BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 3

“Kamu dah kenapa ni Rashid?” tanya ayah aku.

“Ada sesuatu berpaut kat kaki Hadi,” kataku masih menyorok di belakang ayah aku.

“Rashid, tolong aku. Benda ni taknak balik. Aku baru baca cerita pertama je. Aku tak berani buka cerita kedua,” kata Hadi.

“Tu apa kat kaki kau tu?” tanyaku tanpa pandang Hadi.

“Benda yang keluar dari cerita pertama tu la, aku tak tahu nak halau dia macammana. Tolong aku Rashid,” kata Hadi.

Kawan-kawan aku yang lain baru sampai dari tangga. Berkerut dahi mereka melihat Hadi yang cuba datang kepada aku tapi aku pula menyorok kat belakang ayah aku.

“Kenapa ni? Apa dah jadi?” ayah aku tanya kawan-kawan aku.

“Kami pergi ke bilik dia. Memang gelap bilik dia. Kami raba la suis lampu, kan pakcik kata tadi pasang lampu. Masa kami pasang lampu, dia berada kat bawah katil. Kami panggil dia tapi dia menggeletar, macam takut sangat tengok kami,” kata Irwan.

“Memang begitulah keadaannya sejak dia sakit ni,” kata ayah Hadi.

“Lepas tu kami panggil nama dia. Ternyata dia kenal kami semua. Dan dia suruh kami keluar dari bilik sebab ada benda sedang berdiri kat belakang kami dan dia sedang marah sebab dia tak suka kami jumpa Hadi.” Kata Ikram pula.

“Lepas tu Hadi tanya samada Rashid ada datang juga. Dan kami beritahulah bahawa Rashid ada kat tingkat bawah. Dan dia terus keluar dari bawah katil dan berlari ke sini,” kata Haziq.

“Ok, apapun yang terjadi, nak atau tak, kamu berdua kena selesaikan perkara ni. Nanti ayah minta bantuan Ustaz Hashim semula.” Kata ayah aku, sambil pandang aku dan Hadi. Kawan-kawan aku yang lain memandang kami dengan penuh tandatanya.

“Selesaikan perkara apa? Rashid, Hadi? Boleh kami bantu?” tanya Shahrul.

“Inilah blog yang aku cerita kat korang dulu. Apa saja cerita yang kita baca kat dalam blog tu, akan jadi nyata. Aku dah pesan kat Hadi, jangan join blog tu tapi dia berdegil nak join dan baca cerita kat dalam tu. Sekarang inilah yang terjadi,” kata aku dengan nada kesal. Aku betul-betul rasa marah tindakan Hadi. Dia dah lihat apa yang terjadi kat aku, tapi dia masih nak masuk ke dalam masalah ni. Sekarang, aku pula yang dipersalahkan.

“Baiklah, sekarang ni kita bukan nak cari salah siapa. Kita nak selesaikan masalah ni. Pakcik pun tak tahu apa sebenarnya yang terjadi, tapi pakcik akan bantu jika tenaga pakcik diperlukan,” kata ayah Hadi.

“Apa cerita pertama yang kau baca tu Hadi?” aku tanya Hadi.

Ia mengenai kisah sebuah rumah pusaka yang dah usang. Dalam rumah tu ada banyak perkakasan. Rumah pusaka itu pun dah lama ditinggalkan oleh warisnya kerana masing-masing dah merantau ke tempat lain mencari rezeki. Hinggalah satu hari, salah seorang cucu dalam keluarga ni kembali ke rumah berkenaan kerana ingin mengetahui kisah nenek moyangnya dulu. Namanya Azrul. Azrul masuk ke rumah tu lalu membuka tingkap sebab terlalu gelap dan tiada bekalan elektrik. Dalam rumah tu ada macam-macam benda.

Walaupun Azrul seorang diri kat dalam rumah tu, tapi dia terasa seperti ada mata yang memerhati dan memandang setiap gerak gerinya. Sesekali Azrul lihat kerusi malas rotan di ruang tamu seperti bergerak dan berhayun sendiri. Nak kata angin, memang tiada angin.

Azrul masuk ke dalam setiap bilik. Semua bilik masih tersusun cantik, dengan cadar dan barangan di atas meja solek. Cuma terlalu banyak habuk dan sarang labah-labah akibat lama ditinggalkan.

Sampai kat bilik utama, Azrul tolak pintu. Bilik itu tak seperti bilik-bilik lain. Bilik itu tiada habuk mahupun sarang labah-labah, dan semua barang tersusun rapi seperti ada yang menduduki bilik itu. Azrul memerhati keliling dan tiba-tiba dia terdengar satu suara dari luar bilik. Azrul cepat-cepat melangkah keluar. Tiada sesiapa. Dan masa ni pintu bilik utama tertutup sendiri dengan kuatnya, seperti seseorang dah marah sebab dia masuk ke bilik tu tadi.

