BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 4

“Kau ada terima notification email lagi ke?” aku tanya.

“Aku dah log out semua. Aku dah tukar email lain,” kata Hadi.

“Kau masuk balik email yang kau daftar untuk blog tu. Tengok kalau ada apa-apa notification pasal blog tu,” kataku bagi cadangan.

“Aku takut,” kata Hadi.

“Habis tu kau ingat aku tak takut? Aku dah pesan, aku dah bagi amaran, jangan join blog tu. Tapi kau degil. Aku boleh je kalau nak biarkan terus kau tapi ayah aku beriya ajak aku tolong kau.” Kataku dengan nada yang agak keras.

Memang aku amat terkilan bila Hadi tak dengar nasihat aku. Sekarang bila dah jadi macam ni, aku pula yang kena hadap. Kalau takde ayah aku dan ayah Hadi kat depan kami ni, aku rasa aku dah bagi penumbuk sebiji kat muka Hadi. Kecik besar je aku tengok dia, dengan benda yang memaut kat kaki dia tu. Kenapalah aku nampak benda tu, walaupun sekadar bayangan.

“Hadi, kau yang degil, taknak dengar nasihat orang. Kau tanggung perkara ni. Selesaikan apa yang patut,” kata ayah Hadi, juga dengan nada tegas. Aku rasa ayah Hadi semakin memahami situasi kami sekarang, Cuma dia tak dapat bayangkan, macammana perkara di dalam blog yang merupakan hasil tulisan seseorang boleh jadi betul di alam nyata.

Hadi tak menyahut. Kawan aku yang lain masih berdiri di tepi tangga memerhati kami. Aku rasa mereka pun kehilangan idea, apa yang sedang terjadi.

Hadi bangun perlahan sambil melangkah ke biliknya. Ayah aku bagi isyarat suruh aku ikut Hadi. Aku pun terpaksan ikut.

Masuk je bilik Hadi, aku nampak beberapa bayangan lain, berterbangan dan merayap di sana sini. Bilik Hadi sejuk, walaupun aircond tak dipasang. Biliknya gelap, sebab semua tingkap di tutup dan langsir pun dilabuhkan ke lantai.

“Kenapa kau tak buka langsir dan tingkap Hadi?” aku tanya.

“Aku takut, mereka ada di mana-mana. Bila aku buka tingkap, aku nampak mereka di luar sana. Ada yang terbongkok, ada yang meniarap, ada yang terbang,” kata Hadi sambil mencari suis lampu biliknya.

Sebaik lampu dipasang, bilik Hadi cerah. Aku tak nampak lagi bayangan-bayangan tadi. Aku terus melangkah ke tingkap, aku tarik langsir dan buka tingkapnya walaupun Hadi melarang. Cerah bilik Hadi, berserta angin sepoi-sepoi masuk ke biliknya.

“Sudah, kau buka komputer kau. Log in email kau yang kau daftarkan untuk blog tu,” kataku bila melihat Hadi terkebil-kebil memandang aku yang berdiri di tingkap.

“Ada sesuatu tergantung di atas kepala kau Rashid,” kata Hadi membuatkan aku panik sekejap. Aku acah-acah tenang, dan melangkah ke arah Hadi.

“Dah, buka je email kau. Cepatlah,” kataku memaksa Hadi mengubah perhatiannya yang masih memandang ke arah atas kepala aku, seolah benda tu mengikut langkah aku. Meremang bulu roma aku melihat Hadi, dan aku tak berani mendongakkan kepala.

Sebaik sahaja Hadi log in ke emailnya, ada 10 notification baru. Semuanya dari blog “Makhluk Tak Terlihat”.

“Kau buka yang paling lama dulu,” kataku, turut berdebar-debar untuk membaca email Hadi.

Hadi buka inbox.

“Mesej ini hanya boleh dibuka pada jam 12 tengah malam” Itulah perkataan yang keluar  dari inbox email Hadi.

“Buka message yang lain,” kataku.

Message yang sama dan begitulah seterusnya.

Hadi tutup komputer. Dia pandang aku.

“Maknanya malam nanti baru kau buka. Lepas tu kau beritahu aku apa yang dia tulis,” kataku.

“Eh, kau tidurlah kat rumah aku. Kita tengok sama-sama malam nanti. Aku dah tak tahan dah dengan keadaan ni. Tolong aku Rashid. Aku minta maaf sebab tak dengar nasihat kau, aku minta maaf sebab terpaksa seret kau sekali lagi. Aku betul-betul menyesal,” kata Hadi.

“Ini hal kau. Aku cuma boleh tolong bagi jalan untuk kau selesaikan. Bukan aku yang kena selesaikan.” Kataku. Takkan aku pula nak kena terjebak sekali lagi dalam blog tu. Ish, taknak lah aku. Cukuplah aku tak lena malam masa terjebak dengan blog tu dulu.

