BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Bab 1

“Lama dah kau tak keluar dengan Hadi kan Rashid? Kenapa?” tiba-tiba je mak aku tanya masa aku tengah makan tengahari. Nyaris nak tersembur nasi dari dalam mulut aku bila mak aku sebut nama Hadi tu.

Dah sebulan berlalu, aku betul-betul putuskan hubungan aku dengan Hadi. Aku dah blok di semua media sosial, whatsapp, facebook, instagram dan apa saja la. Aku dah log out semua facebook instagram dan dah sebulan juga aku tak log in semula. Aku trauma.

“Haah mak, masing-masing sibuk sekarang ni,” jawabku cuba menutup wajah cuak aku bila nama tu mak sebut kat depan aku.

“Dulu dia rajin datang sini. Tapi sekarang takde dah. Dia sihat ke?” tanya mak aku.

“Entahlah mak. Dah lama Rashid tak jumpa dia.” Sahutku masih makan gulai tempoyak dengan ikan terubuk bakar dengan sambal asam, sikitpun cuak aku tak putuskan selera aku.

“Cubalah call dia. Mana tahu dia tak sihat. Mak ayahnya apa khabar, lama tak jumpa mereka,” kata mak aku. Aku buat tak tahu je. Aku makan je terus. Hadi memang rapat dengan keluarga aku. Maklumlah aku dan Hadi dah berkawan sejak tadika lagi, bayangkanlah anniversary kami dah berapa lama. Mak ayah aku dengan mak ayah dia pun dah saling mengenali, mereka pun secara tak langsung dah jadi rapat.

Habis makan aku terus bangun dan capai beg aku. Aku kena balik ke pejabat. Lepas aku keluar pagi tadi, aku belum masuk ke office balik. Ni aku masuk lepas lunch ni, tengoklah muka Kak Rosmah macammana nanti.

Petang tu balik dari tempat kerja, aku terus ke padang futsal. Hari ni ada perlawanan akhir. Team aku lawan dengan team Telekom. Aku yakin team aku menang.

Masa aku sampai kat padang futsal, aku nampak seseorang di sebalik pokok besar di hujung padang. Seorang lelaki, berdiri tegak kat tepi pokok, dengan pakaian lusuh, rambut kusut masai. Masa aku sedang cuba mengecam lelaki itu, seseorang menepuk belakang aku. Melompat aku sekejap.

“Eh eh, penakut rupanya, Nampak ligat kat padang tapi aku tepuk sikit dan melompat macam nampak hantu,” kata Irwan sambil ketawa melihat muka aku yang terkejut.

Aku jeling Irwan sambil mengusap dada aku. Aku pandang semula ke arah pokok besar kat sebelah sana padang. Tapi lelaki tadi dah takde kat situ. Aku gosok mata aku dua tiga kali, tapi memang takde sesiapa di situ.

“Kau tengok apa Rashid?” Tanya Irwan sambil sama-sama memandang ke arah pokok besar tu.

“Tadi aku macam nampak seseorang berdiri kat situ, pandang kat kita kat sini. Pakaiannya lusuh, rambutnya kusut masai,” kataku.

“Entahlah, aku tak nampak sesiapapun kat situ.” Kata Irwan sambil masih memandang ke pokok besar itu.

“Rashid! Irwan! Cepatlah.” Aku dengar ketua pasukan kami, Azizul memanggil.

“Jom cepat Rashid, Azizul dah memanggil,” kata Irwan sambil menepuk bahu aku dan berlalu pergi. Aku pun cepat-cepat mengikat tali kasut aku dan berlari ke tengah padang.

Aku tak tahu kenapa aku tak dapat fokus dengan permainan ni petang ni. Mata aku asyik nak pandang ke arah pokok besar tu. Sesekali memang aku ternampak seorang lelaki berdiri di situ. Aku yakin.

“Rashid! Kau gol kat tempat sendiri! Kenapa kau ni Rashid? Fokus la,” aku dengar suara Azizul memarahi aku. Semua mata memandang aku.

“Aku minta maaf, aku hilang fokus la petang ni.” Sahutku.

“Takpe, kita ada masa lagi. Jangan berangan lagi,” kata Azizul lagi.

