BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 13

Awal subuh aku dah bangun. Aku tak berapa boleh lena. Macam-macam benda berada kat dalam kepala aku. Entah kenapa aku teringat kat Aqil. Sepatutnya Ikhwan yang aku perlu fikir. Lepas solat subuh, aku ke dapur. Mak dan ayah aku tengah sarapan.

“Siap dah?” ayah tanya sebaik dia nampak aku di muka pintu. Aku angguk je, terus duduk kat tepi mak aku, cedok bihun goreng.

“Kita ambil Ustaz Hashim, lepas tu terus pergi ke rumah Azrul tu.” kata ayah. Dan aku angguk juga.

“Kamu ni kenapa Rashid? Takde suara dah?” mak aku tanya.

“Entahlah mak. Rashid rasa macam tak sedap hati je. Teringat kat kawan-kawan Rashid. Hadi dan arwah Aqil,” kataku perlahan.

“Takde apalah. Ayah jumpa ayah Hadi masa solat subuh tadi, katanya Hadi makin sihat. Dah lalu makan, tak meracau dah,” kata ayah aku buat aku rasa gembira sikit.

“Iye ke ayah?” tanyaku dan ayah angguk kepala.

“Alhamdulillah. Maknanya betullah semuanya pasal saka ular tu. Tapi sebab Ustaz Aziz dah kurung benda tu, jadi benda tu dah tak boleh ganggu Hadi la,” kataku.

“Saka ular?” mak aku tanya, terbeliak matanya.

“Awak ni, orang kata sangkar ular, awak dengar saka ular. Dah, makan je. Tak payah sembang lagi,” kata ayah. Ayah pun bagi isyarat kat aku jangan cakap dah pasal tu.

Dan aku terus diam. Tapi betul-betul aku rasa terlepas satu beban lepas dengar Hadi dah semakin ok. Segalanya dengan izin Allah. Aku bersemangat balik nak pergi selesaikan hal kisah dalam blog tu.

Lepas sarapan, aku dan ayah keluar. Ayah memandu kereta Saganya, singgah kat rumah Ustaz Hashim untuk mengambilnya dan terus ke rumah Azrul. Di sana, Azrul, ayah Azrul dan Ustaz Aziz dah siap menunggu. Lepas semua dah bersedia, kami bergerak ke kampung Azrul, tempat di mana Azrul mengambil bakul mengkuang berisi keris tu.

Dengan dua biji kereta, kami masuk ke highway. Memandangkan hari ini adalah hari bekerja, tak banyak kenderaan sangat. Highway tu nampak lengang. Ayah dan Ustaz Hashim pun tak banyak berbual. Mereka dah selalu jumpa kat masjid, dah tak tahu nak sembang apa. Aku yang duduk kat kerusi belakang, membetulkan posisi untuk tidur.

Tengah sedap aku terlentuk mimpi dah entah sampai mana, aku tersedar bila ayah aku brek kereta. Terhantuk juga la kepala aku kat kerusi depan. Aku gosok kepala aku. Aku pandang kiri kanan, penuh dengan pokok kelapa sawit. Aku jenguk ke depan.

“Saya dah langgar dia ke ustaz?” tanya ayah aku.

“Entah. Tapi takde bunyi kita langgar apa-apapun, Cuma nampak dia melintas je,” kata Ustaz Hashim.

“Ayah langgar siapa?” tanyaku.

“Entah. Ayah rasa ayah tak langgar sesiapa tapi ayah dan ustaz nampak ada seorang lelaki bertutup kepala melintas depan kereta ni,” kata ayah aku.

Aku tengok ke depan. Ayah Azrul pun berhentikan kereta. Aku nampak Ustaz Aziz keluar dari kereta dan menghala ke arah kereta kami.

Lalu ayah aku dan Ustaz Hashim pun keluar dari kereta. Aku nampak mereka bercakap-cakap dengan wajah serius. Masing-masing memandang ke sekeliling seolah-olah mencari seseorang. Tak lama lepas tu, ayah Azrul pun keluar dari kereta dan turut serta dengan yang lain kat luar kereta. Aku jengukkan kepala aku keluar tingkap lalu pasang telinga.

“Salleh nampak ke juga lelaki tu tadi?” ayah aku tanya ayah Azrul.

“Haah, saya nampak. Tak tahu datang dari mana, tiba-tiba je melintas. Tapi mana dianya pun,” jawab ayah Azrul.