“Tapi Rashid, masa kau baca blog ni, ceritanya takdelah seram sangat. Aku pun ingat akan lebih kurang cerita macam kau tu je. Lepas tiga cerita, selesai. Mana tahu kali ni ceritanya lain macam.” Kata Hadi masih memujuk.

“Keputusan aku muktamad. Kau baca email kau malam ni, forward kat aku. Nanti aku tengok. Itu saja yang aku boleh bantu. Kau nak atau tak, itu terpulang,” kataku lagi tegas dan terus melangkah keluar dari bilik Hadi.

“Ayah, jom balik,” aku mengajak ayahku balik.

“Dah selesai ke?” tanya ayah Hadi.

“Belum, tapi saya dah beritahu dia apa yang patut dia buat,” kataku.

Ayah Hadi dan ayah aku berpandangan sesama sendiri. Mujur ayah aku tak tanya banyak. Dia terus bangun dan ikut aku keluar dari rumah Hadi dan terus balik ke rumah kami. Masa kami sampai rumah, dah nak maghrib.

“Macammana dengan Hadi ni? Dia dah tahu nak buat apa?” tanya ayah sebaik sahaja aku turun dari motor.

“Macam kes Rashid dulu la ayah. Kena selesaikan, atau hantar benda tu balik, baru selesai. Selagi tak hantar balik, benda tu akan kacau terus.” Kataku.

“Masa Rashid masuk ke bilik Hadi, dah ada banyak benda tu. Tak tahulah macammana boleh jadi banyak sedangkan dia baca satu cerita je,” kataku cuba nak jelaskan pada ayah. Ayah pun diam je, samada dia tak faham atau dia terlebih faham.

Pukul 12.30 malam, Hadi whatsapp aku. Dia kata dia dah buka email tu. Dia kata dia makin takut. Aku suruh dia forward email tu kat aku, atau kalau ada link, forward kat aku juga.

Tak sampai 10 minit, Hadi dah forward semua email berkaitan blog itu kepada aku. Aku buka email pertama dan baca dengan hati berdebar.

KISAH KEDUA

 Mengenai kisah seorang lelaki yang sedang memandu kereta di sebuah jalan sunyi di tengah malam. Lelaki itu, Rizman, sedang dalam perjalanan pulang ke kampungnya kerana esok adalah hari perkahwinan adiknya, Razak.

Perjalanan yang memakan masa tiga jam itu, membuatkan Rizman mengantuk. Jam dah pukul 11 malam masa tu. Rizman bukan taknak pulang awal tapi dia tak dapat cuti. Dia ada meeting penting dengan klien pada pukul 8 malam tadi. Dan setelah semua selesai, barulah dia mula bergerak untuk pulang ke kampungnya.

Highway, biasalah, kiri kanan hutan. Pulak tu dah tengah malam. Yang ada Cuma lori besar yang bawa barang-barang je.

Radio pun tak berapa ok. Dia pasang lagu dari pendrive. Setelah jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam, sound di dalam kereta berhenti memainkan lagu sedangkan lagu itu datangnya dari pendrive, bukan dari radio.

Rizman mengetuk beberapa kali radionya dan menarik keluar pendrive lalu memasukkannya semula, masih tiada bunyi. Rizman putus asa, dia malas dah nak betulkan radionya. Rizman bersiul. Sedang dia bersiul, dia perasan sesuatu, siulannya ada yang mengajuk.

Rizman berhenti bersiul. Dan suara ajukan itu pun berhenti. Rizman pandang ke kiri dan kanan cermin kereta, hanya gelap. Rizman rasa itu Cuma perasaannya saja. Lau dia bersiul kembali.

Dan kali ini bunyi ajukan itu makin kuat, seperti di sebelah telinganya saja. Masa ni Rizman dah mula terasa ada sesuatu di dalam keretanya yang sedang duduk di tempat duduk belakang keretanya.

Rizman beranikan diri melihat ke belakang dari cermin tengah. Tiada apa-apa. Lalu Rizman fokuskan pemanduannya walaupun fikirannya dah tak betul.

Tiba-tiba radio kereta kembali berbunyi. Memasang lagu yang bersilih ganti seperti ada yang sedang menukar siarannya berkali-kali. Rizman cuba fokuskan dengan siaran radio itu kerana bunyi seperti diulang-ulang.

“Aku ada di belakang kamu. Jangan pandang, atau kau akan terkejut. Ini kawasan aku, kau salah masuk kawasan aku,” terdengar suara dari speaker radio.

“Siapa tu?” Rizman cuba bertanya.

“Aku di belakang kamu. Kamu dah masuk kawasan aku,” suara itu bergema lagi.

“Aku tak nampak sesiapapun di belakang aku. Jangan main-main,” kata Rizman.

Tiada sahutan lagi.

