C-3-16, BBS

Bab 10 (AKHIR)

“Jadi kita kembali ke cerita asal, kamu berdua ni sebenarnya menyewa kat flat mana?” tanya Kak Sal semula kat kami yang masih terpinga-pinga mencari jawapan.

“Kami pun tak pasti, nanti kami tengok balik. Mungkin kami silap kot. Maklumlah, baru dua hari,” kataku memberi jawapan.

“Takpelah, cuma jangan silap masuk rumah, lain pula jadinya nanti,” kata Kak Sal lagi, kembali menghadap air minumannya yang belum habis.

Aku dan Aliya pula terus bangun sebab kami dah selesai bersarapan. Lepas membayar harga makanan, aku dan Aliya melangkah meninggalkan warung tersebut dan pergi ke kaki lima kedai yang belum buka kerana masih awal pagi. Di situ aku kami duduk sekejap di kerusi kosong.

“Sue, kau fikir tak, apa yang aku fikir?” tanya Aliya.

“Kau fikir apa?” tanyaku semula walaupun aku rasa aku dan Aliya sedang memikirkan perkara yang sama.

“Semalam Kak Piah ceritakan perkara yang sebiji sama macam apa yang orang kat warung tu ceritakan tapi Kak Piah kata perempuan yang mati gantung diri tu adalah sejarah kat rumah tu. Tapi kalau ikutkan cerita dan nama, perempuan yang gantung diri tu adalah Kak Piah la kan? Aku keliru dah sekarang ni,” kata Aliya.

“Aku pun keliru juga. Tapi kalau ikut dari apa yang mereka ceritakan, nampak macam Kak Piah la perempuan yang gantung diri tu. Dan Kak Piah kata ada dua orang lagi yang menyewa rumah tu akan balik sabtu nanti kan? Namanya Mirza dan Nisa. Tapi kalau ikut cerita mereka tadi, Mirza dan Nisa adalah adik Kak Piah yang turut terkorban dalam kebakaran di kampung mereka.” Kataku.

“Kau perasan tak, Kak Piah kata kat bilik kita ada seorang lagi kan. Tapi takde pun baju atau perkakasan dalam bilik tu kan? Takkanlah mereka balik kampung, angkut semua barang balik. At least, buku dan baju mesti tinggal kat bilik kan?” kata Aliya lagi.

“Satu cara je kita nak pastikan bahawa kita dah duduk di rumah manusia atau hantu, jom kita balik ke flat. Kita tengok dari bawah, adakah rumah kita tu ada tanda pangkah dengan cat merah macam yang mereka ceritakan tadi,” kataku memberi cadangan.

“Haah, betul juga tu. Jom kita tengok,” kata Aliya.

Aku dan Aliya berjalan laju kembali semula ke flat kami. Kami berdiri di arah bertentangan dari rumah kami. Kami lihat pintu flat kami dari tempat parking kereta yang terletak di tengah-tengah kawasan flat tu. Memandangkan kami memang tak pernah duduk flat, jadi kami agak keliru yang mana satu pintu rumah kami. Semuanya nampak sama je.

Kami cari blok C, memang takde. Kami cari nama blok flat kami. Dan memang betul seperti apa yang mereka cakap bahawa nama blok itu ialah Blok Seri Teratai. Dari bawah, kami kira bilangan pintu, betul, hanya ada 10 pintu di setiap tingkat. Kami pandang ke tingkat 3, betul memang ada satu pintu yang ditanda pangkah dengan cat merah. Hati kami dah berdebar-debar.

Kami kira dari nombor pintu dari lif sebab lif berada di tengah lif, lima pintu ke kiri dan 5 pintu ke kanan. Rumah kami di pintu ke 3 selepas lif. Dan BINGGO! Rumah di pintu ke 3 itulah yang bertanda pangkah dengan cat merah. Dan dengan sendirinya, kami berdua terduduk, kaki kami jadi lemah. Tangan terasa berpeluh-peluh seketika. Aku dan Aliya duduk tertunduk di kawasan parking kereta tu. Kami tak mampu nak tengok rumah itu. Kami keliru.

