BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 12

Selesai solat asar, aku duduk di satu kerusi di luar kawasan masjid bersama Ustaz Aziz. Aku ceritakan semuanya. Tiada tertinggal. Termasuk perkara yang aku alami semasa mula-mula aku kenal blog tu. Ustaz Aziz mendengar dengan penuh tekun.

Aku kagum dengan Ustaz Aziz ni. Selalunya orang masjid tak suka cerita-cerita media sosial budak sekarang. Mereka akan kecam habis-habisan. Buang masa la, kerja sia-sia la, macam-macam lagi. Tapi Ustaz Aziz ni mendengar dan percaya segala cerita aku.

“Ustaz percaya ke apa yang saya ceritakan ni?” tanyaku setelah habis bercerita.

“Kenapa pula tak percaya? Kamu tipu ke?” tanyanya semula.

“Saya tak tipu. Tapi kebanyakan orang termasuk ayah saya sendiri pada mulanya kata saya buat cerita je. Sampailah dia lihat sendiri toyol di dalam rumah saya, baru dia percaya. Pun dia masih marahkan saya,” kataku mengadu.

“Ada banyak perkara yang kita rasa mustahil dalam dunia ni tapi ia terjadi kerana Allah nak tunjuk, kalau Dia mahukan sesuatu tu terjadi, ia pasti terjadi. Kalau tidak, masakan Maryam boleh mengandungkan Nabi Isa a.s tanpa suami. Masakan Nabi Isa boleh bercakap sebaik dilahirkan,” kata Ustaz Aziz. Aku diam.

“Takpelah, kamu balik ke rumah kamu dulu. Esok kita pergi ke kampung opah Azrul. Saya tunggu kamu di sini ye. Jangan lambat, banyak urusan perlu diselesaikan. Tak boleh tangguh dah, sebab ‘dia’ dah tahu ‘mainannya’ dah dikurung. ‘Dia’ pasti akan cari sampai dapat walaupun terpaksa korbankan lebih banyak nyawa,” kata Ustaz Aziz sambil memandang jauh ke jalan raya di depan masjid.

Aku pun bangun dan berjalan ke arah motorsikal aku. Aku pakai topi keledar dan menghidupkan enjin motor. Aku tengok jam, pukul 5.30 petang dah. Aku keluar rumah awal pagi tadi. Ni sampai rumah mesti kena bebel dengan mak dan ayah aku ni. Tapi aku dah whatsapp kakak aku dah, beritahu aku kat mana. Harap-harap kakak aku dah beritahu mak aku la.

Sampai kat rumah, dah pukul 6.40 petang. Ayah aku dah berdiri kat pintu rumah. Cuak dah aku. Habis la aku kali ni. Aku berhenti dan matikan enjin motor kat luar pagar. Aku buka pintu pagar dan aku tolak motorsikal aku masuk ke dalam pagar dan parking kat tempat biasa. Aku tak berani pandang ayah aku. Dia masih berdiri kat pintu.

“Jadi, macammana? Selesai dah?” tanyanya buatkan aku pandang ayah aku. Wajah dia penuh kerisauan. Tiba-tiba aku insaf sebab salah sangka kat ayah aku.

“Rashid dah jumpa punca dalam cerita pertama Hadi. Sebab tu dia kata ada benda seperti ular menjalar dan berpaut kat kaki dia. Benda itu ialah saka ular, yang dibela dek orang terdahulu. Ada seorang ustaz kat sana yang tanam saka ular tu. Tapi ustaz tu kata, kena cari pemilik asal saka ular tu, baru segalanya tamat.” Kataku perlahan.

Ayah aku diam je.

“Rashid nak minta izin, esok Rashid nak ikut keluarga Azrul balik ke kampung opahnya, di mana dia dapat saka ular tu sebab nak cari pemilik asal benda tu. Boleh kan ayah,” tanyaku.

“Perlu ke kamu ikut?” tanya ayah pula, nampak riak risau di wajahnya.

“Sebab Rashid ada bayangan dengan rupa benda-benda kat dalam kisah di blog tu. Mana tahu ianya berkaitan. Lagipun, dah alang-alang Rashid dapat MC seminggu ni ayah. Apa salahnya menjenguk tempat orang. Boleh ye ayah,” kataku lagi.

“Hmmm…. Pergilah. Tapi tanya mak kau dulu. Dia risau sangat tu,” kata ayah aku sambil berjalan masuk ke rumah dan bersiap untuk ke masjid.

