C-3-16, BBS

Bab 8

Aku dan Aliya masih berpelukan sambil tersandar di tepi dinding yang berhampiran dengan pintu keluar. Tapi Kak Piah sedang berdiri di sana dengan wajah risau melihat keadaan kami berdua.

“Sue, Aliya, kenapa ni?” tanya Kak Piah lagi.

Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri. Tak tahu siapa di depan kami sekarang ni. Kami keliru.

“Tadi ada litar pintas kot. Sebab tu suis besar tu jatuh. Kak Piah pun terjaga sebab panas, kipas dah tak berpusing,” kata Kak Piah.

Aku dan Aliya masih berdiam diri di situ, tak berganjak walau seinci.

“Ok, cuba bawa bertenang. Tarik nafas panjang-panjang dan lepas perlahan-lahan. Cuba beritahu Kak Piah, apa yang terjadi sampai kamu berdua jadi serabut macam ni?” tanya Kak Piah lagi.

Dan aku dan Aliya masih berdiam diri, memandang Kak Piah yang masih menghalang laluan untuk kami keluar dari rumah itu.

“Takpelah kalau taknak cakap. Sekarang ni pukul 2.30 pagi. Kalau kamu nak keluar sekalipun, tunggulah sesudah subuh. Tak elok anak dara keluar rumah pada waktu macam ni. Entah apa pula yang ada kat luar tu nanti,” kata Kak Piah sambil duduk di tepi dinding pintu biliknya.

Aku pandang Aliya, pintu keluar dah tak terhalang. Nak keluar ke?

“Kamu berdua dah nampak benda-benda pelik dalam rumah ni kan?” Kak Piah bertanya membuatkan kami tertarik untuk mendengar kata-kata Kak Piah yang selanjutnya.

“Kebanyakan orang-orang yang menyewa kat rumah ni, memang tak boleh bertahan lama. Mereka selalu nampak benda-benda pelik dalam rumah ni. Ada yang menyerupai Kak Piah kata mereka. Mula-mula dulu, Kak Piah pun perasan ada benda lain dalam rumah ni tapi sebab Kak Piah sayangkan rumah ni, Kak Piah cuba bertahan. Lama-kelamaan, benda-benda pelik tu dah tak kacau Kak Piah dah,” kata Kak Piah membuatkan kami pun duduk sekali.

“Maksud Kak Piah, orang-orang sebelum ni pun ternampak benda yang sama macam kami nampak?” tanya Aliya.

“Iya. Mirza sampai demam tiga hari. Mereka nak keluar tapi Kak Piah cuba pujuk. Lama-lama mereka dah ok.” Kata Kak Piah.

“Tapi apa benda semua tu? Kak Piah tak pernah ceritakan kepada sesiapa ke?” tanyaku pula.

“Dulu Kak Piah ceritakan pada orang lain, saudara mara semua tapi mereka kata itu perasaan Kak Piah je. Mereka buat tak tahu.” Kata Kak Piah.

“Tapi kenapa Kak Piah tak cakap kepada kami dari awal? Kak Piah macam nak sorokkan dari kami je,” kata Aliya masih sangsi.

“Kalau Kak Piah cakap awal-awal kat kamu, rasanya kamu akan setuju tak untuk menyewa rumah ni?” tanya Kak Piah. Aku dan Aliya gelengkan kepala.

“Dan Kak Piah taknaklah cakap kat kamu, mana tahu kamu berdua kebal, tak nampak benda tu semua. Nanti elok-elok kamu tak nampak, tapi sebab Kak Piah ceritakan pasal rumah ni, kamu berdua takut pula,” kata Kak Piah.

“Tu kat dalam mesin basuh tu, kenapa ada kain putih dengan tanah selut macam dah lama. Dan ada bau bangkai pulak tu,” kata Aliya terus tanya Kak Piah.

“Aduh, Kak Piah lupa la. Hari tu ada tikus tak tahu tahulah macammana terperangkap kat bahagian bawah mesin tu. Kak Piah belum keluarkan. Kak Piah letak kain putih tu sebab taknak nampak bangkai tikus kat bawah tu. Sori sangat, Kak Piah memang terlupa. Nanti Kak Piah panggil orang keluar bangkai tikus dari celah bawah mesin tu.” kata Kak Piah sambil menepuk dahinya.

Aku dan Aliya sekali lagi berpandangan sesama sendiri.

“Kak Piah tahu ke apa punca rumah ni jadi macam ni?” tanyaku pula.

“Kak Piah tak berapa tahu. Tapi ada la dengar cerita dari jiran-jiran sini dulu, masa mula-mula Kak Piah pindah ke rumah ni. Mereka kata ada seorang perempuan gantung diri dalam rumah ni. Lepas seminggu baru orang perasan sebab ada bau busuk. Masa jumpa, mayatnya masih tergantung kat dalam bilik,” kata Kak Piah membuatkan aku dan Aliya kembali meremang bulu roma.

“Bilik mana satu?” aku tanya.

“Bilik Kak Piah tu la. Sebab tu Kak Piah tak bagi orang lain duduk kat bilik tu. Dan sebab tu juga Kak Piah duduk seorang saja kat situ,” kata Kak Piah.

