BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 2

Aku bangun melangkah masuk ke bilik. Aku buka whatsapp. Izat dah masukkan aku semula kat dalam group.

“Kau ke mana Rashid? Kenapa menghilang tanpa berita?” Haziq tanya.

“Haah, habis semua kami ni kau blok dah kenapa?” tanya Amirul pula.

“Sorrylah geng, aku sibuk sikit.” Sahutku pendek, tak tahu nak jawab apa.

“Sibuk kenapa? Kau sambung belajar ke?” tanya Zaidi pula.

“Takdelah, ada hal sikit,” sahutku.

“Apa kes yang kau cakap pasal blog berhantu tu? Cerita kau tak habis, tup tup kau dah blok kami semua,” kata Haziq.

“Tak payah la kita cakap pasal blog tu lagi. Buat tambah serabut je nanti,” sahutku.

“Kenapa pula? Bukankah kau yang beriya-iya bercerita kat kami dan minta kami percaya cerita kau?” tanya Zaidi lagi.

“Sudahlah, jangan tanya pasal hal blog tu lagi. Sekarang ni aku nak tanya, apa dah jadi kat Hadi? Aku dengar dia sakit, iye ke?” tanyaku, cuba mengubah topik.

“Aku pun dengar macam tu. Dah dua minggu dengar khabarnya,” sahut Ikram.

“Dia sakit apa weh?” tanya Amirul. Dia pun baru tahu agaknya.

“Patutlah dah lama tak dengar cerita dia. Dia pun dah lama tak berbual kat group. Ingatkan dah sentap kat sesiapa,” sahut Shahrul.

“Dah tu, Irwan remove dia kenapa?” tanya Haziq.

“Kan? Kalau dia ada kat dalam ni, bolehlah kita tanya dia terus,” sahut Amirul.

“Dia tak sihat, biarkan dia dulu,” sahut Irwan yang diam je sejak tadi.

“Dia sakit apa?” tanya Haziq.

“Aku dengar dari kawan dia, katanya dia macam dah tak berapa betul. Duduk je dalam bilik, mukanya sentiasa ketakutan. Asyik bercakap seorang diri. Taknak berjumpa sesiapa pun. Badannya dah kurus melidi, tapi dia kuat makan. Maknya kata sekali makan, sampai tiga pinggan pun boleh habis,” kata Ikram.

“Hish! Macam serius je bunyinya,” kata Shahrul.

“Haah, dengar khabar memang serius. Ayahnya dah bawa dia jumpa doktor biasa dan doktor pakar. Mereka semua kata dia tak mengalami apa-apa sakit, Cuma mungkin dia mengalami halusinasi. Doktor pakar suruh ayahnya bawa dia ke pakar psikiatri. Dah bawa juga tapi doktor tu kata Hadi dapat jawab semua soalannya dengan betul, menunjukkan Hadi ok. Otak Hadi boleh berfungsi dengan baik. Tapi doktor minta Hadi ditahan di wad supaya doktor boleh mencari punca Hadi jadi macam tu.” kata Ikram.

“Habis tu, Hadi masuk ke wad psikiatri ke?” tanya Amirul.

“Dia masuk sehari, lepas tu dengar cerita dia nak terjun dari hospital tu, mujur beberapa orang kat sana sempat tarik dia. Lepas tu ayahnya bawa dia balik.” Kata Ikram.

“Kesiannya dia. Jom kita lawat dia. Mana tahu kot-kot ada perkara yang dia boleh beritahu kita bila dia nampak kita,” kata Haziq.

“Ok juga tu. Hujung minggu ni ke? Ok tak?” tanya Ikram.

“Set, aku join,” sahut Amirul, Haziq, Irwan. Shahrul dan yang lainnya. Aku je yang tak jawab apa-apa. Aku cuba nak lari, tapi ayah aku dan kawan-kawan aku sendiri ajak aku pergi ziarah Hadi. Nak taknak, aku kena join. Dengan kawan aku boleh lari lagi, tapi dengan ayah aku, hmm… gelap je jalan aku kat depan tu.

Sampai hari yang dijanjikan, aku pergi ke rumah Hadi bersama ayah aku. Kawan-kawan aku pun berkonvoi ke rumah Hadi. Kami berjumpa di sana. Masa kami sampai, mak ayah Hadi menyambut kehadiran kami dengan mesra dan senyuman manis. Tapi aku nampak riak risau dan sedih di wajah mak Hadi.

“Hadi mana pakcik, makcik? Dia sakit apa sebenarnya?” tanya Haziq memulakan topik punca kami semua datang melawat Hadi.

“Dia ada di biliknya. Macam tu la sejak tiga minggu yang lepas.” Sahut ayah Hadi dengan wajah sugul.

“Hari tu ada minta air penawar dari Tok Imam masjid kan? Takde kurang ke sakitnya?” tanya ayah aku.