Aku pun ikut melangkah masuk. Mak aku kat dapur sedang memanaskan lauk. Kakak aku sedang basuh pinggan. Adik aku kat dalam bilik kot. Sebaik sahaja mak aku nampak aku, dia mula membebel dah.

“Kamu ke mana Rashid? Dari awal pagi sampai dah nak maghrib baru balik. Makan entah minum entah. Keluar dengan siapa pun mak tak tahu. Entah dah sampai mana pun mak tak tahu. Kamu tu baru je keluar dari wad. Itupun atas risiko sendiri. Kalau kamu jatuh ke apa ke, mesti hospital marah. Mak yang kat rumah ni, makan pun tak lalu teringat kat kau Rashid,” kata mak aku dengan sekali nafas, entah berapa harkat.

“Kan Rashid dah bagitahu Rashid ke mana. Cuma tempat tu jauh sikit, tu yang lambat sampai,” sahutku lalu duduk di meja makan. Aku tengok lauk yang mak aku hidang. Masak lemak cili api nenas dengan ikan masin, ayam goreng, ulam dan sambal belacan. Sedapnya, aku pun sebenarnya lapar ni.

Aku ambil seketul ayam goreng. Kakak aku tepuk tangan aku. “Pergilah mandi dulu. Kau tu entah datang dari mana, masuk rumah dah nak maghrib. Kau bukan pergi kejar hantu ke? Pergi mandi dulu, entah hantu apa pula kau bawa balik nanti,” kata kakak aku. Aku jegilkan mata kat kakak aku.

“Bagilah dia ambil sikit. Lapar tu,” kata mak. Aku jelirkan lidah aku kat kakak aku. Kakak aku jeling aku tajam sekali. Aku terus bangun dan mandi, siapkan diri dan solat maghrib.

Malam tu lepas solat isya’, aku terus masuk bilik. Aku mengantuk sangat, badan aku pun letih. Tadi sembang dengan mak, jawab semua soalannya mengalahkan sesi soal siasat polis pula, dah macam aku rompak bank besar dia punya soalan. Aku jawab dengan tenang dan lembut sebab aku nak minta izin nak pergi lebih jauh esok. Jadi tabahlah aku menjawab soalan mak aku. Nasib baik ayah aku ada, ayah tolong tapis soalan mak dan jawapan aku. Ayah taknak mak tahu terlalu banyak hal ni, sebab mak ada penyakit darah tinggi, kencing manis, mak tak boleh risau sangat.

Jadi aku kena yakinkan mak bahawa aku ok. Dan segalanya akan ok. Dan setelah berlalu ujian mak aku, barulah mak aku izinkan aku pergi esok. Itupun dengan berat hati. Tapi ayah kata ayah dah minta cuti esok, nak ikut aku. Aku pun terkejut juga, macammana ayah boleh nak ikut aku esok. Tapi takpelah, adalah aku teman.

Aku buka whatsapp group. Tiada sebarang perbualan. Apa dah jadi dengan kawan aku semua? Aku call Amirul. Tiada sahutan. Zaidi dan yang lainnya, semua pun tak jawab. Baru je aku letak telefon, Izat call aku balik. Cepat-cepat aku jawab.

“Izat, apa dah jadi dengan semua orang?” tanyaku.

“Kami semua diganggu lepas dapat audio message yang Ikram forward kat group tu. Zaidi tu hampir lemas kat dalam lif. Nasib baik ada orang jumpa dia. Masa jumpa dia, dia seperti tergantung kat tengah lif tu. Mujurlah pakcik tukang kebun kat pejabat dia yang jumpa dia, entah apa dibacanya, turunlah Zaidi tu dari tergantung. Aku pun sama, setiap kali balik rumah, ada perempuan tumpang kereta aku. Ikram pula setiap malam ada orang sepahkan dapur dia. Sian mak dia kena kemaskan setiap pagi. Macam-macam hal la.” Kata Izat.

“Pasal blog berangkai tu ke?” tanyaku lagi.

“Aku pun tak tahu. Mungkin kebetulan. Tapi kenapa semua tu jadi lepas kita dengar audio tu?” tanya Izat. Aku diam, tiada jawapan dan masih berfikir.

“Oklah Rashid. Aku pun nak tidur. Tak tahulah malam ni apa pula yang akan muncul. Doakan aku masih hidup pagi esok,” kata Izat dan terus letak telefon.

