BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 5

Cepat-cepat aku tutup pintu bilik aku semula. Kali ini jantung aku berdegup kencang dah. Sekarang aku Cuma baca cerita melalui email Hadi, tapi kenapa aku pula yang perlu berjumpa dengan perkara-perkara yang berlaku di dalam blog tu? Ahhh.. sudah! Takkan aku terpaksa lalui perkara ini lagi.

Aku duduk semula depan komputer aku. Aku buka email kedua yang Hadi forward kepada aku. Mesej itu berbunyi, “Jika kamu tidak membuka cerita seterusnya, mereka akan mencari kamu!”. Samna seperti message yang aku pernah terima dulu.

Aku buka email ketiga, mesej berbunyi, “Setiap hari kamu tidak membaca cerita seterusnya, bilangan mereka akan berganda, mengikut hari kamu tidak membacanya,”.

Aku dah tak tahan. Aku tutup komputer. Aku terus naik ke atas katil aku, selimutkan badan aku yang berpeluh sejuk. Tak sempat aku pejam mata lagi, pintu bilik aku diketuk dan masa ni aku teringat kat lelaki yang memakai jaket bertutup kepala yang berada di luar pintu bilik aku.

Bunyi ketukan kat pintu bilik makin kuat. Aku pula makin menggeletar kat bawah selimut. Aku rasa perasaan kali ini lebih menakutkan dari yang pertama dulu, mungkin sebab aku dah tahu apa yang bakal terjadi.

Selang beberapa ketika, bunyi ketukan kat pintu bilik terhenti. Aku menyelak kain selimut melihat ke arah pintu bilik aku. Aku bangun perlahan-lahan. Aku melangkah ke pintu bilik, aku pulas tombol pintu perlahan-lahan dan aku buka pintu. Tiada sesiapa kat luar, hanya kegelapan. Aku toleh ke kiri dan ke kanan, aku tak nampak sesiapa.

Aku masuk ke bilik semula. Aku tutup pintu bilik. Aku pandang ke komputer aku. Nak buka lagi tak? Ah, aku taknak buka. Aku tengok jam pukul 3 pagi. Aku terus tutup lampu dan berbaring kat atas katil aku.

Sedang aku nak lena tu, aku dengar satu suara membisikkan sesuatu yang berulang-ulang. Aku dah mula cuak balik. Aku diam membatukan diri. Aku cuba pasang telinga, nak dengar apa yang suara itu bisikkan.

“Aku berada di mana-mana. Kau tak boleh lari.”

“Aku berada di mana-mana. Kau tak boleh lari.”

“Aku berada di mana-mana. Kau tak boleh lari.”

Aku terus bangun dan melihat keliling aku. Aku nampak di suatu penjuru bilik aku, lelaki berjaket tadi sedang berdiri di sana.

“Siapa kau sebenarnya hah?” aku beranikan diri bertanya.

“Aku, adalah kamu. Kamu, adalah aku,” sahutnya.

“Aku dah tak masuk blog kau, kenapa kau masih ganggu aku?” tanyaku lagi.

“Aku dah masuk ke alam kau dengan bantuan kau. Maka aku akan balas jasa kau, selagi kau menjaga aku, aku akan menjaga kau,” sahut lelaki itu lagi.

“Aku tak perlu kau jaga aku. Pergi!” jeritku.

Dan seketika kemudian mak aku masuk ke bilik aku dan pasang lampu. Mak aku pandang aku dengan wajah pelik. “Kau dah kenapa menjerit tengah malam ni Rashid? Terkejut mak,” kata mak aku sambil memandang ke keliling bilik aku.

Aku tak jawab. Dan seketika kemudian ayah aku pula datang dengan wajah mengantuknya.

“Kenapa ni?” tanyanya.

“Entah, Rashid ni ha, tetiba menjerit macam kena rasuk hantu,” kata mak aku.

“Kenapa Rashid?” tanya ayah aku.

“Benda yang kacau Hadi tu, sekarang dia kacau Rashid pula. Dia ada dalam bilik ni tadi,” kataku berterus terang membuatkan mak dan ayah aku membeliakkan mata mereka dan memandang sekeliling bilik aku. Ayah pula terus pasang lampu kat ruang tamu,

“Kenapa pula dia ganggu kamu? Bukankah Hadi yang sedang join blog tu?” tanya ayah aku balik. Ayah aku makin faham dengan hal blog ni.

“Iye ayah. Tapi Hadi forward email dari blog tu kepada Rashid, lepas Rashid baca, benda tu muncul di sini pula,” kataku lagi.

“Apa benda yang muncul tadi?” tanya mak aku, dalam takut tu dia nak tahu juga.

“Dah, awak tak payah tahu la. Awak pergi tidur balik,” kata ayah aku menyuruh mak aku balik ke bilik dan mak aku akur.

“Habis tu, sekarang macammana? Nak panggil Ustaz Hashim lagi?” tanya ayah.

