BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 6

Aku rasa hantu dari blog tu takkan datang ke hospital kot. Nombor satu, kat hospital ramai orang, nombor dua kat hospital ni tempat terbuka, dia mesti takut orang nampak dia, nombor tiga, kalau dia keluar juga, ada ramai orang untuk aku minta tolong. Ok, aku ada tiga alasan kukuh untuk buka cerita ketiga yang Hadi forward kat aku.

Aku tekan link yang Hadi hantar kat aku.

CERITA KETIGA

Pada malam hari sebelum sebuah majlis perkahwinan dilangsungkan, kelihatan beberapa penduduk kampung dan sanak saudara dalam ahli keluarga pengantin sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis walimatul urus anak bongus keluarga berkenaan pada keesokan harinya. Segalanya nampak meriah dan harmoni, dengan riuh rendah gelak tawa, maklumlah jarang berjumpa. Bila ada majlis besar macam ni, barulah semuanya berkumpul. Bila dah berkumpul setelah sekian lama tak jumpa, macam-macam kisah yang akan keluar. Kisah suka kisah duka, mengimbau kenangan lama, tertawa bersama.

Di suatu sudut, kelihatan seseorang sedang berdiri memerhatikan semua orang yang berada di situ. Memerhati dengan wajah yang amat marah, seperti seekor singa yang sedang menanti mangsa lalu di depannya.

Tiada siapa yang nampak dia selain dari bakal pengantin perempuan yang sedang menemani mak andam yang sedang mendekorasi bilik pengantin.

“Mak Anjang, siapa lelaki tu?” tanya Aina, bakal pengantin perempuan. Dia pun pelik, semua di situ semua perempuan, manakala orang lelaki semuanya di luar rumah membuat kerja yang berlambak.

“Mana?” tanya Mak Anjang sambil tangannya masih melipat cadar katil pengantin namun matanya melilau mencari kelibat orang yang ditunjukkan oleh Aina.

“Tu, dari tadi dia berdiri kat situ. Dia tengok semua orang. Aina rasa macam tak pernah nampak dia,” kata Aina, masih memandang lelaki itu.

“Mana ada sesiapa kat situ? Kamu ni Aina, kamu tu nak jadi pengantin esok. Jangan berkhayal lagi,” kata Mak Anjang menyambung kerjanya.

“Mak Anjang tak nampak ke lelaki tu?” Aina bertanya lagi, tidak puas hati bila Mak Anjang tak nampak lelaki yang ditunjuknya.

“Takde siapa pun kat situ Aina oiii,” kata Mak Anjang.

Aina tak puas hati, dia melangkah ke arah lelaki itu. Lelaki itu seperti terkejut bila Aina merapatinya dan melihat tepat ke wajahnya.

“Pakcik cari orang ke?” tanya Aina.

Lelaki itu tak menjawab.

“Pakcik ni sedara sebelah mak atau abah?” tanya Aina lagi.

Dan lelaki itu masih diam dan tak pandang Aina pun.

“Pakcik?” Aina panggil lagi dengan nada yang agak kuat hingga beberapa orang yang sedang memasukkan telur ke dalam sarung bunga telur yang berada di situ memandang ke arahnya.

“Kenapa Aina?” tanya Zurina.

“Ni pakcik ni ha, dari tadi berdiri kat sini. Aku panggil dia, dia buat tak tahu.” Kata Aina sambil menunjukkan lelaki itu.

“Takde siapa berdiri kat situ Aina,” kata Murni.

“Korang pun tak nampak dia?” tanya Aina, dan kali ni wajahnya berkerut.

“Pakcik ni siapa sebenarnya?” Aina memberanikan diri bertanya.

Lelaki tadi memandang ke arah Aina. Mereka bertentangan mata. Mata lelaki itu berwarna putih, ada taring keluar di kiri kanan mulut, rambutnya putih dan kulit mukanya hitam. Masa ni Aina rasa macam pening dan nak pitam.

“Aina,” tiba-tiba Mak Anjang memanggil Aina membuatkan Aina terkejut.

Lelaki itu melompat ke tingkap, berdiri sekejap di atas bingkai tingkap yang terbuka dan memandang Aina sekejap lalu terus terjun keluar melalui tingkap.

Aina terduduk. Dia memegang kepalanya yang berpusing. Beberapa orang yang berada di situ terus mendapatkan Aina. Mak Anjang datang kepada Aina dengan wajah risau.

