BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 11

Lepas solat zohor, ayah Azrul balik dari masjid dan membawa bersamanya seorang lelaki memakai seluar slack hitam dengan baju melayu johor berwarna biru dan berkopiah putih. Mak Azrul menyambut kehadiran tetamu dan menjemputnya masuk ke dalam rumah.

“Inilah Ustaz Aziz,” kata mak Azrul memperkenalkan lelaki itu kepada aku. Aku bersalaman dengan Ustaz Aziz. Aku selalu bayangkan seorang ustaz mestilah seorang yang dah seusia ayah aku, berpakaian jubah putih dan berjanggut panjang. Tapi Ustaz Aziz ni lain, aku rasa dalam usia 30-an je. Hensem orangnya, manis senyumannya.

“Inilah orangnya yang saya kata tahu kisah anak saya melalui blog yang dibacanya,” kata ayah Azrul sambil menunjukkan aku kepada Ustaz Aziz.

Ustaz Aziz senyum memandang aku. “Suka baca blog ye?” tanyanya. Dan aku mengangguk kepala tanpa suara, segan pula bila ditanya begitu.

“Saya pun suka. Saya banyak membaca blog juga. Banyak ilmu dan pengalaman yang kita boleh dapat dari blog,” kata Ustaz Aziz membuatkan hilang sikit rasa segan aku pada dia. Maknanya dia tahu pasal blog, dan media sosial semua ni.

“Cuma saya pelik, macammana blog penulisan orang biasa macam kita boleh menceritakan suatu kisah sebenar, hingga membawa dia kepada kami di sini,” kata ayah Azrul.

“Itu rahsia Allah. Tiada yang kebetulan, segalanya telah ditentukan. Sedangkan dalam Al Quran pun dah tertulis dari mula hinggalah penghujung dunia. Dari zaman jahiliha, zaman nabi, hingga zaman moden, zaman dajjal, zaman Nabi Isa turun semula, zaman Iman Mahadi, zaman kehancuran muka bumi, segalanya dah tertulis. Allah dah atur baik susunannya. Tak perlu rasa pelik, kerana semua ni aturan Allah,” kata Ustaz Aziz dengan tenang.

Ayah Azrul menganggukkan kepalanya.

“Jom kita ke bilik Azrul. Harap-harap ada jalan penyelesaian untuk keluar dari masalah ni.” kata ayah Azrul.

Ustaz Aziz akur dan mengikut langkah ayah Azrul ke bilik Azrul. Aku pun ikut sekali. Kelihatan Azrul sedang berbaring di bawah katil. Dia seperti ketakutan.

“Azrul, ni Ustaz Aziz datang. Keluar dari bawah katil tu,” kata ayah Azrul sambil tunduk ke bawah katil.

Ustaz Azrul melangkah mengeliling bilik itu sambil mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Matanya melilau melihat sekeliling. Ustaz Aziz menghampiri tingkap dan membukanya membuatkan bilik itu terang dengan sinaran cahaya matahari. Dan tak semena-mena Azrul yang berada di bawah katil menjerit seperti kesakitan.

“Azrul, kenapa kamu menjerit? Sakit ke? Cepatlah keluar dari bawah katil tu. Kenapa kamu masih di situ?” kata mak Azrul pula menjenguk ke bawah katil melihat Azrul.

“Azrul, ni Ustaz Aziz. Kamu kenal dia. Kan bulan lepas dia ada datang jenguk kamu. Marilah keluar, jangan takut,” kata ayah Azrul pula memujuk.

Azrul tak bergerak tapi terdengar bunyi desiran ular keluar dari mulutnya.

“Takpelah kalau dia taknak keluar. Mana bakul mengkuang tu?” tanya Ustaz Aziz.

Ayah Azrul mengambil bakul yang terletak di atas almari. Dan aku dapat dengar dengan jelas bunyi desiran ular makin kuat. Seram sejuk pula aku mendengarnya. Dah la aku memang takut ular, tapi bila tahu bunyi tu datang dari manusia, lagi la aku seram sejuk.

Ustaz Aziz mengambil bakul itu lalu membukanya. Dalam bakul itu kosong. Ustaz Aziz pandang aku.

“Sepatutnya dalam bakul tu ada sebilah keris dengan sarungnya sekali,” sahutku macam faham dengan pandangan Ustaz Aziz. Dan Ustaz Aziz anggukkan kepala.

“Mungkin inilah yang pernah saya katakan dulu, dia dah ambil barang yang tak sepatutnya.” Kata Ustaz Aziz.

“Itulah, saya yakin saya dah buang bakul tu. Tapi memang saya tak sangka bakul tu kembali ke sini,” kata ayah Azrul.