“Sofea itu Kak Piah?” Aliya bersuara perlahan. Aku diam tiada jawapan.

“Kalaulah perempuan yang gantung diri itu Kak Piah, maknanya dua malam kita di rumah tu, kita tinggal dengan hantu Kak Piah?” Aliya masih bertanya perlahan, dan aku masih tiada jawapan.

“Kita makan dengan dia, berjalan dengan dia, bersembang dengan dia, tidur dengan dia. Kita tak nampak orang lain sebab dia dah kaburkan kita? Dia nak kita teman dia? Dia nak kita gantikan adik-adik dia yang dah terkorban tu?” Aliya bertanya dan terus bertanya tapi aku masih diam, tak tahu nak jawab apa.

Dalam soalan dah ada jawapan. Dalam jawapan tu timbulnya soalan. Segalanya kebetulan atau dah ditakdirkan?

Aku angkat kepala memandang ke rumah kami semula. Nak pastikan betul ke itu rumah yang kami duduk selama dua hari ini. Dan masa ni aku nampak pintu rumah tu terbuka. Dan aku nampak Kak Piah, dengan baju berwarna putih, rambutnya panjang sampai ke lantai, matanya memandang kami yang berada di bawah. Dia berdiri di muka pintu, menggamit kami dengan tangannya yang kelihatan seperti ranting kayu yang terbakar.

Aku cuit Aliya, Aliya pandang aku. Aku suruh Aliya tengok tengok ke arah rumah kami. Aliya mendongak.

“Kau nampak tak apa yang aku nampak?” tanyaku. Tapi dari air mukanya, aku tahu dia nampak apa yang aku nampak.

Belum sempat Aliya menjawab soalan aku, tiba-tiba handphone Aliya berbunyi. Melompat aku dan Aliya akibat terkejut. Cepat-cepat Aliya angkat angkat begnya yang tercampak kerana terkejut tadi. Maksu! Pantas je Aliya menjawab panggilan tu.

“Maksu!” Jerit Aliya di telefon.

“Aliya, kamu ke mana? Telefon tak jawab, mesej pun tak reply. Semua orang risau. Ayah Sue dan ayah kamu dah buat report polis dah,” kata Maksu di hujung talian.

“Report polis? Kenapa?” tanya Aliya pula.

“Sebab kamu berdua tak dapat dikesan dah dua minggu,” kata Maksu lagi.

“Dua minggu??” tanya Aliya semua sambil membulatkan matanya.

Mendengarkan perbualan Aliya dengan Maksu, buatkan aku terus keluarkan handphone aku dan call mak aku pula.

“Assalamualaikum Mak. Sue ni,” kataku bila mak aku jawab telefon tak sampai dua kali deringan.

“Waalaikumussalam Sue. Kamu kat mana ni? Kenapa tak call mak? Kenapa tak reply mesej mak? Kamu sihat ke? Ya Allah, mak dah tak tentu hala mencari kamu ni. Dua minggu hilang tanpa berita lepas kau ke KL. Ayah kamu dah berapa hari minta cuti nak cari kamu,” kata mak aku bertalu-talu soalannya di hujung talian dengan esak tangis.

“Ya Allah mak. Sue minta maaf sangat. Ada perkara yang dah berlaku tapi mak jangan risau, Sue dan Aliya selamat, kami sihat kat sini.” Kataku memujuk mak aku walaupun hati aku dah berderau dan otak aku dah ligat berpusing mencari jawapan. Dua minggu??? Kami baru duduk kat sini dua hari kot.

“Kamu beritahu kamu kat mana? Ayah dan mak nak datang,” kata mak aku.

“Nanti dulu mak. Mak tenang je, Sue dan Aliya takde apa. Ada perkara yang Sue nak selesaikan, sebaik je habis, Sue telefon mak semula. Sue janji,” kataku.