“Takpelah, kita teruskan perjalanan.” Kata Ustaz Aziz. Dan yang lain setuju lalu kembali ke kereta masing-masing.

Lebih kurang satu kilometer perjalanan, sekali lagi ayah aku brek mengejut. Kereta ayah aku nyaris-nyaris nak menghentam belakang kereta ayah Azrul. Tapi kali ni aku tak terhantuk sebab aku belum sempat lena lagi.

Ayah aku freekan gear dan tarik brek tangah. Lepas tu dia terus keluar dari kereta dan melangkah ke kereta ayah Azrul kat depan. Begitu juga dengan Ustaz Hashim.

“Kenapa?” ayah aku tanya.

Mereka semua memandang ke bahagian depan kereta ayah Azrul. Aku pun hilang sabar lalu terus keluar dari kereta juga. Aku nampak seorang lelaki terbaring di depan kereta ayah Azrul.

“Saya tak nampak pun dia tadi. Sedar-sedar dah kena langgar,” kata ayah Azrul.

“Kena panggil ambulan ni,” kata ayah aku.

Ustaz Hashim berbisik sesuatu kepada Ustaz Aziz dan Ustaz Aziz anggukkan kepala perlahan. Dahi masing-masing berkerut. Ustaz Hashim menghampiri lelaki tersebut. Dia memegang leher lelaki yang terbaring kaku di situ. Masa ni tiba-tiba lelaki itu bergerak perlahan lalu duduk dan memegang kepalanya.

“Kamu ok ke?” tanya ayah aku.

Lelaki itu hanya anggukkan kepala tapi tak angkat muka langsung. Dia tunduk je.

“Kamu dari mana? Pakcik tak nampak kamu tadi,” kata ayah Azrul.

Lelaki itu angkat tangan dan menunjukkan ke arah ladang kelapa sawit di sebelah kanan highway. Kami semua memandang ke sana. Hanya pokok kelapa sawit.

“Kamu dari sana?” tanya Ustaz Aziz. Lelaki itu mengangguk lagi.

“Jom kita ke hospital la. Takut ada apa-apa yang mudarat nanti,” kata ayah aku. Lelaki itu menggelengkan kepala.

“Nampak macam kamu cedera ni. Mana tau ada yang patah ke,” kata ayah Azrul pula.

Lelaki itu tak menyahut. Dia bangun perlahan-lahan dan melangkah perlahan sambil menyeret kakinya terus ke jalan sebelah sana dan menghilang ke dalam ladang kelapa sawit di sebelah kanan highway. Semua yang berada di situ berpandangan sesama sendiri. Lelaki itu cedera, kakinya mungkin patah tapi macammana dia boleh berjalan lagi dan terus masuk ke dalam ladang sana.

“Ada kampung ke seberang hutan ni?” tanya ayah aku kepada ayah Azrul.

“Sebelah sana rasanya memang ada kampung orang asli. Tapi saya pun tak pasti sebab selalunya balik kampung memang lalu sini, tak pernah pula la berhenti kat tengah highway macam ni. Kalau berhenti pun kat R&R la,” Kata ayah Azrul.

“Kita jalan terus,” tiba-tiba Ustaz Hashim bersuara. Ayah aku dan ayah Azrul pandang Ustaz Hashim.

“Lelaki tadi tu? Rasanya kecederaan dia teruk kot,” kata ayah Azrul.

“Dia takkan boleh berjalan dengan kecederaan yang begitu. Dia sekadar nak alihkan perhatian kita,” kata Ustaz Aziz.

Sedang mereka berbincang tu, aku nampak lelaki tadi sedang berdiri di bawah salah satu pokok kelapa sawit di dalam kebun kelapa sawit di sebelah kanan highway. Dia memandang ke arah kami yang sedang berkumpul di tengah highway sana. Aku cuit ayah aku, ayah aku pandang aku dan aku tunjukkan lelaki itu kepada ayah aku.

“Ayah, itu dia lelaki tadi kan?” tanyaku. Ayahku pandang ke arah lelaki yang aku tunjuk.

“Itu dia kan?” tanya ayah aku kepada ayah Azrul. Tak semena-mena ada angin sejuk meniup kami sampai menggigil.

Ketika ayah Azrul nak melangkah ke arah lelaki itu, Ustaz Aziz menahannya.