“Kenapa ni Aina?” tanya Mak Anjang.

“Lelaki tadi,” kata Aina cuba bersuara walaupun dia nampak lemah.

“Lelaki mana? Dari tadi kamu cakap pasal lelaki tu,” kata Mak Anjang memicit-micit kepala Aina.

“Lelaki tu pelik. Wajahnya tak macam orang biasa,” ayat terakhir yang keluar dari mulut Aina sebelum dia tak sedarkan diri.

“Angkat dia ke atas katil tu,” kata Mak Anjang mengarahkan beberapa anak gadis yang berada di situ. Mak Anjang sangat risau masa tu.

“Lin, kau pergi panggil Pak Ngah. Cepat,” kata Mak Anjang mengarahkan Azlin memanggil Pak Ngah iaitu ayah kepada Aina.

Azlin lantas berlari ke bahagian dapur, mencari-cari Pak Ngah. Setelah mencari dan bertanya, akhirnya dia berjumpa Pak Ngah yang berada di bawah salah satu khemah bersama dengan beberapa orang yang sedang menggoreng ayam di dalam kawah.

Pak Ngah segera berlari ke bilik Aina. Wajahnya risau sangat. Dia menggamit Mak Ngah untuk ikut bersamanya. Mak Ngah yang sedang sibuk memotong bawang dengan beberapa orang lagi di bahagian dapur pun segera bangun dan mengikut Pak Ngah.

“Kenapa ni Eda?” tanya Mak Ngah bila melihat Aina terbaring tak sedarkan diri. Ada cecair putih keluar dari mulutnya.

“Tak tahu, tiba-tiba dia pengsan. Tadi katanya ada seorang lelaki berdiri kat tepi tu. Eda tengok takde siapa pun kat situ. Eda sibuk hias bilik tu, mana tahu dia tiba-tiba jatuh kat sana. Nasib baik budak-budak ni ramai kat sini, sambut dia masa dia nak jatuh,” kata Mak Anjang. Mak Anjang ialah adik kepada Mak Ngah.

Mak Ngah dan Pak Ngah berpandangan sesama sendiri.

“Jom bawa dia ke hospital la kalau dah macam ni. Esok dia nak menikah ni, takkan nak beritahu pihak lelaki tiba-tiba pengantin pengsan. Nanti dah ada salah faham pula,” kata Mak Anjang.

“Tak payah bawa  ke hospital. Aku nampak benda tu ada datang tadi, dia nak buat kacau le tu,” tiba-tiba Pak Long bersuara di pintu bilik.

“Benda?” Mak Anjang tanya. Pak Long ialah abang sulung kepada Mak Ngah, Mak Anjang dan Mak Lang. Ada seorang lagi adik Pak Long iaitu Pak Andak yang dah lama tak berjumpa dengan mereka adik beradik kerana berjauh hati akibat kisah lama.

“Benda lama tu la. Belum jumpa tuan baru,” kata Pak Long sambil merapati Aina lalu memegang ibu jari kaki kirinya.

“Ada lagi ke benda tu Long? Bukankah dah pergi masa arwah tok meninggal dunia dulu?” tanya Mak Anjang separuh berbisik.

“Lepas arwah tok meninggal, dia pergi kat arwah mak. Dari arwah mak, dia nak turun kat anak perempuan, tapi korang semua melarikan diri kan?” Sahut Pak Long.

“Kami taknak la benda macam tu” kata Mak Ngah.

“Takde siapa nak pun. Tapi tak perlulah sampai macam buang mak,” kata Pak Long seperti ada sesuatu yang dia terkilan sangat.

Mak Ngah, Mak Anjang dan Mak Lang diam.

“Long nampak dia kat mana tadi?” tanya Mak Anjang mengubah topik.

“Dia berdiri kat tingkap tu, lepas tu dia terjun ke bawah. Bila dia nampak aku kat bawah rumah tu, dia lompat ke atas bumbung,” kata Pak Long.

“Sekarang ni dia kat mana?” tanya Pak Ngah.

“Ada kat atas bumbung tu, tengah memerhati semua orang,” kata Pak Long dengan tengah sambil memegang kepala Aina.

“Kenapa Long tak halau dia?” tanya Pak Ngah, menampakkan riak wajah cuak dan risau.

