BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 10

Setelah meredah jalan raya selama setengah jam, aku sampai di sebuah rumah banglo dua tingkat. Rumah itu kelihatan suram je. Aku tak nampak sesiapa. Aku berhentikan motorsikal di depan pagar rumah tu. Aku turunkan tongkat motor dan turun dari motor. Aku melangkah ke pintu pagar. Dari pintu pagar aku nampak ada dua buah kereta yang diparking di halaman rumah.

Aku bagi salam, tiada yang menyahut. Aku cari suis loceng kat tepi pintu pagar. Aku tekan sekali, dua kali, tiga kali, lepas tu aku berhenti. Baru je aku nak pergi semula ke motor aku, aku nampak seseorang berdiri di balkoni tingkat dua rumah itu. Seorang lelaki dalam usia 50an.

“Assalamualaikum Pakcik,” sapaku.

“Waalaikumussalam. Cari siapa?” tanyanya dengan wajah yang agak serius tapi penuh tanda tanya.

“Saya mencari kawan lama. Saya dapat tahu alamatnya di sini. Tapi saya tak pasti samada kawan lama saya tu masih tinggal di sini atau dah pindah ke tempat lain,” kataku berdalih. Tak semena-mena je idea berbohong tu datang. Sebab sebenarnya aku pun tak tahu nak jumpa siapa kat situ. Aku cuma ikut alamat yang tertulis kat tapak tangan aku je. Bohong sunat takpe kot.

“Pakcik memang penduduk asal rumah ni, tak pernah ada orang sebelum pakcik dan pakcik tak pernah pindah sampai sekarang,” kata pakcik tu lagi. Ah sudah, apa pula alasan aku nak bagi.

“Siapa nama kawan kamu?” pakcik tu tanya lagi bila dia tengok aku diam memandang tanah.

“Saya dah tak ingat pakcik. Kawan masa sekolah dulu. Ada kawan beritahu dia sakit. Saya tak rapat dengan dia, tapi saja la datang menjenguk sebab dah alang-alang lalu kat sini tadi,” kataku, dalih lagi. Kalau dalih kali ni tak berjaya juga, aku kena la minta mengundurkan diri. Kang tak pasal-pasal kena kejar dengan penyapu pula. Itupun nasib baik penyapu, buatnya kena kejar dengan pistol? Kot mereka ingat aku nak rompak rumah mereka. Lain yang aku nak buat, lain pula yang jadi nanti.

Tiba-tiba pintu pagar rumah tu terbuka sendiri. Dup dap juga jantung aku.

“Masuklah,” pakcik tu panggil aku. Berdebar pula dada aku. Dalih aku tadi dah mengena ke? Atau pakcik tu dah tahu aku menipu? Sekarang ni nak masuk ke nak lari balik?

“Kenapa berdiri lagi kat sana? Masuklah, jangan takut,” kata pakcik tu lagi. Masa ni dia dah turun ke tingkat bawah, dia berdiri di muka pintu utama.

Dan aku beranikan diri melangkah masuk ke rumah tersebut. Cantik, dari dekorasi sampailah kepada kekemasannya. Aku terus melangkah menghampiri pakcik tu yang masih berdiri di muka pintu. Aku bersalaman dengan pakcik tu. Dia mengajak aku masuk ke dalam rumah dan terus duduk di ruang tamu.

Seketika kemudian, datang seorang perempuan dalam usia lebih kurang pakcik tadi.

“Kawan Azrul ke?” tanyanya sambil tersenyum. Aku pulak terpinga-pinga, siapa pula Azrul ni? Tapi demi nak menunjukkan aku kenal seseorang dalam rumah ni, aku anggukkan kepala.

“Sejak dia sakit, takde kawan yang datang jenguk dia. Kamu la orang pertama,” kata makcik tadi. Aku agak makcik tu isteri pakcik tadi la kot.

“Dia sakit apa makcik?” tanyaku memberanikan diri.

“Entahlah, dah puas kami berubat. Badannya jadi lembik dan meliuk lentuk seperti seeokor ular. Badannya pun macam bersisik hitam.” Kata makcik tu memberitahu aku dengan wajah yang murung.

Aku mengerutkan dahi. Bukan sebab tak faham apa yang makcik tu beritahu aku tapi aku tengah cari apa kena-mengena penyakit Azrul tu dengan cerita dalam blog yang Hadi baca.

“Siapa beritahu kamu Azrul sakit?” tiba-tiba je pakcik tadi bertanya soalan cepu emas kat aku yang masih memerah otak mengalahkan orang nak ambil peperiksaan STPM.