“Kita jalan terus. Lelaki itu bukan sama seperti yang abang fikir. Dia tak sama macam kita. Dia ada hal lain yang membuatkan dia tersekat di sini. Allah akan bantu dia. Jom kita selesaikan hal kita,” kata Ustaz Aziz.

“Iye, kita selesaikan urusan kita dulu. Hal dia, serahkan pada Allah. Andai Allah mengizinkan kita membantunya, kita akan bertemu semula dengannya nanti.” Kata Ustaz Hashim.

“Dah ustaz cakap macam tu, kami ikut je la.” Kata ayah Azrul sambil matanya tak lepas memandang kat lelaki itu.

Kami semua terus masuk ke kereta masing-masing dan kami berlalu pergi. Aku masih memandang lelaki itu, dia masih berdiri di situ. Aku diam seketika. Aku pejamkan mata, kenapa aku rasa macam dejavu je dengan lelaki tu. Macam aku pernah lalu kawasan ni, pernah bertembung dengan lelaki tu.

“Kenapa Rashid?” Ustaz Hashim tanya aku. Rupanya dari sana tadi dia memerhati aku.

“Saya rasa macam pernah lalu kat kawasan ni dan pernah bertembung dengan lelaki tu,” kataku.

“Kamu lalu highway ni nak ke mana? Ayah pun tak pernah lalu sini,” kata ayah aku sambil pandang aku kat cermin tengah, pandang aku yang kat belakang.

“Entah.” Jawabku ringkas.

“Cerita dari blog lagi ke?” tanya Ustaz Hashim meneka. Dan buat mata aku cerah terus.

Betul, aku ingat dah. Cerita kedua dalam blog yang Hadi forward kat aku. Memang inilah jalan dalam cerita tu. Ada kereta rosak dan lelaki itu yang membantu. Cuma dalam cerita tu, suasana gelap sebab malam sedangkan kami sekarang masih di siang hari.

Tapi siapa lelaki tu? Apa kena-mengena dengan dia dengan dua lagi cerita lain?

“Dah. Tak payah fikir lagi. Nanti kamu akan tahu juga,” kata Ustaz Hashim bila dia melihat aku menggosok kepala aku dah entah berapa kali.

Sejam kemudian, kami sampai ke sebuah rumah kampung. Cantik, tersusun dan kemas, mesti tuan rumah ni rajin orangnya. Dan aku dejavu lagi. Rumah itu aku pernah lihat, aku pernah masuk dalam rumah tu juga.

“Inilah rumah pusaka mak saya,” kata ayah Azrul. Azrul berdiri kat belakang ayahnya. Dia pun belum cukup pulih lagi, masih lemah. Tapi dia berdegil nak ikut.

“Kita masuk dalam rumah ni,” kata Ustaz Aziz.

“Tapi saya dah tak pernah masuk ke rumah ini sejak usia Azrul 3 tahun. Kali terakhir saya masuk rumah ni, Azrul terangkat ke siling dan ketawa seperti ada yang menggeleteknya. Masa tu dia hampir nak putus nafas. Mujurlah ada pakcik kat sini dulu datang dan cuba pulihkan keadaan. Katanya Azrul sedang bermain dengan neneknya sedangkan masa tu mak saya dah meninggal dunia. Sejak itu saya tak masuk ke rumah ini lagi,” kata ayah Azrul.

“Takpe, kali ini tak sama. Kita masuk. Kita selesaikan apa yang tak selesai.” Kata Ustaz Hashim.

“Ayah, Azrul tak berani nak masuk. Azrul pergi rumah Maklang boleh tak?” Azrul bersuara.

Ayah Azrul pandang Azrul dengan wajah serba salah. “Kamu boleh pergi sendiri ke rumah Maklang kamu?” tanya ayah Azrul.

“Boleh,” kata Azrul.

“Takpelah, abang pergi hantar dia dulu pun takpe,” kata Ustaz Aziz.

“Takpe, biar dia pergi sendiri.” Kata ayah Azrul tanpa memandang sesiapa di situ seperti ada sesuatu yang sedang disembunyikan.

“Kalau macam tu, biar saya yang hantarkan. Kami tahu jalannya?” tanya ayah aku.

Azrul pandang ayahnya, macam serba salah. Ayah Azrul tak pandang Azrul. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah kayu tu. Ayah aku pandang Ustaz Hashim.