Dan aku cuba membuang bayangan lelaki kat pokok besar tu. Dan keputusannya team aku menang 3-2. Yes! Hadiahnya, pihak yang kalah kena belanja pihak yang menang di tempat yang ditentukan oleh pihak yang menang. Saja je suka-suka sebenarnya, sambil seronok main, dapat amalkan hidup sihat.

Aku sampai rumah masa tu dah pukul 7 malam, ayah aku dah jeling semacam sebab aku balik dekat nak maghrib. Ayah aku nak aku pergi masjid ikut dia berjemaah sekali tapi kalau aku dah balik lambat, dah tentu tentu la aku tak boleh nak ikut dia.

Lepas solat maghrib aku ke dapur, tengok kakak aku sedang hidangkan makan malam. Aku duduk kat kerusi, melihat-lihat menu makan malam, aku tercari-cari gulai tempoyak siang tadi. Nasib baik ada lagi. Tapi terubuk bakar dah habis. Kakak aku ganti dengan pekasam sepat je. Aku lapar ni.

Tak lama kemudian, mak aku muncul. “Dah siap hidang ke Hana?” mak aku tanya kakak aku. “Siap dah mak,” sahut kakak aku sambil menyedok nasi ke dalam mangkuk.

Lepas tu Haziq pula muncul. “Dah boleh makan ke mak? Lapar lah,” katanya sambil menggosok perutnya. Aku jeling je dia, dia ingat dia seorang je lapar? Aku ni lagi la, dah la ambil lunch awal tadi, tak makan petang, main futsal, sampai sekarang belum makan lagi.

“Korang ni, kalau puasa tu pandai pula tahan lapar?” kata kakak aku. Macam tahu je apa yang terdetik kat hati aku.

“Tunggulah ayah, kita makan sekali.” Kata mak aku.

“Lambat pula ayah balik malam ni mak,” kata Haziq sambil.

“Entahlah, ada jumpa kawan agaknya,” kata mak aku.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian, ayah aku bagi salam. Cepat-cepat Haziq pergi buka pintu. Ayah aku masuk dan pandang aku semacam. Aku tunduk je, tak habis lagi marahnya.

Kami duduk makan bersama. “Lambat pulak abang balik maghrib malam ni. Ada ceramah ke?” tanya mak sambil kami makan tu.

“Abang terserempak dengan Zali. Sembang kejap dengan dia. Dia beritahu pasal Hadi,” kata ayah. Mula-mula aku buat tak tahu je, sibuk dengan tempoyak dan pekasam aku. Tapi bila kakak aku cuit peha aku kat bawah meja, baru aku pasang telinga.

“Baru siang tadi saya tanya Rashid pasal Hadi, katanya dah lama mereka tak berhubung,” kata mak.

“Abang pun dah lama tak nampak Zali kat masjid. Hari ni pula nampak dia. Dia minta Tok Imam buat air penawar untuk Hadi.” Kata ayah, aku tetap pasang telinga tapi aku tak masuk campur. Aku buat tak dengar je.

“Kenapa pula dengan si Hadi tu?” tanya mak aku.

“Dah dekat sebulan, dia macam orang tak betul. Bila malam meracau-racau. Ada masa dia tak kenal mak ayahnya. Dia pernah tolak mak dia sampai jatuh, katanya mak dia tu hantu. Dah bawa ke klinik, ke hospital, ke pakar semua, tapi semua doktor kata dia tak sakit. Tu yang dia cuba nak berubat kampung atau minta air penawar pula tu.”

“Kesiannya dia. Sakit apa pula dia?” tanya mak. Ayah diam dah.

“Rashid, kau tak berhubung dengan dia langsung ke lepas kes haritu?” tanya mak aku sambil pandang aku. Aku tak jawab, hanya gelengkan kepala.

Ayah aku pandang aku dengan pandangan lain macam. Hati aku tak tenang dah. Mujur aku dah kenyang. Kalau tak, mahu aku bangun dan basuh tangan waktu tu juga. Macam ada sesuatu je dalam jelingan ayah. Cuma ayah taknak cakap je.

Lepas makan, ayah ke masjid semula untuk solat isya’. Aku duduk depan tv. Aku ambil telefon aku. Aku unblock semua kawan aku semula termasuk Hadi.

Aku hantar whatsapp kepada Izat. Saja la kononnya nak tanya khabar.

“Mana kau menghilang sebulan ni Rashid? Kawan-kawan cari kau,” balas Izat.