“Sama macam tu juga. Dah tak tahu nak berubat kat mana dah. Sekarang ni tawakkal aje la,” sahut ayah Hadi.

“Apa puncanya?” tanya ayah aku lagi.

“Kami pun tak tahu. Malam last sebelum dia jadi macam ni, dia elok je, ok je dia. Makan dengan kami, tengok tv, sembang macam biasa. Takde tanda apa-apa pun. Bangun pagi tu, masa nak kejut dia solat subuh, dia meniarap di bawah katil, terketar-ketar. Sambil menunjuk ke arah almari bajunya. Bila kami buka almari bajunya, dia menjerit dan lepas tu dia meracau-racau. Kami pun naik seram tengok dia, dia bercakap seorang diri. Ada masa dia kata ada hantu duduk kat siling rumah. Lepas makan dengan kami, dia pergi makan lagi. Bila kami kata tadi dia dah makan, kenapa nak makan lagi. Katanya dia belum makan. Padahal kami yakin dia duduk sebelah kami makan sampai tiga pinggan. Dia kata itu bukan dia. Kalau bukan dia, habis tu siapa? Kami pun dah buntu,” kata ayah Hadi memberitahu keadaan Hadi.

“Boleh kami tengok Hadi, pakcik?” tanya Ikram.

“Boleh. Naik tangga tu, bilik dia kat hujung sekali. Tolak je pintu tu, ada dia kat dalam tu. Bilik dia gelap, dia tak bagi kami buka tingkap atau langsir. Korang pasanglah lampu, kalau tak nanti tak nampak dia,” kata ayah Hadi.

Kawan-kawan aku terus bangun dan melangkah ke tangga untuk ke bilik Hadi. Kecuali aku.

“Kau taknak pergi tengok Hadi ke Rashid?” tanya ayah Hadi.

“Haah Rashid, kau taknak ikut ke?” tanya Irwan pula dari tangga bila lihat aku tak ikut mereka.

“Takpelah, korang naik dulu. Nanti aku datang,” sahutku. Ayahku nampak tenang, tak tanya aku apa-apa.

“Hadi ni suka main komputer ke?” ayahku mulakan bicara.

“Dia memang suka main komputer. Main game la, internet entah apa-apa lagi la. Saya ni tak berapa pandai hal budak sekarang ni. Lebih serabut dari zaman kita dulu, walaupun kita dulu lebih nakal dari mereka,” kata ayah Hadi.

Masa ni ayah aku jeling aku. Aku angkat tangan dan bahu buat isyarat ‘apa?’ Ayah aku buat isyarat mata pulak dah. Dia pandang aku dan jeling ayah Hadi, silih berganti, berkali-kali. Dan aku masih buat isyarat ‘apa?’. Aku memang tak faham apa yang ayah aku nak aku buat.

“Kenapa ni? Macam ada perkara yang nak diberitahu je,” kata ayah Hadi tiba-tiba bila melihat kami dua beranak main bahasa isyarat.

“Begini, saya tak pasti samada perkara ni ada kena mengena atau tak. Tapi tak salah kalau kita cuba ikhtiar,” kata ayah aku.

“Betul tu. Sekarang ni saya akan ikhtiar apa saja,” kata ayah Hadi.

Ayah aku pandang aku lagi. “Kau cakaplah Rashid, apa perkara terakhir Hadi kata dia nak buat malam tu, sebelum dia jatuh sakit.” Kata ayah aku, kali ni dia tak jeling aku, tapi dia pandang aku tepat, macam harimau nak makan orang.

“Hadi ada cakap apa-apa kat kamu ke Rashid? Beritahulah pakcik, jangan risau, pakcik bukan nak cari salah sesiapa sekarang ni, Cuma pakcik nak selesaikan masalah ni je,” kata ayah Hadi, buatkan aku rasa serba salah. Sedaya upaya aku taknak buka mulut pasal hal ni. Tapi apakan daya, ayah aku pandang aku dengan pandangan menakutkan, ayah Hadi pula pandang aku dengan wajah penuh harapan.

“Begini pakcik, perkara ni nampak macam kelakar dan khayalan semata-mata. Susah bagi sesiapa nak percaya. Walau kawan rapat saya pun tak percaya. Dulu saya ada join satu blog ni. Blog cerita hantu. Ini perkara biasa, sesiapa pun boleh tulis blog. Dan boleh dibaca oleh sesiapa juga. Tapi blog ni lain macam sikit, apa yang diceritakan dalam blog tu, terjadi betul-betul di alam nyata ni.” Kataku memulakan cerita pasal blog “Makhluk Tak Terlihat”.

Ayah Hadi dan ayah aku pandang aku dengan mata yang terkebil-kebil. Aku tahu ayah Hadi tak faham apa yang aku cuba sampaikan. Ayah aku pun sebenarnya tak faham tapi sebab dia dah lalui perkara ni bersama aku dulu, dia faham la sikit-sikit.