“Kamu jangan lama sangat, ayah kamu dah ajak mak pergi KL hari ini juga. Haritu kami dah ke KL, dah buat report kat sana. Tapi ni dah lepas seminggu buat report, takde berita. Tu pasal ayah kamu ajak mak ke sana,” kata  mak lagi.

“Mak cakap kat ayah, jangan datang lagi. Sue ada dengan Aliya ni. Sekejap lagi kami jumpa Maksu Aliya. Mak jangan risau ye,” kataku masih memujuk mak aku.

“Ok, nanti bila dah jumpa Maksu Aliya, suruh dia call mak. Mak nak cakap dengan dia. Nak pastikan betul ke kamu dah jumpa dia. Faham??” Mak aku bagi amaran. Adehh… Dalam keadaaan ni pun mak aku masih nak warning aku. Namapun mak, mestilah dia risau lebih dari kita sendiri kan.

Aku putuskan talian aku dengan mak aku. Aku pandang Aliya.

“Apa kata Maksu?” tanyaku.

“Maksu kata dia datang sini sekarang. Dia kata jangan masuk ke rumah tu. Jangan tengok ke rumah tu lagi. Pergi tunggu kat tempat lain,” kata Aliya.

Tanpa berfikir panjang, aku dan Aliya terus meninggalkan kawasan parking kereta di Blok Seri Teratai tu. Kami duduk di satu kerusi yang diletakkan di pintu masuk ke kawasan flat tu, menunggu Maksu datang.

“Maksu kata dah dua minggu kita tak dapat dihubungi. Kau rasa pelik tak?” tanya Aliya.

“Mak aku pun sama, dia kata dia mula call aku pada malam kita datang KL. Takde sahutan. Tak dapat talian. Ayah aku dah datang KL dan buat report polis pun pasal kehilangan kita,” sahutku.

“Samalah,” sahut Aliya pendek. Dah kehabisan kata-kata. Kami buntu, tak tahu apa yang sedang berlaku.

“Kita datang sini hari Sabtu kan? Hari ini baru Isnin kan? Maknanya baru dua hari kan? Ke aku yang salah kira?” kataku. Aliya mengangguk.

“Eh, sekejap. Hari ini berapa haribulan?” aku bersuara sambil keluarkan handphone aku semula.

“18 haribulan? Kita sepatutnya daftar kolej pada 8 haribulan, sekarang dah 18 haribulan? Kita datang KL pada 5 haribulan kan? Maknanya betullah kita dah berada di sini dua minggu?” tanyaku pada Aliya.

“Hish, cuba tengok betul-betul. Handphone kau dah salah setting ke?” tanya Aliya sambil mengeluarkan handphonenya pula.

“Iyelah, hari ini 18 haribulan,” katanya setelah melihat tarikh di handphonenya.

“Betullah kita dah berada di sini dua minggu?” kataku.

“Maknanya dah dua minggu kita tinggal di rumah tu bersama Kak Piah?” tanya Aliya pula.

“Apa dah jadi dengan kita ni sebenarnya Aliya?” tanyaku dah rasa macam aku dah tak betul dah.

“Aku pun tak tahu. Apa Kak Piah dah buat kat kita?” Aliya pula menyahut.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba ada suara memberi salam. Aku dan Aliya melompat untuk ke sekian kalinya hari ini akibat terkejut.

Maksu berdiri kat tepi kami bersama dengan Paksu dan seorang lagi lelaki memakai jubah dan berkopiah putih dalam usia 60an.

“Waalaikumusalam Maksu,” aku menyahut dan Aliya pula macam dah lama tak jumpa Maksu, terus peluk Maksu dan menangis semahu-mahunya.

“Dah tu, Alhamdulillah kamu berdua tak apa-apa. Ni Maksu bawakan Ustaz Osman untuk tengokkan keadaan kamu berdua dan rumah tu.” kata Maksu memperkenalkan lelaki yang bersama mereka tu kepada kami.

