BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 8

Aku patah balik ke kaunter jururawat tu. Aku tak berani nak pergi ke katil aku, entah siapa pula yang menanti kat sana.

“Kenapa encik?” tanya salah seorang nurse tu bila aku datang kepada mereka.

“Boleh tolong tengokkan siapa kat katil saya tu?” tanyaku membuatkan ketiga-tiga nurse kat situ berpandangan sesama sendiri.

“Mungkin pesakit dari katil sebelah kot. Encik pergi je ke katil encik, takde apa,” kata salah seorang nurse tu.

“Saya taknak mungkin-mungkin lagi. Tolong tengokkan siapa kat katil saya tu sekarang,” kataku separuh menengking. Dengan keadaan aku yang berjarum, kepala aku yang berbalut, pergerakan aku jadi terhad. Kalau tak sebab semua ni, aku memang dah lari keluar dari hospital ni. Betullah kata lelaki india yang dah meninggal tu semalam, kat hospital ni, macam-macam benda ada. Tak semua benda yang kita lihat itu adalah sama seperti yang kita fikirkan.

Cuma aku tak pasti, benda-benda ni muncul sebab aku baca cerita dari blog yang Hadi forward kat aku, atau benda-benda tu memang sedia bermastautin kat hospital ni. Tapi macammana aku boleh tengok benda tu semua?

“Encik, jom ikut saya,” kata salah seorang nurse tu mengejutkan lamunan aku. Aku mengikut langkah nurse tadi ke katil aku. Tiada siapa di sana.

“Takde siapapun kat sini? Encik nampak siapa tadi?” tanya nurse tu.

“Seorang lelaki, mungkin doktor tadi kot, sebab saya minta dia beri saya surat pelepasan, saya na balik,” kataku.

“Doktor? Bila masa pula doktor datang sini?” tanya nurse tu sambil mengerutkan dahinya.

“Tadi ada seorang doktor datang, katanya saya cuma boleh keluar selepas dia tandantangan surat pelepasan. Dan dia pun kata kecederaan saya tak serius,” kataku memberitahu.

“Pukul berapa doktor tu datang?” Tanya nurse tu lagi.

“Antara 12.30 ke pukul 1 tadi,” sahutku sambil membetulkan botol air dan aku panjat katil aku semula.

“Doktor tak datang malam encik, melainkan kes kecemasan. Encik dah silap orang ni,” kata nurse tu lagi.

Aku malas nak jawab dah, aku selimutkan badan aku dan berbaring semula. Bila aku toleh kat nurse tadi, dia dah kembali ke kaunter jururawat sana. Aku pejamkan mata, tadi tak boleh lena. Terbayang-bayang semua benda pelik yang aku nampak. Kalau setakat lelaki yang terjengkot dengan bahu bertembung tu, aku mungkin boleh kaitkan dengan cerita dalam blog yang Hadi forward kat aku. Tapi macammana dengan benda lain yang aku nampak. Lelaki india semalam, yang kat dalam tandas, nurse, doktor semua tu la.

Tapi kalau ikut email yang Hadi forward kat aku, blog tu ada bagi notis, kalau tak baca cerita seterusnya, Makhluk Tak Terlihat ni akan keluar sekali ganda bagi bilangan hari yang Hadi tak baca cerita dari blognya.

Kalau Hadi dah tak baca selama sebulan, 30 hari, kalau sehari berganda, maknanya sekarang makhluk tu dah berganda-ganda la. Tapi kenapa pula benda tu kacau aku? Dan masih banyak lagi yang mengganggu Hadi. Maknanya memang Makhluk Tak Terlihat tu dan makin banyak? Macammana nak hantar balik semua tu.

“Saya dah pesan, ini hospital. Apa yang kita lihat tak sama seperti apa yang kita fikirkan,” aku dengar satu suara di katil sebelah aku. Aku menoleh. Dalam kesamaran tu, aku nampak lelaki india yang mayatnya dah dibawa keluar dari wad malam tadi, sedang berbaring di katil sebelah aku, mengiring ke arah aku dan memandang aku.