“Kat tengah orang ramai ni? Semua orang akan tahu nanti, dan memang itu yang dia nak. Dia nak semua orang nampak kehadirannya. Sebab dah terlalu lama dia disisihkan,” kata Pak Long.

Sedang Pak Ngah, Mak Ngah dan Mak Anjang terdiam mengerutkan dahi, tiba-tiba je Aina tersedak dan terus bangun duduk. Mak Ngah mengusap belakang Aina.

“Aina, ok ke? Kamu pening ye,” kata Mak Ngah.

“Aina pening mak. Rasa nak muntah. Semuanya berpusing,” kata Aina.

“Takpe, nanti Pak Long buatkan air penawar.” Kata Pak Long sambil bangun melangkah meninggalkan bilik itu. Seketika kemudian dia datang bersama segelas air kosong.

“Minum air ni. Selawat nabi sebelas kali. Niat berubat kerana Allah,” kata Pak Long. Aina akur.

“Mak, Aina penat sangat. Aina tidur dulu,” kata Aina. Mak Ngah angguk perlahan.

“Seseorang kena teman dia. Jangan biar dia seorang diri. Benda tu akan buat hal malam ni. Sebab dia tak suka setiap kali ada ahli baru nak masuk dalam keluarga ni,” kata Pak Long.

“Minta budak-budak ni temankan boleh? Sebab ramai orang kat luar tu, takkan kita tuan rumah nak duduk kat dalam rumah pula. Nanti apa mereka kata, risau ada yang syak bukan-bukan je nanti,” kat Pak Ngah.

“Tak boleh, takut nanti budak-budak tu tersampuk sama. Lagi teruk nanti.” kata Pak Long.

“Biar Anjang je temankan,” kata Mak Anjang.

“Elok sangatlah tu. Aku akan cari benda tu dan halau dia pergi. Tapi sehingga masa tu, jangan percaya sesiapapun sebab dia boleh menyerupai sesiapa sahaja asalkan dia dapat masuk ke dalam rumah ini,” kata Pak Long, membuatkan Mak Anjang cuak sikit.

“Jangan takut, sebab dia nak kita takut. Bila kita takut, lebih mudah kerja dia,” kata Pak Long.

Mak Anjang anggukkan kepala. Pak Ngah dan Mak Ngah serta Pak Long keluar dari bilik. Tak sempat lagi Pak Ngah keluar dari rumah, terdengar sayup-sayup bunyi anjing melolong panjang. Bunyinya agak menyeramkan. Semua yang berada di perkarangan rumah Pak Ngah terdiam seketika.

“Mana datang anjing pula kat kawasan ni?” tanya seseorang.

“Entah,” sahut seseorang.

“Takde apa, anjing sesat tu. Pedulikan,” kata Pak Seman, jiran rumah Pak Ngah. Lalu yang lain pun teruskan tugas masing-masing.

Tiba-tiba ada sesuatu jatuh dari atas pokok kelapa kat bangsal tepi rumah Pak Ngah. Kawasan tu takde lampu.

“Apa benda yang jatuh tu?” tanya seseorang.

“Kelapa kot,” jawab seseorang.

“Rasanya takde kelapa tua kat pokok tepi bangsal tu,” sahut Mak Ngah pula.

“Biarkan je. Entah apa yang jatuh tu,” kata Pak Long pula.

Dalam suasana yang suram itu, kelihatan sesuatu yang bergerak di tepi bangsal tu. Dia bangun seperti seorang manusia. Dia melangkah dengan kaki yang terjengkot-jengkot. Kedua-dua tangannya bengkok. Dia melangkah ke arah orang ramai.

“Eh, siapa tu?” seseorang bertanya bila ternampak orang itu.

Tiada sahutan dari sesiapa. Semua pun dengan wajah cuak memandang ke arah seseorang yang terus mara ke arah orang ramai.

“Kamu berhenti di situ! Kamu tidak diundang dan tak pernah diundang. Pergi dari sini sebelum aku hancurkan kamu,” kata Pak Long.

“Siapa tu?” tanya seseorang.

“Shhhh….. Dah, jangan tanya lagi. Jom kita balik,” jawab seseorang yang lain.

“Iye, kamu semua balik ke rumah dulu, esok kita sambung semua tugas ni. Buat masa ni, biarlah saudara mara keluarga ini yang tinggal di sini. Ada urusan lain yang perlu kami selesaikan,” kata Pak Long.