Berderau darah Azrul. Dia tak berani masuk ke dalam bilik tu lagi. Tiba-tiba telefonnya berdering. Melompat jugak la dia akibat terkejut. Azrul buka telefonnya, Maklang menelefon.

“Azrul, kau kat rumah pusaka opah lagi ke? Marilah ke sini, Maklang dah siap masak ni. Kita makan sekali,” kata Maklang. Buat masa ni, Maklang seorang sahaja di kalangan adik beradik ayah Azrul yang masih menetap di kampung tu. Bila ditanya kenapa tak tinggal di rumah pusaka tu saja, Maklang kata rumah pusaka tu dah ada orang yang menjaga.

“Sekejap lagi Azrul datang Maklang,” sahut Azrul lalu menutup telefonnya.

Azrul berpusing semula nak tutup semua tingkap tapi masa ni dia ternampak kelibat seseorang melintas dari ruang tamu terus masuk bilik utama. Meremang bulu roma Azrul. Tapi hatinya nak sangat tahu siapa yang melintas tadi. Dia melangkah merapati ke bilik itu. Azrul dapat mendengar bunyi seorang perempuan ketawa halus di dalam bilik utama.

Perlahan-lahan Azrul tolak pintu bilik utama tapi belum sempat Azrul melihat ke dalam bilik tu, tiba-tiba Paklang memanggilnya dari luar rumah. “Azrul, cepat. Maklang dah membebel tu.” kata Paklang. Kereta Azrul ditinggalkan kat rumah Maklang. Azrul datang sini tadi berjalan kaki je, sebab rumah pusaka tu dekat je dengan rumah Maklang. Nak kata dekat sangat tu taklah, tapi disebabkan asyik dengan pemandangan kampung, maka tak terasa kaki dah jauh melangkah.

“Sekejap Paklang, saya tutup semua tingkap dulu,” kata Azrul.

“Tak payah, nanti ada la menutupnya,” kata Paklang.

Azrul terdiam bila Paklangnya berkata begitu. Paklang ni bergurau ke pun. Dan sememangnya Paklang seorang yang suka bergurau.

“Azrul, tunggu apa lagi kat dalam tu? Cepatlah, panas ni. Tak payah tutup semua. Nanti dia tutup sendiri,” kata Paklang.

“Siapa yang akan tutup?” tanya Azrul dari atasa rumah.

“Penjaga rumah ni la. Dah, jangan banyak tanya. Jom,” kata Paklang sambil menghidupkan enjin motornya yang dah mati sebab menunggu lama di situ.

Azrul pun tak banyak tanya dah sebab muka Paklangnya agak serius masa tu. Dia terus membonceng motor Paklang dan meninggalkan perkarangan rumah pusaka itu. Tapi Azrul sempat menoleh ke rumah tersebut, dan ternyata memang betul apa yang Paklang katakan, semua tingkap dan pintu rumah itu dah tertutup!

“Bila kamu nak balik KL?” tanya Maklang ketika makan tengahari.

“Petang nanti kot Maklang,” sahut Azrul sambil menikmati makan tengahari dengan lauk dan ulam kampung dengan suasana kampung yang tak dapat diperolehi di Kuala Lumpur.

“Maklang, barang-barang kat rumah pusaka tu, kita tak boleh ambil ke? Buat kenangan ke?” tanya Azrul.

“Kenapa? Ada benda yang kamu berkenan ke?” tanya Maklang.

“Saja tanya,” kata Azrul.

Dan tiada sahutan lagi, masing-masing sibuk dengan hidangan enak air tangan Maklang, adik kepada ayah Azrul.

Petang tu, selepas asar, Azrul memandu keretanya untuk pulang ke KL. Dia lalu kat kawasan rumah pusaka opahnya. Masa tu dia nampak satu bakul yang dianyam dengan daun mengkuang, terletak di atas tangga depan rumah.

Azrul berhentikan keretanya dan melangkah ke tangga tersebut. Dia mengambil bakul mengkuang tu dan membukanya. Ada sebilah keris dengan sampulnya sekali di dalam tu. Cantik sekali ukirannya.

Azrul mengambil bakul mengkuang itu bersamanya. Dia meletakkan bakul itu di dalam kereta disebelahnya dan terus meninggalkan perkarangan rumah usang itu.

Sesampainya Azrul di rumah, hari dah malam. Dia terus masuk ke rumah. Semua barangnya ditinggalkan kat dalam kereta. Esoklah baru dia ambil. Tapi Azrul membawa bersamanya bakul mengkuang yang diambil dari rumah pusaka opahnya untuk ditunjukkan kepada ayahnya.

