C-3-16, BBS

Bab 9

“Kau menung apa lagi tu Sue? Jom keluar dari lif ni,” kata Aliya sambil menarik tangan aku. Aku pun ikut keluar dari lif itu.

Ketika kami keluar dari lif, kami nampak ramai orang di kawasan flat tu. Aku perasan Aliya pun sama macam aku, mengerutkan dahi.

“Ramai pulak orang hari ini kan Aliya? Selalunya kita nampak dari jauh je, bila dekat kita tak nampak orang,” tanyaku.

“Kan? Aku pun perasan macam tu,” kata Aliya.

“Sebab hari ini Isnin ke? Hari kerja kot,” kataku meneka.

“Iye ke?” tanya Aliya pula macam sangsi dengan jawapan aku. Aku angkat bahu.

Kami teruskan melangkah. Beberapa orang kanak-kanak dilihat bermain di kaki lima rumah sampai ada yang terlanggar kami yang sedang berjalan. Lalu dimarahi oleh ibu mereka.

“Minta maaf dik, anak akak ni kalau main memang tak nampak orang dah,” kata seorang wanita yang tinggal di kawasan flat tu.

“Takpe kak. Budak-budak, biasalah.” Sahutku.

“Adik berdua tinggal kat mana? Tak pernah nampak pun. Baru kat sini ke?” tanyanya ramah.

“Iye kak. Kami tinggal kat tingkat 3,” sahut Aliya.

“Tingkat 3?” tanyanya lagi. Kami mengangguk.

“Pintu nombor berapa?” tanyanya lagi.

“Nombor 16,” sahutku.

“16? Sini tak sampai nombor 16 kot,” kata wanita itu lagi.

“Makkkk…. Adik nak susu!” tiba-tiba terdengar anak wanita itu menjerit dari dalam rumah.

“Allah, budak ni. Akak masuk dulu ye, banyak hal lagi nak uruskan ni,” kata wanita itu. Aku dan Aliya menganggukkan kepala. Tiba-tiba je terasa betapa seronoknya kawasan itu. Taklah sama seperti yang selalu diwarwarkan bahawa orang kat kota besar ni sombong, tak saling menegur sesama sendiri.

“Sue, kita sarapan kat kedai tepi jalan tu dulu la. Lepas tu baru kita naik bas.” Kata Aliya.

“Ok juga tu,” sahutku.

Kami pun berjalan ke sebuah warung tepi jalan. Ada beberapa orang lain yang sedang bersarapan kat situ. Kami mengambil tempat di bahagian tepi sekali. Seorang lelaki dalam usia lewat 40-an menghampiri kami untuk mengambil pesanan.

Aku minta mee goreng dan Aliya minta roti canai. Lelaki itu berlalu pergi. Aku membuka beg aku dan mengambil handphone. Bulat mata aku bila melihat telefon aku. Ada 36 missed call dan ada 20 mesej.

“Aliya, buka handphone kau,” kataku. “Kenapa pula?” tanya Aliya. “Kau buka je la,” kataku. Dan Aliya menurut. Dan seperti aku juga, dahinya berkerut bila melihat handphonenya.

“Banyaknya missed call. Mesej sampai berpuluh,” katanya.

Aku buka missed call, mak abah aku dah call berpuluh kali, mesej dari adik aku, bertanya aku di mana. Ada peti simpanan suara, aku dengar suara mak aku menangis tanya aku di mana. Bahkan Maksu Aliya pun ada missed call aku.

“Aliya, siapa mesej kau? Siapa call kau?” tanyaku dan mula rasa gelisah.

“Mak ayah aku, kakak aku, maksu, mesej semua tanya aku kat mana. Kenapa tak dapat call aku,” kata Aliya.

“Kenapa diorang kata diorang tak dapat hubungi kita? Handphone kita tak off pun,” kata Aliya.

“Tapi kau perasan tak, sepanjang kita kat dalam rumah tu, kita tak terima sebarang call, takde mesej. Ingat tak malam pertama tu aku cuba call mak aku dan kau cuba telefon maksu kau, kita tak dapat call sesiapa kan? Hanya bunyi angin je. Kita cuba banyak kali, tapi semua pun bunyi angin.” Kataku.