“Perempuan tu takde keluarga ke?” tanya Aliya.

“Dia tinggal sendirian kat sini. Keluarganya tinggal di kampung. Jadi mereka tak tahu sampailah ada pihak polis memaklumkan kepada mereka.” Kata Kak Piah dengan wajah sedih.

“Kenapa Kak Piah tak pindah keluar je dari rumah ni?” aku tanya.

Kak Piah tunduk, setitis air mata mengalir di pipinya. Aku dan Aliya saling berpandangan.

“Inilah satu-satunya kenangan Kak Piah dengan ayah Kak Piah. Ayah, mak dan dua orang adik perempuan Kak Piah meninggal dalam kebakaran kat kampung lepas tiga bulan ayah hadiahkan rumah ni kepada Kak Piah. Kak Piah tak boleh keluar dari rumah ni. Kak Piah rindukan mak ayah Kak Piah,” kata Kak Piah perlahan-lahan, suaranya antara keluar dengan tak. Dan air matanya makin deras mengalir.

Tiba-tiba je aku dan Aliya rasa sebak. Begitu buruk sangkaan kami kepada Kak Piah. Dia terlalu banyak memendam rasa. Dan dia kesepian. Dari kami sampai, tak pernah lagi Kak Piah tunjukkan rupanya yang sedih begitu. Dia senyum je kepada kami. Mengajar kami semua pasal selok belok kawasan tu.

“Kak Piah tak cuba panggil mana-mana ustaz ke untuk pulihkan rumah ni?” Aliya bertanya.

“Dah beberapa orang datang dan cuba merawat rumah ini, tapi tak berjaya,” Kata Kak Piah dalam esaknya. Aku cuit Aliya suruh dia diam. Nampak macam Kak Piah sedih sangat tu.

“Kak Piah tak boleh larang kalau kamu pun nak keluar dari rumah ni. Kak Piah akan pulangkan deposit sewa kamu. Dan Kak Piah pun minta maaf sangat dengan apa yang kamu berdua terpaksa lalui sepanjang berada di rumah ni. Cuma Kak Piah minta, tunggulah lepas subuh baru kamu keluar. Janganlah keluar pada waktu begini. Sini Kuala Lumpur, bukan macam kat kampung. Kak Piah selalu menganggap sesiapa yang menyewa ke rumah ini, terutama yang masih student, mereka adalah tanggungjawab Kak Piah selagi mereka menyewa di sini,” kata Kak Piah lagi.

“Kami pun minta maaf sebab tersalah sangka terhadap Kak Piah.” Kataku kepada Kak Piah yang kelihatan sugul di depan kami. Aku pandang Aliya. Kami sama-sama merapati Kak Piah. Kami usap bahunya. Dan Kak Piah makin teresak-esak. Sedih sangat kami rasa masa tu.

“Kami tak keluar dulu Kak Piah. Tapi kami nak baring kat sini je sehingga subuh boleh?” tanya Aliya.

“Ikut suka kamu berdua, Kak Piah tak halang. Ikut keselesaan masing-masing. Cuma, tak perlulah keluar pada waktu ni.” Kata Kak Piah.

“Baiklah Kak Piah,” sahut aku dan Aliya seakan serentak.

“Tapi boleh tak kalau Kak Piah pun tidur kat ruang tamu ni dengan kami? Kami masih rasa takut lagi,” kataku kepada Kak Piah.

Kak Piah tergelak kecil. “Iyelah, nanti Kak Piah ambil toto dan bantal. Kamu pun tidur kat toto je la ye. Boleh?” tanya Kak Piah.

“Boleh Kak Piah.” Sahut kami masih serentak.

Kak Piah bangun dan melangkah ke biliknya. Tak lama lepas tu, dia keluar semua membawa dua toto dan bantal. Dia bentangkan di ruang tamu tu. Lepas tu dia bangun dan pergi ke bilik kami. Lepas tu dia datang semula membawa bantal kami masing-masing. Aku dan Aliya cepat-cepat mengambil bantal kami dari tangan Kak Piah. Terasa segan pula bila Kak Piah yang pergi ambil bantal kami. Aduh…

Kami bertiga baring di situ, dengan lampu terpasang. Tapi walau macammana pun Kak Piah dah jelaskan tentang apa yang kami lihat kat dalam rumah tu, aku tetap sangsi. Aku masih tak begitu rasa selesa. Terasa macam masih ada perkara lain yang belum kami tahu. Tak lama kami berbaring di situ, aku tengok Aliya dah lena. Mungkin sebab terlalu mengantuk dan keletihan dengan apa yang kami dah lalui tadi.

Aku tersedar bila terdengar bunyi paip air kat dapur. Aku pandang Aliya, dia masih lena. Aku tengok tempat Kak Piah, Kak Piah tiada di situ. Aku tengok jam dinding, pukul 4.00 pagi. Aku bangun melangkah ke dapur. Seseorang sedang berdiri di tepi sinki.

“Kak Piah?” panggilku perlahan.