Dalam tak sedar, aku menjerit kuat. Tiga orang nurse tadi berlari ke arah aku.

“Kenapa ni encik?” tanya nurse tu. Lampu terpasang kat katil aku membuatkan mataku silau.

Aku bangun, dan memandang ke katil sebelah aku. Ada seorang lelaki sedang lena di sana.

“Tadi ada lelaki india yang dah mati semalam, baring kat katil ni,” kataku sambil menunjukkan katil sebelah aku. Ketiga-tiga nurse tadi berpandangan sesama sendiri.

“Macam ni la, encik tukar katil. Mari ikut kami, encik ambil katil yang berdepan dengan kaunter jururawat, boleh? Kalau ada apa-apa, encik boleh terus panggil kami,” kata salah seorang nurse tu.

“Ok ok.” Kataku sambil terus turun dari katil aku dan berjalan mengikut nurse tadi.

Katil aku kali ni betul-betul kat depan kaunter jururawat tu. Aku nampak tiga orang nurse tu berbisik sesama sendiri dan sesekali mereka pandang aku. Aku pun tak tahu nurse tu orang ke benda tu juga. Aku malas nak fikir dah. Buat masa ni, aku nak tunggu siang je. Aku nak balik rumah. Aku pejamkan mata. Mungkin sebab aku penat sangat, aku terlena.

Aku terjaga bila aku dengar bunyi bising dan suara ramai orang. Aku buka mata. Kebanyakan pesakit dah jaga dan mereka bergiliran untuk masuk ke bilik air untuk mandi. Aku bangun dan duduk memerhati sekeliling. Aku tengok jam, dah pukul 6.30 pagi.

“Nak kopi atau milo?” tiba-tiba ada suara lelaki menegur aku. Aku terkejut lagi.

Seorang lelaki kat sebelah aku, membawa roti dan jag air. “Milo,” sahutku. Dia lalu menuangkan air milo ke dalam cawan aku dan berlalu ke katil sebelah.

“Encik, doktor akan sampai dalam pukul 9 nanti. Encik mandi dan kemaskan diri. Ini baju salin yang baru. Lepas tu nanti saya cabut jarum kat tangan tu,” kata nurse semalam sambil menulis sesuatu di papan kertas yang disangkut kat katil aku.

“Lepas cabut jarum ni, saya boleh balik kan?” tanyaku.

“Tunggu doktor dulu. Kalau doktor kata boleh balik, boleh balik la,” kata nurse tu lagi sambil berlalu ke katil sebelah.

Aku rapatkan meja yang diletakkan cawan dan roti. Aku lapar. Sekali kunyah je aku terus telan. Sekelip mata roti dan milo tu habis. Aku pandang keliling, mencari lelaki yang bagi aku milo tadi, boleh minta tambah ke? Semua orang sibuk mengemaskan diri masing-masing. Aku tengok muka sorang-sorang, ada yang pandang aku sambil senyum, ada pandang aku lepas tu pandang ke lain. Aku jenguk ke katil yang aku baring semalam, katil kat sebelah aku kosong. Aku nak tahu sangat siapa yang baring kat katil sebelah aku semalam. Kenapa lelaki india tu boleh tumpang baring kat situ.

“Kenapa tukar tempat?” tiba-tiba seseorang menegur aku. Dan bila aku toleh, ternyata dia adalah lelaki yang berbaring kat katil sebelah aku semalam.

“Nurse suruh tukar,” sahutku.

“Kenapa?” tanyanya lagi.

“Takde apa,” sahutku pendek.

“Ada hantu kacau ke?” katanya sambil tersenyum dan menjeling ke arah aku lalu berjalan pergi meninggalkan aku. Aku terdiam.

Lepas bilik air kosong, aku pula pergi mandi. Ada beberapa orang lagi kat dalam tu. Aku mandi P. Ramlee je, tak berani nak duduk lama-lama kat dalam bilik air tu. Aku taknak ditinggalkan seorang diri kat dalam tu. Nanti entah apa pula benda yang bertenggek kat atas dinding memandang aku.

