangis. Dia sedang memeluk satu bingkai gambar dan sehelai kain batik.

“Gambar siapa tu?” tanya Ustaz Hashim.

“Ini arwah mak saya, ini kain batik terakhir yang dia pakai masa dia meninggal dunia. Saya rindu mak saya, sejak dia meninggal dunia, hanya sekali saya menziarahi pusaranya. Kerana setiap kali saya lalu di kawasan kubur, saya akan nampak satu lembaga duduk di atas kubur mak saya. Jadi saya tak berani singgah,” kata ayah Azrul sambil menangis. Ustaz Hashim menggosok bahu ayah Azrul yang tersedu-sedu.

“Saya silap sebenarnya kerana tak berusaha menyelesaikan perkara ini sedangkan saya anak sulung. Dan sikap saya membuatkan saya terpisah dari adik beradik saya yang lain,” kata ayah Azrul lagi.

“Salleh tahu siapa pewaris yang sepatutnya mewarisi saka tu?” tanya Ustaz Hashim. Ayah Azrul menganggukkan kepala.

“Siapa?” tanya Ustaz Hashim.

“Adik perempuan saya,” kata ayah Azrul.

“Yang Azrul nak pergi tadi?” tanya Ustaz Aziz yang diam sejak tadi membiarkan ayah Azrul melepaskan sedihnya.

“Jom kita ke sana,” kata Ustaz Hashim.

“Tapi kami dah putus hubungan,” kata ayah Azrul membuatkan kami berpandangan sesama sendiri.

“Kita ceritakan perkara ini dalam perjalanan kita ke sana,” kata Ustaz Hashim.

Ayah Azrul melangkah masuk ke dalam kereta dengan berat hati, sepertinya dia tak mahu pergi ke rumah adik perempuannya. Tapi dia tiada pilihan lain, aku pun tak tahu kenapa lambat sangat ayah balik semula ke sini. Aku cuba call ayah tapi tak jawab, aku message pun ayah tak balas.

“Kami sebenarnya memang tahu mak mewarisi saka ular dari arwah datuk. Mak adalah keturunan perempuan pertama kerana itu adalah permintaan arwah datuk ketika dia sedang nazak. Dan mak sanggup menerimanya demi nak lepaskan datuk. Masa mak nazak, semua adik perempuan taknak mewarisi saka tersebut. Kerana sayangkan mak, saya serah diri saya untuk jadi pewaris tapi mak kata tak boleh, dia nak anak perempuan juga. Jadi, kami ni lima beradik, dua orang lelaki iaitu saya dan abang sulung. Yang lain tiga lagi adik saya perempuan. Yang menjadi masalahnya, takde seorang pun adik perempuan saya sanggup mewarisinya. Sampai pada malam kematian mak, tiada siapa mewarisinya. Paling sedih adalah cara kematian mak, dia menjerit meracau seperti menahan sakit yang tak tertanggung. Saya sedih sangat. Tapi saya beih sedih bila takde seorang pun adik perempuan saya datang dan jenguk mak saya lepas menolak untuk menjadi pewaris, hinggalah mak saya meninggal dunia dan dikebumikan. Tak perlulah saya ceritakan bagaimana aibnya cara kematian mak saya, proses memandikan jenazahnya dan mengebumikannya. Betapa malunya saya pada orang kampung. Saya berjanji sejak itu, saya putus saudara dengan adik-adik perempuan saya, saya takkan jenguk mereka, takkan ambil tahu apa yang terjadi kepada mereka sepertimana mereka tak ambil tahu pasal mak kami,” kata Ayah Azrul semasa dalam perjalanan ke rumah adik perempuannya.

“Itu kisah lama, talian adik beradik takkan putus sampai bila-bila. Adakala perjanjian yang kita ungkap adalah kerana dendam. Dendam adalah milik syaitan yang bersumpah atas nama dendam terhadap Nabi Adam dan seluruh umatnya, hingga akhirat. Kita dah lihat angkara dendam, kenapa masih nak masuk ke dalamnya?” kata Ustaz Hashim.

Ayah Azrul tak jawab. Dia membelok ke sebuah rumah papan dua tingkat, setelah perjalanan kami lebih kurang lima minit. “Ini rumah salah seorang adik saya. Azrul biasanya pergi ke rumah adik perempuan saya yang keempat yang dia panggil Maklang, tapi tadi dia message katanya Maklang takde kat rumah, Jadi dia terus datang ke sini. Ini rumah adik perempuan saya yang kedua, Azrul panggil Makngah. Seorang lagi adik perempuan saya yang ketiga, Azrul panggil Mak Anjang tak tinggal di sini. Dia mengikut suaminya tinggal di Johor. Abang sulung saya tinggal di Melaka,” Kata ayah Azrul sambil membuka pintu dan keluar dari kereta.