“Saya ceritakan pasal blog ni kat Hadi. Mula-mula dia pun tak percaya. Malam pertama blog tu cerita pasal Pontianak, betul-betul Pontianak tu berdiri kat luar tingkap rumah saya. Malam kedua, cerita blog tu pasal toyol. Dan memang toyol tu masuk ke rumah saya dan ambil duit ayah saya. Malam ketiga, pasal mayat yang bangun semula setelah dilangkah oleh kucing hitam. Dan betul-betul saya berjumpa dengan kawan saya yang saya sangka masih hidup, tapi Hadi beritahu saya bahawa kawan kami tu dah meninggal dunia. Kebetulan Hadi kenal keluarga kawan kami tu, dia yang temankan saya pergi berjumpa keluarga kawan saya. Di situlah baru Hadi percaya akan perkara yang saya ceritakan pasal blog berhantu tu.” kataku lagi.

Dan sama seperti tadi, ayah Hadi masih memandang aku dengan mata yang terkebil-kebil. Aku tak tahu samada dia tak faham atau dia berminat sangat dengan cerita aku. Ayah aku pula bagi isyarat supaya aku teruskan cerita aku.

“Saya berusaha mencari jalan untuk selesaikan hal kawan saya yang dah meninggal tu. Dan segalanya selesai akhirnya. Hadi pun tahu pasal ni. Dia amat berminat nak join group tu walaupun saya dah larang sekeras-kerasnya sebab saya taknak perkara yang sama terjadi kat saya, akan terjadi kat dia pula. Saya dah ugut dia bahawa kalau dia teruskan join group tu, saya akan putus kawan dengan dia. Tapi dia degil sampailah malam tu dia beritahu saya bahawa dia dah join dan akan terima cerita baru malam itu juga. Dan sebab saya masih trauma dengan apa yang saya dah lalui melalui blog tu, maka saya tak sanggup nak dengar cerita dari Hadi lagi pasal blog tu. Saya terus blok dia dan langsung tak berhubung dengan dia sampai hari ini,” kata aku mengakhiri cerita aku.

Dan ayah Hadi masih mengangakan mulutnya mendengar cerita aku.

Ayah aku tepuk bahu ayah Hadi perlahan-lahan. “Saya pun tak berapa tahu selok belok alam siber budak sekarang, tapi kita boleh ikhtiarkan sesuatu, manalah tahu kalau blog itu puncanya,” kata ayah aku. Ayah Hadi menarik nafas panjang dan bersandar di kerusinya.

“Saya pun tak tahu nak cakap apa. Saya tahu la sikit-sikit pasal blog dan media sosial ni tapi tak pernah lagi saya dengar pasal cerita dalam blog boleh jadi nyata. Mustahil,” kata ayah Hadi. Kali ini giliran aku pula pandang ayah aku.

“Saya pun mula-mula tak percaya. Tapi bila saya panggil Ustaz Hashim, Ustaz Hashim kata tiada yang mustahil andai itu yang Allah izinkan. Dan saya terpaksa percaya bila apa saja yang Rashid beritahu saya, diakui betul oleh Ustaz Hashim.” kata ayah aku.

“Baiklah, andai ini yang perlu saya ikhtiarkan, saya akan ikhtiarkan, agar Hadi kembali sihat,” kata ayah Hadi. Ayah aku anggukkan kepala.

“Jadi, apa yang kita perlu lakukan?” tanya ayah Hadi pandang ayah aku dan ayah aku pandang aku. Eh eh, berangkai pula pandangan kami ni kan.

“Saya perlu tengok komputer Hadi. Saya nak tahu apa cerita yang dia dah baca kat dalam blog tu,” kata aku lagi, dan sesungguhnya aku memang tak berani.

“Boleh, kamu pergilah ke bilik dia, tengoklah apa yang kamu nak tengok. Pakcik izinkan,” kata ayah Hadi.

“Tapi saya taknak jumpa Hadi,” kataku membuatkan ayah Hadi dan ayah aku pandang aku dengan dahi yang berkerut.

“Kalau kau tak jumpa Hadi, macammana kau nak tahu apa yang dah jadi kat dia?” tanya ayah Hadi.

“Saya takut,” kataku dan ayah aku tepuk belakang kepala aku membuatkan aku terkejut. Ayah Hadi tersenyum je pandang ayah aku buat macam tu kat aku.

“Rashid! Kau kena tolong aku!” tiba-tiba aku dengar seseorang panggil aku dari arah tangga. Ayah aku dan ayah Hadi pun turut sama memandang ke arah tangga.

Kelihatan Hadi berlari menuruni tangga dan berlari ke arah aku. Rupa Hadi dah macam zombie aku tengok. Meremang bulu roma aku. Masa Hadi lari ke arah aku tu, aku macam nampak sekilas bayangan sesuatu yang panjang sedang berpaut di kaki Hadi. Aku dah takut, aku menyorok belakang ayah aku.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s