Pukul 9 pagi doktor datang dan memeriksa setiap katil. Ketika doktor sampai kat katil aku, aku pandang doktor tu lama. Sampai doktor tu pun perasan akan pandangan aku tu. “Kenapa pandang saya macam tu?” tanyanya.

“Semalam doktor ada datang ke katil saya tak?” tanyaku.

“Takde, mungkin doktor lain,” sahutnya.

“Hari ini saya boleh balik ke doktor? Jarum dah buka dari tangan saya. Saya pun rasa dah sihat sangat ni,” kataku.

Doktor tu tak menyahut, dia membaca kertas laporan kat katil aku. Sesekali dia pandang aku. Nurse yang berdiri di belakang doktor tadi aku lihat sesekali dia berbisik ke telinga doktor tu. Dan doktor tu pandang aku. Lepas tu dia angguk-anggukkan kepala.

“Saya boleh balik kan doktor?” tanyaku lagi bila doktor meletakkan semula kertas laporan kat birai katil aku.

“Saya kena buat beberapa pemeriksaan lagi. Kalau semua ok, baru boleh balik. Tapi buat masa ni, saya tak boleh janji. Kenapa nak balik cepat? Tak seronok duduk kat hospital?” tanyanya.

“Saya bukan cedera teruk sangat doktor. Saya dah ok, esok lusa saya dah boleh main bola sepak dah,” kataku.

“Kalau duduk kat hospital, tak payah pergi kerja, makanan pun tersedia, tak perlu buat apa-apa, hanya rehat saja. Tak suka?” tanyanya lagi.

“Kat sini banyak benda pelik doktor.” Rungutku perlahan.

“Apa benda pelik tu?” tanya doktor tu balik, dia dengar aku merungut rupanya.

“Takde apalah doktor. Kalau cakap pun, takde siapa nak percaya. Saya Cuma nak balik rumah je,” kataku lagi.

“Takpe, kalau boleh keluar nanti, saya bagi surat. Buat masa ni, rehat dulu ye,” kata doktor tu sambil berlalu pergi ke katil lain.

Sampai waktu melawat pada pukul 12.30 tengahari, mak dan ayah aku datang melawat. Yang paling best, masa ni aku dah tukar baju. Mak dan ayah aku pelik bila tengok aku dah tak pakai baju hospital.

“Kenapa kamu pakai baju biasa ni Rashid? Kenapa tak pakai baju hospital?” tanya mak aku.

“Hari ini Rashid dah boleh balik mak,” kataku dengan penuh yakin membuatkan mak dan ayah aku berpandangan sesama sendiri.

“Tadi nurse kata kamu belum boleh keluar,” kata ayah.

“Ayah tanya doktor. Doktor kata boleh balik,” kataku yakin sangat dan tak sabar nak balik.

“Tunggu sekejap, ayah jumpa doktor dulu,” kata ayah aku sambil matanya melilau mencari doktor.

Dan kebetulan seorang doktor lalu, ayah aku panggil doktor tersebut. Doktor tersebut datang. Dia adalah doktor yang memeriksa aku pagi tadi.

“Doktor, saya dah boleh keluar kan?” tanyaku.

“Belum lagi. Encik, boleh kita bincang kat bilik saya sekejap?” doktor tu mengajak ayah aku ke biliknya. Lalu ayah aku menuruti langkah doktor tersebut. Mak aku tak ikut. Mak aku tunggu aku, buka bekalan makanan yang dibawanya dari rumah.

Tadi pihak hospital dah bagi makanan untuk tengahari, aku dah habiskan pun walaupun takde rasa. Sekarang mak aku bawa makanan pula, pun aku belasah juga. Aku lapar.

Sedang aku makan sambil dilayani oleh mak, ayah datang. Risau je muka dia.

“Apa kata doktor?” tanya mak aku.

“Doktor syak, hentakan kat kepalanya membuatkan dia berhalusinasi. Nampak benda yang bukan-bukan,” kata ayah. Aku berhenti makan.