“Ayah, ini Azrul ambil dari rumah pusaka opah. Ada sebilah keris kat dalamnya, cantik sekali ukirannya tapi bakul ni terletak kat tangga luar rumah.” Kat Azrul sambil menunjukkan bakul mengkuang tersebut kepada ayahnya. Wajah ayah Azrul berubah, macam nak marah pun ada.

“Kenapa kau ambil barang dari rumah pusaka tu? Siapa izinkan kau ambil?” tanya ayah Azrul.

“Tak boleh ambil ke ayah?” tanya Azrul. Ayah Azrul mengusap wajahnya berkali-kali.

“Itu semua barang pusaka. Kami adik beradik pun tak berani nak ambil sebab memang nak dibiarkan di situ sebagai kenangan kami bersama,” kata ayah Azrul.

“Azrul minta maaf. Azrul ambil sebab bakul ni cantik. Sayang sebab tak digunakan. Takpelah, kalau ayah tak selesa, nanti bila Azrul pergi rumah Maklang, Azrul akan hantar semula,” kata Azrul. Ayahnya tak menjawab. Azrul bawa bakul tu masuk ke biliknya.

“Jangan bawa masuk bakul tu. Tinggalkannya kat luar rumah,” kata ayah Azrul.

Azrul akur. Walaupun dia pelik dengan sikap ayahnya, tapi dia terpaksa akur kerana dia terasa seperti dia dah buat salah. Azrul letakkan bakul itu di tepi pintu utama. Lalu ke biliknya untuk mandi dan tidur.

Di tengah malam, ketika Azrul dan semua ahli keluarganya sedang tidur, ada seseorang atau sesuatu sedang berjalan merayau-rayau di dalam rumahnya. Benda itu menjalar di lantai, merayap ke segenap rumah.

Dan masa ni Hadi terdengar bunyi benda jatuh kat luar bilik rumahnya. Hadi bangun meninggalkan komputernya. Jam pukul 2.30 pagi masa tu. Hadi melangkah perlahan-lahan ke pintu bilik, membukanya perlahan-lahan. Rumah Hadi 2 tingkat. Bilik Hadi di tingkat atas, tapi dari bilik Hadi, dia boleh lihat ke ruang tamu di tingkat bawah.

“Dalam gelap tu, aku nampak sesuatu. Bukan orang. Sesuatu yang panjang, berwarna hitam dan besar. Nak kata ular, ianya terlalu besar. Takkan naga, sebab naga tak wujud, ia hanya dongeng. Aku masuk semula ke dalam bilik nak ambil lampu suluh, masa aku nak berpatah balik ke ruang tamu, benda tu dah berdiri kat depan pintu bilik aku. Ianya seperti seekor ular yang sangat besar, tapi kepalanya ialah kepala manusia dengan rambut putih yang panjang mengurai menutupi separuh dari ketinggiannya sendiri. Badannya bersisik dan hitam berkilat. Aku sangat terkejut dan takut masa tu. Aku menjerit kuat tapi tak siapa dengar. Dan aku tak sedar dah lepas tu. Sedar-sedar mak dan ayah aku duduk mengadap aku.” Kata Azrul bercerita.

“Lepas tu?” tanyaku semula.

“Lepas tu aku pandang keliling, takde apa. Aku beritahu mak ayah aku bahawa aku Cuma bermimpi ngeri. Jadi aku tidur semula. Bangun pagi, masa aku ke tandas nak mandi, aku lihat kat cermin, benda yang seperti ular berwajah manusia semalam tu ada ke atas kepala aku! Aku dah tak keruan. Aku jerit sampai mak ayah aku datang. Dan hinggalah sekarang, benda tu masih merayap kat atas badan aku. Malangnya, lepas sehari, dua hari, jumlah benda pelik tu bertambah. Aku tak buka komputer dan baca blog tu lagi, tapi jumlahnya makin bertambah. Aku takut Rashid, tolonglah hantar benda ni balik,” kata Hadi sambil menunjukkan ke arah kakinya yang sedang dipaut dek benda tu. Aku tak berani tengok, cukuplah aku nampak sekilas bayang je tadi.

“Kau yakin ke benda ni datang dari blog tu?” aku tanya.

“Aku tak tahu, tapi kenapa dia muncul lepas aku baca blog tu?” tanya Hadi.

“Kenapa kau tak pernah ceritakan kepada ayah?” tanya ayah Hadi tiba-tiba.

“Hadi takut ayah. Hadi takut pada benda ni, Hadi takut pada ayah. Benda ni sering membisikkan kata-kata kat telinga Hadi. Seperti nak Hadi ikut dia ke suatu tempat,” kata Hadi.

– Bersambung –

3 thoughts on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s