“Rashid pun tak tahu la ayah. Kalau ikut sama macam yang terjadi kat Rashid dulu, kita sepatutnya baca semua cerita dan lepas tu kita kena selesaikan. Lepas tu barulah benda-benda dari blog tu tak ganggu dah. Benda-benda ni seperti minta bantuan kita melalui blog ni,” kataku.

“Siapa sebenarnya penulis blog ni?” tanya ayah aku sambil mengusap mukanya.

“Rashid tak tahu ayah. Dulu masa kes dengan Aqil, katanya penulis blog tu adik dia. Masalahnya adik dia kurang upaya, Rashid dah pernah jumpa dia. Tak mampu uruskan diri sendiri pun, bedridden, pergerakan semua guna kerusi roda, semua mak dia yang uruskan,” kataku semakin berani berterus terang dengan ayah kerana ayah makin memahami nampaknya, dan tak marah-marah macam dulu.

Ayah aku diam. Ada keluhan berat keluar dari mulutnya.

“Sebab tu Rashid taknak masuk campur hal Hadi ni dari mula ayah. Sebab Rashid rasa macam benda tu seperti berangkai.” Kataku. Ayah aku hanya anggukkan kepala.

“Takpe, tidurlah dulu. Esok ayah tanyakan Ustaz Hashim, kot-kot dia boleh tolong.” Kata ayah sambil melangkah keluar dari bilik aku. “Jangan tutup lampu ayah, biar berpasang,” kataku masa tangan ayah aku dah cari suis lampu.

Sebaik sahaja ayah aku keluar, aku tutup muka aku dengan bantal satu lagi. Walaupun aku panas, dengan cahaya lampu yang betul-betul kat atas kepala aku, aku sanggup. Dan aku terlena entah pukul berapa.

Sedar-sedar kakak aku ketuk pintu bilik aku dan panggil aku berulang kali, suruh aku bangun. Kepala aku pening, aku rasa dunia aku berpusing-pusing. Dan aku jatuh, kepala aku terhantuk kat bucu katil, aku pitam dan terus tak sedar. Bila aku sedar, aku dah berada di hospital, dengan kepala aku berbalut. Mak aku duduk kat tepi katil aku, ayah aku sedang berdiri kat bahagian bawah katil.

“Kita kat hospital ke ni mak?” tanyaku buatkan mak aku angkat mukanya yang tunduk sejak tadi.

“Alhamdulillah, kau dah sedar. Kamu jatuh kat dalam bilik, terhantuk kat bucu katil. Darah banyak keluar, terus ayah bawa kamu ke sini. Doktor dah check dan balut luka kamu. Doktor kata tak serius tapi kamu kena tinggal di wad malam ni. Kalau takde apa-apa, esok kamu boleh balik,” kata mak.

“Hah? Rashid kena tinggal kat wad ni ke malam ni?” kataku agak terkejut. Maklumlah, tak pernah seumur hidup aku lagi kena tidur kat wad. Mak aku angguk kepala. Aku pandang keliling, hanya aku seorang dalam wad tu, katil sebelah aku kosong.

“Rashid seorang je ke?” tanyaku lagi.

“Haah, ini wad kelas pertama, ayah kamu kan kakitangan awam. Takdelah berkongsi ramai sangat,” kata mak.

“Ayah, mak, boleh tak kalau Rashid nak duduk di wad yang ramai orang. Rashid takut, melainkan mak atau ayah temankan Rashid kat sini,” kataku. Takut aku, nanti kalau ada benda yang datang kacau aku, takde orang lain dengan aku, dah la aku berada di tempat yang bukan kawasan aku.

“Pulak dah, bertuah sungguh budak ni. Orang lain punyalah nakkan kelas pertama, dia pula minta kelas biasa. Ikut suka kamu la,” kata ayah.

Mak dan ayah aku pulang sebaik sahaja waktu melawat dah tamat. Aku baring kat katil aku. Aku lihat ramai pesakit kat dalam wad tu. Barulah kurang sikit rasa takut aku.

Pukul 10, nurse tu tutup lampu. Semua orang dah baring kat katil masing-masing. Aku pula tak boleh tidur, tak pernah lagi aku tidur pukul 10 malam weh. Aku bangun dan jalan sambil tarik batang besi beroda yang menyangkut botol air yang di cucuk masuk ke dalam tangan kiri aku ni. Tak selesa sungguh. Korang kalau ada pilihan, janganlah masuk wad, tak best.

Aku berjalan ke suatu ruang yang ada tv. Nurse tanya aku nak ke mana? Aku kata tak boleh tidur, nak pergi tengok tv. Katanya aku dalam pengaruh ubat lagi, mereka risau aku tumbang sebab pening. Aku rasa aku ok je, memang ada pening sikit tapi takdelah sampai tak boleh jalan.

Sampai kat sudut tv tu, aku pasang tv. Aku duduk kat kerusi yang disediakan kat situ. Sedang leka aku menonton cerita apa entah, seseorang duduk kat sebelah aku. Dia pun nak tengok tv kot.