“Kerana bakul ini bukan sebarangan bakul. Tak boleh dibuang begitu saja. Kena betul dengan caranya.” Kata Ustaz Aziz.

“Bakul ini tiada apa-apa sebenarnya. Tapi keris di dalamnya tu. Di mata kita, ia adalah keris. Tapi sebenarnya ia bukanlah keris, ia adalah jelmaan dari sesuatu yang dah menjaga keluarga ini sejak beberapa keturunan yang lepas. Abang pasti tahu pasal ni kan?” kata Ustaz Aziz sambil bertanyakan kepada ayah Azrul.

Ayah Azrul diam sekejap, mungkin berfikir.

“Dulu datuk saya seorang renjer hutan. Dia selalu masuk hutan kerana bertugas di sana. Setiap kali dia masuk ke hutan, dia akan bawa keris ni. Katanya keris itu adalah pendindingnya andai diserang haiwan buas atau berbisa ketika dia bertugas di dalam hutan. Setiap hari malam Rabu, datuk akan duduk dalam biliknya dan memperasapkan keris ni. Katanya keris lama perlu diperasapkan selalu, barulah keris itu tak hilang kekuatannya. Pada masa dia nazak, dia minta seseorang menjagakan keris tu. Katanya keris tu adalah keris pusaka turun temurun dari keluarga kami yang terdahulu. Mak saya sebagai anak sulung, secara sukarela mengambil keris itu. Masa tu ayah saya dah meninggal dunia. Sejak mak saya mengambil keris itu, bermacam-macam perkara aneh terjadi kat dalam rumah. Ada masa kami dengar bunyi ribut petir kat luar rumah, bila buka tingkap, keadaan tenang je. Bila kami tidur malam, kami dengar bunyi orang sedang makan di dapur, bila kami tengok, semua pinggan mangkuk berselerakan padahal kami dah kemas. Paling selalu, kami nampak ular hitam besar dalam rumah. Adik bongsu saya sampai demam sebab terkejut nampak ular kat dalam biliknya.” Kata ayah Azrul mengupas sejarah keris itu.

“Mak saya pula makin tak pedulikan kami. Sering bertapa dalam bilik bersama keris tu. Selalu je bau kemenyan dalam rumah kami. Satu hari adik mak saya panggilkan ustaz. Ustaz tu kata, keturunan kami dijaga oleh saka keturunan. Ketika berada di dalam jagaan datuk, saka keturunan itu adalah jelmaan seekor ular hitam. Ustaz kata agak susah nak buang sebab dah terlalu lama dalam keluarga saya hingga dah sebati dan dah jadi macam sebahgian keluarga kami. Ustaz kata kita berusaha membuangnya. Tapi mak saya tak izinkan. Katanya dia akan jaga amanat datuk hingga ke akhir hayatnya. Puas dah kami pujuk mak tapi mak tetap dengan keputusannya. Hinggalah mak menghembuskan nafasnya yang terakhir, tiada siapa yang sudi menerima keris pusaka itu. Rumah mak pun tiada siapa yang berani jenguk, sebab rumah tu seperti ada yang menjaganya. Dan beberapa penduduk kampung pernah nampak mak sedang berjalan-jalan di dalam rumah tu. Kalau mereka cuba menghampiri rumah tu, rupa mak akan bertukar seperti seekor ular. Sebab tu sampai sekarang tiada siapa berani menghampiri rumah mak.” Kata ayah Azrul, ada nada sebak di dalam suaranya.

“Sampailah satu hari tu, Azrul kata dia nak pergi ke rumah kakak saya yang tinggal tak jauh dari situ. Saya memang tak pernah ceritakan hal ini kepada Azrul sebab saya rasa dia tak perlu tahu. Cerita ini hanya membuka aib keluarga. Tapi saya tak pernah rahsiakan pasal rumah neneknya. Mana tahu hari tu dia pergi ke sana dan ambil bakul tu. Setahu saya bakul tu berada di dalam bilik mak saya dalam rumah tu, tapi Azrul kata dia jumpa bakul tu di luar rumah dekat tangga. Siapa yang mengeluarkannya saya pun tak pasti.” Kata ayah Azrul.

“Mungkin saka tu sedang mencari tuan baru. Tapi Azrul bukanlah tuan yang layak kerana dia masih terlalu muda dan tak tahu menahu tentang hal ini. Keris itu perlu diperasapkan dengan kemenyan mengikut tempoh yang ditetapkan. Itu adalah somboliknya saja. Tapi sebenarnya itulah ritual untuk memberi makan kepada jin atau saka tu,” kata Ustaz Aziz.

“Jadi, macammana sekarang ni ustaz? Boleh ke kita pulangkan balik keris tu ke rumah mak saya?” tanya ayah Azrul lagi.