“Ada seorang kawan lain. Dia pun dengar dari orang lain,” jawabku pantas, jawapan selamat kononnya.

“Tapi rasanya tiada siapa tahu pasal Azrul sakit sebab tiada siapa datang melawat dia. Dan cerita pasal dia sakit pun kami tak pernah maklumkan kepada sesiapa, walaupun orang kat kawasan ni sendiri,” kata pakcik tu dengan muka yang mula curiga dengan jawapan-jawapan yang aku beri.

“Saya tak tahulah dia dapat tahu dari mana. Hmmm….. Boleh saya tengok Azrul tak pakcik?” tanyaku cuba menukar topik.

“Boleh, mari makcik tunjukkan biliknya. Dia memang berkurung je dalam bilik.” Kata makcik tadi sambil mengajak aku mengikutnya. Aku pandang pakcik tadi dan anggukkan kepala meminta izin untuk mengikut makcik ke bilik Azrul. Dia pandang aku semacam je, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas balik. Kecil besar je matanya pandang aku. Cuak gak aku, mengalahkan ayah aku. Atau memang semua ayah-ayah memang macam ni ke?

“Makcik dan pakcik ni mak dan ayah Azrul ke?” tanyaku masa mengikut belakang makcik tu.

“Iye. Sekarang kamilah yang jaga dia. Nasib baik pakcik tu dah pencen,” kata makcik tu lagi.

“Azrul takde adik beradik lain ke makcik?” tanyaku.

“Dialah satu-satunya anak kami. Sebab tu kami sedih sangat bila dia jadi macam tu. Dah puas kami berubat, tapi dia masih macam tu,” kata makcik tu lagi. Dan aku diam. Tak tahu nak tanya apa walapun masih banyak persoalan dalam kepala aku. Takut nanti soalan aku memecahkan rahsia bahawa aku bukanlah kawan anak mereka. Dan yang paling penting sekarang, Azrul ni siapa?

Sampai di satu pintu bilik, makcik tu menolak pintu bilik. Bilik tu gelap, hanya sedikit samar-samar dari cahaya yang masuk dari lubang-lubang tingkap dan bebunga batu di atas tingkap. Makcik tadi masuk ke dalam bilik, aku masih di luar bilik, melilau melihat ke dalam bilik.

“Azrul, kat mana kamu nak? Ni ada kawan datang melawat ni. Cuba tengok,” kata makcik tu sambil melangkah ke tingkap lalu membukanya, baru ada cahaya. Dan serentak dengan itu aku terdengar suara mengeluh berat. Aku pandang ke arah bunyi itu.

Di atas lantai tepi katil, aku nampak satu susuk tubuh yang sedang bergerak-gerak. Aku pandang betul-betul. Seorang lelaki dalam usia aku memakai baju t-shirt putih dengan seluar track-suit paras lutut. Dia meniarap di lantai dan bergerak meliuk lentuk laksana seekor ular. Aku betul-betul rasa seram semacam masa tu.

Makcik tadi menghampiri lelaki yang meniarap di lantai tu. “Inilah Azrul, anak makcik,” kata makcik tadi sambil duduk di tepi Azrul. Aku nampak Azrul membaringkan kepalanya di riba makcik tu.

“Marilah sini, jangan takut, dia tak bahaya,” kata Mak Azrul. Aku terus melangkah ke arah mereka dua beranak. Semakin aku rapat, aku dapat lihat kaki Azrul seperti tercantum, tangannya tegak di sisi. Kulitnya tangan dan kakinya kelihatan berlendir dan berwarna hitam. Namun begitu, wajahnya tiada cacat cela, sama seperti manusia biasa.

“Dah berapa lama dia macam ni makcik?” tanyaku.

“Dah sebulan lebih, sejak dia balik dari kampung,” kata Mak Azrul. Azrul pandang aku dan tiba-tiba aku teringat kat Hadi. Hadi kata malam dia baca cerita pertama, dia nampak benda semacam ular kat ruang tamu rumahnya. Dan hingga masa aku jumpa dia haritu, aku ternampak bayangan seperti sesuatu yang panjang mengikut kakinya.

Cerita pertama Hadi, wataknya bernama Azrul. Yes! Aku rasa aku dah jumpa satu watak dari kisah yang Hadi baca.