Aku baring di atas katil. Tekebil-kebil mata aku pandang siling rumah. Dan mataku berat. Tapi baru je mata aku nak terlena, kakak aku panggil. “Rashid, Hadi nak jumpa kau,”

Melompat aku dari katil dengar nama Hadi. Hadi? Dia bukan kat hospital ke? Dah sihat ke dia?

Aku jenguk ke luar tingkap dari bilik aku. Aku nampak Hadi berdiri di luar rumah aku. Pakai seluar jeans, dengan t-shirt dan baju sejuk dengan penutup kepala. Setahu aku Hadi tak pernah pakai baju macam tu.

Aku keluar dari bilik. “Betul ke itu Hadi?” aku tanya kakak aku yang sedang menanda buku anak muridnya kat satu sudut di ruang tamu.

“Iyelah, Hadi. Takkanlah akak tak kenal Hadi kot,” kata kakak aku tanpa memandang aku.

“Tapi Hadi kat hospital,” kataku masih was was.

“Dia dah keluar hospital kot,” kataku kakak aku lagi.

Aku tak jawab dah. Aku buka pintu dan keluar. Aku lihat Hadi, iye, dia memang Hadi. Tapi matanya merah.

“Hadi, kau bukan kat hospital ke? Bila kau keluar?” tanyaku. Hadi hanya tunduk dan menggigil macam orang ketagih dadah.

“Kau ok ke Hadi?” tanyaku lagi.

“Kau jangan masuk campur. Ini bukan urusan kau,” kata Hadi tapi suaranya lain macam. Garau sikit, macam orang sakit tekak.

“Masuk campur urusan siapa pula ni Hadi? Kau dah kenapa? Kalau hal blog tu, bukankah kau yang minta aku tolong selesaikan?” tanyaku.

Entah kenapa perasaan aku mengatakan itu bukan Hadi. Dia takkan datang ke rumah aku malam macam ni. Dia tak sihat. Dia masih di hospital. Dan Hadi tak bercakap tanpa pandang aku. Dia takkan tunduk dan cuba melarikan wajahnya begitu.

“Aku cuma nak pesan, kalau taknak dapat susah, jangan masuk campur,” kata Hadi lagi.

“Bila kau keluar hospital?” aku tanya sambil cuba memandang wajahnya. Tapi dia asyik melarikan wajahnya dari aku.

“Itu hal aku. Kau tak perlu tahu. Yang kau perlu tahu sekarang, kau jangan masuk campur kalau taknak susah,” Hadi berkata.

“Kalau aku masuk campur juga?” aku tanya. Dan tak semena-mena Hadi mengangkat tangannya dan mencekik leher aku. Terangkat kaki aku sikit. Kuat tenaganya. Lemas aku dibuatnya.

“Hoi!” tiba-tiba ayah aku menjerit dari mana entah. Ayah aku baru balik kenduri dari masjid agaknya, sebab tu dia balik lambat. Mendengar sergahan ayah aku, Hadi melepaskan aku dan berlari keluar pagar dan terus hilang. Ayah aku pula tergopoh gapah masuk ke dalam kawasan pagar. Kakak aku, adik aku dan mak aku menjenguk kat muka pintu.

“Kenapa Rashid?” tanya mak aku.

“Siapa tu?” ayah aku tanya.

“Hadi,” sahutku sambil memegang leher aku yang pedih dicekik Hadi tadi.

“Hadi?” tanya ayah aku. Aku anggukkan kepala.

“Haah ayah. Hadi datang tadi, dia suruh panggilkan Rashid, Hana pun panggillah,” kata kakak aku dengan wajah serba salah.

“Hadi kan kat hospital? Macammana pula dia boleh datang sini?” tanya ayah lagi.

Aku diam. Kakak aku pun diam.

“Dah, jom masuk,” kata ayah. Kami semua masuk ke rumah. Ayah kunci pagar.

“Jangan buka pintu kalau dengar orang ketuk lagi. Tadi Ustaz Hashim kata, ada yang sedang memerhati Rashid. Suruh kamu berhati-hati,” kata ayah.

“Siapa?” tanya mak aku.

“Entahlah, ni hal yang Rashid sedang buat ni la. Ada yang marah katanya,” kata ayah. Aku diam.

“Takpe, esok kita pergi. Selesaikan perkara ni secepat mungkin. Ustaz Hashim kata, kalau dia balik awal dari kuliah subuh esok, dia pun nak ikut sekali,” kata ayah. Aku diam je. Macam besar sangat je hal ni, sampai Ustaz Hashim pun nak ikut.