Sedang mereka bersembang, aku nampak Azrul melingkar keluar dari bawah katil. Bahagian kepalanya saja yang seperti manusia sedangkan bahagian bahu ke kaki dah menyerupai seekor ular.

“Ustaz. Tengok Azrul,” jeritku.

Mak Azrul yang duduk di tepi katil dan dari tadi asyik mendengar cerita ayah Azrul, pun menjerit dan melompat bangun.

“Saya minta abang bawa kakak keluar dari bilik ni. Takut dia tak kuat semangat.” Kata Ustaz Aziz. “Takpe, saya keluar dulu,” kata mak Azrul sambil melangkah keluar tanpa menunggu ayah Azrul membawanya keluar.

“Tolong tutup pintu tu Rashid, jangan biar Azrul keluar,” kata Ustaz Aziz.

Aku cepat-cepat tutup pintu rapat. Aku pun seram sejuk melihat ular berkepala manusia yang sedang melingkar kat dalam bilik tu. Mujur bilik tu besar, kalau tak, aku dah lari keluar.

Ustaz Aziz melangkah ke arah Azrul. Beberapa kali jelmaan ular itu cuba membelit kaki Ustaz Aziz, namun dia tak berjaya. Ustaz Aziz melaungkan azan dan pada masa ni jelmaan ular itu menjalar masuk semula ke bawah katil.

Kat luar rumah, angin bertiup kuat seperti mampu mencabut pokok kelapa. Dedaun tingkap terbuka dan tertutup ditiup angin. Bunyi deruan angin tu macam nak terbang rumah. Tak pernah lagi aku alami angin kencang macam ni. Kat luar bilik pula, dengar macam bunyi benda pecah. Mula-mula ayah Azrul nak keluar melihat isterinya tapi dihalang oleh Ustaz Aziz. Ustaz Azizi kata itu semua hanya untuk mengalihkan perhatian kami. Tiada angin pun sebenarnya, tiada apa yang pecah. Jin itu cuba menipu minda kami di situ seperti yang dia dah buat selama benda tu berada di dalam rumah ni, dan keturunan-keturunan terdahulu.

Oleh itu aku dan ayah Azrul berusaha sedaya upaya menepis semua perasaan tu. Walaupun kami dapat rasakan seperti ada kuasa lain yang berada di dalam bilik tu bersama kami. Memerhatikan kami dengan wajah marah. Ustaz Aziz kata, jangan pedulikan. Teruskan berzikir. Jangan sampai, jin jahat itu berjaya memasuki minda dan hati kami.

“Rashid, ambil bakul tu letak di atas katil. Abang, tunggu di sebelah katil sana dan saya tunggu di sebelah sini. Kalau nampak kepala Azrul di sana, abang tarik dia keluar, boleh?” tanya Ustaz Aziz. Ayah Azrul mengangguk perlahan.

Ustaz Aziz berdiri di tepi katil, membacakan beberapa surah Al Quran. Lama juga dia dalam keadaan itu, hingga ada satu ketika aku nampak muka Ustaz Aziz berkerut seperti menahan sakit.

Tak lama kemudian, ayah Azrul menjerit. Dia tunduk ke bawah katil dan menarik sesuatu. Rupanya dia menarik Azrul dari bawah katil seperti yang disuruh oleh Ustaz Aziz sebentar tadi. Aku nampak Azrul tak sedarkan diri. Tapi rupanya tak macam tadi dah. Dia macam orang biasa, dan badannya pun dah tak berlendir hitam macam aku mula-mula datang tadi.

Ustaz Aziz tunduk ke bawah katil dan menarik sesuatu. Aku nampak sebilah keris di tangannya. “Rashid, buka penutup bakul tu.” kata Ustaz Aziz. Aku pun cepat-cepat buka bakul itu dan menghalakannya kepada Ustaz Aziz. Dia lalu memasukkan keris itu ke dalam bakul dan aku tutup terus. Bakul itu bergoncang dan aku hampir melepaskannya dari pegangan aku. Mujur Ustaz Aziz dengan tangkas mengambil bakul berkenaan dan membalutnya dengan kain hitam yang dia dah sedia bawa dari tadi. Berasap kain hitam tu aku tengok.

Ustaz Aziz membuka pintu dan terus membawa bakul itu keluar dari rumah. Dia terus ke bahagian belakang rumah. Dia suruh aku ikut dia. Kat belakang rumah, dia suruh aku cari cangkul, jenuh juga aku pusing rumah tu cari cangkul. Maklumlah rumah orang, mana aku tahu mereka simpan cangkul kat mana.

Sampailah mak Azrul muncul dari dapur dan tanya kami cari apa. Dan dia terus ambil cangkul dari stor di bahagian tepi rumah mereka.