“Makcik, dia balik kampung melawat rumah pusaka opahnya kan? Kat sana dia tinggal dia rumah Maklangnya. Dan masa dia balik, dia ada ambil satu bakul yang dianyam dari daun mengkuang dari rumah pusaka opahnya? Dan dalam bakul tu ada sebilah keris sekali dengan sarungnya yang terukir cantik?” tanyaku bertalu-talu, hingga lupa aku tiada siapa mengenali aku di rumah ini.  Mak Azrul dan Azrul melopong memandang aku.

“Siapa ni mak?” Azrul bertanya. Eh, boleh bercakap rupanya. Entah kenapa aku sangka dia tak boleh bercakap macam Ikhwan, adik Aqil.

“Dia kata kawan lama kamu,” sahut Mak Azrul.

“Azrul tak berapa cam dia la. Kawan aku masa sekolah menengah ke?” Azrul tanya sambil pandang aku.

“Mana kau tahu semua cerita tu?” tiba-tiba pakcik tadi, iaitu ayah Azrul bersuara di muka pintu kat belakang aku. Berderau lagi darah aku akibat terkejut.

Azrul pula bergerak seolah ular menjalar merapati aku. Aku rasa macam nak lari dah. Seram pun ada, geli pun aku. Aku takut ular.

“Aku rasa aku tak kenal kau,” kata Azrul ketika dia bertentangan mata dengan aku, aku perasan ada lidah hitam bercabang keluar masuk dari mulutnya. Euuuwwwww……! Aku cuba bertahan.

“Kamu ni siapa sebenarnya?” tanya ayah Azrul, kali ni dengan suara yang agak tegas.

“Hmmm….. Sebenarnya macam ni. Susah saya nak terangkan. Sebab tak ramai yang akan percaya. Ayah saya sendiri tuduh saya khayal sebab ambil dadah. Tapi lepas dia sendiri lihat apa yang terjadi dan terbukti kata-kata saya benar, barulah dia percaya.” Kataku memulakan bicara membuka punca kedatangan aku ke rumah itu.

“Cakap je perkara sebenar. Macammana kamu boleh sampai sini?” tanya ayah Azrul lagi, kali ni bukan tegas, tapi amat serius.

“Saya memang tak kenal Azrul ni. Tapi kisah Azrul ni tertulis di dalam satu blog. Di mana dia pergi ke rumah pusaka opahnya, masuk ke dalam rumah dan mengalami beberapa perkara pelik. Dia balik ke rumah maklangnya. Masa nak balik ke KL, dia singgah di rumah pusaka tersebut dan mengambil satu bakul mengkuang yang terletak di atas tangga rumah tersebut. Kat dalam bakul tu ada keris dengan sarungnya sekali. Pada malam dia bawa balik, pakcik larang dia bawa bakul tu masuk ke dalam rumah lalu bakul tu ditinggalkan di depan pintu utama,” kataku mengulangi apa yang aku dah tanya tadi.

Azrul dan ibu ayahnya berpandangan sesama sendiri.

“Blog?” Azrul tanya aku. Aku mengangguk.

“Siapa yang tulis cerita aku terperinci macam tu? Blog apa?” tanya Azrul lagi.

“Panjang ceritanya pasal blog ni. Saya pun tak pasti siapa owner blog ni lagi. Tapi yang membuatkan saya sampai ke rumah ini ialah kawan saya yang membaca blog tu, sekarang sedang berada di wad psikatrik sebab cuba membunuh diri kerana ada beberapa makhluk pelik mengganggunya selepas membaca blog kisah Azrul ni. Katanya ada benda seperti ular memaut kakinya, berlingkar di lehernya, sejak dia membaca kisah Azrul di dalam blog tu.” kataku panjang lebar, cuba nak fahamkan situasi aku dan Hadi kepada keluarga Azrul.

Ketiga-tiga insan di depan aku memandang aku dengan pandangan penuh tandatanya.

“Jadi, apa yang kamu nak kami buat sekarang ni?” tanya ayah Azrul. macam tak percaya dengan cerita aku. Tapi dia tak boleh tak percaya juga sebab kisah Azrul balik kampung  dan bakul mengkuang tu betul-betul terjadi.

“Kamu nak kami bantu kawan kamu ke? Anak kami ni pun kami masih tak dapat nak sembuhkan,” kata mak Azrul pula.

“Saya rasa, jika Azrul dapat diubati, maka kawan saya pun akan sembuh juga,” kataku yakin.

“Macammana nak ubat Azrul ni? Dah beribu duit habis ke doktor pakar, semua tak pun tak dapat sembuhkan dia.” Kata ayah Azrul.

“Pakcik dah usaha cara kampung? Bomoh? Ustaz?” tanyaku.