“Aku buzy kat tempat kerja. Petang atau cuti aku masuk team futsal.” Jawabku.

“Kalau iye pun buzy, tak payah la block semua kawan. Senang cakap, kau memang nak buang kawan kan?” balas Izat, macam ada nada kecil hati di sana.

“Takdelah. Ok, aku minta maaf. Aku dah unblock semua.” Balasku, memang aku yang salah sebab block semua kawan aku. Tapi mereka tak tahu kenapa aku buat macam tu.

“Sekejap aku masukkan kau ke group kita semula,” kata Izat.

“Eh, sekejap. Kau group tu ada Hadi ke?” tanyaku.

“Ada, tapi dia tak macam dulu, dia sakit,” kata Izat.

“Dia sakit apa?” tanyaku.

“Tak tahulah, tapi perbualan terakhir dia kat group, katanya dia dah join blog yang kau pernah cerita dulu. Malam tu sepatutnya cerita seram pertama yang keluar. Keesokan harinya kami tanyalah dia, hantu apa yang keluar? Dia tak jawab dah. Dia ada hantar voice message tapi hanya suara HAAAAAA, seram weh bunyinya,” kata Izat.

“Lepas tu, dia takde sembang kat group dah ke?” tanyaku lagi.

“Takde dah. Kami call pun, yang jawab bunyinya sama, HAAAA…… Siapa berani nak call dia lagi. Jom kita sembang kat group. Banyak cerita pasal Hadi sekarang ni,” kata Izat.

“Kau remove Hadi dulu, baru masukkan aku,” kataku.

“Hish kau ni, penakut sangat. Dia tak boleh buat apa-apa la,” kata Izat.

“Izat, aku dah lalui pengalaman dengan blog tu. Aku trauma. Ceritanya panjang. Tak payahlah kau tahu. Sekarang ni aku cuma nak tahu apa dah jadi kat Hadi je,” kataku lagi.

“Iyelah, aku remove nombor Hadi dulu. Lepas tu aku masukkan kau,” kata Izat.

Tak lama lepas tu, aku dengar ayah aku bagi salam. Aku buka pintu dan terus melangkah nak masuk bilik.

“Rashid, tunggu kejap. Ayah nak cakap sikit,” kata ayah sambil menutup pintu. Ayah terus duduk kat sofa. Aku baru je nak lari, tak sempat la pula. Haish, kenapa mengadap ayah aku ni, mesti banyak soalan dari jawapan.

“Kamu memang takde berhubung dengan Hadi langsung?” tanya ayah.

“Takde ayah,” sahutku.

“Kenapa?” ayah tanya.

“Takde apa, masing-masing sibuk kerja,” sahutku.

“Betul ke sebab tu? Atau ada sebab lain?” tanya ayah aku dengan pandangan sinis dia sekali.

Aduh, dengan ayah aku ni, dia psiko aku mengalahkan sesi soal jawab kat dalam lokap. Memang aku kalah dengan ayah aku.

“Lepas kes haritu, memang Rashid tak campur dah semua ni. Rashid pun block semua contact kawan yang tahu pasal kisah tu dah. Rashid nak lupakan pasal tu,” kataku berterus terang dengan ayah.

“Hah, cakap macam tu terus dari tadi kan senang? Tak payah nak perah otak cari alasan,” kata ayah.

“Hadi ada cakap apa-apa tak sebelum kamu block dia?” tanya ayah lagi.

“Memang dia ada cakap dia nak join blog hantu tu, tapi tak tahulah dia main-main atau serius,” kataku.

“Mak ayah dia tahu tak pasal kes kamu haritu?” tanya ayah.

“Entahlah, Rashid tak tahu samada Hadi ada beritahu mak ayah dia atau tak,” kataku.

“Hujung minggu ni kita pergi lawat Hadi,” kata ayah sambil bangun dari sofa, menanggalkan kopiahnya dan melangkah masuk ke bilik.

Aku? Terkebil-kebil pandang ayah aku. Aku nak bantah, tapi aku tak berani. Beriya-iya aku suruh Izat remove Hadi dari group sebab taknak langsung ada hubungan dengan Hadi, tapi sekarang ayah aku ajak aku hadap face to face pula dengan Hadi. Aku ada pilihan tak?

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s