“Haah kan. Sekarang aku perasan dah. Ke kat area situ line tak elok?” Aliya tanya aku.

“Mungkin juga. Malam tu masa aku tengok tv dengan Kak Piah pun, dia ada cakap, kat rumah tu susah nak dapat siaran tv. Mungkin line telefon pun macam tu kot,” kataku.

Baru je aku nak call mak aku, lelaki tadi datang bersama pesanan kami.

“Aliya, kita makan dulu. Lepas ni kita call mereka semula. Mesti mereka risaukan kita,” kataku sambil meneguk air teh yang aku pesan tadi. Aliya pun letakkan handphone dan makan roti canainya.

“Adik ni tinggal kat mana? Tak pernah nampak pun,” tiba-tiba seorang lelaki yang duduk di meja sebelah kami menegur. Masa ni baru kami perasan beberapa pelanggan lain di situ juga turut memandang kami. Kami tersenyum kepada mereka.

“Iye bang. Kami baru dua hari kat sini.” Sahutku.

“Studen?” tanyanya lagi.

“Haah,” sahutku.

“Tinggal kat blok mana?” tanya seorang yang lain. Kami ni comel sangat kot, tu yang ramai berminat nak tahu tu. Hahaha….

“Kat blok C,” Aliya menyahut.

“Blok C?” tanya lelaki yang pertama menegur kami tadi.

“Iye, blok C,” sahutku.

“Sini mana ada blok C,” sahut yang lain. Kali ini makin ramai yang memandang dan seperti berminat nak tahu kami ni siapa.

“Iye bang. Blok C, tingkat 3, pintu nombor 16,” sahut Aliya dengan alamat penuh kami. Dah jemu kot bila ditanya banyak kali.

“Kat sini takde blok C. Kat sini nama blok semua nama bunga. Seri Teratai, Seri Melur macam tu. Tu yang flat 20 tingkat. Kalau yang dekat ni je, flat 5 tingkat je. Ini namanya Flat Bandar Baru Sentul.” Kata lelaki tuan kedai tu beri penerangan.

Aku dan Aliya terdiam dan berpandangan sesama sendiri.

“Blok kamu kat sebelah mana? Yang mana satu?” tanya lelaki lain pula.

Aku pun menoleh dan meninjau kalau-kalau boleh nampak blok kami dari situ. Tak nampak pula. Tapi aku tahu blok kami berada di belakang blok kat seberang jalan tempat kami sedang makan tu.

“Blok kami kat belakang blok ni,” kataku sambil menunjukkan blok kat seberang jalan tu.

“Seberang jalan ni namanya blok Seri Mawar, kat belakang dia blok Seri Teratai. Mana ada blok C,” kata lelaki kat situ.

“Tingkat 3? Pintu nombor 16?” tiba-tiba ada satu kakak tu bersuara selepas lama dia terdiam memerhatikan kami cuba memberi penjelasan kat mana kami tinggal.

“Iye. Tingkat 3, pintu nombor 16.” Sahutku.

“Rumah bujang?” kata kakak tu lagi.

“Haah,” jawabku.

“Tinggal dengan siapa?” tanyanya lagi.

“Tinggal dengan Kak Piah,” kata Aliya kembali nampak lega bila akhirnya ada yang mengetahui blok kami.

Dan kami perasan air muka orang-orang kat situ berubah. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Dah berapa lama kamu tinggal kat situ?” tanya kakak tu lagi.

“Kami masuk hari Sabtu haritu,” jawab Aliya.

“Macammana kamu boleh menyewa kat rumah tu?” tanya lelaki kat situ.

“Maksu saya yang uruskan. Katanya dapat iklan dari kedai seven eleven,” kata Aliya lagi memberitahu mereka.

“Macammana dia boleh keluar dari kawasan dia?” kata lelaki kat situ, bertanya kat kakak yang tadi. Kakak tu angkat bahu dan buat muka cuak.

“Siapa abang Mail? Kawasan apa? Kenapa dengan tempat tu?” tanya seorang yang lain.