“Ayah, Rashid bukan berhalusinasi. Rashid memang nampak benda tu semua. Hadi forward semua email yang dia terima dari blog tu dan Rashid baca.” Kataku.

“Ayah tahu. Tapi ayah tak boleh nak cakap macam tu kat doktor,” kata ayah aku.

“Benda apa kamu nampak Rashid? Email apa yang Hadi hantar?” tanya mak aku agak keliru.

“Takde apa. Lebih baik awak tak tahu,” kata ayah buatkan mak tak terus bertanya. Tapi aku nampak muka mak risau.

“Doktor kata nak buat pemeriksaan lanjut ke atas kamu. Kamu mungkin akan dirujuk ke pakar otak dan psikatri.” Kata ayah menyambung katanya tadi.

“Hah? Rashid bukannya gila ayah.” Kataku dan mula risau. Ayah diam.

“Dan Rashid taknak tidur kat sini lagi malam ni. Nanti Rashid betul-betul gila,” kataku separuh merayu. Dan ayah masih diam berfikir.

“Ayah kena keluarkan Rashid dari sini. Dah keluar dari sini barulah Rashid boleh buat sesuatu untu selesaikan hal ni. Ayah tahu kan, Hadi pun dah masuk wad sebab cuma terjun dari bumbung rumahnya,” kataku dan ayah aku mengangguk menandakan dia dah tahu pasal hal Hadi.

“Kamu nak buat apa?” tanya ayah.

“Rashid kena cari siapa Azrul di cerita pertama, dan kaitan cerita ni dengan rumah pusaka usang milik neneknya. Apa benda yang memaut kaki Hadi. Apa kena mengena cerita pertama, kedua dan ketiga. Kalau sama macam situasi Rashid dulu, tiga cerita ini berkait, setelah selesaikan cerita pertama, kita akan dapat selesaikan cerita yang seterusnya dan semuanya dapat dihantar sekaligus.”

“Ayah cuba minta doktor bagi surat pelepasan. Pihak hospital boleh lepaskan kamu dengan syarat mereka takkan tanggung risiko dan kamu keluar adalah di atas permintaan, bukan sebab dilepaskan oleh pihak hospital.” Kata ayah.

“Ok ayah, minta surat tu,” kata Rashid.

“Tapi kalau betul kamu memang ada masalah?” tanya mak aku pula tiba-tiba. Membuatkan ayah dan aku berpandangan sesama sendiri.

“Mak jangan risau. Rashid boleh selesaikan perkara ni. Kalau tak, tak tahulah apa akan jadi lagi lepas ni. Takkan mak nak Rashid pula terjun bangunan hospital ni sama macam Hadi?” tanyaku macam mengugut mak aku pula. Bukan tak rasa bersalah ugut mak sendiri, tapi aku perlu keluar dari hospital ni. Itu je.

Mak aku terus diam. Ayah aku pula masih berfikir.

“Tolonglah ayah. Bagi masa seminggu kat Rashid. Lepas tu, kalau ayah masih tak percayakan Rashid, ayah boleh hantar Rashid ke hospital semula untuk rawatan lanjut,” kataku memujuk ayah yang mula termakan kata-kata mak tadi. Aku tahu mereka risaukan aku, tapi risau saja tak cukup, aku kena buat sesuatu.

Akhirnya ayah aku akur. Dia berjumpa dengan doktor dan pengurusan pihak hospital. Di atas risiko tanggungan sendiri, aku dibenarkan keluar dari hospital.

Sampai kat rumah, aku buka whatsapp group aku. Semua senyap. Tiada perbualan. Pelik juga. Mungkin mereka sedang bekerja.

“Korang, Hadi macammana?” tanyaku dalam group.

Tiada sahutan.

Hadi recording audio…..

“Haaaaaaaaaaaaaaaaaaaa………………………….!” Suara garau dari telefon Hadi. Dan aku terasa ada angin sejuk meniup ke telinga aku.

Aku tutup telefon. Cuak sekejap.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s