Ustaz Aziz suruh aku korek lubang separas peha. Bayangkan aku kena korek tanah pada masa tu, dah la aku tak pernah korek tanah. Paling dalam pun tolong mak aku korek untuk dia tanah pokok bunga dia. Dekat setengah jam juga aku mengorek tanah kat situ.

Lepas siap, Ustaz Aziz memasukkan bakul yang dah dibalut dengan kain hitam itu ke dalamnya dan disepanjang masa bakul itu bergoncang dan berasap. Dan aku dapat dengar dengan jelas bunyi desiran ular di keliling kami. Ustaz Aziz nampak tenang je, aku je yang berpusing kiri kanan mana tahu kot-kot ular tu kat kepala aku ke. Fuh! Nasib baik Ustaz Aziz suruh aku korek lubang, kalau dia suruh aku pegang bakul tu, memang aku tak sanggup.

Setelah selesai menanam bakul tersebut, Ustaz Aziz menyusun empat biji bata dan meletakkan satu pasu yang agak besar di atasnya. Lepas tu dia menadahkan tangan dan membaca sesuatu dengan perlahan. Aku dapat dengar sikit-sikit, seperti bacaan talkin. Tapi takkanlah dia baca talkin untuk kebumikan ular kan.

Setelah selesai urusannya di situ, dia mengajak aku kembali ke bilik Azrul. Ayah Azrul dah baringkan dia di atas katil. Ustaz Aziz meminta segelas air kosong lalu membacakan Al Fatihah dan 4 Qul. Sedikit air itu di siram ke tapak tangannya lalu di sapu ke muka Azrul. Azrul bergerak sedikit dan membuka matanya perlahan. Lepas tu dia terbatuk-batuk. Ustaz Aziz menyuruhnya minum air dari gelas yang sama. Lepas minum, Azrul muntah. Keluarlah benda-benda kotor. Bahkan ada katak juga. Aku yang tengok pun dah rasa nak muntah.

“Inilah yang jin tu makan sepanjang berada dalam tubuh kamu.” Kata Ustaz Aziz.

“Semua dah ok ke ustaz?” tanya ayah Azrul.

“Belum lagi. Banyak lagi yang belum selesai. Saya tak hapuskan benda tu, saya cuma kurung. Dan kita baru mengurung saka belaan, kita belum jumpa empunya asal saka berkenaan. Dia pastinya lebih kuat,” kata Ustaz Aziz sambil menggosok belakang Azrul yang masih lemah.

“Lepas ni bawa dia ke hospital. Dia terlalu lemah. Dah selesai hal Azrul, kita selesaikan hal kat kampung abang. Abang bawa saya ke sana boleh? Sebab saya perlu cari tuan asal saka berkenaan sebelum dia mengganggu orang lain. Lepas ni dia pasti akan mengamuk sebab kita dah kurung barang belaannya. Abang pula jangan sesekali mengalihkan pasu bunga yang bertanam pokok kunyit kat belakang rumah. Kalau perlu, boleh simenkan habis halaman belakang rumah supaya tiada yang terkorek tanah di situ sebab saya kurungkan dia di situ.” Kata Ustaz Aziz. Ayah Azrul hanya anggukkan kepala.

Aku tak tahu perasaan ayah Azrul, tapi kalau aku, aku pindah rumah terus. Macammana nak teruskan kehidupan dan buat-buat lupa bahawa ada ‘sesuatu’ yang tertanam di belakang rumah kita? Dan aku kena rekod alamat rumah ni, supaya aku takkan datang lagi. No. 70, Jalan Mutiara, Serdang. Aku takkan datang.

“Ustaz, saya nak ikut sekali boleh ke? Sebab saya mungkin boleh mengecam watak-watak cerita dalam blog tu. Sebab saya rasa semua cerita dalam blog tersebut berkaitan,” kataku, semakin teruja nak tahu kisah seterusnya di alam nyata ni.

“Dah nak masuk waktu asar ni. Jom kita solat asar  di masjid. Lepas tu kamu ceritakan semua cerita yang kamu dah baca kat blog tu kat saya. Mana tahu ada klu di sana.” Kata Ustaz Aziz.

“Boleh ustaz. Tapi lepas tu saya kena balik rumah dulu. Saya dah keluar dari rumah dari pagi tadi. Mak saya mesti risau sebab baru semalam je saya keluar wad. Tapi esok saya datang lagi sebab saya masih dalam cuti MC,” kataku.

“Kenapa kamu masuk wad?” tanya Ustaz Aziz.

“Panjang ceritanya ustaz. Semua pun gara-gara blog ni. Nantilah saya ceritakan semuanya,” kataku lagi.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s