“Hanya penduduk asal yang tahu kisah ni. Penduduk baru memang tak tahu. Dulu, dah berpuluh tahun yang dulu. Masa flat-flat kat sini baru di bina, memang nama flat mengikut abjad. A, B, C sampai H. Cuma Flat Bandar Baru Sentul yang 5 tingkat tu sahaja yang tak ditukar nama. Flat yang 20 tingkat semuanya dah bertukar nama kepada nama bunga,” kata lelaki yang dipanggil Abang Mail tu.

“Lepas tu?” tanya seorang lagi berminat ingin tahu kisah selanjutnya. Mungkin dia pun bukan orang asal tapi dah lama tinggal kat situ.

“Sampai satu hari, ada seorang perempuan gantung diri kat salah sebuah flat tu. Dia tinggal sendirian. Orang pun tak tahu dia gantung diri sampailah seminggu kot, baru jiran perasan sebab ada bau busuk. Masa polis datang, mayat perempuan tu masih tergantung kat bilik utama rumah tu,” kata Abang Mail.

“Haah, betul tu. Kak Piah ada ceritakan kisah tu kat kami,” kata Aliya. Dari situ aku dan Aliya tahu bahawa Kak Piah tak tipu kami.

“Lepas tu Abang Mail?” tanya lelaki tadi tak sabar nak dengar cerita selanjutnya.

“Sejak itu, kawasan ni sering diganggu. Bila waktu maghrib, janganlah duduk kat luar rumah. Memang kena ganggu le jawabnya, terutama yang ada anak kecil.” Kata kakak tadi.

“Roh perempuan tu yang menganggu ke Kak Sal?” tanya lelaki tadi lagi.

“Dengar ceritanya macam tu la. Waktu dah dekat nak maghrib tu, kalau masih berada di luar rumah, kami nampaklah dia duduk kat taman permainan belakang blok tu sambil menghayun buaian. Kalau dah malam, sesiapa yang balik kerja lambat tu, nampaklah dia duduk kat tempat parking kereta ke, termenung kat sana,” kata kakak yang dipanggil Kak Sal.

“Dulu masa anak Kak Sal masih kecil, dia ada cakap katanya ada perempuan ajak main. Kak Sal memang dah syak roh perempuan tu la. Bila Kak Sal tanya kat mana perempuan tu, katanya ada kat dalam bilik rumah Kak Sal. Tak panik ke?” kata Kak Sal dengan wajah yang takut.

“Dia tak ganggu kita. Cuma bila menjelang senja sampai ke pagi sebelum subuh, dia merayau-rayau kat kawasan flat ni. Kadangkala dia mengetuk pintu rumah orang. Berapa orang yang menjerit meracau kat masa tu. Ada masa dia masuk makan makanan yang berlebihan kat rumah. Bayangkanlah, masa kita nyenyak tidur, tiba-tiba dengar bunyi pinggan mangkuk kat dapur. Bila pasang lampu, nampak dia tengah menyelongkar periuk nasi. Perkakas yang dia dah guna memang tak boleh nak pakai balik sebab busuk bau bangkai,” kata Abang Mail.

“Tengah malam kami dengar bunyi perempuan menangis mendayu-dayu sampai subuh. Ada masa sedih sangat bunyinya. Tapi buat yang tak tahu kisahnya, memang rasa seram sejuk.” Kata Kak Sal pula menyampuk.

“Kalau terserempak dengan orang ramai, dia akan kata masa terlalu cepat, dia dah nak balik.” Kata Sal lagi.

“Masa cepat? Dia nak balik ke mana?” tanya orang lain di situ.

“Entah, takde siapa tahu,” kata Kak Sal.

“Sampai satu masa, kami dah tak tahan. Hidup dalam ketakutan, siapa mampu? Kami panggil beberapa orang yang pandai bab-bab ni. Bomoh, ustaz, semua pun tak dapat halau dia.” Kata Abang Mail.

“Rumah dia takde orang lain duduk ke?” tanya lelaki tadi.

“Ada orang nak beli. Tapi tak tahu nak uruskan dari mana sebab rumah tu nama ayah dia. Tapi rasanya siapa yang berani nak beli rumah tu kalau dah tahu kisah dalam rumah tu?” kata Kak Sal.

Aku dan Aliya terus mendengar cerita menarik itu sambil menghabiskan sarapan kami.