“Kami dah panggil bomoh dan ustaz juga. Mereka kata ada benda yang patut dipulangkan ke tempat asalnya,” kata ayah Azrul.

“Azrul ada ambil barang yang bukan miliknya mungkin,” kataku.

“Kau nak kata Azrul mencuri?” tanya mak Azrul.

“Bukan macam tu makcik. Mungkin dia sendiri tak tahu dia dah terambil barang tu,” kataku lagi.

“Adakah bakul tu?” tanya ayah Azrul.

“Mungkin juga. Mana bakul tu sekarang pakcik?” tanyaku.

“Pakcik dah buang pada malam Azrul bawa balik,” kata ayah Azrul.

“Kenapa pakcik buang? Bukankah itu dari rumah pusaka mak pakcik kan?” tanyaku.

“Sebab bakul tu bukan bakul biasa,” kata ayah Azrul.

“Bukan bakul biasa? Maksud abang?” mak Azrul pula bertanya. Tapi ayah Azrul diam.

“Pakcik buang ke mana?” tanyaku lagi, tak sabar pula bila ayah Azrul diam macam tu.

“Malam tu juga, pakcik ambil bakul tu dan bawa ke sebuah sungai yang agak jauh dari sini. Pakcik buang di sana,” kata ayah Azrul.

“Adakah itu bukan sebarangan bakul. Atau mungkin keris yang berada di dalamnya ada jawapan bagi penyakit Azrul ni,” kataku.

“Habis tu, mana nak cari balik bakul tu?” tanya mak Azrul.

“Ayah buang bakul tu?” tiba-tiba Azrul bertanya.

“Iye, ayah dah buang,” sahut ayah Azrul.

“Tapi kenapa bakul tu masih berada di bilik ni?” tanya Azrul lagi buatkan aku dan ibu ayah Azrul pula bulatkan mata ke arahnya.

“Mana bakul tu?” tanya mak Azrul.

Azrul melingkar mengesot ke bawah katil dan keluar semula membawa bakul anyaman mengkuang bersamanya.

“Eh, kenapa ada kat sini? Ayah dah buang malam tu juga,” kata ayah Azrul.

“Masa Azrul bangun pagi tu, bakul ni ada kat atas almari. Azrul ingat ayah yang letak. Azrul buka dan ambil keris kat dalamnya. Masa tu mak ketuk pintu bilik, ajak sarapan. Lepas tu Azrul letak keris tu kat atas meja dan terus keluar. Masa masuk balik, keris tu dah takde. Azrul taknak cakap kat ayah, takut nanti ayah marah. Azrul cuba cari keris tu tapi tak jumpa. Sampailah lepas Asar, Azrul dah mula rasa panas dan pengsan. Masa Azrul sedar, Azrul dah jadi macam ni,” kata Azrul.

“Dan doktor kata mungkin akibat demam panas mengejut yang menyebabkan sawan,” sahut mak Azrul pula. Dan Azrul menganggukkan kepala mengiyakan kata-kata maknya.

“Kenapa kamu tak cakap pasal bakul tu pun?” tanya ayah Azrul.

“Sebab ayah tak cakap pun ayah dah buang bakul tu,” kata Azrul lagi. Ayah Azrul mengusap wajahnya yang kemerahan, tak tahulah marah atau kesal.

“Ayah rasa ayah dah tahu apa punca semua ni,” kata ayah Azrul. Kami semua memandangnya.

Ayah Azrul tengok jam tangannya. Hampir zohor dah. “Ayah pergi ke masjid sekejap. Nanti ayah bawa Ustaz Aziz tengokkan kamu,” kata ayah Azrul lalu bergegas keluar dari bilik Azrul meninggalkan kami bertiga yang masih kebingungan.

“Anak ni nama apa? Dah lama kat sini tapi tak tahu nama pun,” kata mak Azrul memandang aku.

“Maaf sebab tak kenalkan diri. Saya Rashid,” sahutku.

“Makan dan solat di sini sajalah ye. Tunggu sampai pakcik balik bawa Ustaz Aziz. Mana tahu ada apa-apa yang kamu boleh bantu nanti,” kata mak Azrul. Aku anggukkan kepala.

Memang aku nak tahu kesudahannya, baru aku puas hati. Lepas tu baru aku tahu cerita pertama selesai atau tak. Baru aku boleh pergi jumpa Hadi, tengok dia dah ok ke tak? Lepas tu aku kena cari apa pula kaitan cerita kedua, ketiga dan semua makhluk lain yang aku nampak, yang Hadi nampak. Macammana nak hantar mereka semua balik?

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s