Aku nampak kereta ayah aku ada di sana. Beberapa orang berdiri di luar rumah memerhati ke dalam rumah. Semua tingkap dan pintu bertutup rapat. Aku tak nampak ayah aku mahupun Azrul. Dada aku dah mula berdegup, rasa macam ada sesuatu sedang terjadi.

Aku keluar dari kereta. Aku perhati keliling. Dan sekali lagi, aku pernah lihat rumah ini. Aku pejamkan mata aku, cuba mengingatkan di mana aku tengok rumah ini. Yes! Dalam cerita blog yang ketiga, in rumah yang akan mengadakan majlis perkahwinan.

“Kenapa ni?” aku dengar Ustaz Hashim menegur beberapa lelaki yang  berdiri di situ setelah memberi salam.

“Ada bunyi orang menjerit kat dalam rumah ni. Tapi pintu tingkap semua tutup. Kami panggil, ada suara garau menyuruh kami pergi. Risau juga kot ada perkara buruk terjadi.” Kata salah seorang lelaki kat situ.

Ustaz Hashim memijak anak tangga rumah tersebut satu persatu hingga dia sampai ke muka pintu. Ustaz Hashim memegang daun pintu, pejamkan mata dan membaca sesuatu. Tiba-tiba je pintu terbuka. Ustaz Hashim tak terus masuk ke dalam rumah. Dia masih berdiri di muka pintu tu, meletakkan tangannya di telinga kanannya dan terus azan. Sayu je bunyinya.

Masa  tu la kami dengar bunyi raungan kuat memecah keheningan hari yang ketika itu lebih kurang pukul 12 tengahari. Lepas tu Ustaz Hashim memandang Ustaz Aziz, dan meminta Ustaz Aziz menanti di luar. Ustaz Aziz anggukkan kepala akur.

Ustaz Hashim menggamit aku menyuruh aku mengikutnya. Eh eh, panggillah Ustaz Aziz yang ikut, kan lebih baik sebab dia lebih tahu apa yang patut dia lakukan, ajak aku buat apa. Ustaz Aziz menepuk bahu aku bila melihat aku teragak-agak nak masuk ke dalam rumah tu.

“Pergilah, ada sebab kenapa kamu terpilih untuk semua ni,” kata Ustaz Aziz.

“Saya tak pandai, kan lebih baik ustaz je masuk,” kataku masih nak berdalih.

“Ada urusan lain yang saya perlu selesaikan kat luar ni,” kata Ustaz Aziz.

“Ayah Azrul? Biar dia je masuk,” kataku.

“Takpe, biar dia dengan saya kat sini,” kata Ustaz Aziz lagi.

Nak tak nak aku terpaksa akur. Aku melangkah perlahan menaiki tangga dan naik ke rumah tersebut. Aku nak juga tahu mana ayah aku, mana Azrul. Aku ikut Ustaz Hashim, rumah tu gelap sebab tingkap bertutup. Aku dapat dengar bunyi dengusan nafas beberapa orang tapi aku tak nampak sesiapa.

“Ayah? Azrul?” aku panggil perlahan.

“Rashid, ayah kat bilik dekat tangga,” aku dengar suara ayahku menyahut tapi dengan suara yang amat perlahan.

“Rashid, kamu ikut saya. Jangan ke mana-mana,” aku dengar suara Ustaz Hashim.

“Ustaz, ayah kata dia di bilik dekat tangga,” kataku.

“Bagaimana kamu yakin itu suara ayah kamu? Bukan jin yang nak menyesatkan?” tanya Ustaz Hashim. Aku terdiam. Jin boleh menyerupai suara manusia?

“Jin boleh perdaya kita dalam apa jua keadaan, itu kelebihan dia kerana dia tahu kelemahan setiap manusia,” kata Ustaz Hashim seperti dia dapat dengar hati aku berbisik.

Kecut perut aku bila Ustaz Hashim cakap macam tu. Maknanya ada jin dalam rumah ni. Dalam gelap ni, kalaulah jin tu duduk kat tepi aku, macammanalah agaknya kan. Dia pegang tangan aku. Euwww….

“Aku tahu kamu di sini, mencari pewaris yang tak sudi. Kau pulanglah ke tempat asalmu, pisahkan alam kamu dari alam kami kerana tempat kamu bukan di sini. Pulanglah dengan cara baik sebagaimana kamu diambil dengan cara baik juga.” Kata Ustaz Hashim dalam kesuraman tu.