“Sampailah akhirnya ada seorang ustaz datang, Ustaz Fadzil namanya. Ustaz Fadzil kata, dia adalah roh tak tenang, yang tak diterima bumi kerana membunuh diri. Ustaz Fadzil kata, kalau kita tak boleh halau dia, kita kurung dia. Jangan bagi dia keluar dari kawasannya iaitu rumah itu. Pintu rumah tu pun dah ditanda pangkah dengan cat merah. Sesiapapun tak dibenarkan lalu kat kawasan tu,” kata Abg Mail.

“Menurut apa yang Ustaz Fadzil kata, perempuan itu menggantung dirinya selepas azan subuh. Jadi dia akan merayau setiap malam dan terpaksa balik ke tempatnya semula sebelum subuh, iaitu sebelum masa kematiannya. Sebab tu dia asyik kata masa terlalu cepat, dan dia kena balik,” sambung Abang Mail lagi.

“Dan sejak Ustaz Fadzil memagar dan mengurung dia, dia tak mengganggu lagi. Cuma sesekali kami terdengar bunyi suara tangisan dari arah rumah tu. Tapi dia tak mengganggu sebab dia tak boleh keluar dari rumah tu sebab dah dikurung oleh Ustaz Fadzil,” kata Kak Sal.

“Dan sejak itu jugalah semua flat 20 tingkat ditukar menjadi nama bunga.” Sahut lelaki tuan kedai sambil dia lalu nak ambil pesanan orang. Mujurlah banyak meja kat kedai tu, kalau tak mesti ramai yang menunggu nak sarapan. Sebab semua yang ada kat situ macam taknak berganjak pun, asyik mendengar cerita Abang Mail dan Kak Sal.

“Sekarang blok C tu jadi nama apa?” tanya seorang yang lain, ingin tahu.

“Blok belakang dari blok ni lah, Blok Teratai,” kata Kak Sal membuatkan tiba-tiba aku dan Aliya jadi seram sejuk.

“Tapi blok tu tak sampai pintu 16 pun. Semua blok sampai pintu 10 je kan?” kata seseorang lagi.

“Dulu, semua nombor adalah nombor genap, tak tahulah kenapa pemaju buat macam tu. Ada fengshui katanya. Jadi nombor pintu akan jadi 2, 4, 6 dan sampai 20.” Katanya Kak Sal.

“Maknanya rumah dia pintu nombor 8?” ada suara bertanya.

“Iye, rumah dia di nombor 8, tingkat 3,” kata Kak Sal.

Aku dan Aliya terus mendengar. Dalam fikiran kami, tertanya-tanya, adakah kisah yang sedang kami dengar ni sama dengan kisah yang Kak Piah ceritakan kepada kami semalam?

“Maaf saya tumpang tanya, tahu ke kenapa perempuan tu bunuh diri?” aku beranikan diri bertanya.

“Kisahnya dia baru 3 bulan tinggal di sini sebab ayahnya hadiahkan rumah ni untuknya. Mana tahu seluruh keluarganya terkorban dalam kebakaran di kampung mereka. Mak Ayah dan dua adik perempuan kembar. Dengar ceritanya, kedua-dua adik perempuan kembarnya tu akan tinggal bersamanya lepas mereka tamat SPM. Tapi apakan daya mereka dah meninggal dunia. Tinggallah perempuan ni sebatang kara. Ada saudara yang datang menjenguk tapi semua dihalaunya. Sampai akhirnya tiada siapa peduli. Mungkin dia terlalu sedih dan rindukan ahli keluarganya, lalu kemurungan melampau, itu yang dia bunuh diri,” kata Abang Mail mengakhiri ceritanya.

Aku dan Aliya dah mula rasa tak selesa. “Tahu ke siapa namanya Kak Sal?” Aliya bertanya.

“Kalau tak silap ingatan Kak Sal la, namanya Sofea. Dia seorang perempuan yang baik, dia peramah, lembut budi bahasanya. Cantik orangnya. Dia excited bercerita kat jiran-jiran bahawa adik perempuannya yang kembar akan datang tinggal bersamanya. Nama adiknya Mirza dan Nisa kalau tak silap,” kata Kak Sal membuatkan aku dan Aliya semakin cuak.

– Bersambung –

One thought on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s