“Cerita apa bang?” tanyanya. Aku menoleh, seorang lelaki india, dalam usia sebaya aku juga kot.

“Entahlah, macam cerita perang je,” kataku sambil kembali menonton tv.

“Kenapa tak tidur lagi?” tanyanya.

“Tak mengantuk lagi. Selalunya saya memang tidur lambat,” sahutku tanpa memandang dia.

“Tapi dekat hospital kena tidur awal. Sebab banyak benda lain yang lalu.” Katanya.

“Benda apa?” tanyaku agak terkejut dengan kata-katanya. Kali ni aku pandang tepat ke wajahnya.

“Hospital bang, biasalah, orang mati, orang sakit, orang luar datang bawa benda apa kita tak tahu. Darah, muntah, benda kotor banyak walau kita tak nampak. Kat sini, yang kita nampak macam orang tu, mungkin benda tu,” katanya.

“Kau masuk sini sakit apa?” tanyaku cuba mengubah topik bila bulu roma aku meremang mendengarkan cerita lelaki india tu.

“Saya kemalangan. Kaki saya kena potong,” katanya sambil menunjukkan kaki kanannya yang Cuma setakat lutut dan masih berbalut dengan kain putih.

“Dah berapa lama kat sini?” tanyaku.

“Dah seminggu. Tapi hari ini boleh keluar dah,” katanya.

“Boleh keluar ke malam macam ni? Tadi doktor kata siang baru boleh keluar, sebab kena tunggu pakar yang sahkan samada kita boleh balik atau tak,” kataku.

“Kes saya special sikit bang. Doktor terpaksa bagi balik,” katanya.

Aku diam, tak tahu nak sambung perbualan. Biasalah lelaki kan, tak banyak modal nak sembang. Aku kembali menonton tv.

Seketika kemudian, aku nampak beberapa orang nurse menolak katil kosong masuk ke dalam wad. Aku kembali tengok tv.

Lebih kurang 15 minit lepas tu, nurse tadi kembali menolak katil keluar dari wad pula dan membawa seseorang di atas katil itu. Orang di atas katil itu ditutup keseluruhan dari kepala ke kaki. Masa lalu kat tepi aku, boleh pulak la selimut putih yang menutupi muka orang kat atas katil itu terselak. Aku pula kepoh sangat nak tengok. Aku nampak jelas. Itu adalah lelaki india yang duduk bersembang dengan aku kat tempat yang masih aku duduk sekarang. Aku lihat kerusi sebelah aku, dah kosong. Bila dia bangun pun aku tak sedar.

Setelah nurse tadi menolak katil itu keluar dari wad, aku bangun dan aku nampak seorang nurse sedang berjalan sambil menulis sesuatu kat kertas kenyataan pesakit.

“Kenapa tu nurse?” tanyaku macam orang bodoh.

“Dia dah meninggal dunia. Sekarang nak bawa ke bilik tuntutan mayat,” sahut nurse tu.

“Bila dia meninggal?” tanyaku cuak.

“Sejam yang lepas,” sahut nurse tu tapi nurse tu pun dah keluar dari pintu. Meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga.

Kalau dia dah meninggal dunia sejam yang lepas, habis tu yang duduk kat sebelah aku tadi, sembang dengan aku tadi, SIAPA???

Aku ambil remote tv. Aku tutup. Aku berjalan ke katil aku. Sambil tu aku lihat katil pesakit lain. Ada yang dah tidur, ada yang sedang duduk, ada yang terbatuk-batuk, ada yang pandang aku semacam je. Tiba-tiba je meremang bulu roma aku. Aku teringatkan kata lelaki india tu tadi, yang aku nampak macam orang tu mungkin benda tu. Macam lelaki india tadi la, sembang dengan aku tapi dia pun salah satu benda tu.

Aku terus ke katil aku. Aku baring kat sana. Tapi mata aku tak mengantuk.

Telefon aku vibrate. Aku buka laci. Aku ambil telefon aku. Ada whatsapp dari Hadi. Aku buka whatsapp dia.

“Rashid, benda tu makin banyak. Aku dah forward semua email notification kat kau. Tolonglah, aku rasa nak terjun bangunan tinggi je dah sekarang,” kata Hadi. Hish!

“Kau cool je Hadi, benda tu tak boleh buat apa kat kau. Aku kat hospital ni. Nanti aku buka email kau. Kau jangan buat kerja bodoh nak terjun bangunan bagai.” Kataku membalas whatsapp Hadi.

Aku tutup whatsapp dan buka email yang Hadi forward kat aku.

CERITA KETIGA

Aku pandang kiri kanan aku. Semua pesakit dah tidur. Aku pejamkan mata aku, nak baca ke tak? Nak baca ke tak? Aku kat hospital ni. Baru je bercakap dengan mayat.

– Bersambung –

3 thoughts on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s