“Kami taknak pergi ke rumah tu lagi.” Kata Aliya.

“Barangan kamu macammana?” tanya Maksu. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

“Takpe, jom kita tengok dulu,” kata Ustaz Osman sambil tersenyum memandang kami yang masih dengan wajah keliru.

Nak tak nak kami terpaksa ikut Maksu, Paksu dan Ustaz Osman ke rumah Kak Piah semula untuk mengambil barangan kami. Kalau tak kerana borang dan dokumen kolej masih di rumah tu, memang kami takkan patah balik ke rumah tu.

Sampai kat lif, aku dan Aliya tak berani masuk. “Jom, takde apa. Semua tu makhluk Allah macam kita. Cuma alam mereka berbeza. Kita ambil barang kamu, lepas tu kita balik, ok,” kata Ustaz Osman dengan tenangnya. Maksu memegang tangan aku dan Aliya, memimpin kami memasuki lif dan terus ke tingkat 3. Dari situ, kami berjalan bersama ke rumah yang ternyata ada tanda pangkah dengan cat merah. Pintu rumah bertutup. Tapi masa kami tengok dari bawah tadi, pintu rumah tu terbuka dan Kak Piah dengan rupa yang berlainan, sedang berdiri di pintu memerhatikan kami.

Ustaz Osman menyuruh kami membuka kunci rumah. Aku dengan tangan yang terketar-ketar, ambil kunci dan cuba buka pintu. Tapi entah berapa kali kunci tu terlepas dari tangan aku. Akhirnya Paksu ambil kunci tu dan buka pintu rumah. Pintu rumah terkuak luas.

Keadaan dalam rumah tu? Bukan macam apa yang kami lihat dua hari lepas atau dua minggu lepas. Penuh dengan daun kering, yang datang entah dari mana, lantainya berselut kering. Dindingnya penuh dengan sarang labah-labah. Bau bangkai macam dah kering dan dah lama. Kami semua menutup hidung kecuali Ustaz Osman.

Ustaz Osman menadahkan tangan, membaca sesuatu dan menghembuskan ke kiri dan kanannya sebanyak tiga kali. Sesudah itu, dia melangkah masuk dengan kaki kirinya. Diikuti oleh Paksu.

Sampai kat tengah ruang tamu, Ustaz Osman berhenti dan menoleh ke dalam bilik Kak Piah yang terbuka pintu. “Astaghfirullah al aziim” kedengaran suara Ustaz Osman beristighfar perlahan dan menundukkan mukanya ke lantai. Dia melangkah perlahan dan ke bilik tersebut dan menutup pintu bilik.

“Kamu masuklah, pergi ambil barang kamu,” kata Ustaz Osman.

Maksu memberi isyarat kepada kami untuk masuk ke rumah tu tapi kami agak berat hati. Masih terbayang-bayang kami duduk di dalam rumah itu dengan Kak Piah, selama dua hari, atau dua minggu.

“Takpe, jom Maksu teman.” Kata Maksu menarik tangan aku dan Aliya terus masuk ke dalam rumah. Aku dan Aliya melangkah masuk ke rumah itu dengan berat hati. Tak berani pandang kiri atau kanan. Terus masuk ke bilik kami. Busuk dan kotornya rumah itu, macammana kami boleh dikaburi selama kami duduk di situ?

Selesai mengambil barang, aku terus keluar bilik walaupun aku perasan ada sesuatu yang memerhatikan aku dari atas almari, dari bawah katil, dari belakang pintu dan dari setiap sudut. Aku berjalan terus, tak toleh ke mana-mana lagi.

Tapi bila lalu di dapur, aku tak dapat menahan diri. Aku pandang ke dapur. Aku lihat sebuah peti sejuk yang seakan nak runtuh merebah ke bumi. Ada meja makan, di atasnya ada satu tudung saji yang dah bersarang labah-labah. Aku nampak piring di bawah tudung saji. Itulah bihun goreng yang aku makan bersama Kak Piah semalam. Aku nak buka tudung saji itu tapi Ustaz Osman melarang.