Aku masuk ke bilik aku. Aku jenguk ke luar tingkap. Aku masih nampak lelaki yang memakai baju dengan penutup di kepala tu, dia masih berdiri di bawah pokok besar tak jauh dari rumah aku, berdiri tegak memandang ke arah rumah aku. Aku cuba fokus, dari bentuk badannya aku tahu, itu bukan Hadi. Tapi siapa dia?

Aku tutup tingkap, tutup langsir. Mata aku yang mengantuk tadi, kini segar. Aku tengok jam, pukul 11 malam. Aku buka komputer, buka email. Ada empat email belum dibaca, semua tu adalah email yang Hadi forward kat aku sebelum dia masuk wad. Aku nak buka ke tak email tu. Kalau buka, entah makhluk apa yang keluar nanti. Kalau tak buka, mana tahu ada apa-apa tanda untuk aku cari jalan keluar dari hal ini.

Ok, aku buka email tu. Email yang Hadi dapat dari notification blog tu.

Email pertama: Dia ada di mana-mana. Kamu mengambil barangan miliknya. Pulangkan atau dia datang mencari kamu, dan kamu akan jadi sebahagian dari mereka.

Email kedua : Mereka makin ramai, tapi hanya satu jalan untuk hantar mereka kembali ke tempat mereka. Jalan itu adalah dia, yang datang dari alam satu lagi.

Email ketiga : Kamu telah melewatkan kepulangan mereka, menjadikan mereka makin kuat. Pembayang, ular, lebuhraya, pengantin.

Email keempat :

Aku belum sempat baca, ayah aku buka pintu bilik. “Sudahlah tu, tidur cepat. Esok nak keluar awal,” kata ayahku. Aku akur, terus tutup komputer, tak sempat buka email terakhir. Sayang juga ayah aku kat aku. Nampak jelas di wajah tuanya, dia risaukan aku. Ayah mana tak sayang anak weh.

Aku tutup lampu, terus baring kat katil. Namun fikiran aku masih memikirkan maksud email tu semua. ‘Jadi sebahagian dari mereka? Siapa mereka? Jalan itu ialah dia, dia datang dari alam satu lagi, siapa dia tu? Ular? Lebuhraya? Pengantin? Aku usap muka aku perlahan dan pejamkan mata.

Tiba-tiba aku rasa kaki aku sejuk. Aku buka mata. Aku nampak seorang perempuan tua sedang berdiri di kaki aku. Aku tarik kaki aku. Perempuan tua itu berdiri di awangan.

“Siapa kau?” aku beranikan diri bersuara walaupun amat payah suara itu nak keluar.

“Keris itu harta pusaka milik nenek moyangku. Pulangkan. Kau tiada hak, kau orang luar,” aku dengar suara perempuan tua itu terketar-ketar.

“Aku tiada kaitan dengan keris tu. Kau cari sendiri keris kau,” kataku.

Aku dengar perempuan tua itu mendengus marah. Matanya memandang tepat ke arah aku. Dan tiba-tiba aku nampak seorang lelaki dalam gambaran cerita ketiga, kakinya pendek sebelah, matanya putih, bahunya terpulas seperti bertembung di antara yang kanan dengan yang kiri. Meremang bulu roma aku masa ni.

“Aku pemilik asal keris itu. Pulangkan atau kau akan jadi sama seperti kawan kau,” kata lelaki itu. Aku terdiam. Aku dapat rasakan kaki aku tak boleh bergerak. Perempuan tua itu pula sedang berdiri di atas dada aku manakala lelaki itu sedang menekan kaki aku membuatkan aku menjerit kesakitan.

Dan tiba-tiba aku terasa pipi aku ditampar seseorang. Aku buka mata. Ayah dan mak aku sedang pandang aku. Bilik aku dah terang. Aku bangun, gosok mata berkali-kali, dan pandang keliling bilik. Perempuan tua dan lelaki pelik tadi tiada. Yang ada cuma mak dan ayah aku. Aku pandang mereka dengan wajah cuak. Ini mak dan ayah aku atau perempuan dan lelaki yang aku tengok tadi?

“Ayah ke ni?” aku tanya. Dan sekali lagi ayah aku tepuk pipi aku kiri dan kanan berkali-kali.

“Kau mimpi ni Rashid.” kata ayah.

“Mak risau tengok kamu ni Rashid.” Kata mak aku dengan suara macam nak menangis.

“Pergi ambil wudhu, buat solat sunat. Lepas tu tidur. Moga tiada yang ganggu lagi,” kata ayah lagi sambil mengajak mak aku keluar dari bilik aku.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s