Tiada sahutan. Dan orang tu masih berada di sinki, tertunduk-tunduk seperti sedang makan sesuatu di situ. Seram sejuk pula aku tengok keadaan tu. Aku melangkah perlahan ke arah orang itu. Ketika aku berada di tepinya, aku lihat seseorang dengan wajah tanpa kulit, hanya daging yang jatuh dan diangkatnya semula lalu ditampalnya ke wajahnya semula. Dan bila dia menyedari aku berada di situ, dia mengangkat wajahnya dan memandang aku tanpa berkelip.

Aku pula terkaku kat situ. Makhluk itu mengangkat tangannya seperti nak mencekik aku. Dan aku dengar suaranya berkata, “Masa terlalu cepat. Aku dah nak pergi,” katanya berulang kali.

Entah dari mana aku dapat kekuatan, aku berlari ke ruang tamu. Dan di situ aku nampak Kak Piah sedang tidur di tempatnya. Tapi aku yakin tadi dia tiada di situ.

Aku toleh ke dapur, tiada sesiapa di sana. Bila aku menoleh ke arah Kak Piah semula, Kak Piah dah duduk di sebelah aku dan pandang aku. “Kenapa Sue?” tanyanya.

“Tadi Kak Piah ada bangun tak? Sebab tadi Kak Piah takde di situ,” tanyaku.

“Ooo.. tadi Kak Piah ke bilik air. Kenapa?” kata Kak Piah.

“Tadi saya nampak….. Hmm… Takde apalah Kak Piah, saya mimpi kot,” kataku.

Ke bilik air? Kalau Kak Piah ke bilik air, dan dah keluar, mesti aku perasan sebab nak keluar dari bilik air, perlu lalu di dapur sebelum sampai ruang tamu. Kak Piah lalu ikut mana tadi?

Aku taknak fikir lagi. Aku baring dan selimutkan tubuh aku dari hujung rambut sampai hujung kaki. Aku pandang Aliya, nyenyaknya dia lena. Aku memang tak boleh lena.

Aku dengar bunyi suara seakan berbisik. “Aku nak balik, aku nak balik, aku nak balik,” berulang kali. Tapi aku tak berani buka kain selimut aku. Dan aku tak tahu di waktu bila aku terlena.

“Sue, bangun. Dah subuh,” aku terjaga bila Aliya memanggil aku. Aku selak kain selimut. Aku bangun dan pandang keliling. Aliya sedang melipat toto yang kami tidur semalam. Toto dan bantal Kak Piah dah tiada. Kak Piah pun tak nampak kelibat.

“Kak Piah mana?” Tanyaku.

“Entah, masa aku bangun tadi dia memang dah takde kat situ. Dia dah bangun agaknya. Dah bersiap nak pergi kerja,” kata Aliya. Aku diam.

“Dah, jom la kita pun bangun, mandi, solat dan bersiap. Lepas Kak Piah pergi, kita keluar. Kita sarapan kat kedai tepi jalan tu nanti,” kata Aliya sambil mengangkat bantal kami dan membawanya ke bilik. Tiada riak takut dah di wajahnya. Aku pun terus mengikuti langkahnya.

Sesekali aku memanjangkan leher mencari kelibat Kak Piah. Memang tiada.

Ketika jam pukul 7.30 pagi, aku dan Aliya dah bersiap. “Aku tak nampak Kak Piah keluar rumah pun,” kataku. Aliya angkat bahu.

“Jom kita ketuk pintu bilik dia,” kata Aliya.

Aku dan Aliya melangkah ke bilik Kak Piah. Kami ketuk pintu biliknya. Tiada sahutan. Aku cuba pulas tombol pintu biliknya, berkunci dari dalam.

“Biarlah dia. Jom kita keluar,” kata Aliya. Aku menurut saja kata-kata Aliya walaupun aku terasa ada orang di dalam bilik tu. Aku yakin Kak Piah ada di dalam bilik tu.

Kami keluar dari rumah tu dan mengunci pintu. Kami berjalan perlahan dan sampai di pintu lif. Aku tekan tanda turun ke bawah. Tak lama kemudian, pintu lif terbuka. Di dalam lif kosong. Aku dan Aliya masuk.

Sampai kat tingkat 2, lif berhenti, pintu lif terbuka. Seorang perempuan dalam usia 50 tahun masuk bersama seorang anak dalam usia 12 tahun. Perempuan itu tersenyum memandang kami. Ini adalah kali pertama kami terserempak dengan seseorang setelah kami tinggal di flat itu sejak dua hari lepas.

Ketika perempuan itu masuk, Aliya ke tepi sedikit untuk memberi laluan. Dan ketika sampai ke tingkat paling bawah, pintu lif terbuka. Aliya ke tepi sedikit untuk memberi laluan kepada perempuan itu dan anaknya untuk keluar dahulu.

Masa ini hati aku terdetik, aku teringat masa aku dan Aliya menaiki lif bersama Kak Piah. Aliya buat gerakan yang sama macam Kak Piah buat. Adakah masa tu Kak Piah memberi laluan kepada seseorang yang kami tak nampak?

– Bersambung –

2 thoughts on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s