Tanpa ada sebarang soalan lain, jiran tetangga meninggalkan kawasan majlis untuk pulang ke rumah masing-masing. Tatkala itu, jam dah menunjukkan pukul 12 malam. Terdengar lolongan anjing bersahut-sahutan dan seperti terlalu hampir dengan mereka di situ.

“Pergi kau dari sini, kami tak perlukan kamu. Dah lama kami buang kamu. Jangan datang lagi,” kata Pak Long.

“Aku tak pernah pergi. Ada orang yang menjaga aku di sini dan aku tak suka orang lain masuk ke dalam keluarga ini,” kata lelaki pelik itu.

“Tiada siapa menjaga kamu di sini. Tiada siapa perlukan kamu di sini,” kata Pak Long.

Lelaki itu melangkah selangkah ke depan. Kedua-dua bahunya seakan bertembung. Matanya hampir tersembul keluar dari kelopak mata.

“Kamu jangan hampiri kami,” kata Pak Long.

Lelaki itu melangkah lagi ke depan, seolah mencabar. “Allahu Akbar!” Pak Long jerit kuat dan menghentakkan tumit kaki kirinya ke tanah dengan kuat.

Lelaki itu meraung kuat dan jatuh ke tanah lalu tak bergerak. Pak Long merapati tubuh lelaki itu. “Ambilkan lampu,” katanya. Pak Ngah datang bawa lampu lalu menyuluh ke arah lelaki yang terbaring itu.

Alangkah terkejutnya mereka, bila melihat yang jatuh pengsan itu ialah Mak Anjang.

“Allah. Cepat pergi tengok Aina. Cepat!” kata Pak Long dengan suara yang agak tinggi dan menggeletar.

Pak Ngah berlari laju masuk ke rumah, menaiki tangga kayu dan terus ke bilik Aina. Di dalam bilik Aina, Pak Ngah nampak lelaki di bawah tadi sedang duduk di tepi katil di mana Aina sedang berbaring.

“Dia milik aku,” kata lelaki itu dengan suara garau. Pak Ngah menggeletar.

“Encik, tolong tutup handphone. Dah tengah malam ni, tidurlah,” tiba-tiba Rashid dikejutkan dengan suara seorang perempuan. Terjatuh handphone dari tangan Rashid, terkejut punya pasal.

Rashid memandang keliling, dia tak nampak sesiapa. Takde nurse pun, tapi dia dengar dengan jelas seseorang menyuruhnya tutup handphone tadi.

Rashid tutup telefon. Dia terus berbaring. Katil Rashid terletak di bahagian tepi tingkap. Langsir telah ditutup menjelang maghrib tadi. Tapi, masa dia berbaring, dia dapat dengar bunyi langsir ditarik. Rashid memandang ke arah langsir tingkap tu. Iye, kelihatan langsir tu seperti ada seseorang yang menariknya.

Lalu terbukalah langsir tersebut dan Rashid dapat lihat dengan jelas suasana malam di luar tingkap. Sedang dia memerhati jalan raya di luar kawasan hospital dari tingkat wad yang dia sedang duduki, tiba-tiba ada seorang lelaki berdiri di luar tingkap, memandang ke arahnya. Kedua-dua bahunya hampir bertembung, kakinya seperti pendek sebelah, tangannya bengkok dan belakang badannya bongkok. Rupa itu sama sekali dengan gambaran lelaki dalam cerita ketiga yang dibacanya sekejap tadi.

Rashid pejamkan mata. Teorinya mengatakan hantu takkan berani datang ke kawasan orang ramai adalah salah sekali.

“Aku mencari tuan. Tuan aku pasti nampak aku.” Rashid dapat dengar dengan jelas suara garau seorang lelaki, seperti di tepi telinganya saja.

Tiba-tiba seseorang menepuk kaki Rashid. Rashid menjerit terkejut dan melompat turun dari katilnya. “Kenapa ni encik?” tanya seorang nurse sedang membawa dulang berisi botol air dan ubat.

Rashid tak jawab, dan dia tak berani pandang nurse itu. ‘Apa yang kau lihat, mungkin bukan apa yang kau fikirkan’. Kata-kata lelaki india yang dah mati tadi terngiang-ngiang di telinganya.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s