Aku terasa ada benda terbang yang melintas kat depan aku. Benda tu macam tolak aku ke belakang sikit. Ustaz Hashim pegang bahu aku. Aku rasa macam aku nak pegang tangan Ustaz Hashim je, taknak lepas. Nanti aku dapat title lelaki penakut pula, segan pula aku nak berpegangan tangan dengan Ustaz Hashim dalam gelap tu.

“Aku minta kau pergi dengan baik, dan pulangkan semula jasad yang kau ambil. Mereka bukan hak kau, mereka hak Allah swt. Kau takkan menang berlawan dengan Pencipta kau sendiri, itu kau sendiri tahu,” kata Ustaz Hashim.

Aku dengar suara garau gelak mengekek. Bukan suara perempuan tadi. Sekarang suara lelaki.

“Mereka milik aku, kau yang tiada hak. Kau orang luar, kau tak tahu menahu siapa aku,” suara garau lelaki itu bergema perlahan, meremang bulu roma aku.

“Aku tahu kau siapa. Kau yang membuat janji asal dengan keturunan terdahulu. Kau gunakan keturunan ini untuk kau berada di alam ini. Tapi itu dulu, kini kau dah tak diperlukan. Pulanglah sebelum aku kurung kau sebagaimana ‘mainan’ kau dikurung. Andai kau pergi, kau masih boleh bersama masyarakat kau semula, tapi andai aku ‘kurung’ kau, kau takkan jumpa sesiapa hingga kiamat,” kata Ustaz Hashim, kali ni lebih tegas.

Aku dengar satu suara keluhan berat. Aku dengar bunyi hentakan kaki seseorang di dalam rumah tu, hentakan kaki itu seperti mundar mandir di dalam ruang tamu. Seketika kemudian bunyi langkah mundar mandir itu berhenti. Tiba-tiba aku dengar bunyi tapak kaki berlari, dan aku nampak macam ada seseorang berlari ke muka pintu.

“Ustaz Aziz, dia dah lari keluar. Tangkap dan kurung dia,” jerit Ustaz Hashim kuat sampai aku terkejut.

“Rashid, buka semua tingkap dan cari semua orang kat dalam rumah ni.” Kata Ustaz Hashim memberi arahan. Aku akur, teraba-raba mencari kunci tingkap rumah kampung tu. Kat rumah aku, mana ada tingkap macam ni. Jadi, terhegeh-hegeh juga la aku nak buka tingkap semua tu.

Lepas semua tingkap terbuka, aku nampak Ustaz Hashim berdiri tenang di satu tiang kat tengah rumah tu. Aku dengar bunyi rengusan nafas di bahagian alang rumah. Aku jenguk dan aku nampak seorang lelaki dengan bahu bertembung, kakinya pendek sebelah, matanya putih dan hampir tersembul keluar, sedang duduk dalam keadaan meniarap di atas kayu alang utama.

Itulah lelaki yang menimbulkan kekecohan kat rumah yang mengadakan majlis perkahwinan dalam cerita ketiga blog yang Hadi forward kat aku.

“Jangan pedulikan dia. Kamu pergi cari semua orang, bawa mereka keluar,” kata Ustaz Hashim tanpa membuka matanya.

Aku akur, aku melangkah ke bilik-bilik dan setiap sudut rumah walaupun aku tahu lelaki kat atas alang tu sedang memerhatikan aku. Kenapalah aku kena hadap benda ni semua. Dan akhirnya aku jumpa ayah aku dan Azrul di satu bilik, ada sepasang suami isteri dalam usia ayah aku kat dalam satu bilik lagi. Mereka semua dalam keadaan lemah, macam baru tersedar dari tidur yang panjang.

Aku panggil ayah aku, aku tepuk pipi Azrul. Mereka terpinga-pinga sambil gosok mata. Begitu juga dengan pasangan suami isteri di bilik satu lagi.

“Jom kita keluar dari rumah ni cepat,” kataku mengajak mereka semua keluar dari rumah tu. Dan mereka pun macam tak tahu apa yang dah terjadi, lalu mengikut aku keluar dari rumah berkenaan, di masa Ustaz Hashim masih berdiri dalam keadaan tadi dan lelaki pelik tu masih berada di atas alang rumah.

Kat luar rumah, aku nampak Ustaz Aziz sedang menekan kepala seorang gadis. Itulah gadis yang berlari keluar dari rumah tu tadi agaknya. Ayah Azrul pula memegang tangannya kerana dia meronta.

“Ustaz Hashim dah jumpa ketuanya.” Kata Ustaz Aziz kepada aku. Aku sekadar boleh angguk dan kata “ooooo…”

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s