“Tak perlu kita ambil tahu lagi. Jangan berbuat sesuatu yang boleh memudaratkan. Kita keluar dari rumah ini. Mereka telah dikurung di sini sejak sekian lama. Biarlah mereka. Biar Allah yang jaga mereka,” kata Ustaz Osman membuatkan aku tak jadi menjenguk apa yang berada di bawah tudung saji itu.

Aku dan Aliya melangkah ke ruang tamu nak ke pintu keluar. Masa lalu di pintu bilik Kak Piah, pintu seakan dibuka dari dalam. Aku nampak, Aliya pun nampak. Ada seorang perempuan berdiri di dalam bilik itu, memakai baju putih, rambut panjang sampai ke lantai, dagunya sampai ke dada, telinganya panjang, matanya besar hampir terkeluar dari lubang mata, tiada mata hitam. Dia berdiri di situ memandang kami. Dan memang ada satu tali yang tergantung dari siling di tengah-tengah bilik itu.

“Dah, jangan tengok lagi. Kita keluar sekarang,” kata Ustaz Osman. Aku dan Aliya yang memang dah lemah lutut, gigih melangkah keluar dari rumah tu. Tak daya nak tunggu dan lihat lagi.

Setelah keluar dari rumah tu, Paksu kunci semula rumah tu. Ustaz Osman berbuat seperti sama dia nak masuk tadi. Menadahkan tangan, membacakan sesuatu dan meniup ke kiri dan kanan sebanyak tiga kali. Aliya cuit tangan aku lalu menunjukkan papan tanda di pintu.

‘C-3-16, BBS. Dilarang masuk.’

Masa kami datang, pintu terbuka. Siapa yang boleh baca?

“Dah. Jom kita pergi. Tiada apa yang kita boleh lakukan di sini.” Kata Ustaz Osman.

Kami pun balik ke rumah Maksu. Ustaz Osman memberi kami segelas air, katanya lepas kami minum air tu, kami akan muntah. Jangan tengok apa yang kami muntahkan. Kerana katanya kami takkan sanggup tengok. Huhuhu… Lagi la kami nak tengok.

Memang betul, lepas kami minum air tu, tak sampai 10 minit, aku dan Aliya muntah. Busuknya tak tahu nak cakap. Ulat, cacing, tanah selut, rumpai apa entah, semua keluar. Fuh!! Nangis tak berlagu kami jadinya.

“Mujur kamu berdua solat. Jadi dia tak dapat kunci kamu kat alam dia. Kalau kamu tak solat, atau kamu dalam keadaan haid, mungkin dia dapat kunci kamu dan tinggal terus bersamanya. Alhamdulillah, Allah jaga kamu sebagaimana kamu menjaga arahan Allah. Kerana itu, ikutlah suruhan Allah, kerena ia menjaga kamu,” kata Ustaz Osman.

“Tapi bagaimana orang lain tak nampak kami?” tanya Aliya.

“Orang tak nampak kamu sebagaimana kamu tak nampak orang lain kerana kamu berada di alamnya. Mana bisa orang di alam ini dapat lihat kamu di alam sana tanpa kelebihan lain? Tapi buat dia atau roh tak tenteram itu, dia nampak segalanya di alam dia dan di alam kita. Tapi dia tetap tak boleh buat apa-apa. Dia terlalu murung, hingga tak sedar dia bukan lagi di alam ini. Selagi dia bersama kamu, kerna itulah kamu tak boleh dilihat oleh orang lain. Tapi bila kamu keluar tanpa dia, kamu mampu dilihat oleh orang lain,” kata Ustaz Osman.

“Patutlah Kak Piah akan tergesa-gesa nak ikut kami bila kami kata kami nak keluar, walaupun masa tu dia nampak tak sihat.” Bisik aku perlahan namun masih dapat didengari oleh mereka yang berada di situ.