Rizman berhentikan keretanya di tepi highway. Dia menoleh ke belakang keretanya dan melihat ke segenap bahagian keretanya, tiada siapa. Rizman buka pintu kereta lalu keluar dan melihat sekeliling. Tiada kenderaan lain selain dari keretanya. Dan tiada lampu jalan juga, keadaan di situ hanya diterangi oleh lampu kereta Rizman semata-mata.

Rizman terkejut bila tiba-tiba pokok-pokok di tepi highway itu bergerak seperti ada yang melalui kawasan itu. Rizman memandang ke arah pokok-pokok itu kalau-kalau ada orang atau binatang yang lalu, tapi ternyata tiada siapa.

“Siapa tu?” tanya Rizman memberanikan diri. Tiada sahutan tapi ada angin sejuk menghembus ke wajah Rizman membuatkan Rizman tiba-tiba terasa tak selesa dan meremang bulu roma. Rizman kembali masuk ke dalam kereta.

Sebaik je Rizman masukkan gear, enjin kereta mati. Masa ni, Rizman dah mula rasa takut. Dia mencuba berkali-kali untuk menghidupkan enjin kereta tapi tak berjaya. Rizman ambil telefonnya, tapi telefonnya off. “Aik, takde bateri ke? Tadi aku dah cas penuh,” rungutkan sendirian di dalam kereta.

Dia cuba keluarkan bateri handphone dan masukkannya semula lalu cuba on balik telefonnya. Sedang dia menunggu hanphonenya on semula, tiba-tiba pintu keretanya diketuk dari luar. Rizman nampak seorang lelaki memakai jaket dengan penutup di kepalanya.

Rizman menurunkan sedikit cermin tingkap keretanya.

“Kereta rosak ke?” tanya lelaki itu.

“Saya tak tahu bang. Tiba-tiba enjin mati,” sahut Rizman walaupun masih was-was.

“Ni kalau enjin mati kat kawasan ni, maknanya ada yang menumpang ni. Kawasan keras ni,” kata lelaki itu lagi.

“Siapa yang nak menumpang? Dari tadi saya tak nampak sesiapa pun kecuali abang ni la,” kata Rizman.

“Maksud saya, sesuatu yang bukan dari alam kita. Dia memang suka mengganggu pemandu di kawasan ini.” Kata lelaki itu lagi.

“Jadi apa saya patut buat?” Rizman tanya dalam takut. Dia tak percaya lelaki itu juga tapi dalam masa sama dia tiada pilihan lain selain lelaki itu untuk menolongnya di masa ini.

“Buka penutup enjin, saya tengokkan. Tak boleh lama-lama kat sini,” kata lelaki itu lagi sambil melangkah ke arah depan kereta. Rizman pun menarik picu membuka penutup enjin kereta. Lelaki tadi membuka penutup enjin. Masa ni Rizman berbelah bahagi samada nak keluar dari kereta atau tak. Kalau lelaki itu bukan hantu sekalipun, dia mungkin perompak. Rizman memandang sekeliling, tak nampak apa-apa kenderaan. Jadi, lelaki itu menaiki apa untuk berada di situ?

Rizman memandang semula ke depan. Dia perasan dari celah penutup enjin tu, lelaki tadi sedang memandang tepat ke arah Rizman. “Cuba start enjin,” kata lelaki itu bila ternampak Rizman memandangnya.

Rizman pun memulas kunci kereta dan enjin kereta hidup. Sedikit senyuman di wajah Rizman. Lelaki tadi menutup penutup enjin dan melangkah ke arah Rizman. “Dah tu, jalan cepat sementara enjin masih hidup. Jangan berhenti kat mana-mana lagi,” katanya kepada Rizman.

Rizman masih ragu-ragu untuk membuka tingkap cermin tapi dia berasa dia perlu berterima kasih kepada lelaki itu.

“Takpe, tak perlu cakap apa-apa. Jalan cepat,” kata lelaki itu lagi.

“Terima kasih bang,” kata Rizman sambil menghulurkan sekeping kad namanya kepada lelaki itu dan disambut oleh lelaki itu.

“Abang call saya nanti ye. Sekarang saya gerak dulu,” kata Rizman sambil memasukkan gear. Lelaki itu hanya memandangnya saja.

Rizman berlalu pergi tapi matanya masih melihat di cermin sisi, memandang ke arah lelaki yang masih berdiri di atas highway. Semakin jauh Rizman meninggalkannya, semakin lelaki itu kelihatan tinggi dari saiz manusia biasa. Ketinggiannya melebihi pokok kelapa sawit yang di tanah di atas bukit di tepi highway.

Prangggg! Rashid terkejut bila terdengar bunyi kaca pecah di bahagian dapur rumahnya.

Rashid bangun dari kerusi dan melangkah ke pintu bilik. Dia membuka pintu biliknya perlahan. Sebaik pintu terbuka, seseorang berdiri di hadapan pintu biliknya. Seorang lelaki, memakai seluar jeans dan jaket dengan penutup di kepalanya!

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s