“Kalau macam tu, abang pergilah hantar dia dulu. Kami masuk dulu, tengok-tengok kat dalam,” kata Ustaz Hashim. Aku pandang juga ke arah ayah Azrul, dia macam tak peduli dah kat anak dia. Tadi macam takut sangat nak masuk ke dalam rumah tu, tapi sekarang dia pula yang masuk ke dalam dulu.

Ayah aku pergi hantar Azrul ke rumah Maklangnya. Aku ikut Ustaz Hashim dan Ustaz Aziz masuk ke dalam rumah papan tu. Ketika aku menaiki tangga, baru aku teringat, inilah rumah pusaka opah Azrul dalam cerita pertama. Di tangga inilah Azrul mengambil bakul mengkuang berisi keris tu.

“Inikah rumah dalam cerita yang kamu baca tu?” tanya Ustaz Aziz. Aku mengangguk.

“Masuklah. Beritahu kami kalau ada apa-apa yang kamu baca dalam blog tu,” kata Ustaz Aziz lagi.

Aku masuk ke dalam rumah tu. Aku nampak kerusi rotan kat ruang tamu. Aku nampak bilik-bilik semua. Tapi aku lebih tertarik dengan bilik utama. Aku melangkah ke bilik tu. Ustaz Aziz mengikut aku. Baru je aku masuk ke dalam bilik tu, semua tingkap terbuka dan tertutup sendiri, macam ada angin sedang bertiup kencang. Kerusi rotan kat ruang tamu tadi bergoyang perlahan, terdengar bunyi air paip berpasang dan pinggan mangkuk berlaga-laga di bahagian dapur. Lampu di dalam rumah itupun sekejap menyala sekejap tidak padahal menurut kata ayah Azrul, rumah itu tiada bekalan air mahupun elektrik.

Aku kaku sekejap di antara pintu dengan katil. Aku nampak seorang perempuan, sedang duduk di hadapan meja solek, memakai baju kurung berwarna kuning, memandang aku yang berdiri di belakangnya melalui cermin.

Ustaz Aziz menarik aku keluar dari bilik utama tu.

“Dia ada kat dalam bilik ni,” katanya kepada Ustaz Hashim. Ustaz Hashim angguk tanda faham.

“Kamu pergi keluar, tunggu kat luar. Jangan masuk selagi kami tak panggil, faham?” kata Ustaz Hashim. Aku anggukkan kepala. Ustaz Hashim dan Ustaz Aziz masuk ke dalam bilik tu. Dan pintu bilik tu tertutup rapat. Pintu dan tingkap lain juga tertutup. Ah sudah, dalam gelap tu, aku nak ke mana? Maka, nak taknak terpaksalah aku meraba dinding mencari pintu untuk keluar dari rumah. Aku dengar bunyi paip air berbunyi kat dapur. Makin laju aku langkah kaki.

Melalui cahaya yang masuk dari lubang-lubang kecil dinding rumah itu, aku nampak seseorang berdiri muka pintu ke dapur. Aku taknak tengok, aku takut. Bulu roma aku meremang. Masa ni aku rasa nak panggil ayah aku. Aku ingat kalau aku ikut dua orang ustaz, aku tak payah rasa takut macam ni. Mana tahu mereka tinggalkan aku sendirian kat sini.

“Kamu nak ke mana?” tiba-tiba satu suara membisik ke telinga aku.

Aku tak menyahut. Kerusi rotan kat ruang tamu terus bergoyang laju seperti ada yang menghayunkannya.

“Berani kamu masuk rumah aku,” suara tadi membisikkan lagi, kali ini terasa makin rapat. Dengan kaki yang teramat berat, aku cuba juga melangkah. Aku ingat pesan Ustaz Hashim, makkluk dari alam lain ni, tak boleh buat apapun kat kita. Mereka hanya boleh perdaya kita tapi mereka tak mampu buat apa-apa selagi kita tak ikut mereka.

Tapi tak semudah itu. Kaki aku dah melekat ke lantai. Macammana nak melangkah? Macammana nak cari pintu? ‘Benda’ tu yang aku pun tak tahu macammana rupanya, sedang berdiri rapat dengan aku sambil berbisik ke telingaku, dapat aku dengar bunyi rengusan nafasnya. Nak menjerit pun aku tak daya. Mana pergi semua orang ni?

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s