“Tapi macammana kami boleh tersesat ke tempatnya?” tanyaku semula.

“Dua hari lepas kamu hilang, tuan rumah yang Maksu janjikan tu telefon Maksu kenapa kamu tak datang lagi? Sebab Maksu dah bayar semua deposit dan sewa sebulan. Dari situlah Maksu mula cari kamu berdua.” Kata Maksu.

“Kan Maksu yang hantar kami ke sana?” tanya Aliya pula.

“Itulah pasal. Maksu yang hantar kamu. Tapi tak sangka pula terhantar salah rumah,” kata Maksu.

“Bukan kamu tersalah rumah, tapi kamu dah dikaburkan olehnya. Roh itu telah memerangkap kamu dengan cara yang hanya Allah yang tahu.” Kata Ustaz Osman.

“Tapi kami berada di sana dua hari je, kenapa kami dah hilang dua minggu pula?” tanyaku lagi.

“Itulah kekaburan yang dia dah buat. Kamu rasa sekejap tapi sebenarnya dah lama kamu bersama dia. Dia yang mahu kamu bersamanya, kalau boleh selama-lamanya. Dan masa di alam dia dan kita juga tak sama. Itu rahsia Allah.” Kata Ustaz Osman.

“Tapi tak ke lepas ni dia kacau orang lain pula?” tanya Aliya pula.

“Dia sebenarnya dah dikurung sejak berkurun lamanya. Dia tak boleh kacau orang sepatutnya. Tapi dengan izin Allah juga, dia boleh mengaburkan kamu. Adalah hikmahnya.” Kata Ustaz Osman lagi.

“Tapi kami lihat banyak benda lain kat rumah tu, bukan Kak Piah saja. Ada yang tinggi, ada yang menyeret rantai, macam-macam la,” kata Aliya.

“Rumah, kalau ditinggalkan kosong dalam masa yang lama, memang jin akan bertandang. Nak pula ada ‘kawan lain’ di sana. Sebab tu para ustaz selalu berpesan, jika rumah yang punyai banyak bilik, pastikan setiap bilik itu punyai orang di dalamnya, solat di dalamnya. Jangan biarkan kosong kerana dibimbangi jin menumpang di situ. Dan hati-hati bila banyak cicak di rumah kita. Jika banyak cicak, perhatikanlah, mesti ada mana-mana bahagian rumah terutamanya bilik telah dibiarkan kosong dalam tempoh yang agak lama. Jadi, penuhilah ruang itu dengan sesuatu yang hidup dan beramal kepada Allah,” kata Ustaz Osman lagi tersenyum je menjawab soalan kami yang bertalu-talu. Tak penat dia beri penjelasan.

Kami semua kat situ diam. Penat, pening, letih, blur, semua ada.

“Sudahlah tu, jangan fikir lagi. Lagi banyak fikir, lagi banyak soalan. Makin banyak soalan, makin keliru nanti,” kata Paksu menyampuk setelah lama dia diam kat belakang kami.

“Takpelah, sekurang-kurangnya semua dah selesai. Kamu berdua rehat kat sini dulu. Esok kita pergi kolej, buat rayuan kerana tak daftarkan diri pada tarikh pendaftaran.” Kata Maksu. Aku dan Aliya mengangguk.

“Lepas tu kita pergi ke rumah sewa yang betul,” kata Maksu.

“TAKNAKKKKKKKK!!!” aku dengan Aliya serentak menjerit sampai Ustaz Osman pun terkejut.

“Takpe, duduk kat rumah ni dulu.” Sahut Paksu sambil ketawa gelihati dengan rupa dan gelagat kami.

“Ok ok. Duduk kat rumah ni dulu. Yang penting sekarang ni, call mak ayah kamu. Mereka dah tak senang duduk selama dua minggu ni,” kata Maksu.

“Baiklah!” sahut kami serentak.

– T A M A T –

One thought on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s